Arkib Tag: NEV

BYD jadi pengeluar pertama pasang 6 juta PHEV dan EV

BYD mengumumkan bahawa ia telah berjaya mencipta pencapaian bersejarah apabila mengeluarkan kenderaan tenaga baharu (NEV) yang ke 6-juta pada 24 November lalu.

Pada Ogos lalu, gergasi automotif dari China itu mengumumkan bahawa pengeluaran kenderaan NEV-nya telah mencapai angka 5 juta. Ini bermakna mereka mengambil masa tiga bulan sahaja untuk menghasilkan satu juta unit kenderaan NEV.

Kenderaan yang ke 6-juta itu merupakan SUV hibrid dikenali sebagai Bao 5 dari sub-jenama BYD iaitu Fang Cheng Bao. Juga dikenali sebagai Leopard 5, ia boleh didapati dalam tiga versi pada harga bermula dari RMB 289,800 hingga RMB 352,800 (RM189,512 hingga RM230,711).

Selain Fang Cheng Bao, BYD mempunyai beberapa lagi sub jenama termasuk siri model Dynasty dan Ocean, Denza dan Yangwang. Pada Oktober lalu, syarikat itu mencipta rekod jualan bulanan dengan jualan NEV melebihi 300,000 unit.

Sejak 2010, BYD secara aktif mengembangkan kehadirannya di peringkat global menerusi pengenalan bas dan teksi NEV untuk mengelektrifikasi pengangkutan awam. Solusi pengangkutan awam elektrik BYD kini beroperasi di lebih 400 bandar di lebih 70 buah negara.

Bukan itu sahaja, BYD juga mengambil pendekatan eksport dan pengeluaran tempatan untuk terus memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran NEV peringkat global.

Buat masa ini, BYD telah memasuki 58 negara dan melepasi jualan terkumpul sebanyak 200,000 unit bagi kenderaan penumpang, dengan pencapaian luar biasa dalam pasaran NEV di Thailand, Brazil dan beberapa lokasi lain.

BYD juga merupakan antara peneraju kemajuan teknologi, dengan inovasi seperti bateri Blade, DM-i Super Hybrid System, e-Platform 3.0, teknologi Cell-to-Body (CTB), e4 Platform, BYD DiSus Intelligent Body Control System dan Dual Mod Off-Road Super Hybrid System.

BYD rasmikan kereta NEV ke-5 juta keluar kilang

BYD, sebuah pengeluar utama dunia dalam kategori kenderaan tenaga baharu dan bateri, baru sahaja mengeluarkan kenderaan NEV (new energy vehicle) yang ke-5 juta pada 9 Ogos lepas. Kenderaan itu merupakan Denza N7 dan pencapaian pengeluaran ini merupakan yang pertama di dunia.

Denza N7

“Hari ini merupakan satu pencapaian bersejarah bagi BYD dimana kenderaan NEV yang ke-5 juta keluar dari kilang pemasangan,” kata Wang Chuanfu, pengerusi dan presiden syarikat itu.

“Dalam upacara istimewa ini, kami ingin menyampaikan penghargaan kepada pelanggan kami seluruh dunia untuk kepercayaan mereka terhadap produk kami, kepada rakan kongsi dalam industri, dan kesemua pekerja kami yang bekerja keras dan berdedikasi memastikan kejayaan ini.”

BYD mengambil masa 13 tahun mencapai satu juta pertama pengeluaran NEV, 18 bulan kemudian untuk mencapai angka 3,000,000, dan dalam hanya sembilan bulan kemudian, mencapai angka 5,000,000.

Pada 2022, jualan NEV dary BYD meningkat mendadak, dengan jumlah keseluruhan melebihi 1.86 juta unit. Momentum itu diteruskan untuk 2023, dengan jualan 1.5 juta unit dari Januari hingga Julai.

Setakat ini, jualan keseluruhan BYD di perigkat global melebihi 4.8 juta unit, menunjukkan komitmen syarikat itu dalam solusi pengangkutan lestari.

BYD mula ditubuhkan pada 1995 sebagai pembuat bateri boleh dicas semula. Kini, mereka terlibat dalam pelbagai industri seperti automotif, transit rel, tenaga baharu, dan elektronik.

BYD mempunyai lebih 30 taman industri di China, Amerika Syarikat, Canada, Jepun, Brazil, Hungary, dan India.

Zeekr bakal hadir ke Malaysia di bawah rangkaian NxGV Proton

RASMI, jenama Zeekr bakal hadir ke Malaysia selepas ketibaan jenama smart. Perkembangan ini dilaporkan selepas YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melawat ke kilang Zeekr di Ningbo, China.

Zafrul juga disertai oleh delegasinya dari MITI, MIDA, Matrade, DRB-Hicom dan Proton. Ditubuhkan pada 2021, Zeekr ialah jenama kereta elektrik (EV) premium di bawah Geely Automobile Holdings.

Zeekr mengkhusus dalam EV dan beroperasi pada falsafah perusahaan berorientasikan pengguna, selaras dengan menjadi sebuah syarikat teknologi mobiliti pintar. Kilang Zeekr di Ningbo mengaplikasikan IR4.0 dan 5G dan melambangkan tahap kecekapan pembuatan tertinggi.

Semasa lawatan itu, Zafrul telah melawat fasiliti dan mengadakan perbincangan dengan Geely dan PROTON berhubung strategi New Energy Vehicle (NEV) dan teknologi pintar.

Gambar oleh: Facebook smart Malaysia

Beliau juga menyertai sesi pandu uji yang meliputi pelbagai model seperti kereta penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV), “lifestyle pick-ups” dan kenderaan komersial.

Lawatan ke Ningbo diadakan sehari selepas Forum Perniagaan Malaysia-China diadakan di Beijing untuk pemimpin-pemimpin perniagaan dari kedua-dua negara dan dihadiri oleh YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Acara itu menyaksikan pemeteraian dokumen Ketua Perjanjian (HOA) antara DRB-HICOM dan Geely yang memeterai komitmen mereka untuk bersama-sama melabur, mengurus dan membangunkan Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim sebagai bandar pintar dan hab untuk Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV).

Ia dianggarkan yang AHTV mampu menarik pelaburan bernilai sebanyak RM32 billion bagi 10 tahun yang akan datang.

Walaupun kereta berkuasa enjin pembakaran dalaman (ICE) kekal sebagai tunjang utama penawaran model Proton dalam beberapa tahun akan datang, syarikat itu juga telah menetapkan strategi NEVnya untuk masa terdekat.

Langkah pertama yang akan diambil ialah pelancaran Proton X90, tambahan terbaru kepada rangkaian SUV jenama yang dikuasakan oleh versi hibrid ringan enjin 1.5 TGDInya.

Ini akan diikuti dengan pengenalan pasaran smart #1 oleh PRO-NET di pasaran Malaysia pada suku keempat 2023.

Selepas lawatan menteri MITI, kini terdapat rancangan untuk memperluaskan rangkaian tawaran dan menyertakan segmen kenderaan yang baharu kepada Proton.

Chery, CATL jalin kerjasama bangunkan teknologi tenaga baharu

Chery Group menandatangani perjanjian rangka kerja kerjasama strategik dengan Contemporary Amperex Technology Co., Limited. (CATL), di mana kedua-dua pihak akan menjalankan kerjasama menyeluruh dalam bidang produk, perdagangan, promosi pasaran dan sumber maklumat komersial.

Selain pembekalan bateri dan kerjasama teknikal dalam bidang kenderaan penumpang, kedua-dua pihak berhasrat untuk meneroka bidang pengangkutan awam, integrasi teknologi EIC tenaga baharu dan pertukaran bateri untuk bas, kenderaan logistik, trak berat dan kapal elektrik.

Antara beberapa enjin baharu Chery yang sedang dibangunkan

CATL, pengeluar bateri litium-ion terbesar di dunia untuk EV, menumpukan pada penyelidikan, pembangunan, pengeluaran dan penjualan bateri traction dan sistem penyimpanan tenaga untuk kenderaan tenaga baharu (NEV), dan kekal komited untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi aplikasi tenaga baharu global.

Di peringkat global, syarikat tersebut telah membekalkan bateri traction kepada banyak pengeluar kenderaan terulung, dan telah menduduki tempat pertama selama lima tahun berturut-turut.

Enjin 2.0 TGDI Chery

Chery telah terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi tenaga baharu seawal 1999. Sepanjang dua dekad yang lalu, Chery telah membangunkan sistem R&D holistik teknologi tenaga baharu, termasuk integrasi kenderaan, teknologi teras dan keupayaan pembangunan komponen teras.

Syarikat itu telah mencatat kemajuan penting dalam bidang teras seperti teknologi EIC dan teknologi ringan. Ia telah memohon lebih 900 paten tenaga baharu dan memperoleh lebih 600 paten setakat ini, menduduki tempat pertama di kalangan perusahaan kenderaan China, dan ketiga di peringkat global.

Chery telah membentuk pelan pembangunan teknologi ‘457’ yang melibatkan empat platform trenkuasa kenderaan, lima subsistem umum dan tujuh teknologi teras, meliputi sedan dari segmen A hingga C dan SUV dari segmen B hingga D, merangkumi kuasa elektrik, hibrid, extended-range, sel bahan api dan teknologi tenaga baharu yang lain.

Chery Tiggo 8 Pro e+

Dari segi teknologi hibrid, Chery telah berjaya membangunkan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) fungsi penuh pertama di dunia, menerajui pembangunan teknologi hibrid di dunia dengan kelebihan unik ‘3 enjin, 3 gear, 9 mod operasi dan 11 kelajuan’.

Dalam bidang tenaga baharu pula, Chery telah menjual lebih 210,000 kenderaan tenaga baharu (+182% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya) dalam tempoh 10 bulan pertama 2022.

