Raptor Rev dibuka untuk pendaftaran, terhad kepada 50 peserta sahaja
Sime Darby Auto ConneXion (Auto Connexion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, telah mengumumkan 11 dan 12 Januari 2025 sebagai tarikh berlangsungnya acara off-road Raptor Rev.
Syarikat itu telah melancarkan laman mikro eksklusif (www.raptorrev.com.my) untuk acara berkenaan dan mempelawa pemilik Ford Ranger Raptor untuk mendaftar, dengan tempat terhad kepada 50 penyertaan sahaja.
Bakal berlangsung di Bay 13, Litar Sepang dari 7 pagi hingga 7 malam, Raptor Rev menyediakan latihan yang mendalam meliputi teori off-road, suspensi, tayar, lompatan, drifting, hot laps Baja serta laluan berhalangan 4×4 secara amali.
Selepas menamatkan latihan teori dan amali tersebut, peserta akan bersaing dalam Cabaran Autocross yang akan menguji kemahiran mereka. Pemenang akan membawa pulang baucar minyak bernilai RM3,000.
Pemilik Ranger Raptor boleh menempah penyertaan mereka dalam acara Raptor Rev dengan yuran sebanyak RM275 (kadar yuran biasa RM350) bermula sekarang hingga 13 Disember.
Tawaran eksklusif ini meliputi sehelai kemeja-T Raptor dan topi edisi terhad, pakej makanan dan minuman lengkap sepanjang hari, akses kepada bengkel khusus yang merangkumi sesi teori dan praktikal, serta penyertaan dalam Cabaran Autocross.
Acara ini juga terbuka kepada khalayak awam yang bukan pemilik Ranger Raptor untuk ikut serta sebagai pengunjung secara percuma.
100 pendaftaran yang dibuat dalam talian akan menerima baucar makanan dan minuman yang boleh digunakan di trak makanan yang disediakan.
Mereka boleh mengikuti hot laps di dalam litar Baja bersama pemandu berpengalaman, memandu uji Ranger Raptor serta menikmati pelbagai persembahan dan aktiviti menarik.
Bukan itu sahaja, 100 pemilik Ranger Raptor pertama yang menunjukkan kunci trak mereka ketika hari juga akan mendapat kemeja-T edisi terhad Raptor Rev.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.