Arkib Tag: michelin

Tayar basikal Michelin dilancarkan untuk pasaran Malaysia, harga dari RM105-RM315

MICHELIN Malaysia baru-baru ini melancarkan rangkaian tayar basikal premium untuk pasaran Malaysia.

Menerusi kerjasama dengan rakan pengedar tempatannya yang dikenali ramai, Cyclistic Malaysia, syarikat tayar itu berhasrat untuk merevolusi pengalaman penunggang basikal di negara ini.

Rangkaian tayar basikal Michelin merangkumi produk-produk seperti berikut:

  • Michelin Power Cup Competition Line – sesuai untuk sesi perlumbaan dan latihan dengan prestasi yang diilhamkan oleh teknologi MotoGP. Ia ringan dan lasak, dan mempunyai teknologi Aramid Shield dan selongsong 3×120 TPI. Paduan Michelin Gum-X juga menjamin pengendalian dan kestabilan yang efisien dalam kondisi basah dan kering.
  • Michelin Wild Enduro Front Racing Line – Dirumus untuk penunggang menguasai semua jenis permukaan. Ia dikhaskan untuk dipasang di roda hadapan, tapi juga boleh dimuatkan di roda belakang untuk menambah cengkaman. Kombinasi antara bunga tayar, Magi-X DH dan Down Hill Shield memberikan cengkaman maksimum dan anti-kebocoran untuk pengendalian yang baik walaupun dengan tekanan angin rendah.
  • Michelin Wild Am Performance Line – Diperkuatkan dengan Bead To Bead Protection dan mempunyai bunga tayar yang direka khusus untuk meningkatkan cengkaman terutamanya di hadapan. Selongsong Trail Shield menjamin tahap keselamatan dan prestasi berpanjangan dengan struktur binaan 4×60 TPI.

Tayar basikal Michelin di tujuh outlet Cyclistic dan lokasi-lokasi pengedar di sekitar kawasan Lembah Klang. Mulai 1 Disember 2023, pelanggan boleh mendapatkan produk tayar Michelin di outlet utama Cyclistic di Taman Shamelin Perkasa, Cheras.

Harga runcit yang disarankan bagi tayar-tayar basikal Michelin bermula dari RM240 hingga RM315 untuk tayar Power Cup Competition Line dan RM105 hingga RM290 untuk Wild Enduro Front Racing Line Wild Am Performance Line.

Michelin rangkul anugerah AutomotiveInnovations Award 2023 dengan tayar 45% bahan lestari

MICHELIN telah merangkul anugerah AutomotiveINNOVATIONS Award 2023 di Frankfurt pada 13 Julai lepas bagi kategori Chassi, Car Body & Exterior. Ini disebabkan tayar kereta dengan kandungan 45 peratus bahan lestari (mesra alam).

Anugerah ini telah disampaikan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Center of Automotive Management (CAM) yang — selama sedekad — telah menjalankan kajian bersama para pengusaha dan pembekal bagi mengenal pasti inovasi-inovasi yang penting dalam industri automobil.

Untuk acara penganugerahan tersebut, panel juri dianggotai oleh individu-individu yang berpengalaman dalam industri ini, termasuk dari dunia sains, perundingan, dan media khas.

Strategi bahan lestari Michelin adalah unik dari segi standard yang tinggi, skop, dimensi kerjasama, dan pendekatan komprehensif sepanjang kitar hayat produknya.

Bagi Michelin, ia melihat bahan-bahan lestari sebagai bahan yang dikitar semula atau boleh diperbaharui sepanjang skala hayat manusia.

Michelin bermatlamat mengerahkan strategi bahan lestarinya merentasi seluruh produk, tidak terhad kepada satu-satu produk ataupun sesetengah rangkaian produk sahaja.

Pelaksanaan ini memerlukan transformasi yang ekstensif melibatkan pelbagai kaedah, alatan, serta proses industri.

Dari sudut yang lebih umum, kajian dan pembangunan serta cabaran yang wujud dalam industri ini akan memerlukan kelahiran sektor-sektor dan rantaian nilai yang baharu.

Diperkenalkan pada 2022, tayar-tayar dengan kandungan 45 peratus bahan lestari ini memanfaatkan pelbagai teknologi yang akan dimuatkan di dalam tayar-tayar yang standard pada tahun 2025.

Ia membolehkan Michelin mara ke arah pembangunan berskala besar melibatkan bahan-bahan lestari yang baharu.

Michelin PS5 bukti tayar lebih tahan, tapi prestasi boleh dikekalkan

DALAM penghasilan tayar, anda harus berkompromi antara prestasi dan ketahanan. Anda mahu tayar berprestasi tinggi, gunakan kompaun lebih lembut, maka ia akan cepat habis. Dan begitulah sebaliknya.

Namun, Michelin membuktikan mereka mampu menambah ketahanan tayar tetapi masih mengekalkan prestasi tinggi tayar itu. Sudah tentulah dengan penggunaan teknologi.

Jadi, baru-baru ini mereka telah menganjurkan acara Michelin Brand Experience 2023 di Litar Antarabangsa Sepang dan kami para pengamal media telah dijemput merasai sendiri prestasi dan teknologi yang ditawarkan oleh produk terbaharu mereka.

Dua tayar yang diuji dalam sesi ini adalah Michelin Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+.

Michelin PS5 – Performance Made to Last

Performance made to last, atau prestasi yang direka tahan lama. Jadi dengan kereta rasmi Mercedes-Benz pelbagai model (C300, E200, A-Class dan GLA-Class) serta tayar Michelin PS5 baharu, kami dibawakan untuk beberapa aktiviti dan eksesais.

Aktiviti-aktiviti ini direka untuk menonjolkan ciri dan prestasi yang ditawarkan oleh PS5. Antara aktiviti tersebut adalah gymkhana course dimana terdapat slalom, pusingan-U, pecutan, dan brek sambil menukar lorong.

Di sini kami memandu Mercedes E200 yang dipasang dengan tayar Michelin PS5 dan tayar pesaing. Di slalom, jelas terasa respon PS5 lebih tangkas dan tepat. Malah di ujian brek kecemasan sambil menukar lorong juga jelas PS5 membrek dengan jarak lebih pendek setiap kali.

Aktiviti kedua ialah brek di permukaan basah. Di sini, kami membrek dengan tayar keadaan baharu dan botak, untuk Michelin PS5 dan tayar pesaing. Jadi ada empat pusingan kesemuanya, menggunakan model-model Mercedes A-Class sedan dan GLA.

Anda boleh lihat sendiri keputusan dalam gambar di bawah, iaitu purata dari data-data yang dikutip dari setiap pemandu iaitu para media.

Secara kesimpulan, Michelin PS5 membrek dengan jarak lebih pendek di permukaan basah berbanding tayar pesaingnya. Lebih mengagumkan lagi, PS5 dengan keadaan baharu dan botak adalah lebih konsisten jaraknya, berbanding tayar pesaing yang memerlukan jarak lebih ketara jauhnya berbanding dalam keadaan baharu.

Aktiviti terakhir bagi Michelin PS5 ialah sesi ujian di litar, dengan memandu C300 di North Circuit. Di kawasan seperti Turn 2, dapat dirasakan PS5 lebih tangkas menukar arah dimana pemandu perlu ‘membalas’ cepat dari selekoh kanan masuk ke kiri.

Kemudian di Turn 5 dan Turn 6 yang merupakan selekoh S berkelajuan tinggi, dirasakan Michelin PS5 memberikan lebih kestabilan dan ‘feel’, berbeza dengan tayar pesaingnya yang terasa ‘lembut’ bila diasak di selekoh pada kelajuan tinggi beberapa saat.

Michelin Primacy SUV+

Para media juga dijemput merasai sendiri tayar Michelin Primacy SUV+ untuk dibandingkan dengan tayar pesaing. Untuk ini, kami memandu Toyota Fortuner di jalan raya sekitar kawasan luar Litar Sepang, dimana ianya merupakan jalan awam dengan permukaan sebenar.

Sebaik masuk ke dalam Toyota Fortuner yang dipasang dengan Primacy SUV+, terus jelas terasa beza kesenyapan kabin, walaupun baru mula memandu pada kelajuan perlahan. Perbezaan ini cukup ketara dan dipersetujui oleh juruvideo kami.

Ini juga dibuktikan apabila kadar bunyi direkodkan oleh alat khas, dimana Michelin Primacy SUV+ merekodkan bacaan lebih rendah berbanding tayar pesaing walaupun dipandu pada jalan yang sama dan kelajuan yang sama.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana berkongsi: “Menerusi acara Michelin Brand Experience 2023, kami ingin menonjolkan dua komponen yang menunjangi DNA Michelin – inovasi dan kelestarian, seperti yang dicerminkan oleh produk-produk tayar baharu kami, Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ yang hadir dengan jangka hayat serta prestasi maksimum.”

