fbpx

Ford Ranger Stormtrak masuk pasaran Malaysia – 200 unit sahaja, RM182k

Ford Ranger StormTrak launch

SELEPAS dilancarkan di Thailand pada April tahun lalu, Ford Ranger StormTrak kini tiba di Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM181,888.

Untuk perbandingan, harga jualan Ranger StormTrak di Thailand bermula dari 1,264,000 baht atau RM161,195 mengikut kadar pertukaran semasa.

Pada bahagian luaran, Ranger StormTrak boleh dibezakan dengan Ranger WildTrak melalui sepasang lampu LED tiga poin pada bahagian depan, serta perincian Race Red pada bampar hadapan, logo StormTrak dan rim aloi berukuran 20 inci.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black.

Di dalam, anda akan menemui jahitan kontras berwarna Race Red dan logo StormTrak pada tempat duduk dan papan pemuka, kemasan Suede Miko dan tombol gear e-shifter.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk kluster instrumen digital berukuran 8.0 inci, skrin sentuh 12 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar dan Park Assist 2.0.

Naik taraf yang dibawakan oleh varian ini tidak terhad kepada aspek visual sahaja kerana terdapat juga beberapa ciri berguna yang disertakan.

Ini termasuk sistem rak fleksibel (seperti yang terdapat pada Ranger Platinum) dan rel bumbung dengan bar boleh ayun. Menurut Ford, rak tersebut boleh menampung muatan dengan berat sehingga 80 kg (dinamik) dan 250 kg (statik).

Selain itu, Ranger StormTrak juga didatangkan dengan sistem pencahayaan zon yang berfungsi untuk mencerahkan lagi sekeliling badan trak pikap ini.

Seperti WildTrak, varian baharu ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.0-liter BiTurbo dengan kuasa sebanyak 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacun empat roda.

Ranger StormTrak boleh ditempah secara eksklusif dalam talian, dengan hanya 200 unit ditawarkan untuk pasaran tempatan. Pelanggan yang membuat tempahan akan menerima jaket windbreaker eksklusif semasa sesi penyerahan kenderaan.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved