Arkib Tag: lewis hamilton

RASMI: Lewis Hamilton berpindah ke Ferrari untuk F1 2025

BAIK, ini sudah rasmi. Lanjutan dari berita ura-ura kami sebelum ini, kali ini segalanya sudah sah. Lewis Hamilton akan berpindah dari Mercedes-AMG Petronas ke Scuderia Ferrari.

Menurut Hamilton, ianya “salah satu keputusan paling sukar pernah saya buat”. Dengan ini, maka redalah spekulasi yang tular beberapa hari ini.

Mercedes menjadi pihak pertama mengumumkan perpindahan mengejut Hamilton ini. Boss Toto Wolff berkata: “Dari segi padanan pemandu pasukan, hubungan kami menjadi antara paling berjaya dalam sukan ini.

“Ianya sesuatu yang kami boleh lihat dengan penuh bangga; Lewis akan sentiasa menjadi bahagian penting dalam sejarah sukan permotoran Mercedes.”

“Walaubagaimanapun, kami telah mengetahui kerjasama kami akan berakhir juga, dan harinya telah tiba. Kami terima keputusan Lewis untuk mencari cabaran baharu, dan peluang masa depan kami tetap mengujakan,” tambahnya.

Hamilton berkata, “Saya telah mendapat 11 tahun yang menakjubkan dengan pasukan ini dan sangat berbangga dengan apa yang kami kecapi.

“Mercedes telah menjadi sebahagian dari hidup saya sejak saya berumur 13 tahun. Ianya tempat dimana saya membesar, jadi membuat keputusan meninggalkan (Mercedes) merupakan salah satu keputusan paling sukar pernah saya buat,” kata pemandu berusia 39 tahun itu.

Gambar oleh: PlanetF1

Sementara itu, Ferrari pula membuat respon ringkas mengesahkan perjanjian “beberapa tahun” dengan Hamilton bermula 2025.

Beliau akan berganding dengan Charles Lecrec, pemandu nombor satu Scuderia yang juga menandatangani lanjutan kontrak minggu lepas.

Jadi, siapa yang akan menggantikan tempat Hamilton di Mercedes? Menurut laporan media antarabangsa, Carlos Sainz Jr akan mengambil tempat pemandu Britain itu.

Carlos Sainz yang kini bersama Ferrari akan berpisah pada penghujung 2024.

Lewis Hamilton telah mencipta kerjasama cukup berjaya dengan Mercedes dimana beliau memperoleh tujuh kali gelaran juara dunia – satu di McLaren, enam lagi dengan pasukan ini.

Lewis Hamilton bakal pindah ke Ferrari dalam F1 2025?

BANYAK pula berita Formula Satu (F1) kebelakangan ini. Selepas ura-ura Petronas mahu bawa F1 kembali ke Sepang, kini Lewis Hamilton pula dikatakan bakal memandu untuk pasukan Ferrari tahun depan.

Juara dunia tujuh kali itu dilaporkan bersetuju untuk berpindah dari Mercedes-AMG Petronas ke Scuderia Ferrari untuk musim 2025. Berita ini telah disiarkan oleh beberapa rangkaian berita utama seperti Autosport dan PlanetF1.

Hamilton yang akan berumur 40 tahun menjelang 2025, dijangka berganding dengan Charles Lecrec yang juga baru sahaja menandatangai kontrak dengan Ferrari minggu lepas.

Hamilton masih mempunyai kontrak dengan Mercedes sehingga hujung 2025, tetapi rupanya tahun kedua kontrak itu hanyalah pilihan untuk diambil oleh beliau.

Setakat ini, masih belum disahkan sama ada Hamilton benar-benar telah menandatangani kontrak dengan gergasi Itali itu. Ferrari dan Mercedes pula masing-masing menolak untuk memberikan sebarang komen berkenaan perkembangan ini.

BBC Sport mula melaporkan bahawa mereka telah mengesahkan perpindahan itu sebagai suatu “kemungkinan besar”.