“Sesungguhnya, nilai-nilai teras Michelin yang membezakan jenama ini dalam industri tayar global, sedang kami menujukan untuk meminimumkan impak ke atas planet ini dan memaksimumkan nilai buat para pelanggan menerusi setiap produk, perkhidmatan dan inisiatif yang kami tawarkan,” ujar Dangrojana.

Michelin jemput peserta Malaysia bersaing dalam e-race, hadiah bernilai lebih RM18,000

MICHELIN, pengeluar tayar terkemuka di dunia menjemput para peminat permainan video lumba kereta bagi merebut peluang untuk mewakili Malaysia di Michelin Asia Cup Powered by Gran Turismo.

Acara e-lumba tahunan ini akan menyaksikan para ‘gamer’ dari Malaysia bertanding dengan peserta-peserta lain dari Thailand, Indonesia, dan Australia untuk menjulang piala ini.

Michelin Passion Exeprience (MPE) yang pernah diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Hadiah utama berupa pakej perjalanan ke Michelin Passion Experience (MPE) yang bakal diadakan pada tahun ini di Litar Yas Marina yang terletak di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, ditanggung sepenuhnya.

Naib johan pula akan membawa pulang satu set tayar Michelin manakala pemenang tempat ketiga akan dihadiahkan kad bahan api bernilai lebih daripada RM1,500.

Pendaftaran bagi pusingan kelayakan akan dibuka mulai hari ini sehingga 8 Julai 2022. Setiap seorang daripada 500 peserta berdaftar yang pertama di Malaysia juga akan dihadiahkan barangan Michelin yang eksklusif.

Michelin Asia Cup Powered by Gran Turismo merupakan sebuah pertandingan e-lumba yang akan menggunakan platform Gran Turismo di PlayStation 4 dalam mod Sport.

Peserta berdaftar dikehendaki untuk menghantar catatan masa terbaik mereka bagi pusingan kelayakan dari 11 hingga 15 Julai 2022.

Enam peserta dengan catatan masa terbaik akan diumumkan pada tarikh 20 Julai 2022 untuk mewakili Malaysia dalam pusingan Separuh Akhir lalu berlumba dengan enam wakil peserta terbaik dari tiga lagi negara lain yang mengambil bahagian.

Sejumlah 24 peserta dalam pusingan separuh akhir (enam pemain dari setiap negara: Thailand, Malaysia, Indonesia, dan Australia) akan dibahagikan kepada dua kumpulan, setiap satu akan terdiri daripada 12 pemain.

Enam pemain terpantas dalam setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir, yang akan disiarkan secara langsung pada 26 Ogos 2022 bermula jam 8 malam (Malaysia), melalui akaun Facebook rasmi Michelin Malaysia berserta saluran-saluran media sosialnya yang lain.

Tiga peserta di tangga teratas akan diumumkan secara rasmi pada tanggal 30 Ogos 2022.

Adalah dimaklumkan bahawa pemenang hadiah utama haruslah memiliki lesen memandu atau lesen perlumbaan yang masih sah sehingga selewat-lewatnya 9 September 2022 untuk memiliki kelayakan dalam tuntutan hadiah berkenaan.

Untuk mengambil bahagian dalam Michelin Asia Cup Powered by Gran Turismo, sila daftarkan diri anda di https://gperacing.com/michelin/ mulai hari ini sehingga 8 Julai 2022.

Michelin Pilot Sport 5 kini di Malaysia, harga dari RM700 hingga RM1,900 seunit

MICHELIN hari ini melancarkan Pilot Sport 5 (PS5) untuk pasaran Malaysia. Tayar berprestasi tinggi itu menggantikan PS4 sebelumnya dan disasarkan kepada peminat kereta sports dan sedan prestasi.

Michelin Malaysia berkongsi tiga manfaat utama tayar terbaharu mereka ini, iaitu:

1. Tahap cengkaman tayar yang tahan lama

Dengan teknologi Dual Sport Tread Design, Michelin PS5 ini menampilkan rekaan dua bunga berbeza yang diambil dari pengalaman mereka dalam sukan perlumbaan.

