Arkib Tag: sime darby auto connexion

SDAC-Ford jual 8,858 unit Ranger dan Everest pada 2023

SIME Darby Auto Connexion-Ford (SDAC-Ford) telah mengumumkan prestasi jualannya bagi tahun 2023 di mana ia berjaya memecahkan rekod dengan 8,858 unit Ford Ranger dan Everest terjual sepanjang tahun lalu.

Menurut SDAC-Ford, pencapaian itu membuktikan prestasi kukuh jenama Ford pada 2023 dan sekali gus memantapkan kedudukannya dalam industri automotif negara.

Satu faktor penyumbang penting kepada kejayaan syarikat ialah perkembangan rangkaian pengedar SDAC-Ford untuk menambah baik pengalaman servis Ford.

Pada tahun lepas, syarikat telah menyempurnakan upacara pecah tanah bagi premis pengedar Ford Signature bernilai RM12 juta yang terletak di Jalan Baru, Seberang Prai.

Kemudahan bertaraf 3S serba canggih ini mempunyai kawasan seluas 46,000 kaki persegi, menampilkan identiti korporat Ford Signature dan menyediakan 16 ruang servis dan empat ruang pameran kenderaan. Ia akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku kedua tahun ini.

Selain itu, SDAC-Ford turut memperluaskan kehadirannya di Malaysia Timur. Di Sabah, syarikat itu telah melancarkan dua pusat pengedar utama iaitu Ford Kota Kinabalu (Inanam) dan Ford Kota Kinabalu (Penampang).

Di Sarawak pula, SDAC-Ford membuka Ford Kota Samarahan pada Oktober 2023 bagi terus mengukuhkan kedudukannya di negeri itu.

SDAC-Ford kini mempunyai 38 cawangan pengedar di seluruh negara, dengan sembilan daripadanya terletak di Malaysia Timur.

“Kami amat berbangga dengan kemajuan yang kami capai tahun lepas, yang sesungguhnya merupakan kejayaan hebat bagi SDAC-Ford. Ini jelas membuktikan daya tarikan kenderaan Ford yang memenangi anugerah, disokong oleh kesungguhan dan kegigihan pasukan kami dan sokongan tidak berbelah bagi para pelanggan,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan, SDAC-Ford.

“Sambil kami bersiap sedia menempuh satu lagi tahun cemerlang, kami yakin bahawa Ford akan terus mempelopori pasaran, sambil kami memenuhi komitmen terhadap kecemerlangan dan memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada pelanggan,” tambahnya.

Ford Ranger Platinum gabung kemewahan dan praktikaliti

Pada awal-awal dahulu, trak pikap sering digunakan untuk urusan kerja seperti membawa muatan besar atau mengharungi laluan mencabar.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai yang menjadikan trak pikap sebagai kenderaan pilihan bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga untuk memenuhi gaya hidup mereka pada hujung minggu.

Menyedari perubahan trend ini, pengeluar-pengeluar mula menawarkan varian-varian baharu yang menggabungkan kemewahan dengan praktikaliti serta ketahanan sebuah trak pikap.

Salah satu daripada pengeluar tersebut adalah Ford, yang telah melancarkan varian baharu Ranger ke pasaran tempatan iaitu Ford Ranger Platinum.

Diposisikan di antara varian WildTrak dan Raptor, Ranger Platinum tampil dengan pelbagai elemen bertaraf premium yang menjadikan ia lebih menonjol di jalan raya.

Ini termasuk lampu LED matrix, gril yang direka semula dan rim aloi berukuran 20 inci dalam kemasan dwi tona. Tulisan PLATINUM pada bahagian bonet dan tailgate membezakan ia dengan varian-varian yang lain.

Di dalam, suasana mewah dapat dilihat dan dirasakan menerusi kehadiran upholsteri kulit dengan corak jahitan yang menyerlah, lambang PLATINUM pada tempat duduk dan kemasan kayu pada papan pemuka.

Untuk keselesaan penumpang, kerusi pemandu dan penumpang hadapan dilengkapi dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan pelarasan 10 hala. Tidak cukup dengan itu, kerusi pemandu juga mempunyai fungsi memori.

Sistem infohibur boleh diakses menerusi panel instrument digital berukuran 12.4 inci atau skrin sentuh potret 12 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto wayarles.

Mereka yang gemar mendengar muzik pasti akan terhibur setiap kali menaiki Ranger Platinum kerana ia didatangkan dengan sistem audio Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara.