Hamilton mendominasi sukan F1 bersama Mercedes dalam era turbo hibrid, merangkul enam dari tujuh kejuaraan dan lapan takta pengeluar bersama pasukan itu.

Berita perpindahan Hamilton ini juga telah menjadi sensasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sama-sama kita nantikan, dan kami juga akan melaporkan sebaik sahaja kami mendapat perkembangan terkini berkenaan hal ini.

Pagani Zonda 760 LH Lewis Hamilton terlibat kemalangan lagi

PEMINAT tegar Lewis Hamilton pastinya tahu bahawa pelumba kesayangan mereka itu pernah memiliki sebuah Pagani Zonda 760 LH sekitar tahun 2014.

Walaupun dibina mengikut spesifikasi dan citarasanya, Hamilton pernah berkata bahawa dia tidak begitu menyukai cara pemanduan hypercar dengan enjin V12 itu. Akhirnya pada 2021, ia dijual kepada seorang pembeli dari United Kingdom pada harga sekitar 8.5 juta pound (RM50.2 juta).

Baru-baru ini, jentera itu terlibat dalam sebuah kemalangan yang dikatakan berlaku di sebuah terowong di Conwy, Wales. Gambar-gambar di lokasi kejadian dimuat naik oleh jurufoto Ethan Gale ke akaun Instagram miliknya iaitu @ethang.supercarphotographer.

Menurut komen Gale, pemilik Zonda 760 LH itu berjaya keluar dari keretanya tanpa sebarang kecederaan. Walau bagaimanapun, kereta tersebut mengalami kerosakan yang agak teruk pada bahagian badan, patah gandar belakang dan cermin hadapannya juga pecah.

Tambah Gale lagi, punca sebenar kemalangan itu tidak diketahui namun pemiliknya dipercayai memecut laju ketika di dalam terowong tersebut hingga hilang kawalan.

Jika ini benar, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kereta itu memang berkuasa tinggi. Ia mempunyai 760 PS yang dibekalkan oleh enjin naturally aspirated 7.3-liter V12 yang dibina oleh Mercedes-AMG.

Bagaimanapun, tidak seperti varian 760 yang lain, versi ini dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan atas permintaan Hamilton sendiri.

Apa yang menarik, ini bukan kali pertama hypercar berwarna ungu itu terlibat dalam kemalangan. Sekitar November 2015, Hamilton sendiri pernah terbabas ketika memandunya di Monaco namun kerosakan yang dialami ketika itu lebih kecil berbanding insiden kali ini.

Lewis Hamilton lenjan Nissan Skyline R34 di Jepun, sampai berasap tombol gear!

2022 bukanlah suatu musim yang begitu menggembirakan buat Lewis Hamilton. Ini merupakan musim pertama juara dunia tujuh kali itu tanpa menang satu perlumbaan pun.

Kini musim dengan jentera W13 telah berakhir, pemandu berusia 37 tahun itu sempat berseronok seketika dan melupakan sementara segala tentang kerjanya.

Dalam satu video terkini di Instagram miliknya, Hamilton dilihat ‘menikmati’ sebuah Skyline GT-R. Dia berseronok melenjan Skyline R34 itu di jalan raya sekitar Jepun di waktu malam, malah dia sempat membuat ‘donut’ dan ‘burnout’ sehingga asap memasuki ruang kabin melalui kawasan tombol gear.

Ini bukanlah petanda yang baik, mungkin klacnya dan kotak gearnya terlebih panas, tetapi Hamilton dan teman di sebelah yang merakam video itu hanya mampu tergelak.

Nissan Skyline R34 GT-R dikuasakan oleh enjin 2.6-liter turbo 6-silinder dengan kuasa sekitar 276hp dan 391Nm tork, dengan kotak gear 5-kelajuan manual dan sistem pacuan semua-roda.

Video Lewis Hamilton itu kini telah mendapat lebih 1.7 juta Like dan hampir 16,000 komen semasa artikel ini ditulis.

Hamilton sebelum ini berseronok di Jepun dengan bermain kereta kawalan radio (RC) Tamiya Lunchbox, yang difahamkan pernah dimilikinya semasa beliau masih kecil.