Bahagian dalam mendapat alur lebih besar untuk cengkaman jalan basah manakala bahagian luaran dibina dengan blok keras untuk cengkaman permukaan kering.

2. Pemanduan sporti untuk jangka hayat lebih lama

Dengan teknologi Dynamic Response dan MaxTouch Construction, tayar ini menjanjikan tindakbalas lebih baik dan jangka hayat lebih lama walaupun melalui pelbagai keadaan seperti memecut, membrek dan mengambil selekoh.

3. Menampakkan gaya

Premium Touch Sidewall pastinya memberikan penampilan cukup sporti untuk tayar ini. Selain itu, Wear2Check pula memastikan anda dapat memeriksa keadaan bunga tayar dengan mudah bagi memastikan prestasinya sentiasa dalam keadaan optima.

Michelin Pilot Sport 5 boleh didapat dalam 26 dimensi berbeza dengan saiz antara 17- hingga 19-inci di negara ini. Harga adalah bermula pada RM700 hingga RM1,900 sebiji.

Menurut Michelin Malaysia, 21 lagi dimensi tambahan untuk saiz 17- hingga 21-inci akan didapati menjelang hujung tahun ini.

Masalah logistik angkara Rusia – Ukraine, Michelin tutup kilang di Eropah

MICHELIN Group bakal menghentikan pengeluaran di beberapa kilang seluruh Eropah susulan masalah logistik dan pengangkutan.

Memetik laporan The Wall Street Journal, masalah berpunca daripada krisis Rusia – Ukraine yang masih belum menunjukkan tanda bakal reda.

Syarikat pengeluar tayar terkemuka dunia itu setakat ini masih belum mengumumkan tempoh pemberhentian pengeluaran terbabit.

Krisis Rusia – Ukraine telah menyaksikan banyak syarikat terkesan termasuk beberapa jenama besar automotif seperti Mitsubishi, Toyota dan banyak lagi.

Terdahulu,   berjanji akan terus memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan dan cuba mengurangkan kesan negatif terhadap mutu pemgeluarannya.

Sementara itu, pihak syarikat juga berjanji tidak mengabaikan kebajikan pekerja yang terjejas selain mengikut peraturan tempatan.

Sebelum ini, krisis Rusia – Ukraine memberi impak besar kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga bahan api mentah.

Hal ini memberi kebimbangan kepada seluruh masyrakat dunia termasuk di Malaysia yang bimbang berlaku kenaikan harga barang.

­­­­­Michelin Pilot Sport 5 diperkenal dengan beberapa teknologi baharu

MICHELIN telah melancarkan tayar baharu iaitu Michelin Pilot Sport 5 khas bagi kegunaan kenderaan berprestasi tinggi.

Tayar generasi baru ini menggunakan Dynamic Response Technology yang mana ia terdiri daripada gabungan antara Aramid Fibre dan lapisan Nylon.

Pembuat tayar dari Perancis itu memperkenalkan MaxTouch Construction Technology yang mampu memberikan jangka hayat yang lebih panjang bagi setiap penggunaan. Teknologi ini mampu mengimbangi daya pecutan, membrek mahupun ketika mengambil selekoh tajam.

Apa yang menarik, Michelin juga memperkenalkan Dual Sport Tread Design Technology yang mana tayar ini mempunyai dua jenis bunga tayar bagi memberikan kawalan serta cengkaman yang maksima ketika keadaan jalan basah mahupun kering.

Di sebelah dalam, tayar ini mempunyai bunga dengan alur yang besar bagi memberikan lebih kawalan ketika jalan basah. Sementara itu di sebelah luar, bunga tayar lebih keras bagi memberikan lebih cengkaman ketika kering.

Premium Touch Sidewall Design dari Michelin memberikan gaya serta rupa yang lebih kemas sepadan dengan penggunaan di kereta berprestasi tinggi.

Apa yang lebih menarik, Pilot Sport 5 ini didatangi dengan Wear2Check Indicator bagi memudahkan para pengguna memantau tahap penggunaan bunga tayar.

Menurut Michelin, tayar ini mempunyai varian saiz dari 17- hingga 21-inci dengan 50 jenis spesifikasi yang berlainan. Ia dikhabarkan bakal berada di pasaran pada awal Mac 2022.

