BYD jual 4.27 juta kenderaan pada 2024, naik 41.3% berbanding 2023
![](https://engear.tv/wp-content/uploads/2021/02/20220119_KIA0618-90x90.jpg)
![BYD SEALION 7 2025 (4)](https://engear.tv/wp-content/uploads/2024/11/BYD-SEALION-7-2025-4.jpg)
BYD menutup tirai 2024 dengan cemerlang apabila ia buat pertama kalinya berjaya menjual lebih 4 juta unit kenderaan dalam tempoh setahun.
Menurut syarikat itu, sebanyak 514,809 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) dijual pada Disember lalu, menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi tahun 2024 mencecah 4,272,145 unit, naik 41.3% berbanding 3 juta unit yang direkodkan pada 2023.
Daripada jumlah tersebut, 1,764,992 unit merupakan kenderaan elektrik bateri (BEV) penumpang, 2,485,378 unit merupakan kenderaan plug-in hybrid (PHEV), manakala selebihnya iaitu 21,775 unit adalah kenderaan komersial.
Jika dibandingkan dengan prestasi 2023, jualan BEV bagi 2024 meningkat 12% dari 1.6 juta unit, manakala jualan PHEV naik 72.8% dari 1.4 juta. BEV mewakili 41.5% daripada jumlah jualan keseluruhan BYD tahun lalu, manakala PHEV mewakili 58.5%.
Pasaran eksport BYD turut menyaksikan pertumbuhan menggalakkan dengan 57,154 unit dijual pada Disember, naik 58% berbanding bulan sama tahun sebelumnya. Ini melonjakkan jumlah keseluruhan kenderaan dieksport bagi tahun 2024 kepada 417,204 unit, iaitu 71.9% lebih tinggi berbanding 2023.
Selain menghasilkan kenderaan, BYD juga merupakan pembekal bateri kedua terbesar di China. Antara pelanggan BYD termasuk nama-nama besar seperti Tesla, Toyota dan Nio.
Secara keseluruhan, syarikat itu memasang 23.5 GWh kapasiti bateri pada Disember (32% lebih tinggi berbanding 2023) atau 194.7 GWh sepanjang 2024 (naik 29% berbanding 2023). Ini termasuk bateri yang dipasang pada EV dan unit storan tenaga pegun.
![](https://engear.tv/wp-content/uploads/2021/02/20220119_KIA0618-180x180.jpg)
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.