Proton hantar 16 kakitangan ikuti latihan NEV di Institut Penyeledikan Geely

SERAMAI 16 kakitangan Proton telah berlepas ke Hangzhou, China pada 10 Disember lalu untuk menyertai latihan selama enam bulan bagi mempelajari tentang kenderaan tenaga baharu (NEV).

Mereka ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo dan dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu yang akan diperkenalkan secara beransur-ansur oleh Proton.

Merupakan kakitangan pertama yang menjalani latihan NEV, ahli-ahli rombongan itu terdiri daripada pekerja industri berpengalaman dan jurutera muda yang lulus dari Program Bakat Muda Proton.

Lebih ramai kakitangan akan dihantar ke China pada masa depan memandangkan Proton memerlukan pengetahuan teknikal daripada Geely untuk membangunkan rangkaian NEV-nya sendiri.

Menurut Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, usaha ini merupakan salah satu matlamat perkongsian antara Proton dan Geely yang termeterai pada 2017.

“Matlamat itu berjaya dicapai dan kini, kami memanfaatkan pengalaman global kumpulan dalam NEV untuk memberi rangsangan kepada jadual masa pembangunan model kami sendiri,” katanya.

Tambah Dr Li lagi, Proton merancang untuk memulakan program ini lebih awal tetapi ia telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

smart #1

Selain daripada melatih pekerja dalam pelbagai aspek NEV, latihan kerja di China akan membantu dalam menentukan spesifikasi akhir untuk produk seperti smart #1. Ia merupakan EV pertama yang akan dijual oleh PRO-NET dan akan tiba ke pasaran pada suku keempat 2023.

Oleh kerana corak penggunaan dan tingkah laku pengguna berbeza dari negara ke negara, maklum balas daripada kakitangan Proton adalah penting untuk memastikan ia memenuhi keperluan pembeli Malaysia.

Memandang lebih jauh ke hadapan, program latihan ini akan membantu mengukuhkan usaha Kerjasama apabila kakitangan Proton terlibat dalam pelbagai bidang lebih awal dalam proses pembangunan untuk memperhalusi tawaran yang akan datang demi mencapai jangkaan pasaran tempatan.

Matlamat utama bagaimanapun adalah untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran baharu yang akan membantu mengemudi hala tuju masa depan syarikat untuk tahun-tahun akan datang.

PRO-NET, Gentari jalin kerjasama – 20 pengecas DC akan dibina pada 2023

PROTON New Energy Technology (PRO-NET), anak syarikat Proton yang mengendalikan kenderaan tenaga baharu bertukar dokumen perjajnjian dengan Gentari Sdn. Bhd., anak syarikat Petronas, di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM).

Susulan perjanjian pengedaran am yang ditandatangani dengan smart pada bulan Ogos dan pembentukan PRO-NET pada bulan September, pertukaran dokumen dengan Gentari adalah langkah seterusnya yang diambil oleh Proton bagi usaha memasuki dan menyumbang kepada ekosistem dalam ruang EV dan NEV negara.

Pelan awal adalah untuk membina 20 pengecas DC pada tahun 2023 di mana PRO-NET akan bertanggungjawab untuk menyediakan lokasi pengecasan dan kemudahan kuasa. Gentari pula akan bertanggungjawab dalam menyediakan infrastruktur pengecasan dan penyelesaian pengendali.

Selain daripada pembangunan infrastruktur pengecasan, Proton bekerjasama dengan smart, melalui anak syarikatnya, untuk memastikan tawaran EV mereka sepadan dengan profil penggunaan pembeli EV di Malaysia.

Pengeluar kereta nasional itu juga melabur dalam mengembangkan pengetahuannya dalam bidang NEV dengan menghantar 16 jurutera ke China selama enam bulan untuk dilatih dalam semua aspek bidang tersebut.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata pertukaran dokumen itu merupakan sebahagian daripada langkah Proton ke pasaran NEV. Ia juga membuka peluang untuk bekerjsama dengan Petronas untuk menyumbang kepada pembinaan infrastruktur pengecasan di Malaysia.

“Ini adalah langkah penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan menjadi pusat serantau bagi NEV,” kata beliau.

“Menangani keperluan pelanggan EV dan NEV di Malaysia memerlukan penyertaan banyak pihak dan kerjasama antara pemain industri automotif. Ini adalah benar terutamanya berkaitan dengan infrastruktur pengecasan yang memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara dan PRO-NET akan menawarkan penyelesaian pengecasan yang komprehensif kepada pelanggan.

“Kami juga menjangka pelanggan NEV mempunyai faktor pendorong yang berbeza berbanding dengan pembeli kereta tradisional. Oleh itu, kami mahu mencipta pengalaman baharu yang memenuhi keperluan mereka. Justeru, PRO-NET akan merekrut pengedar baharu secara aktif dan mengalu-alukan cadangan inovatif untuk pengalaman jenama dan transaksi,” tambah Roslan.