Kerusi bekas diduduki Lewis Hamilton di Petronas ada dijual di Shopee

BOLEH dikatakan hampir semua jenis barang ada dijual di Shopee, termasuklah kerusi plastik yang biasa digunakan di warung jalanan. Tetapi siapa menyangka ada kerusi plastik ini yang dijual pada harga RM2,888!

Ini kerana ia pernah diduduki oleh juara dunia Formula 1 tujuh kali, Sir Lewis Hamilton.

Iklan bertajuk “Kerusi Bekas Tempat Duduk Pelumba Dunia F1 Lewis Hamilton (Rare Item)” itu dimuatnaik oleh limabintangautoparts, penjual di Shopee bertaraf Preferred dengan penilaian pembeli setinggi 4.9 bintang.

Malah, kerusi tersebut menerima jaminan Shopee 100% asli, di mana ia menjanjikan pulangan wang jika barangan tersebut tidak asli. Tetapi, bagaimana boleh kita sahkan ia adalah kerusi yang pernah diduduki oleh Lewis sendiri?

Pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas ini telah dikesan berada di Kuala Lumpur awal minggu ini bersama rakan sepasukannya, George Russell. Mereka berdua dilihat berada di stesen minyak Petronas, mungkin atas urusan penggambaran untuk Petronas.

Beberapa foto peminat berkaitan Lewis kelihatan berlegar di media sosial dan antaranya menunjukkan beliau duduk di kerusi plastik.

Di bahagian spesifikasi, tertulis beberapa kenyataan seperti “ada bekas punggung Lewis Hamilton”, “kerusi rare satu dalam Malaysia”, dan “lepas dia duduk terus kami ambil dan balut biar segar lagi kesan punggung dia”.

Jika anda benar-benar mahu membelinya, penjual ada juga menyatakan bahawa harganya boleh dirunding menerusi Live Chat.

Anda juga boleh membelinya menggunakan baucar kedai bernilai RM20, serta menebus Shopee Coins. Pembelian juga boleh dibuat secara ansuran sehingga 18 bulan menggunakan kad kredit Maybank.

Macam-macam!

Gambar oleh: Soya Cincau

Hamilton jawab isu persaraan, mengaku lalui jalan sukar musim lalu

DUA bulan tamatnya saingan Formula Satu (F1) 2021, cakap-cakap mengenai masa depan pelumba kelahiran Britain Lewis Hamilton terus diperkatakan dalam kalangan peminat sukan itu.

Hal ini kerana Hamilton dilihat ‘mengunci’ mulut daripada mengeluarkan sebarang komen selepas gagal menjuarai saingan musim lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Hamilton kembali bersuara mengenai masa depannya dalam satu temubual ketika majlis pelancaran jentera Mercedes-AMG F1 W13 E Performance.

Mengakui kecewa dengan prestasi musim lalu, Hamilton tetap berasa bersyukur kerana masih mempunyai sokongan keluarga, rakan sepasukan dan peminat.

Lewis Hamilton dan Max Verstappen selepas perlumbaan di Qatar pada musim lalu. – Foto ihsan F1

Justeru, juara dunia tujuh kali itu bertekad untuk kembali bertenaga dan memberi lebih fokus pada musim 2022.

“Saya ada keluarga dan mereka telah memberikan sokongan amat bermakna. Ia menjadi pendorong untuk saya kembali ‘bangkit’ pada musim ini.

“Saya gembira dengan apa yang dicapai selama ini. Tidak mungkin saya akan meninggalkan sukan dengan pasukan terbaik seperti sebuah keluarga sendiri,” katanya seperti dilaporkan portal TopGear.

Musim lalu, Hamilton gagal mengekalkan kejuaraan selepas kecundang ditangan pelumba Red Bull Racing Max Verstappen.

Mercedes-AMG F1 W13 E Performance. – Foto ihsan mercedesamgf1.com

Perlumbaan di Abu Dhabi berlangsung dengan penuh dramatik sehingga ia terus diperkatakan dalam kalangan peminat F1 sehingga ke saat ini.

