Arkib Tag: JPJ

14,514 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ dalam 8 hari

PROGRAM Advokasi dan Op Motosikal sempena Aidilfitri 2023 menyaksikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 14,514 notis pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari 18 hingga 25 April.

Bukan itu sahaja, jabatan itu turut menyita 500 unit motosikal dalam tempoh yang sama.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 51,039 motosikal manakala sitaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.

Enam kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu (4,583 notis), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).

Tambah Lokman, kajian menunjukkan penggunaan topi keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan sehingga 25 peratus kepada pengguna motosikal.

Sumber gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

“Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya.

Bagi Op Khas Motosikal Perak dari 18 hingga 25 April, Lokman berkata sebanyak 7,146 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,313 motosikal diambil tindakan di bawah Akta 333.

Sementara itu, Lokman berkata dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, tindakan advokasi serta penguatkuasaan secara bersasar difokuskan kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.

Katanya, ia berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 60 peratus.

Justeru, katanya, melalui Op Bersepadu peringkat kebangsaan 2023, JPJ melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya serta penerapan rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan khususnya punca kemalangan maut serta membahayakan pengguna lain.

Kerajaan mansuh ujian teori Lesen Vokasional PSV, GDL

BERITA baik untuk mereka yang ingin memohon lesen e-hailing. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional untuk kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan kenderaan barangan (GDL) berkuat kuasa serta-merta.

Loke berkata, pemohon bagaimanapun masih perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori sedia ada sebelum lesen terbabit dikeluarkan.

“Ini adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur Lesen Vokasional terdiri daripada kategori PSV dan GDL untuk memudahkan pemohon.

“Apa yang kita tekankan adalah mereka mengambil kelas tetapi tidak diujikan secara teori. Ini sesuatu yang baharu dalam sistem perlesenan kita di mana ia akan memudahcarakan pemohon,” katanya.

Tambah beliau, langkah ini berikutan keluhan daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) dan pemandu e-hailing yang memberitahu bahawa mereka terpaksa menunggu lama untuk mengambil ujian.

“Sekarang kita kecualikan ujian teori, hanya ambil kelas PSV, itupun boleh buat secara dalam talian… dari rumah pun boleh ambil. Jadi apabila mereka siap kelas teori, mereka akan diberi lesen PSV secara digital,” katanya.

Walau bagaimanapun, calon bagi kategori lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi masih wajib menjalani latihan dan lulus ujian amali sebelum mendapat Lesen Vokasional.

Selain itu, pelaksanaan kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional juga akan dibenarkan secara atas talian, sama ada menerusi platform yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan yang telah dikawal selia oleh JPJ.

Menurut Loke, tempoh masa kelas teori sedia ada dikekalkan dan pihak IM atau syarikat perniagaan pengantaraan hendaklah menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori Lesen Vokasional atas talian yang ditetapkan oleh JPJ sepenuhnya.

Silibus kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional terutamanya melibatkan perkhidmatan e-hailing atau teksi akan disemak semula dan ditambah baik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) agar relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Penambahbaikan silibus akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

JPJ akan bantu pengeluar untuk pemanggilan semula kenderaan di Malaysia

Pengeluar-pengeluar kenderaan di Malaysia akan membuat pemanggilan semula produk (product recall) apabila mereka mendapati terdapat isu atau kecacatan pada kenderaan yang akan menjejaskan keselamatannya.

Di Malaysia, para pemilik akan diberitahu secara peribadi selain notis dikeluarkan melalui media atau pengumuman oleh pihak pengeluar sendiri.

Bagi memastikan product recall mencapai sasaran yang telah ditetapkan, pihak JPJ berbesar hati untuk membantu menjayakan aktiviti ini melalui hebahan di laman sosial dan juga portal rasmi JPJ.

Hebahan ini bertujuan bagi menarik perhatian umum terutamanya kepada pemilik-pemilik kenderaan yang terlibat agar segera menghubungi wakil pengedar yang sah.

Menurut Seksyen 66 (1)(pp) Akta Pengangkutan Jalan 1987, product recall yang dilaksanakan oleh pihak pengeluar kenderaan perlu di maklumkan secara bertulis kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pihak berkuasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, pihak JPJ akan merekodkan dan memantau perkembangan setiap aktiviti tersebut sehingga kesemua unit bagi model kenderaan yang terlibat dalam aktiviti product recall selesai diperbaiki.

“Sebarang aktiviti product recall di pihak prinsipal pengeluar kenderaan yang berpusat di luar negara yang juga melibatkan model kenderaan yang berada di Malaysia juga perlu dimaklumkan kepada JPJ melalui wakil pengeluar/pengedar kenderaan tersebut yang berpusat di Malaysia.

“Ini bagi memastikan model kenderaan tersebut melalui aktiviti yang sama (Product Recall) di dalam Negara,” tambah kenyataan itu.

Pemilik kenderaan terlibat yang telah mendapat notifikasi tersebut pula hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menghantar kenderaan mereka ke pusat-pusat servis bertauliah yang telah dilantik bagi mendapatkan khidmat dan alat ganti secara percuma.

Menurut JPJ, tindakan untuk mengabaikan notifikasi tersebut akan meningkatkan risiko keselamatan kerana komponen kenderaan yang sepatutnya diganti itu berkemungkinan tidak dapat berfungsi dengan baik, malah mungkin akan menyebabkan kerosakan kepada komponen lain pula.

Ini seterusnya boleh meningkatkan risiko seperti kenderaan hilang kawalan, kemalangan dan sebagainya.

Kempen product recall ini masih lagi berterusan dengan pihak pengeluar kenderaan masih aktif menghubungi pemilik kenderaan yang terlibat bagi tujuan penukaran alat ganti kenderaan secara percuma.

Takut JPJ punya pasal, lelaki tinggalkan tunang di Jambatan Pulau Pinang

“LAUTAN api sanggup diredah konon, baru jumpa abang JPJ dah lari lintang-pukang.”

Itulah kejadian yang mencuit hati yang berlaku Rabu lalu apabila seorang lelaki meninggalkan tunangnya ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, wanita berkenaan yang berusia 20-an itu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.

Bagaimanapun, belum sempat pihak JPJ memberikan rawatan awal kepadanya, wanita itu bertindak melarikan diri.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pasangan yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 diarahkan berhenti untuk pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Op Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina.

Sumber gambar: Facebook JPJ Pulau Pinang

Tambahnya, ketika pihak penguat kuasa mengarahkan penunggang membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U secara mengejut, sekaligus mengakibatkan tunangnya terjatuh dari motosikal.

“Lelaki itu tidak peduli dengan wanita berkenaan dan terus memecut laju motosikal menghala ke bahagian Pulau,” katanya.

Ketika ditanya, wanita itu mengakui lelaki itu adalah tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke pusat bandar.

Beliau berkata, lelaki berkenaan mungkin tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh hingga menyebabkan dia nekad melarikan diri.

Had laju Jalan Persekutuan dikurangkan 10 km/j sehingga 27 Januari

Bermula 18 hingga 27 Januari ini, had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, perwartaan pengurangan had laju sementara itu adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di musim perayaan.

“Justeru itu, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).

 

AFP PHOTO / Jimin LAI

Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini dengan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ia termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ); Jabatan Kerja Raja (JKR); Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); dan PLUS Malaysia.

Tambah beliau lagi, KKR melalui JKR juga akan sentiasa memantau lokasi ‘blackspots’ yang dikenal pasti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Setakat ini, sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan dikenal pasti sepanjang tahun ini. Sebanyak 53 lokasi ‘blackspots’ melibatkan Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara juga telah dibaiki pada tahun lalu dengan kos berjumlah RM17.2 juta.

Konvoi motosikal perlu buat laporan, hantar senarai peserta terlebih dahulu – KP JPJ

PENGANJUR konvoi motosikal melibatkan lebih dari seorang penunggang perlu menghantar senarai peserta dan motosikal yang terlibat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim ketika ditemubual pada acara Kempen Keselamatan Jalan Raya 2023 di Seremban pagi tadi.

Memetik laporan rakan media kami di Careta dan Moto Malaya, Zailani berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha JPJ bersama-sama pihak pihak polis terutamanya dalam menangani kes tunggang motosikal berkuasa tinggi tanpa lesen (B Full).

“Saya telah bercakap dengan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasana Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim dimana setiap konvoi melibatkan lebih daripada satu motosikal bukan sahaja perlu memaklumkan pihak polis malah JPJ,” jelasnya.

Tambah Zailani lagi, langkah itu bertujuan membolehkan pihak JPJ melakukan semakan yang lebih terperinci termasuk cukai jalan dan lesen yang betul.

