Arkib Tag: gr supra

Lelaki tunjuk hebat buat aksi drift dengan Toyota GR Supra ditahan

Tindakan seorang lelaki memandu secara berbahaya dengan melakukan aksi drift mengundang padah apabila kereta jenis Toyota GR Supra dipandunya merempuh kenderaan lain.

Malah, aksi lelaki berusia lingkungan 20-an itu tular di media sosial baru-baru ini dengan kejadian berlaku di Jalan Desa Botani 1, Taman Botani, Batu Pahat pada 21 Februari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata susulan itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan lelaki itu pada jam 1.15 tengahari.

Shahrulanuar berkata, penahan itu dibuat susulan aksi dilakukan suspek yang bekerja kilang, mula tular di Facebook jam 12 tengahari tadi.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah Batu Pahat mengesan paparan video tular di Facebook menunjukkan rakaman kereta dipandu secara berbahaya sambil melakukan drift.

“Tindakan suspek menyebabkan keretanya dipandu merempuh pacuan empat roda yang diparkir di tempat kejadian.

“Bertindak atas maklumat serta hasil risikan lanjut, polis berjaya mengenal pasti pemandu dan kenderaan yang terbabit.

“Suspek ditahan dan saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah. Pada masa sama, kereta terbabit turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat esok untuk perintah reman.

Hotel Fuji Speedway tawar peluang pandu uji Toyota Supra kepada pelanggan

KEBIASAANNYA apabila menginap di hotel, pihak hotel akan mengalukan pelanggan mereka untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti gim, spa dan kolam renang.

Bagaimanapun, sebuah hotel di Jepun kini menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan mereka iaitu peluang untuk memandu pelbagai jenis model Toyota Supra.

Bermula 15 Januari hingga 30 Jun tahun depan, mereka yang menempah suite atau villa di Fuji Speedway Hotel boleh memilih untuk memandu sama ada GR Supra automatik tahun 2020 yang ditala oleh TOM’s atau GR Supra keluaran 2022 dengan transmisi manual.

Namun begitu, GR Supra manual tersebut hanya boleh dipandu oleh mereka yang mempunyai lesen memandu kereta manual. Peserta juga tidak dibenarkan untuk memandu di litar Fuji Speedway walaupun ia terletak bersebelahan dengan hotel.

Sesi pandu uji ini ditawarkan berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’. Setiap sesi akan diadakan selama sejam, dengan lima sesi dijalankan setiap hari.

Lebih menarik lagi, pihak Fuji Speedway Hotel dan Toyota juga akan menganjurkan “Supra Winter Festival” pada 21 dan 22 Januari. Acara ini akan menampilkan dua buah model generasi A90, serta beberapa model terdahulu termasuk Celica XX 2000GT tahun 1985, Supra 2.5GT Twin Turbo Aerotop 1992 dan Supra generasi A80.

Peserta program pandu uji ini boleh memandu kereta-kereta tersebut selama setengah jam di jalan raya di sekitar hotel tersebut.

Hampir separuh Toyota GR Supra yang terjual di AS adalah manual!

HAMPIR separuh dari Toyota GR Supra 2023 yang terjual di Amerika Syarikat (AS) adalah dari unit dengan kotak gear manual. Perkara ini diberitahu oleh jurucakap Toyota kepada Road & Track.

Sebanyak 1,216 unit GR Supra yang terjual sejak model 2023 dilancarkan adalah dengan model tiga-pedal, bersamaan 43 peratus.

GR Supra yang mula dilancarkan pada 2019 tidak datang dengan pilihan manual, sebaliknya hanya dengan automatik 8-kelajuan. Tetapi para peminat telah menyuarakan kehendak mereka yang mahukan kotak gear untuk pemandu sejati.

Kotak gear yang digunakan ialah unit manual 6-kelajuan (6MT) dari BMW 3-Series tetapi nisbah gear dari M3, menurut jurutera Toyota. Linkage dan tombol gear adalah baharu, dan Toyota membangunkan sendiri perisian rev-matching iMT.

Enjin dikongsi dengan model automatik, iaitu 3.0-liter 6-silinder sebaris dengan output 388hp dan 500Nm tork. Konsol tengah pula telah direka semula untuk memuatkan kotak gear itu. Selain itu, nisbah gear akhir dinaikkan dari 3.15 kepada 3.46.

Kami amat teruja dengan berita sebegini, menunjukkan Toyota mendengar kata peminat dan para penggiat kereta. Hal ini juga sama dengan Porsche yang menurut kehendak peminat mereka yang mahukan pilihan manual dalam model prestasi seperti 911 GT3 dan Cayman GT4.

Buat peminat pula, mereka benar-benar beli kereta sebegini, bukan sekadar sembang “Save the manuals” atau “Real men drive three-pedals”. Diharapkan lebih banyak model sports bertransmisi manual dengan harga mampu milik memasuki pasaran Malaysia.

Jentera lumba Toyota GR Supra GT500 yang anda boleh pandu dari Tamiya

TAMIYA terus mendedahkan model-model baharu RC (kawalan radio) berasaskan casis TT-02, yang terkini ialah Toyota GR Supra GT500. Jentera ini dibangunkan untuk kelas perlumbaan GT500 sebagai ganti kepada Lexus LC500 yang telah berentap selama tiga musim dari 2017 hingga 2019.

Dengan rekaan aerodinamik diambil dari GR Supra versi jalanan, jentera lumba ini menampilkan bingkai monocoque karbon, komponen aerodinamik khas, kotak gear, dan dipacu enjin 2.0-liter turbo 4-silinder dengan suntikan terus bahan api.

Badan pada model kereta RC ini dihasilkan dari polycarbonate manakala beberapa komponen plastik ABS untuk spoiler dan cermin sisi. Ia mendapat pelekat livery pasukan Tom’s GR Supra.

Casis TT-02 merupakan kit permulaan mesra pengguna yang baru berjinak-jinak dengan perlumbaan touring. Casis ini menggunakan susun atur menegak dengan pek bateri di kiri, dan motor serta elektronik di bahagian kanan.

Kit dengan pacuan shaf ini juga bukan sahaja seimbang, malah rekaan lengan-lengan suspensi serta kotak gearnya direka agar mudah dipasang dan diselenggara.

Ia mempunyai dimensi panjang 466mm, lebar 188mm, tinggi 125mm, dan jarak roda 257mm. Anda juga boleh membuat sedikit pelarasan memandangkan ia menawarkan dua tetapan jarak roda, dua tetapan kelegaan tanah dan lebih 10 kombinasi nisbah gear.

Untuk dipadankan dengan badan Tom’s GR Supra tadi, casis ini diberikan rim 12-bilah dengan tayar slick perlumbaan.

Kit ini hadir dengan motor standard Tamiya 540 dan ESC THW-1060. Ia memerlukan anda menyediakan sistem radio, servo stereng, bateri 7.2 hingga 7.4 volt, dan cat semburan Tamiya PS.

Sah, tiga model Toyota GR baharu bakal tiba di Malaysia!

UMW Toyota Motor (UMWT) akan menambah beberapa model GR dalam barisan kenderaan mereka di Malaysia tahun depan. Lebih tepat lagi, tiga model GR baharu.

Gambar oleh: Toyota USA

Ini adalah GR Corolla, GR86 dan GR Supra dengan kotak gear manual. Perkara ini dikongsi oleh Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy, menurut laporan oleh Paultan.org.

Model-model tersebut akan menyertai barisan GR yang pernah ditawarkan iaitu GR Yaris dan GR Supra (hanya transmisi automatik 8-kelajuan ditawarkan sebelum ini).

GR Corolla dilancarkan pada April lepas merupakan model terkini yang membuat pelancaran global. Ia dilengkapi dengan enjin 1.6-liter turbo 3-silinder yang menjana 300hp dan 370Nm tork, lebih berkuasa dari GR Yaris yang menggunakan enjin sama.

GR Corolla juga hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching, sistem pacuan semua-roda GR-Four dan limited-slid differential (LSD) Torsen di belakang.

GR86 pula merupakan kembar kepada Subaru BRZ generasi kedua, dilancarkan pada April 2021. Model coupe sports dua-pintu pacuan roda-belakang ini dipacu oleh enjin 2.4-liter flat-four dengan 232hp dan 250Nm, dan boleh didapati dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik.

Sementara itu GR Supra manual pula merupakan tambahan kepada Supra yang diperkenalkan pada 2019. Ianya model GR paling berkuasa dengan 382hp dan 500Nm, hasil kerahan enjin 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris.

Tiada perincian lanjut buat masa ini seperti harga dan tarikh pelancaran. GR Corolla baru tiba di ASEAN semasa ia dilancarkan di Thailand minggu lepas, dengan harga mencecah RM500,000.

GR Supra pula ditawarkan pada harga RM611,880 untuk model facelift.

Toyota GR Supra Matte White Edition – 50 unit, untuk pasaran Jepun sahaja

Toyota telah memperkenalkan satu lagi model edisi terhad GR Supra khas untuk pasaran Jepun. Dikenali sebagai Matte White Edition, model ini hanya boleh didapati dengan transmisi manual dan pengeluarannya pula terhad kepada 50 unit sahaja.

50 unit bukanlah satu jumlah yang besar dan menyedari bahawa model ini bakal menjadi rebutan ramai, Toyota akan memilih pembeli menerusi cabutan loteri. Pendaftaran dibuka pada 20 dan 21 Julai lalu di laman web Toyota Gazoo Racing.

Jadi, apa yang istimewa mengenai model ini? Pertama sekali, ia didatangkan dalam warna eksklusif Matte Avalanche White Metallic yang dipadankan dengan aksen hitam pada bahagian splitter depan, skirt sisi, cermin sisi, tiang A, diffuser dan pelbagai lagi.

Melengkapkan rupa paras agresif jentera ini adalah rim tempaan berukuran 19 inci yang didatangkan dalam warna Frozen Gunmetal Grey dan angkup brek berwarna merah. Jika dilihat, ia mirip model A91-MT Edition yang diperkenalkan pada April lalu.

Ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit berwarna coklat yang membaluti tempat duduk, panel pintu, stereng dan juga konsol tengah. Turut diberikan adalah plat gentian karbon pada papan pemuka yang tertera tulisan “GR Supra”, “Matte White Edition” serta lakaran model itu.

Model edisi terhad ini berasaskan varian tertinggi untuk pasaran Jepun iaitu RZ, jadi ia sarat dengan kelengkapan termasuk pad pengecas wayarles pada konsol tengah, port USB, sistem audio premium JBL dengan 12 pembesar suara dan skrin sentuh 8.8 inci untuk sistem infohibur.

Selain itu, tiada sebarang perubahan pada enjin. Seperti versi standard, model ini dipacu oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 387 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan.

GR Supra Matte White Edition dijual pada harga 7,890,000 yen (RM257,210), iaitu 577,000 yen (RM18,800) lebih mahal berbanding varian RZ ‘standard’.

Toyota GR Supra edisi A91-MT diperkenal dengan transmisi manual 6-kelajuan!

AKHIRNYA, pemandu Toyota GR Supra boleh menukar gear mereka sendiri. Model tahun 2022 telah diperkenalkan, lengkap dengan pedal ketiga.

Sebelum masuk ke dalam kereta pun anda boleh kenal pasti ianya model manual 6MT melalui tulisan “Supra” berwarna merah di bampar belakang.

Untuk pasaran Eropah, Supra A91-MT ini telah mengalami ‘diet’ yang menurunkan beratnya sekitar 40kg dengan versi Lightweight yang dilengkapi rim 19-inci ringan.

Diet ini juga merangkumi tempat duduk kini tanpa balutan kulit, pelarasan berkuasa dan sokongan lumbar. Sistem audio juga telah ditukar.

Menurut Toyota, kotak gear iMT (intelligent Manual Transmission) mendapat perisian khas yang mengutamakan prestasi. Apa maksudnya di sini?

Tork dari enjin dioptimakan semasa anda melepaskan minyak untuk menekan klac dan menukar gear, dan iMT juga akan memberikan auto-blip semasa downshifting. Ciri auto-blip ini walaubagaimanapun dipadamkan secara automatik dalam mod Sport.