Tidak dilupakan juga, dari aspek praktikaliti, Ranger Platinum membawakan dua ciri baharu yang berguna iaitu power roller shutter dan Flexible Rack System.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 2.0 liter Bi-Turbo diesel yang menghasilkan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm dari 1,750 hingga 2,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Walaupun tampil mewah, keupayaan Ranger Platinum sebagai sebuah trak pikap tidak boleh dipertikaikan dengan kapasiti muatan maksimum 1,000 kg dan kapasiti tunda sehingga 3,500 kg.

Bukan itu sahaja, ia mempunyai sudut pendekatan 30 darjah, sudut pelepasan 25.6 darjah dan boleh mengharungi air setinggi 800 mm.

Ford Ranger Platinum dijual pada harga RM183,888 dan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,00 km.

Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan waranti kepada enam atau tujuh tahun atau sehingga 40,000 km dengan pakej waranti lanjutan Premium Care (EWP).

Ford Ranger Raptor baharu bakal dilancarkan pada 7 Oktober ini

Penantian peminat Ford Ranger Raptor generasi baharu bakal berakhir apabila pengedar rasmi Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion mengesahkan bahawa model itu akan dilancarkan pada 7 Oktober ini.

Apa yang menarik, trak pikap prestasi tinggi itu akan membuat kemunculannya di litar Baja khas di perkarangan Litar Antarabangsa Sepang.

Poster teaser pelancaran Ranger Raptor

Bukan itu sahaja, orang ramai, pelanggan Ford dan peminat Ranger khususnya dialu-alukan untuk mendaftar di laman sesawang SDAC-Ford Malaysia untuk mendapat jemputan eksklusif ke acara pelancaran yang akan berlangsung selama tiga hari hingga 9 Oktober 2022.

Mereka yang menerima jemputan tersebut akan menjadi antara yang pertama di Malaysia untuk menyaksikan Ranger Raptor generasi baharu secara langsung.

Mereka juga akan berpeluang untuk melihat trak pikap berkenaan dengan lebih dekat sambil diberikan taklimat serta memandu ujinya di dalam laluan trek yang telah disediakan.

Selain itu, model-model baharu Ford yang baru dilancarkan seperti barisan Ranger dan Everest juga turut akan dipamerkan dan disediakan untuk pandu uji kepada yang berminat.

Spesifikasi Ranger Raptor baharu masih belum didedahkan namun ia dijangka hadir dengan enjin EcoBoost 3.0-liter twin-turbo V6 baharu yang menghasilkan 397 PS dan 583 Nm, serta transmisi automatik 10 kelajuan.

Terdapat tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Sand, Mud/Ruts dan juga Baja. Penggunaan injap aktif pada sistem ekzos pula membolehkan pemandu memilih daripada empat profil bunyi iaitu Quite, Normal, Sport dan Baja.

Sistem suspensi Ranger Raptor juga telah dipertingkatkan dengan peredam adaptif FOX Live Valve 2.5 inci yang menggunakan minyak Teflon bagi mengurangkan geseran sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini.

Ford Ranger Wildtrak Sport dengan pembaharuan luar dan dalam, lebih hensem! Bermula RM158k

FORD telah memperkenalkan Ranger Wildtrak Sport iaitu satu edisi khas dengan harga bermula RM158,388 (atas jalan, tanpa insurans) di Semenanjung Malaysia.

Ini menjadikan Wildtrak sebagai varian permulaan, bermakna trak pikap dual-cab itu kini mendapat enjin 2.0-liter diesel biturbo berkuasa 213PS dan 500Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

Apa yang baharu untuk Wildtrak 2021? Di luar, terdapat gril rekaan baharu, cermin sisi dengan warna Ebony Black, pemegang pintu dan tailgate, serta rim aloi 18-inci dengan warna hitam.

Sementara itu bahagian dalam diberikan scuff plate baharu di bahagian sisi dengan tulisan ‘RANGER’, tempat duduk kulit, serta stereng dengan jahitan kontra.

Ciri keselamatan turut diberi peningkatan, dimana Ford Ranger Wildtrak Sport ini dilengkapi Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning dan Lane Departure Warning and Assist.

Ciri keselamatan standard sedia ada termasuklah enam beg udara, penggera tali pinggang depan dan belakang, Traction Control, Stability Control, Trailer Sway Control, Hill Descent Control, Hill Start Control, pengesan undur, ISOFIX, dan Mykey.

Ranger Wildtrak Sport turut didatangkan dengan ciri kemudahan seperti tiga port USB, soket 12-volt di depan, serta soket AC 230-volt 150 watt.

Sebagai tambahan, anda boleh miliki Ford Ranger baharu ini dengan pakej tint (RM2,700) dan dashcam (RM1,199).

Dua warna ditawarkan iaitu Saber (seperti dalam gambar) dan Absolute Black.