“Senarai tersebut akan digunakan oleh pihak JPJ untuk memeriksa butiran setiap peserta seperti tempoh sah insurans dan lesen memandu, serta keadaan kenderaan yang terlibat dalam konvoi,” tambahnya.

“Pihak Polis dan JPJ akan turut serta berada di lokasi yang ditetapkan untuk memantau keadaan bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.”

Anthony Loke janji isu kualiti pelekat cukai jalan akan diatasi tahun ini

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau telah mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengatasi masalah kualiti pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti dan cepat rosak.

Menurut Loke lagi, perkara itu akan diatasi dan dimasukkan dalam perancangan JPJ bagi tahun ini.

“Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti. Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata sebarang pelaksanaan inisiatif baharu akan dirancang dengan rapi dan diumumkan apabila persediaan sepenuhnya telah dibuat.

Sumber gambar: Facebook Anthony Loke Siew Fook

“Agenda utama kita ialah mempermudahkan urusan rakyat dan saya tak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat yang menyusahkan mereka,” tambah beliau.

Isu kualiti pelekat cukai jalan JPJ yang mudah rosak dan meninggalkan kesan gam yang sukar ditanggalkan daripada cermin kenderaan bukanlah sesuatu yang baru.

Ramai pengguna telah menyuarakan kegusaran mereka mengenai perkara itu dan ada juga yang mengesyorkan JPJ supaya memperkenalkan cukai jalan digital seperti penggunaan sijil vaksinasi digital oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

EP Blueshark dapat kelulusan JPJ untuk pasang EV dua roda di Malaysia

EP Manufacturing Bhd (EPMB) mengumumkan bahawa mereka telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia untuk mendaftar dan melesenkan kenderaan elektrik (EV) dua roda pertamanya.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia, EPMB berkata jawatankuasa kebangsaan bagi kelulusan jenis kenderaan (VTA) dan homologasi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meluluskan VTA untuk model Blueshark SG3000DT atau Blueshark R1 di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.

Sijil untuk VTA telah dikeluarkan kepada EP Blueshark Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EPMB, katanya. VTA ini membolehkan Blueshark R1 didaftarkan dan dilesenkan oleh JPJ.

Pengerusi Eksekutif Hamidon Abdullah berkata dengan kelulusan VTA ini, syarikat itu selangkah lebih dekat untuk memenuhi unjuran permintaan untuk EV dua roda di Malaysia.

“Pada masa yang sama, rakan-rakan kongsi kami di negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah memohon VTA untuk Blueshark R1 di negara masing-masing, dan ini akan melengkapkan aktiviti-aktiviti pengeluaran EPMB.

“Penerokaan kami ke dalam perniagaan EV disokong oleh pengetahuan teknikal Sharkgulf Technologies Group Limited yang berpangkalan di China. Ini bersempena dengan asas pendanaan yang kukuh daripada pelabur antarabangsa yang menumpukan pada ESG. Ini sepatutnya meletakkan kita pada laluan pertumbuhan yang mampan untuk bergerak ke hadapan,” kata beliau.

Di samping kilang pengeluaran dan pusat jualan dan pengedaran di Malaysia, EPMB juga akan mewujudkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan berkongsi pengetahuan teknikal dan sumber kepada Gigafactory Sharkgulf di Wilayah Baru Pantai Barat Qingdao.

Tambah Hamidon lagi, pangkalan pengeluaran dengan usaha sama R&D di Malaysia akan menangani struktur kos bagi menjadikan EV roda EMPB kos efektif.

Pada 25 Julai, EP Blueshark menerima kelulusan bersyarat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas permohonannya untuk memasang motosikal elektrik di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 [Akta 156].

Ini tertakluk kepada syarat yang perlu dipenuhi oleh EP Blueshark dalam tempoh enam bulan dari surat kelulusan.

JPJ pertimbang kenakan hukuman lebih berat terhadap mat rempit

Melihat trend merempit yang terus menular sehingga ada yang menyebabkan kematian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran bahawa ia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap mat rempit.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.

Tambah beliau lagi, pihaknya telah mendapat arahan daripada Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan semula tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya.

“Kalau cerita pasal ‘mat rempit’ memang sekarang ini isu yang sangat hangat, jadi JPJ sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas hadir meninjau Ops Lejang Fasa 1.

Hukuman lebih ketat ini adalah untuk memastikan supaya kumpulan ‘mat rempit’ ini tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan undang-undang ketika di atas jalan raya.

Sumber gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

Selain itu, JPJ juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang sering menjadi kumpulan berkenaan untuk melakukan aktiviti lumba haram.

“Kita minta kepada orang ramai untuk maklumkan kepada kita melalui saluran aduan trafik. Kita tahu ada kawasan-kawasan panas tertentu dan memang kita tengah pantau. JPJ dan PDRM sedang memerhatikan mereka dan kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.

Buat masa ini kesalahan-kesalahan utama yang masih dikesan dalam kalangan penunggang motosikal termasuklah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Pihak JPJ tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan tersebut malah akan memastikan denda maksimum akan dikenakan terhadap pelakunya.

Dalam pada itu, amaran juga diberikan kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menjadikan lebuh raya Karak sebagai litar lumba hari minggu.

Menurut Aedy Fadly, JPJ akan terus memastikan laluan tersebut selamat digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain daripada sebarang masalah yang mungkin ditimbulkan oleh kumpulan tersebut.

Pemandu backhoe ‘naik angin’, sodok Fortuner JPJ hingga terbalik

TIDAK puas hati akibat disaman, seorang lelaki nekad melanggar Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jentera backhoe yang dipandunya.

Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JPJ dikatakan melakukan operasi secara rondaan di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang, Keningau, Sabah, menyebabkan kenderaan milik pasukan penguat kuasa itu remuk dan terbalik.

Berdasarkan maklumat, anggota terbabit dikatakan mengesyaki backhoe terbabit yang mencurigakan dan menahannya untuk tujuan pemeriksaan, sebelum pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F.

Selepas saman dikeluarkan, pemandu yang tidak berpuas hati itu tiba-tiba melanggar SUV milik JPJ sehingga terbalik.

Beberapa video mengenai insiden itu tular di media sosial memaparkan anggota JPJ cuba memujuk pemandu jengkaut terbabit, namun tidak diendahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim mengesahkan kejadian itu dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Difahamkan, tiada anggota JPJ yang tercedera, namun Fortuner dilanggar lelaki terbabit rosak teruk.

Boleh tahan juga dia marah ya, mujurlah tiada sesiapa yang tercedera.

Jumlah kereta lebih dari populasi Malaysia, statistik dari zaman British?

SATU laporan baru-baru ini yang menyatakan jumlah kenderaan berdaftar di negara ini sebanyak 33 juta adalah keterlaluan dan tidak memberi gambaran sebenar populasi kenderaan semasa.

Ini kerana angka yang dilaporkan merangkumi kenderaan berdaftar sejak zaman penjajahan British.

Ragu-ragu dengan laporan itu, bekas Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai berkata, beliau pasti jumlah kenderaan di jalan awam tidak melebihi jumlah penduduk.

“Tajuk (laporan media) sangat mengelirukan. Tidak mungkin jumlah kenderaan melebihi jumlah penduduk Malaysia,” katanya.

Tahun lepas, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zailani Hashim menyatakan bahawa jabatan itu telah mentadbir 33.05 juta kenderaan dalam tempoh 75 tahun sejak ia diperbadankan pada 1 April 1946 sebagai Pendaftar dan Pemeriksa Kenderaan Bermotor (RIMV).

Liow menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai perkara itu.

“Mereka mesti meletakkan fakta dalam perspektif yang betul bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” tambah Liow.

“JPJ boleh menggunakan rekod pembaharuan cukai jalan terkini untuk mengesahkan angka tersebut.”

Liow turut mencadangkan JPJ mengeluarkan “sijil kematian” bagi kenderaan yang tidak aktif.

“Ini supaya kita dapat tahu dengan tepat jumlah kenderaan aktif di negara ini,” kata bekas presiden MCA itu.

Tidak seperti di banyak negara maju, tiada polisi “akhir hayat” bagi kenderaan di Malaysia.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, menjadi kelaziman untuk statistik yang diwarisi sejak zaman sebelum merdeka digunakan untuk menggambarkan jumlah kenderaan di seluruh negara.

“Amalan menggunakan angka besar, termasuk yang dikumpulkan sejak zaman British, diterapkan sehingga hari saya bersara. Saya tak faham kenapa ia masih digunakan hari ini,” katanya.