Musim baharu F1 akan bermula pada 18 Mac di Litar Antarabangsa Bahrain.

Max Verstappen juara F1 2021 selepas potong Lewis Hamilton di pusingan akhir!

MAX Verstappen muncul juara dunia Formula 1 (F1) 2021 setelah memotong Lewis Hamilton di Abu Dhabi Grand Prix yang mendebarkan dan penuh kontroversi.

Kejuaraan Verstappen itu sekaligus menamatkan dominasi Hamilton selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 hingga 2020.

Verstappen pada mulanya ketinggalan 10 saat di belakang Hamilton dengan perlumbaan berbaki lima pusingan. Hamilton sudah hampir pasti merangkul kejuaraannya yang ke-8 tetapi satu insiden melibatkan Nicolas Latifi mengubah sepenuhnya plot perlumbaan.

Safety Car keluar dan meninggalkan litar di pusingan terakhir, menyaksikan persaingan sengit satu pusingan akhir dimana Verstappen memotong Hamilton dengan kemenangan luar jangkaan.

Perlumbaan penuh kontroversi

Imej: Dutch News

Perlumbaan akhir bagi musim 2021 ini penuh dengan kontroversi dan drama dengan persoalan utama adakah Hamilton akan menjadi juara dunia untuk kali ke-8 atau Verstappen menjadi juara dunia untuk kali pertama.

Verstappen mempunyai kemenangan lebih banyak dalam musim ini berbanding Hamilton, jadi pelumba Belanda itu akan menjadi juara dunia secara automatik sekiranya dia dan Hamilton gagal menamatkan perlumbaan.

Perlumbaan bermula dengan sangat baik Hamilton dimana dia memotong Verstappen di pusingan pertama, tetapi pemandu Red Bull itu semestinya terus memberi saingan.

Verstappen kemudian cuba merampas kedudukan pertama dengan memotong di sebelah dalam dan Hamilton cuba mempertahankannya dan berjaya kekal di depan.

Pasukan Red Bull kurang berpuas hati dengan tindakan Hamilton tetapi pihak FIA menetapkan tiada tindakan diperlukan setelah melihat semula insiden itu.

Hamilton terus jauh ke depan tetapi selepas dia dan Verstappen masuk ke pit, pelumba British itu ‘terperangkap’ di belakang rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez yang bertindak dengan baik cuba melengahkan Hamilton.

Verstappen kemudian ‘datang’ dari belakang dan setelah Perez dipotong oleh kedua-dua pelumba, jarak Hamilton hanya tinggal dua saat sahaja di depan Verstappen.

Dengan perlumbaan berbaki 20 pusingan, Verstappen masuk ke pit untuk kali kedua, dan Mercedes tidak memanggil Hamilton masuk.

Verstappen menyertai semula perlumbaan dengan 17 saat di belakang Hamilton, dan 10 saat jarak dalam lima pusingan terakhir. Pada saat ini, hampir pasti bahawa Hamilton akan menjadi juara.

Kemudian plot berubah apabila Nicholas Latifi (Williams) terbabas dan menghentam penghadang jalan, memaksa Safety Car masuk ke dalam litar sekali lagi.

Verstappen masuk ke pit semula dan harapannya untuk menjadi juara semakin tenggelam apabila pengawal perlumbaan memaklumkan kereta yang tertinggal satu pusingan tidak akan dibenarkan memotong Safety Car.

Ini bermakna pelumba berusia 24 tahun itu perlu melepasi beberapa kereta sebelum ‘sampai’ ke Hamilton dalam pusingan akhir.

Kemudian arahan berubah; dimana pengarah perlumbaan FIA, Michael Masi memaklumkan kereta yang tertinggal pusingan boleh memotong Safety Car.

Sambil bos Mercedes, Toto Wolff berteriak di radio, “Tidak Michael, tidak”.

Ini meletakkan Verstappen di belakang Hamilton semula dalam pusingan terakhir. Tetapi kali ini, Verstappen mempunyai tayar baharu yang mencengkam manakala Hamilton masih dengan tayar lama.

