Arkib Tag: porsche taycan

Porsche Taycan Turbo GT jadi safety car bagi Formula E 2024

PORSCHE Taycan Turbo GT dipilih menjadi safety car (kereta keselamatan) bagi Formula E. Dua unit EV paling berkuasa Porsche itu akan membuat kemunculan umum pertama di perlumbaan Berlin pada 11 dan 12 Mei akan datang.

Thomas Laudenbach, Naib Presiden Porsche Motorsport berkata: “Kelestarian dan elektrifikasi adalah cukup penting bagi Porsche, dimana ia dizahirkan melalui aktiviti sukan permotoran kami – termasuk pemilihan Taycan Turbo GT sebagai safety car.

“Ini simbolik dari perkara yang kami belajar dari sukan permotoran untuk pelbagai kegunaan. Dalam Formula E, ianya sangat penting untuk kereta sports elektrik, sebagai contoh pengurusan tanaga.

“Ini satu lagi sebab kenapa Taycan ditambah baik dari pelbagai aspek baru-baru ini,” katanya.

Taycan Turbo GT baharu ini hadir dengan lebih kuasa dan jarak pemanduan selain boleh dicas dengan lebih pantas. Ia telah memecahkan beberapa rekod di litar Nurburgring dan Laguna Seca.

Dengan pakej Weissach, ia mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 2.2 saat, dan mencapai kelajuan maksima 305km/j.

Attack Mode pula menghamburkan sehingga 120kW kuasa tambahan. Ini merupakan teknologi dari Porsche 99X Electric, iaitu jentera Formula E yang memenangi kejuaraan terkini.

Untuk pertama kali, dua versi jentera EV ini akan memikul tugas safety car. Kereta pertama ialah Taycan Turbo GT dengan warna Purple Sky Metallic, manakala satu lagi dengan warna Shade Green Metallic.

Porsche Taycan 2025 dengan pengecasan lebih pantas, 0-96km/j 2.3 saat, sehingga 938hp

APABILA Porsche membuat facelift, ia bukan sekadar perubahan rupa luaran, tetapi juga komponen mekanikal. Begitu juga dengan Taycan 2025 ini, ia mungkin nampak tiada perubahan, tetapi ia sedan elektrik (EV) yang diperbaharui dalam banyak perkara.

Kita mulakan dengan angka-angka penting. Taycan Turbo S menjana sehingga 938hp dengan Launch Control, peningkatan berbanding 750hp sebelumnya.

Jangan harap Porsche mahu biarkan Tesla dan Lucid berseronok dalam liga sedan EV berkuasa tinggi. Dan hasilnya, Taycan baharu ini mampu memecut 0-96km/j dalam hanya 2.3 saat. Ini menjadikan Taycan model paling berkuasa pernah dihasilkan Porsche, lebih berkuasa dari 918 Spyder (887hp).

Kuasa dari motor belakang kini meningkat sebanyak 107hp, malah motor ini juga 20 pound lebih ringan. Model asas RWD dikatakan mempunyai kuasa sehingga 483hp.

Walaupun menekankan kuasa, Porsche tidak lupakan kecekapan dan jarak. Pek bateri baharu mempunyai campuran sel yang dikemas kini, pek Performance Battery Plus kini meningkat dari 93.4kWh kepada 105kWh. Model asas mendapat pek bateri 89kWh, dan kesemua bateri juga kini lebih ringan.

Dari segi penjanaan semula tenaga, Taycan baharu kini boleh menjana sehingga 400kW, menggunakan sistem regeneratif dan brek yang diperbaharui.

Sebagai tambahan, pengecasan Porsche Taycan baharu ini juga lebih pantas. Ia boleh dicas dengan kapasiti sehingga 320kW – berbanding 270kW sebelumnya. Hasilnya, bateri dari 10 hingga 80 peratus dapat dicapai dalam 18 minit sahaja.

Peningkatan lain termasuklah suspensi udara, suspensi aktif baharu Porsche Active Ride, papan pemuka diperbaharui, butang push-to-pass (model dengan Sport Chrono sahaja), dan pilihan kabin tanpa upholsteri kulit.

Porsche Taycan 2025 akan ditawarkan pada harga bermula USD101,395 (RM482,741) hingga USD213,695 (RM1.017 juta) untuk Turbo S Cross Turismo.

Thailand-Malaysia-Singapura dalam masa 29 jam sahaja dengan EV, Porsche cipta rekod

PORSCHE baru-baru ini mencipta rekod terpantas untuk pemanduan dari Thailand ke Singapura dengan memandu kereta elektrik (EV).

Rekod itu dicipta dengan Porsche Taycan yang dipandu oleh tiga wartawan permotoran; Pholpat Salayakanond (Thailand), Pan Eu Jin (Malaysia), dan Desmond Chan (Singapura). Mereka mengambil masa 29 jam 15 minit sahaja.

Semua pemandu mengambil tugas secara bergilir-gilir sepanjang 1,845km perjalanan. Mereka hanya berhenti beberapa kali untuk mengecas kenderaan di stesen Shell Recharge HPC.

Rangkaian ini mempunyai pengecas dengan kapasiti antara 180kW hingga 360kW. Digandingkan dengan bateri 800volt pada Taycan, setiap pengecasan mengambil masa tidak lebih dari 25 minit secara purata.

“Bersama dengan Porsche Singapore dan Porsche Thailand, kami berbangga dapat membuat pemanduan melepasi tiga negara yang pertama menggunakan EV. Ini membuktikan perjalanan mudah untuk jarak jauh dengan EV adalah tidak mustahil,” kata Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance.

Jentera yang digunakan untuk pemanduan rekod ini ialah Porsche Taycan 4S Cross Turismo yang telah disediakan khas. Ia mendapat ruang simpanan dan jarak kelegaan tanah tambahan.

Taycan 4S Cross Turismo ini juga menerima kemaskini perisian terkini pada 2022, dengan Performance Battery Plus, membolehkannya dipandu sehingga 512km setiap cas. Semua ini hasil pengurusan haba inovatif, de-coupling motor elektrik dan sistem pengurusan tenaga ditambah baik.

Kesemua pemandu memulakan perjalanan awal pagi dari stesen Shell Recharge di Bang Yai, di pinggir Bangkok. Selesai mengecas pada jam 4 pagi, mereka terus memandu menghala ke destinasi penamat di Singapura.

Sepanjang perjalanan, kereta mematuhi had laju supaya rekod kekal sah dan memastikan kecekapan bateri pada tahap optima.

Pemanduan sebegini cukup menarik dan kami teruja untuk melihat lebih banyak pengeluar menjalankan aktiviti serupa. Pada masa yang sama, stesen pengecasan juga boleh ditambah di lebih banyak lebuh raya seluruh negara.

Aehra Sedan sebuah konsep EV untuk saingi Porsche Taycan – 800hp, 800km

AEHRA iaitu sebuah syarikat baharu dari Itali yang memfokuskan EV ultra premium, telah mendedahkan perincian rekaan model kedua mereka, bernama Sedan.

Aehra Sedan akan menggunakan platform yang sama dengan SUV yang dipertontonkan tahun lepas. Kedua-dua model banyak berkongsi komponen dan elemen rekaan, tetapi sudah tentu Sedan menampilkan badan yang lebih rendah.

Rekabentuknya sangat licin dan beralun dengan pembuka pintu tersorok, rupa depan agresif, lampu nipis, dan mendapat aerodinamik aktif serta ciri penyejukan. Ia juga menampilkan pintu double-falcon yang dibuka ke atas. Terdapat juga cermin sisi jenis digital.

Aehra tidak cenderung berkongsi perincian powertrain buat masa ini, tetapi apa yang diketahui ialah ia bakal menggunakan bateri yang dibangunkan bersama Miba Battery Systems. Ini akan memberikan Aehra Sedan jarak pemanduan hampir 800km sekali cas.

Menurut laporan Autocar, sedan ini bakal dilengkapi konfigurasi tiga-motor, AWD, dengan output 800hp dari pek bateri 120kWh.

Aehra sebelum ini pernah mendedahkan Sedan itu menggunakan “bahan komposit sangat mapan, ringan dan maju”. Kami tidak pasti apa yang dimaksudkan, tetapi kami syak ianya bahan seperti gentian karbon dan plastik canggih.

Semua ini kedengaran hebat, kereta ini juga nampak cantik, tetapi adakah ianya benar-benar akan menjadi realiti?

Aehra berkata mereka mempunyai “dana swasta yang besar”, yang akan membolehkan mereka mula menjual Sedan dan SUV di Amerika Utara serta Eropah menjelang 2026. Harus diketahui ini adalah penangguhan setahun dari 2025 yang dicadangkan sebelum ini.

Harganya di beberapa pasaran utama akan berada hampir sama dengan harga Porsche Taycan, menjadikannya pesaing rapat sedan EV dari Jerman itu.

Bos Aehra, Filippo Perini yang pernah bekerja di Lamborghini berkata versi produksi Sedan akan sangat sama dengan gambar-gambar galeri yang anda lihat ini. Mari kita harapkan visi mereka menjadi realiti. Pasti menarik.

Lotus Type 133 akan jadi sedan prestasi selepas 30 tahun

Lotus Type 133 akan dilancarkan hujung tahun ini dan bakal menjadi sedan prestasi pertama mereka sejak Carlton yang diperkenalkan pada awal 1990-an. Jadi Lotus kembali ke segmen ini selepas kira-kira 30 tahun.

Gambar oleh: Autocar

Dengan panjang kira-kira lima meter, pesaing Porsche Taycan ini akan diposisikan sebagai model paling mewah dalam rangkaian Lotus. Type 133 kini dalam peringkat akhir pembangunannya. Prototaip ujian telah mula dilihat dengan camouflage manakala terdapat unit-unit yang telah dipasang di kilang Wuhan.

Type 133 menampilkan saiz serupa dengan Polestar 5, tetapi pengarah urusan Lotus, Matt Windle sebelum ini berkata walaupun terdapat perpindahan teknologi, Geely membenarkan jenama-jenama di bawahnya untuk membuat pembangunan secara bebas.

Ini bermakna Polestar 5 dan Lotus Type 133 tetap akan mempunyai perbezaan di aspek-aspek penting utama.

Gambar oleh: DrivingElectric

Dari imej-imej intipan, dapat dilihat Lotus Type 133 mempunyai penggayaan sleek dengan bumbung menurun ala coupe. Ia juga mendapat beberapa elemen rekaan dari Evija dan Eletre.

Lotus meletakkan fokus utama kepada pembangunan dinamik, memandangkan model ini akan berada dalam liga sama dengan Taycan dan Audi e-tron GT.

Type 133 akan didatangkan dengan teknologi casis sama dengan Eletre – termasuklah suspensi udara, stereng roda belakang, kawalan olengan aktif, aerodinamik aktif – tetapi dijuruterakan untuk profil yang sedikit berbeza.

Belum ada sebarang perincian teknikal didedahkan, tetapi ia dijangka mempunyai angka hampir serupa dengan Eletre. Ini bermakna model asasnya mungkin menawarkan kira-kira 602hp dari konfigurasi dwi-motor, sepadan dengan Taycan GTS.

Eletre varian tertinggi mempunyai motor di belakang yang lebih berkuasa, menjadikan output keseluruhannya 904hp.

Type 133 akan mengekalkan pek bateri 112kWh seperti Eletre, bermakna sedan sporti ini akan mendapat jarak pemanduan lebih 640km. Platform EPA ini juga membolehkan ia dicas pada kapasiti sehingga 420kW.

Mike Johnstone, wakil komersial Lotus memberitahu Autocar: “Jika anda lihat prestasi, kami akan berada di tempat yang bagus, dari segi pecutan dan pengendalian.”

Lotus sebenarnya belum mendedahkan nama rasmi sedan ini. Johnstone berkata ia akan mengikut tradisi Lotus dengan nama bermula huruf E. Ada laporan berkata ia akan dinamakan Envya, salah satu nama yang telah didaftarkan oleh Lotus.