“Angka besar ini sering digunakan untuk menggambarkan representasi dan nisbah kematian di jalan raya berbanding jumlah kenderaan di negara ini.

“Sebagai contoh, ia akan menentukan bilangan ‘x’ kematian berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan pada masa tertentu atau sepanjang tahun.”

Ghafar berkata, kaedah sedemikian tidak memberikan gambaran yang tepat mengenai indeks keselamatan jalan raya negara.

JPJ terima 245 aduan melalui aplikasi e-Aduan sempena Raya

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 245 aduan yang dilaporkan orang ramai melalui aplikasi e-Aduan@JPJ sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Aidilfitri yang bermula 29 April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, “Kesalahan tertinggi yang dilaporkan adalah memotong barisan dan menggunakan laluan kecemasan.”

Gambar oleh: Bernama

“Aplikasi ini baru sahaja dilancarkan seminggu sebelum Aidilfitri dan kita mendapat kerjasama amat baik daripada pengguna jalan raya di seluruh negara.”

“Sebahagian aduan itu telah diambil tindakan dalam tempoh 48 hingga 72 jam,” tambahnya.

Menurutnya, JPJ mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sudi membantu mereka menguatkuasakan undang-undang jalan raya dengan melaporkan kejadian melalui video dan gambar yang sah melalui sistem e-Aduan@JPJ.

Aplikasi e-aduan boleh dimuat turun melalui Google Play untuk pengguna telefon pintar jenis Android dan orang ramai juga perlu mengaktifkan sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan pengesanan lokasi.

Dalam pada itu Aedy Fadly berkata, sebanyak 89,490 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 18,690 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan kesalahan tertinggi yang dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memperbaharui cukai jalan,” katanya.

Teruja miliki lesen ‘terbang’, individu ‘melayang’ lebih RM500

ORANG ramai dinasihati tidak terpedaya atau mencari jalan mudah untuk mendapatkan lesen memandu.

Ia susulan penangkapan dua individu yang dipercayai merupakan dalang bagi sindiket penipuan menjual lesen memandu.

Apa yang lebih mengejutkan, salah seorang suspek ditahan masih awal remaja dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Memetik laporan Bernama, suspek remaja terbabit ditahan polis selain rakannya berusia 22 tahun yang dipercayai menerap di Durian Tunggal, Melaka.

Sebelum ini, polis menerima aduan daripada seorang individu mendakwa ditipu sindiket lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pemilikan lesen kenderaan tanpa melalui prosedur ditetapkan adalah salah di sisi undang-undang. – Foto ihsan Facebook / JPJ Terengganu

Teruja dengan tawaran tersebut, mangsa membuat bayaran hampir RM500 setelah berurusan dengan salah seorang suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pengadu kemudian menghubungi nombor yang tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan tersebut, mangsa telah dijanjikan lesen memandu,” memetik kenyataan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kedua-dua supek ditahan reman selama tiga hari.

Orang ramai diminta menghubungi polis atau kunjungi balai polis berdekatan jika mempunyai sebarang maklumat jenayah.

Penambahan 100 kios baharu, kutipan hasil JPJ dijangka meningkat

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menyediakan lebih 100 kios layan diri baharu di semua cawangannya seluruh negara.

Memetik laporan Bernama, kesemua kios berkenaan dijangka dipasang selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

Jelas Menteri Pengangkutan, penambahan kios itu dapat memudahkan urusan orang ramai melakukan transaksi tanpa melibatkan aktiviti bersemuka bersama pegawai bertugas.

Datuk Seri Wee Ka Siong juga berkata, pihaknya akan menambah 20 van untuk kegunaan JPJ sekaligus memudahkan urusan bertemu pelanggan.

Kios layan diri mampu memudahkan urusan orang ramai sekaligus menambah kecekapan sistem penyampaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – Foto ihsan JPJ

“Adanya kemudahan dan bajet tambahan berkenaan, maka saya yakin dan percaya hasrat jabatan mencapai sasaran kutipan hasil RM4.12 billion bagi tahun 2022 mampu dicapai,” katanya.

Selain cawangan JPJ, kios layan diri juga akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti pejabat kerajaan, stesen LRT dan MRT.

Van bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – Foto ihsan JPJ

Kios tersebut boleh digunakan bagi menyelesaikan urusan transaksi seperti mencetak cukai jalan (LKM), mencetak salinan sijil pemilikan kenderaan (VOC) dan membayar saman trafik.