Verstappen memotong Hamilton di selekoh kelima dan terus meninggalkan pelumba Mercedes itu untuk menjuarai perlumbaan, sekaligus menjadi juara dunia F1 musim 2021.

Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 walaubagaimanapun kekali sebagai juara kategori pengeluar.

Lewis Hamilton pening dan lesu, mungkin alami Long Covid-19

LEWIS Hamilton berjumpa dengan doktor pasukan Mercedes sebelum sesi media di Hungary, mengakui dia mungkin masih mengalami kesan daripada jangkitan Covid-19 tahun lalu.

Hamilton yang mendahului kejuaraan dengan kelebihan lapan mata, kelihatan kurang sihat ketika di atas podium dan tampak lemah semasa menjulang trofi.

Dia tidak hadir ketika sidang media awal untuk ketiga-tiga pemenang podium kerana terpaksa berjumpa doktor.

Hamilton sebelum itu melalui drama dimana dia satu-satunya yang memulakan perlumbaan standing race semasa semua pemandu lain ke pit untuk menukar tayar slick.

Gambar: Malay Mail

Dia masuk ke pit selepas satu pusingan dan kemudiannya meneruskan perlumbaan di tempat terakhir. Tetapi juara dunia tujuh kali itu menggunakan segala kebolehannya untuk terus ke depan dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Di akhir perlumbaan, Hamilton dikhabarkan merasa kabur penglihatan dan sedikit pening.

“Saya okey, cuma terasa sangat pening dan segalanya menjadi kabur di podium,” katanya.

“Saya bergelut sepanjang tahun untuk kekal sihat, saya rasa ianya dari yang terjadi akhir tahun lepas, saya masih berjuang.”

Gambar: Malay Mail

Pemenang perlumbaa, Esteban Ocon tidak mahu berkata sama ada ianya berkaitan dengan kesihatan Hamilton, tetapi dia juga berkata merasa sangat ‘penat’ selepas GP Hungary yang mencabar itu.

“Ia satu perlumbaan yang sangat sukar secara amnya, litar ini dengan kepanasannya, kelembapan, selekohnya,” kata Ocon.

“Dan anda dapat kombinasi itu, jadi anda perlu benar-benar melawan kereta hingga akhir perlumbaan, dan saya juga merasa penat.”

McLaren MP4-25 yang pernah dipandu Lewis Hamilton terjual pada harga RM28 juta!

SEBUAH McLaren MP4-25A yang pernah dipandu Lewis Hamilton untuk memenangi Grand Prix Turki 2010 telah terjual pada harga USD6.6 juta (kira-kira RM27.88 juta). Jualan itu dibuat dalam satu acara lelongan khas di Grand Prix Britain hujung minggu lepas.

Ini merupakan kali pertama sebuah jentera F1 dipandu Lewis Hamilton ditawarkan kepada untuk jualan awam.

Chassis No. 01 itu bukan sahaja membantu pelumba Britain itu memenangi GP Turki 2010, tetapi juga menduduki tempat kedua di GP China pada tahun sama. Jentera itu juga dipandu Jenson Button yang menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan penutup musim 2010 di Abu Dhabi.

MP4-25A kini menjadi jentera F1 kedua termahal pernah dijual di acara lelongan, di belakang Ferrari F2001 yang pernah dipandu Michael Schumacher. Jentera itu terjual pada harga USD5.7 juta (kira-kira RM31.68 juta) pada 2017.

“Bukan selalu kereta seistimewa ini hadir ke dalam pasaran, dari mula lagi kami tahu ia membawakan satu peluang yang tidak mungkin berulang,” kata Shelby Myers, ketua bahagian jualan peribadi di RM Sotheby’s.

“Pencapaian Lewis Hamilton dalam sukan itu sangat menakjubkan dan tidak akan dapat ditandingi, jadi kereta yang pernah dipandunya pasti menjadi rebutan.”

Tambahnya, “Kami berbesar hati jentera hebat ini mendapat pemilik baharu dan kami harap dapat melihatnya di litar lagi nanti.”