Nisbah gear akhir juga ditala semula untuk manual, iaitu 3.46 untuk pecutan lebih baik berbanding 3.15 pada model automatik.

Toyota juga memberi perincian kepada tombol gearnya yang seberat 200 gram, mengatakan bahawa nisbah tombolnya direka untuk mengurangkan daya diperlukan untuk menukar gear.

Toyota GR Supra manual ini juga hanya boleh didapati dengan pilihan enjin 3.0-liter 6-silinder sahaja, maka enjin 4-silinder buat masa ini hanya dikhaskan untuk kotak gear automatik. Enjin 3.0-liter turbo ini menjana output kira-kira 388PS dan 500Nm tork.

Selain itu, Toyota juga dikatakan telah menala semula stereng, suspensi dan mod Track pada Supra ini untuk drift lebih mudah.

Paling menarik, terdapat satu ciri baharu Hairpin+ yang akan membolehkan ‘wheelspin’ lebih banyak untuk lebih keseronokan memandu.

Hanya 500 unit akan dibina untuk Supra A91-MT ini dengan dua pilihan warna iaitu CU Later Gray dan Matte White. Di beberapa pasaran, sistem audio JBL dengan 12 pembesar suara akan diberikan secara standard.

Toyota GR Supra kini dengan Apple CarPlay untuk pasaran Malaysia, RM590k

HAMPIR dua tahun berada dalam pasaran Malaysia, Toyota GR Supra kini menerima penambahbaikan terbaharu iaitu Apple CarPlay. Ini pasti menjadikan perjalanan anda pemilik Supra lebih bermakna dengan sambungan mudah ke peranti.

Sambungan Apple CarPlay ini walaubagaimanapun adalah jenis wayar, dan bukan wireless. Ciri ini akan melengkapi fungsi infotainmen sedia ada iaitu skrin sesentuh 8.8-inci dengan kawalan touch pad, sistem navigasi, USB dan Bluetooth.

GR Supra juga dilengkapi dengan sistem JBL HiFi Surround Sound dengan 12-pembesar suara untuk pengalaman audio terbaik.

Ya, walaupun Toyota GR Supra merupakan kereta sports dengan bunyi merdu dari enjin enam-silinder, ia tetap selesa dipandu untuk jarak jauh. Jadi, tak salah rasanya ada sistem infotainmen yang mantap, bukan?

Penambahan ciri terbaharu ini merupakan kemaskini kedua yang dilakukan terhadap GR Supra selepas naik taraf prestasi yang diperkenalkan pada Julai 2020.

Naik taraf prestasi itu melibatkan enjin enam-silinder turbo enam-silinder sebarisnya yang kini menjana 388hp antara 5,800 hingga 6,500 rpm, iaitu 14 peratus lebih dari sebelumnya.

Tork maksimum kekal pada 500Nm, tetapi ia berada dalam julat yang lebih luas antara 1,800 dan 5,000 rpm berbanding 1,600 hingga 4,500 rpm sebelumnya. Transmisi kekal automatik 8-kelajuan.

Jurutera Toyota turut meningkatkan janaan kuasa tersebut dengan cara menala semula dan menambah manifold ekzos dua cabang dengan enam port (berbanding hanya dua port), yang memperbaiki pengurusan haba enjin.

Rekaan baru untuk piston pula telah mengurangkan nisbah mampatan enjin dari 11:1 kepada 10.2:1.

Semua penambah baikan itu membolehkan GR Supra memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 4.1 saat, menjadikannya 0.2 saat lebih pantas berbanding sebelumnya.

Casis GR Supra juga ditala dengan tambahan Performance Rod untuk meningkatkan ketahanannya dan memberikan kestabilan lebih baik ketika di selekoh.

GR Supra ditawarkan dalam tujuh warna; White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic, Prominence Red, Lightning Yellow dan Matte Storme Grey Metallic.

Ia dijual pada harga bermula RM589,987 (dengan 50% pengecualian SST hingga 31 Disember 2021 dan tidak termasuk insurans).

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari toyota.com.my atau hubungi talian bebastol Toyota di 1-800-8-TOYOTA (869682).