Selain itu, kios ini juga mampu membantu pengguna mendapatkan maklumat berkaitan lesen memandu, insuran kenderaan dan lain-lain.

Kerajaan umum pengecualian cukai kenderaan OKU, EV hingga 2025

KERAJAAN menawarkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan elektrik (EV) dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, kenderaan motor elektrik akan menikmati pengecualian itu bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.

Jelas Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pengecualian bagaimanapun tidak terpakai untuk kenderaan hibrid mempunyai enjin pembakaran dalaman.

“Pengecualian fi LKM hanya diberikan kepada kenderaan EV sama ada dikuasakan oleh bateri atau ‘fuel cell’ (sel bahan api),” katanya, semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

Sementara itu, pengecualian fi LKM kenderaan motor milik OKU hanya terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubah suai khas untuk mereka yang berkenaan.

Kenderaan tidak diubah suai pula, pengecualian hanya diberikan kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional.

“Kenderaan motor terbabit yang layak hendaklah didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU berkaitan.

“OKU hendaklah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.

Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor didaftarkan dan dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga berdaftar mempunyai anak OKU.

Ia meliputi suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU dengan syarat OKU terbabit juga telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Permohonan bagi pengecualian itu akan bermula pada 15 Mac 2022.

Pada Belanjawan 2022, kerajaan mengumumkan akan membayar sepenuhnya Lesen Kenderaan Motor bagi semua kenderaan persendirian milik OKU.

EV juga mendapat rangsangan termasuk pengecualian penuh duti import, duti eksais, cukai jualan dan 100 peratus pengecualian cukai jalan.

No plat BRA diteruskan walaupun kedengaran kurang sopan

NOMBOR plat (pendaftaran) BRA akan diteruskan pengeluarannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun gabungan tiga huruf itu kedengaran kurang sopan atau seksis.

Nombor plat BRA untuk negeri Selangor itu dijangka dikeluarkan sekitar April nanti.

Menurut Utusan Malaysia, sumber agensi berkenaan memberitahu setakat ini, tiada sekatan terhadap penggunaan siri plat pendaftaran kenderaan darat dengan huruf tertentu.

“Insya-Allah, huruf tersebut tetap diteruskan apabila tiba masa selepas siri BQY tamat sekitar April depan,” kata sumber agensi tersebut.

Polemik gabungan tiga abjad tersebut bagaimanapun tular diperkatakan segelintir warganet kerana sebutannya menyerupai pakaian dalam wanita dalam Bahasa Inggeris.

“Itu mungkin sekadar pandangan persepsi masyarakat, tetapi, bagi pihak JPJ, kombinasi huruf sedemikian tiada pun melambangkan maksud spesifik kepada mana-mana benda.

“JPJ pada masa ini memang pun tiada polisi khusus yang akan mengharamkan siri huruf tertentu macam pernah dilakukan oleh Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura,” terang sumber itu.

Plat B mula diperkenalkan oleh JPJ pada 1971 bagi menggantikan siri huruf SL yang diwujudkan British sebagai negeri yang pertama menggunakan format baharu itu sejak 1948.

Siri tersebut amat popular di negara ini selepas kemerdekaan kerana Selangor merupakan pusat ekonomi terbesar sebelum dipintas oleh plat W untuk Wilayah Persekutuan pada 1996 lalu.

Ketika ini, plat negeri termaju berkenaan baru sahaja melepasi siri BQV sebelum ia mencapai giliran huruf tengah baharu iaitu BRA pada Mei ini bergantung keadaan penjualan kenderaan.

Jalan Temiang-Pantai jadi ‘port’ bergambar, JPJ beri kata dua

PENGGUNA lebuh raya dinasihati tidak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan lebuh raya Temiang-Pantai bagi tujuan bergambar.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan berkata,ia mengundang bahaya kepada si pelaku malah, berisiko kepada pengguna lebuh raya lain.

“Tindakan pemandu itu membahayakan keselamatan orang ramai dan tidak munasabah kerana ia boleh memberikan satu persepsi bahawa tempat itu adalah tempat pelancongan.

“Perlu diingat jalan raya ini digunakan untuk kenderaan dan jentera bergerak.