Michelin LTX Trail pilihan terbaharu untuk SUV dan trak pikap

MICHELIN telah memperkenalkan LTX Trail yang dirumus khas untuk trak pikap tinggi dan SUV bagi kegunaan jalan raya atau off-road.

Tayar ini – menurut Michelin – menawarkan jangka hayat lebih panjang dan prestasi membrek di permukaan basah cemerlang serta rekaan bunga yang menawarkan kesenyapan kabin.

Oliver Biggart, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei berkata: “Michelin LTX Trail baharu merupakan tayar yang tepat bagi SUV yang semakin meraih populariti, pasarannya juga diunjurkan bakal berkembang sebanyak 5.6 peratus dari tahun ke tahun, iaitu dari 2021 hingga 2026.

“Sempurna bagi pengguna yang memiliki pikap tinggi 4×2 dan 4×4, serta SUV seperti Toyota Hilux, Toyota Fortuner, dan Nissan Navara, tayar ini juga sesuai bagi mereka yang perlu bergerak dari jalan raya biasa ke luar jalan raya atas tujuan kerja mahupun riadah.”

Michelin LTX Trail menampilkan 3 kelebihan utama:

Perbatuan sehingga 41 peratus lebih tinggi: RallyForce2 Tread Compound membekalkan daya tahan yang lebih cemerlang serta hayat servis yang maksimum bagi kegunaan di atas dan di luar jalan raya.

Keselamatan jangka panjang: Variable Thickness Sipes memberikan tapak temu (contact patch) yang dinaik taraf demi prestasi pengendalian, cengkaman, dan pembrekan yang lebih baik walaupun mengalami kehausan.

Tahap kesenyapan sehingga 19.8 peratus lebih baik: Duo-Harmony Blocks menyebarkan tenaga bunyi corak bunga merentasi spektrum yang lebih luas, lantas membekalkan pengalaman pemanduan yang lebih senyap dan menenangkan.

Untuk pasaran Malaysia, Michelin LTX Trail ditawarkan dengan sembilan saiz dengan dimensi rim 15- hingga 18-inci.

Michelin X Multi T tayar lori untuk jangka hayat lebih panjang, pengendalian lebih stabil

MICHELIN telah melancarkan X Multi T2, iaitu tayar terbaharu untuk trak dan lori, disasarkan kepada syarikat yang membekalkan perkhidmatan pengangkutan.

Tayar ini menurut Michelin mempunyai jangka hayat panjang, justeru kadar penggantiannya dapat diminimumkan. Ia juga lebih ringan kerana pengurangan dalam jumlah bahan yang digunakan – menjadikannya lebih mesra alam.

Untuk memenuhi kriteria ini, Michelin X Multi T2 telah memperkukuhkan lapisan ‘crown plies’ yang meningkatkan daya tahan tayar tersebut sebanyak 26 peratus terhadap pelbagai jenis bahaya di jalan raya.

Teknologi Michelin Regenion turut membekalkan kos perbatuan lebih rendah, jangka hayat lebih panjang (hingga 15 peratus) serta cengkaman lebih baik dalam apa jua cuaca.

Dengan reka bentuk bunga tayar yang baharu, Michelin X Multi T2 kini mempunyai ciri ketegaran yang lebih tinggi ketika membelok, dengan penambahbaikan sebanyak 10 peratus dari segi kestabilan, menjanjikan pemanduan lebih selamat.

Akhir sekali, formulasi campuran getah baharu yang digunakan dalam tayar ini menawarkan penambahbaikan hingga 10 peratus dari segi perlindungan terhadap penggunaan agresif.

Bersifat mesra alam serta lebih lasak, tayar Michelin X Multi T2 menggunakan jumlah bahan yang lebih rendah.

Justeru, beratnya dapat dikurangkan sebanyak 1.7kg berbanding produk terdahulu selain turut menawarkan kecekapan tenaga lebih tinggi, seterusnya mengurangkan pelepasan CO2.

Pengarah Komersial B2B Michelin Malaysia, Timothy Mitchell mengulas, “Tayar baharu ini merupakan solusi yang ideal bagi para klien kami, ia menjamin keselamatan pemandu dan barangan yang diangkut, selain mengoptimumkan kos dan produktiviti.”

X Multi T2 kini disediakan dalam dimensi 11R22.5 di semua pusat pengedaran tayar trak dan treler Michelin yang bertauliah di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.michelin.com.my.