Arkib Tag: dmax

Isuzu catat jualan memberangsangkan untuk 2023, no.1 untuk segmen trak

ISUZU Malaysia sekali lagi merekodkan prestasi luar biasa dengan mencatatkan jualan trak paling tinggi berbanding jenama-jenama lain bagi tahun 2023.

Pencapaian itu meletakkan Isuzu di kedudukan No. 1 dalam segmen trak secara keseluruhan selama 10 tahun berturut-turut serta jenama trak tugas ringan (light duty) selama 14 tahun berturut-turut di Malaysia.

Kedudukan pasaran terkemuka Isuzu diperkukuhkan dengan pretasi jualan keseluruhan sebanyak 7,209 unit, termasuk trak ringan, sederhana, dan berat untuk tahun lalu. Ini mewakili 44.9 peratus pegangan pasaran segmen trak keseluruhan di Malaysia.

Sementara itu, segmen trak ringannya mencatatkan jualan sebanyak 6,864 unit, adalah merupakan jualan tertinggi di Malaysia untuk segmen itu.

Isuzu Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus berbanding tahun kewangan terdahulu, sekaligus membuktikan satu perkembangan yang positif berterusan daripada Isuzu Malaysia.

Dari segi jualan pula, Isuzu Malaysia memperoleh pertumbuhan positif sebanyak 11 peratus dalam segmen trak sederhana, trak berat, dan prime mover untuk 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, “Kami sangat berbesar hati kerana berjaya mencapai kejayaan luar biasa ini untuk sekali lagi menjadi jenama trak paling laris di Malaysia. Mengekalkan kejayaan selama lebih sedekad ini sudah pasti melangkaui jangkaan kami.

“Pada masa yang sama, kami sangat teruja apabila mengetahui bahawa penguasaan berterusan di pasaran jelas menunjukkan komitmen Isuzu Malaysia yang menawarkan rangkaian trak paling luas dan termaju kepada para pelanggan, meskipun terpaksa mengharungi perubahan landskap industri.”

“Faktor kestabilan ekonomi dan juga pemulihan rantaian bekalan telah menyumbang kepada peningkatan positif pasaran kenderaan komersial, terutama dalam segmen trak tugas ringan. Prestasi positif ini menyerlahkan lagi kehadiran kami di pasaran ini,” tambah Okazoe.

Jualan Isuzu D-Max cemerlang untuk 2023 – 9,650 unit terjual

ISUZU D-Max terus mencatatkan jualan memberangsangkan untuk 2023 dengan 9,650 unit yang merupakan rekod baharu. Ini juga merupakan pertambahan 439 unit berbanding 9,211 yang terjual pada 2022.

Dengan rekod jualan dua tahun berturut-turut di Malaysia, Isuzu D-Max generasi ketiga berjaya membuka jalan tersendiri dan menjadi trak pikap pilihan pengguna.

“Sejak D-Max generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia pada 2021, minat terhadap model ini sangat konsisten tinggi disebabkan oleh cirinya yang canggih, karektor pemanduan cemerlang, operasi versatil dan nilai yang menguntungkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

“Model baru ini juga telah memperluaskan lingkungan pelanggan kami dan mencatatkan perluasan jualan sebanyak 185 peratus, dan dalam masa yang sama mengekalkan kelompok pelanggan sedia ada.”

Dengan barisan lapan varian komprehensif untuk Isuzu D-Max, anda boleh memilih model mana yang bersesuaian dengan kegunaan mereka, bermula dari versi Single Cab hinggalah kepada yang paling canggih dan model flagship, X-Terrain.

Menjadi pilihan utama sekali lagi adalah varian 1.9L Standard yang menyumbang sebanyak 28 peratus jualan.

Permintaan terhadap varian X-Terrain juga terus meningkat sepanjang 2023. Jualannya meningkat sebanyak 24.5 peratus sejak pelancarannya.

Ciri menariknya termasuklah Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan juga jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

Permintaan kukuh yang berterusan untuk Isuzu D-Max membolehkan jenama ini untuk berada di kedudukan No. 2 di Sabah, Kedah dan Pahang bagi segmen trak pikap.

Sementara untuk kedudukan peringkat nasional pula, ia berada di kedudukan ketiga dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 16.6 peratus.

Isuzu 3S Temerloh dibuka, perkukuh kehadiran di tengah Semenanjung Malaysia

ORANG kata Temerloh merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia. Dan Isuzu memperkukuhkan kehadiran mereka di kawasan ini dengan pembukaan Pusat 3S Isuzu Temerloh yang telah diperbaharui.

Terletak secara strategik di laluan utama menuju bandar, cawangan yang dikendalikan oleh Pacific Motor Sdn Bhd menampilkan identiti korporat Isuzu Malaysia yang terbaharu serta menyediakan kemudahan jualan dan lepas jualan untuk memenuhi keperluan pelanggan Isuzu yang jumlahnya semakin bertambah di sekitar kawasan berkenaan.

Pembukaan pusat 3S baharu ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe yang meyakini kemudahan baharu tersebut sarat ciri moden dan lengkap yang mampu memenuhi keperluan pelanggan, baik yang sedia ada atau untuk tahun-tahun ke hadapan.

“Pembukaan kemudahan baharu yang dipertingkatkan seperti di Pusat 3S Isuzu Temerloh ini akan memperkukuhkan lagi sasaran kami untuk memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan dengan jaminan untuk menepati setiap daripada jangkaan mereka,” jelas Okazoe.

Pusat 3S Isuzu Temerloh meliputi kawasan seluas 7,000 meter persegi, membolehkannya memuatkan semua lori dan trak Isuzu yang datang untuk penyelenggaraan.

Enam ruang servis yang ada mampu mempercepatkan kitaran temujanji pelanggan, sekaligus membolehkan mereka mendapat semula kenderaan dengan cepat dan berlapang fikiran kerana mengetahui kenderaan Isuzu mereka sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.

Di dalam kemudahan baharu ini disertakan juga ruang menunggu yang selesa, lengkap dengan hidangan ringan sambil pelanggan boleh juga mendekati model Isuzu D-Max terbaharu dalam ruang pameran nyaman berpenghawa dingin serta memanfaatkan panel maklumat digital yang mesra alam.

Bagi mereka yang mencari lori untuk membantu perniagaan pula, perunding berpengalaman sentiasa bersedia membantu.

Pahang kekal menjadi lokasi strategik dan penting untuk Isuzu Malaysia dalam membantu trak Isuzu mendominasi 72 peratus pasaran sejak Januari hingga Julai tahun ini, menjadikannya negeri nombor satu bagi perkongsian pasaran oleh syarikat.

Trak pikap Isuzu D-Max juga berjaya menembusi pasaran di Pahang dan berganjak ke kedudukan kedua dalam carta jualan trak pikap.

Jualan bagi model generasi ketiga Isuzu D-Max meningkat naik sebanyak 7.2 peratus antara Januari dan Ogos tahun ini, menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak 24.4 peratus.

Pusat 3S Isuzu Temerloh terletak di Bangunan Tanjung Keramat, Batu 1 Jalan Mentakab dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

9,211 unit Isuzu D-MAX terjual pada 2022, rekod jualan tertinggi setakat ini

ISUZU Malaysia menutup tirai 2022 dengan prestasi jualan tertinggi setakat ini, dengan 9,211 unit D-MAX terjual. Angka ini hanya kekurangan beberapa unit sahaja lagi untuk membolehkan mereka mencatat jualan sekali ganda berbanding 2021.

Prestasi menakjubkan ini menjadi rekod tarbaharu yang belum pernah dicapai setakat ini, mengatasi rekod sebelumnya yang melibatkan 6,480 trak pikap terjual pada 2016.

Prestasi ini disumbangkan oleh minat meluas terhadap model 1.9-liter yang telah terbukti cekap dan hanya melibatkan kos penggunaan yang rendah, dan dalam masa sama tampil cukup meyakinkan dari segenap aspek rekaan, kelengkapan, prestasi dan keselamatan.

Mengisi 79 peratus daripada portfolio keseluruhan, varian 1.9-liter menjadi pilihan utama di Malaysia, terutama di Semenanjung Malaysia di mana 55 peratus daripada jumlah keseluruhan trak pikap terjual.

Varian flagship X-Terrain juga semakin menarik perhatian pelanggan bagi segmen trak pikap gaya hidup walaupun masih dikira baru dalam pasaran.

Sebanyak 877 unit telah diserahkan kepada pelanggan yang memilihnya di sebabkan oleh penampilan segak model berkenaan yang datang dengan ruang dalaman yang luas lagi selesa, prestasi yang meyakinkan serta aspek keselamatan yang canggih.

“Walaupun berdepan dengan kekurangan stok dari kilang, Isuzu D-MAX generasi ketiga mencapai tahap membanggakan dari segi penembusan pasaran,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

“Dengan rekaan menawan dan segar, generasi terkini Isuzu D-MAX membawakan tahap baru dalam keselesaan pemanduan trak pikap, tanpa mengorbankan warisan dan ketahanan sedia ada Isuzu. Ia benar-benar mewakili semangat sebuah trak pikap moden.”

Dengan semua model yang ada ini diberi penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP, barisan Isuzu D-MAX turut menawarkan kelegaan fikiran, terutama melalui varian X-Terrain yang diberikan jaminan tanpa had selama tujuh-tahun, yang pertama seumpamanya untuk trak pikap.

Borneo Safari kembali, Isuzu D-Max X-Terrain baharu akan diuji sepenuhnya

SELEPAS tampil di suasana urban bergaya ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun ini, Isuzu D-Max X-Terrain kini bersedia pula untuk menyahut cabaran lebih getir dalam acara off-road antarabangsa Borneo Safari.

Tiga unit trak pikap berkenaan akan digunakan sebagai kenderaan rasmi media untuk acara tersebut.

Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA), Haji Faez Nordin yang menerima trak pikap berkenaan daripada Pengurus Pemasaran Isuzu Malaysia, Alan Lee, berterima kasih atas sokongan berterusan Isuzu terhadap acara seminggu yang dijangka bakal berlangsung pada penghujung Oktober ini.

Ini juga akan menandakan kembalinya acara ini selepas pandemik melanda sejak lebih dua tahun lalu.

Acara tahun ini dijangka akan menempuh permukaan dan laluan antara yang paling sukar di bahagian kaki gunung Kinabalu, berdekatan Kota Belud.

Dengan pemandangan indah dan sungai bersih yang menyambut pengunjung, permukaan berbatu dan sukar juga akan memberikan cabaran yang bukan calang-calang untuk peserta dan jentera yang terlibat.

“Acara dalam skala seperti ini memerlukan sokongan besar baik dari segi kewangan dan juga penggunaan kenderaan yang cukup berkeupayaan,” jelas Faez.

“Kami sangat berterima kasih kepada Isuzu Malaysia kerana sekali lagi menyediakan kami dengan Penajaan Platinum serta sebagai pembekal kenderaan rasmi media,” tambahnya.

Tahun ini, Borneo Safari akan meraikan kali ke-30 acara ini dianjurkan setakat ini. Ia juga bakal menyaksikan penampilan sulung Isuzu D-Max generasi ketiga X-Terrain ditugaskan untuk menakluk hutan tebal Borneo kali ini.

“X-Terrain telah dipilih sebagai pembawa bendera kerana ia dilengkapi pelbagai ciri bantuan elektronik pintar,” jelas Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

“Digandingkan bersama kejuruteraan tinggi komponen mekanikalnya, kami percaya D-Max X-Terrain menggabungkan kepintaran dan ketangkasan yang diperlukan untuk menjadi satu daripada kenderaan off-road moden paling cekap dalam acara berkenaan.”

Isuzu D-MAX terjual 1,233 unit pada Mac 2022, rekod jualan terbaik sejak 2005

ISUZU D-Max generasi ketiga serba baru mencatatkan jualan tertinggi untuk pasaran tempatan pada bulan Mac 2022, mengatasi jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai sejak Isuzu Malaysia mula beroperasi di sini pada 2005.

Angka rasmi menunjukkan yang Isuzu Malaysia mencatatkan 1,233 pendaftaran bagi Isuzu D-Max terbaru sepanjang Mac, didorong oleh serahan kenderaan yang kembali meningkat bertujuan untuk memenuhi pesanan tertangguh sebelum ini.

Angka baharu ini mengatasi rekod Isuzu yang sebelumnya, dengan 885 unit terjual pada Disember 2014 selepas pengenalan varian 3.0-liter V-Cross yang sangat popular ketika itu.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo memaklumkan, peningkatan serahan dari kilang telah membolehkan syarikat itu memendekkan penantian pelanggan bagi mendapatkan kenderaan baru mereka.

“Sebagai sebuah jenama yang mementingkan pelanggan, dan faham bahawa pemilik kenderaan kami sangat bergantung kepada kenderaan Isuzu mereka untuk selalu bersedia berkhidmat bagi segala urusan, keutamaan kami adalah untuk meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan yang juga semakin bertambah terhadap trak pikap pelbagai guna ini,” ujarnya.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sabar menunggu ketibaan D-Max terbaru mereka. Kami akan terus meningkatkan bekalan bagi bulan-bulan mendatang bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu untuk pelanggan mendapatkan kenderaan mereka,” tambahnya.

Peningkatan bekalan berkenaan dapat dicapai melalui peruntukan tambahan dari kilang dan menyaksikan varian paling banyak diserahkan sepanjang Mac adalah varian 1.9 Premium Auto dengan sejumlah 350 unit.

Sebagai pilihan popular warga Malaysia, varian 1.9 Premium Auto menawarkan rekaan bergaya, prestasi pemanduan cemerlang, ciri dalaman premium dan cukai jalan paling rendah bagi segmennya; mempertemukan semua perkara yang diidamkan dari sebuah trak pikap dalam satu pakej.

Permintaan terhadap varian flagship X-Terrain juga memperlihatkan peningkatan kepada 163 unit serahan, walaupun model ini – yang merupakan model popular di peringkat global – turut mengalami kekurangan bekalan.

Varian berkenaan yang dilengkapi aspek keselamatan canggih dan ciri untuk keselesaan telah terbukti menjadi pilihan terbaik bagi pelanggan yang mahukan sebuah trak pikap yang memberikan nilai terbaik untuk semua lapisan pengguna.

Bakal Ketua Pegawai Eksekutif terkini Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe menggariskan keperluan untuk mengutamakan kepuasan pelanggan melalui usaha jualan dan lepas jualan yang diperbaik lagi.

Okazoe pernah memikul tanggungjawab di peringkat antarabangsa di Jepun, Amerika, India dan Thailand, beliau telah menyandang beberapa kedudukan dalam lapangan korporat dan perancangan jualan, beliau menekankan bahawa keutamaannya ketika bertugas di Malaysia adalah untuk memperkukuh rangkaian Isuzu dan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan.

Isuzu D-MAX X-Terrain raih pelbagai anugerah, lebih 700 unit terjual

Sejak pengenalan globalnya, Isuzu D-MAX serba baharu generasi ketiga telah meraih perhatian ramai pengguna dan pengkritik sekaligus, serta menemukan peminat baru yang menghargai tahap kecanggihan, keselesaan dan kemampuannya yang mengagumkan.

Valencia Orange antara warna pilihan bagi Isuzu D-Max generasi ketiga. – Foto oleh Isuzu Malaysia

Di Malaysia, pelancaran D-MAX serba baharu ini pada April tahun lalu menarik banyak minat, terutama terhadap varian flagship terbaru, X-Terrain yang membantu memperluaskan lagi kelompok pengguna dan pemilik baharu trak pikap.

“Melalui rekaan kukuh dan menonjol yang ada pada model baharu ini, serta ciri keselamatan dan keselesaannya yang cemerlang dan kehalusan premium ala SUV, Isuzu D-Max X-Terrain telah menjangkau tahap baharu untuk menjadi trak pikap yang paling didambakan dalam pasaran ketika ini,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Walaupun bekalan D-Max terkesan teruk akibat gangguan bekalan semi-konduktor, 713 pemilik telah menerima X-Terrain baharu mereka, menjadikannya model kedua paling popular dari barisan trak pikap Isuzu Malaysia selepas varian 1.9 liter 4×4 Premium yang mencatatkan jualan 842 unit.

Pusat bandar di Lembah Klang dan Kota Kinabalu menjadi lokasi utama menyaksikan jualan tertinggi model flagship berkenaan, menyumbang lebih daripada separuh daripada angka jualan keseluruhan di negara ini.

Varian baharu X-Terrain berkenaan disifatkan sebagai model yang memberikan definisi baharu kepada landskap industri trak pikap, menggabungkan tahap keselesaa, kehalusan dan keselamatan dalam satu pakej tanpa mengorbankan perwatakan trak Isuzu.

Dalam tempoh singkat sejak pelancarannya, Isuzu D-Max X-Terrain telah meraih tidak kurang daripada lima anugerah Trak Pikap Terbaik Tahunan.

Pihak media seperti Carplus, Carlist, DSF.my, Rider ATH dan Wapcar memilih Isuzu D-Max sebagai pemenang kerana kemampuannya untuk membawa pengalaman trak pikap ke tahap baharu.

“Ramai pelanggan yang telah menunggu dengan sabar untuk penghantaran trak mereka. Kami berharap agar gangguan bekalan ini diatasi segera untuk membolehkan kami memenuhi semua permintaan trak baharu ini,” ujar Sogo.

“Sebaik sahaja bekalan pulih, kami menjangkakan akan dapat menggandakan penghantaran dan mencapai sasaran untuk menjual 8,000 unit tahun ini,” tambah beliau.

Isuzu D-MAX 4×2 versi RWD ini mungkin paling sesuai untuk kenderaan syarikat anda, RM101k sahaja

BUKAN semua trak pikap memerlukan pacuan empat roda 4X4, jadi Isuzu menawarkan D-MAX 4X2 iaitu pacuan roda-belakang (RWD). Menurut Isuzu, hanya kira-kira 28 peratus pemilik trak pikap menggunakan fungsi 4X4 mereka.

Ia hadir dengan varian D-MAX Auto Plus 4X2 1.9L, bermakna trak pikap ini dikuasakan oleh enjin 1.9-liter RZ4E-TC yang menghasilkan 150hp dan 350Nm. Kotak gear masih kekal automatik 6-kelajuan.

Dengan menggugurkan transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L hanya mempunyai berat 1,830kg, pengurangan 85kg berbanding model 4×4 biasa. Pengurangan komponen juga bermakna berkurangnya kos dan keperluan penyelenggaraan.

“Dalam waktu mencabar ini, Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L baru memberikan kelegaan yang lain dalam menawarkan pakej lebih mampu milik, dengan kemampuan sama serta penampilan menarik,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Walaupun menggunakan pacuan 4X2, D-MAX ini tetap mampu menggalas tugas berat disebabkan ia dilengkapi suspensi 3-leaf semi-elliptical spring di belakang selain double-wishbone di depan.

Ciri luaran pada D-MAX 4X2 termasuklah lampu Bi-LED dengan DRL LED, gril kelabu, rim 17-inci dengan tayar radial 255/65, pemijak sisi, dan alas ruang kargo belakang. Varian ini boleh dibezakan melalui pelekat “4X2 Auto Plus” di sisi badan.

D-MAX 4X2 juga mendapat kamera undur yang dipaparkan pada skrin multimedia 7-inci di kabin. Kelengkapan lain pada ruang kabin adalah kerusi fabrik dengan pelarasan 6-arah untuk pemandu serta stereng balutan kulit dengan butang kawalan pelbagai fungsi.

Di konsol tengah terletak pula sistem multimedia tujuh-inci dengan skrin sentuh. Ini menawarkan pilihan ketersambungan termasuk USB, Bluetooth, WiFi, MirrorLink, Miracast, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ini menawarkan hiburan tanpa had melalui enam-pembesar suaranya.

Untuk keselamatan, Isuzu D-MAX 4X2 hadir dengan ciri standard seperti ABS, EBD, Brake Assist, ESC, Traction Control System, Hill Start Assist, dan Hill Descent Control.

Isuzu D-MAX 4X2 boleh didapati dengan lima pilihan warna: Splash White Solid, Mercury Silver Metallic, Onyx Black Mica, Sapphire Blue Mica dan Valencia Orange Metallic.

Trak pikap ini ijual pada harga RM100,999.20 (atas jalan tidak termasuk insurans) dan kini boleh ditempah dan penghantaran akan dilakukan awal bulan November 2021.