“Apabila mereka berhenti secara berkumpulan atau beramai-ramai ia mengganggu kelancaran trafik,” kata Hanif Yusabra Yusuf.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf. – Foto ihsan Bernama

Jalan Temiang-Pantai mulai tular di media sosial selepas ramai kalangan pemandu gemar memberhentikan kenderaan di kawasan terbabit.

Pemandu didapati bersalah boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah lalu lintas Jalan 1959.

Undang-undang tersebut memperuntukan tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh disiasat mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

JPJ Johor keluarkan 91,945 saman tahun lalu, turun 0.9 peratus

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan lebih 91,945 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu.

Ia menyaksikan penurunan 0.9 peratus berbanding 100,944 saman pada tahun 2020.

Pengarah JPJ Johor berkata, pandemik Covid-19 dipercayai menjadi punca kepada penurunan jumlah saman dikeluarkan.

“Pandemik Covid-19 merupakan antara punca (penurunan jumlah saman yang dikeluarkan),” kata Azmil Zainal Adnan.

Berdasarkan keseluruhan saman, 48,801 dikeluarkan atas kesalahan berkaitan lesen memandu.

Sebanyak 5,871 saman pula adalah berkaitan cukai jalan sementara 20,618 yang lain bagi kesalahan teknikal.

Sementara itu, sejumlah 170 anggota penguatkuasa JPJ terlibat di pelbagai lokasi di 10 daerah Johor yang bermula 25 Januari lepas sehingga hari ini.

Operasi akan diteruskan bermula 3 hingga 8 Februari depan membabitkan pelbagai agensi.

Pada masa sama, operasi khas motosikal di Plaza Tol Skudai bermula semalam hingga hari ini menyaksikan 1,281 kenderaan diperiksa dan 148 saman dikeluarkan.

Op Tahun Baharu Cina: JPJ T’ganu keluar 390 saman, sita tiga kereta

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan lebih 390 saman sepanjang operasi sempena Tahun Baharu Cina pada 25 Januari sehingga semalam.

Pengarah JPJ Terengganu berkata, pihaknya memeriksa lebih 2,301 kenderaan sepanjang operasi dijalankan.

Jelas Zulkarnain Yasin, antara kesalahan paling banyak dikesan adalah penggunaan cermin gelap (87 kes), lesen kenderaan motor tamat tempoh (98 kes), tiada Lesen Memandu Kompeten (90 kes) dan tiada Lesen Vokasional (33 kes).

“Kita (JPJ) adakan sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu di Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Kemaman dan Besut. 

“Kita telah keluarkan 117 saman dan menyita tiga kenderaan,” katanya.

Operasi yang tamat semalam turut mengesan tiga individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah hasil ujian saringan air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu, 127 anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu melibatkan JPJ, Polis Diraja Malaysia, AADK dan Jabatan Alam Sekitar.

Operasi sepanjang musim perayaan kali ini tertumpu di 22 lokasi yang sering berlaku kemalangan di Terengganu.

Institut memandu boleh dikenakan tindakan jika ramai pemandu kemalangan – JPJ

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertindak membatalkan permit institut memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, jika ramai pemandu dari sesebuah institut itu terbabit dalam kemalangan jalan raya, berkemungkinan tindakan boleh dikenakan terhadap pengusaha atau pemiliknya.

“Perkara itu akan dilaksanakan menerusi perancangan untuk mewujudkan sistem kod pada lesen yang akan dapat mengenal pasti institut memandu tempat pemegang lesen memperoleh latihan pemanduan kenderaan,” katanya.

“Antara tindakan yang boleh diambil ialah membatalkan permit institut memandu terbabit dan menarik balik sijil tenaga pengajarnya,” tambah Zailani.

Menurutnya, langkah itu diambil dalam usaha JPJ membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya termasuk angka maut.

Kod pada lesen itu akan diperkenalkan pada pelancaran program e-testing April depan.

“Kita dalam proses bagi kod dalam lesen memandu, kita boleh tahu calon (pemandu) dapat lesen dari mana.

“Jika mereka didapati lakukan kesalahan, terlibat kemalangan, kita akan tahu mereka dapat lesen dari institut memandu yang mana. Kita akan buat audit, pengesanan untuk tahu jika ada masalah dengan institut terbabit.”

Menurut Zailani lagi, ia sebahagian dari pembaharuan JPJ ke arah pendigitalan dengan modul berkenaan dapat mengenal pasti kelemahan di peringkat insitut memandu.