fbpx

Max Verstappen juara F1 2021 selepas potong Lewis Hamilton di pusingan akhir!

f1 2021 verstappen thumb

MAX Verstappen muncul juara dunia Formula 1 (F1) 2021 setelah memotong Lewis Hamilton di Abu Dhabi Grand Prix yang mendebarkan dan penuh kontroversi.

Kejuaraan Verstappen itu sekaligus menamatkan dominasi Hamilton selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 hingga 2020.

Verstappen pada mulanya ketinggalan 10 saat di belakang Hamilton dengan perlumbaan berbaki lima pusingan. Hamilton sudah hampir pasti merangkul kejuaraannya yang ke-8 tetapi satu insiden melibatkan Nicolas Latifi mengubah sepenuhnya plot perlumbaan.

Safety Car keluar dan meninggalkan litar di pusingan terakhir, menyaksikan persaingan sengit satu pusingan akhir dimana Verstappen memotong Hamilton dengan kemenangan luar jangkaan.

Perlumbaan penuh kontroversi

Imej: Dutch News

Perlumbaan akhir bagi musim 2021 ini penuh dengan kontroversi dan drama dengan persoalan utama adakah Hamilton akan menjadi juara dunia untuk kali ke-8 atau Verstappen menjadi juara dunia untuk kali pertama.

Verstappen mempunyai kemenangan lebih banyak dalam musim ini berbanding Hamilton, jadi pelumba Belanda itu akan menjadi juara dunia secara automatik sekiranya dia dan Hamilton gagal menamatkan perlumbaan.

Perlumbaan bermula dengan sangat baik Hamilton dimana dia memotong Verstappen di pusingan pertama, tetapi pemandu Red Bull itu semestinya terus memberi saingan.

Verstappen kemudian cuba merampas kedudukan pertama dengan memotong di sebelah dalam dan Hamilton cuba mempertahankannya dan berjaya kekal di depan.

Pasukan Red Bull kurang berpuas hati dengan tindakan Hamilton tetapi pihak FIA menetapkan tiada tindakan diperlukan setelah melihat semula insiden itu.

Hamilton terus jauh ke depan tetapi selepas dia dan Verstappen masuk ke pit, pelumba British itu ‘terperangkap’ di belakang rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez yang bertindak dengan baik cuba melengahkan Hamilton.

Verstappen kemudian ‘datang’ dari belakang dan setelah Perez dipotong oleh kedua-dua pelumba, jarak Hamilton hanya tinggal dua saat sahaja di depan Verstappen.

Dengan perlumbaan berbaki 20 pusingan, Verstappen masuk ke pit untuk kali kedua, dan Mercedes tidak memanggil Hamilton masuk.

Verstappen menyertai semula perlumbaan dengan 17 saat di belakang Hamilton, dan 10 saat jarak dalam lima pusingan terakhir. Pada saat ini, hampir pasti bahawa Hamilton akan menjadi juara.

Kemudian plot berubah apabila Nicholas Latifi (Williams) terbabas dan menghentam penghadang jalan, memaksa Safety Car masuk ke dalam litar sekali lagi.

Verstappen masuk ke pit semula dan harapannya untuk menjadi juara semakin tenggelam apabila pengawal perlumbaan memaklumkan kereta yang tertinggal satu pusingan tidak akan dibenarkan memotong Safety Car.

Ini bermakna pelumba berusia 24 tahun itu perlu melepasi beberapa kereta sebelum ‘sampai’ ke Hamilton dalam pusingan akhir.

Kemudian arahan berubah; dimana pengarah perlumbaan FIA, Michael Masi memaklumkan kereta yang tertinggal pusingan boleh memotong Safety Car.

Sambil bos Mercedes, Toto Wolff berteriak di radio, “Tidak Michael, tidak”.

Ini meletakkan Verstappen di belakang Hamilton semula dalam pusingan terakhir. Tetapi kali ini, Verstappen mempunyai tayar baharu yang mencengkam manakala Hamilton masih dengan tayar lama.

Verstappen memotong Hamilton di selekoh kelima dan terus meninggalkan pelumba Mercedes itu untuk menjuarai perlumbaan, sekaligus menjadi juara dunia F1 musim 2021.

Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 walaubagaimanapun kekali sebagai juara kategori pengeluar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved