fbpx

Isuzu 3S Temerloh dibuka, perkukuh kehadiran di tengah Semenanjung Malaysia

isuzu central pahang 04

ORANG kata Temerloh merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia. Dan Isuzu memperkukuhkan kehadiran mereka di kawasan ini dengan pembukaan Pusat 3S Isuzu Temerloh yang telah diperbaharui.

Terletak secara strategik di laluan utama menuju bandar, cawangan yang dikendalikan oleh Pacific Motor Sdn Bhd menampilkan identiti korporat Isuzu Malaysia yang terbaharu serta menyediakan kemudahan jualan dan lepas jualan untuk memenuhi keperluan pelanggan Isuzu yang jumlahnya semakin bertambah di sekitar kawasan berkenaan.

Pembukaan pusat 3S baharu ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe yang meyakini kemudahan baharu tersebut sarat ciri moden dan lengkap yang mampu memenuhi keperluan pelanggan, baik yang sedia ada atau untuk tahun-tahun ke hadapan.

“Pembukaan kemudahan baharu yang dipertingkatkan seperti di Pusat 3S Isuzu Temerloh ini akan memperkukuhkan lagi sasaran kami untuk memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan dengan jaminan untuk menepati setiap daripada jangkaan mereka,” jelas Okazoe.

Pusat 3S Isuzu Temerloh meliputi kawasan seluas 7,000 meter persegi, membolehkannya memuatkan semua lori dan trak Isuzu yang datang untuk penyelenggaraan.

Enam ruang servis yang ada mampu mempercepatkan kitaran temujanji pelanggan, sekaligus membolehkan mereka mendapat semula kenderaan dengan cepat dan berlapang fikiran kerana mengetahui kenderaan Isuzu mereka sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.

Di dalam kemudahan baharu ini disertakan juga ruang menunggu yang selesa, lengkap dengan hidangan ringan sambil pelanggan boleh juga mendekati model Isuzu D-Max terbaharu dalam ruang pameran nyaman berpenghawa dingin serta memanfaatkan panel maklumat digital yang mesra alam.

Bagi mereka yang mencari lori untuk membantu perniagaan pula, perunding berpengalaman sentiasa bersedia membantu.

Pahang kekal menjadi lokasi strategik dan penting untuk Isuzu Malaysia dalam membantu trak Isuzu mendominasi 72 peratus pasaran sejak Januari hingga Julai tahun ini, menjadikannya negeri nombor satu bagi perkongsian pasaran oleh syarikat.

Trak pikap Isuzu D-Max juga berjaya menembusi pasaran di Pahang dan berganjak ke kedudukan kedua dalam carta jualan trak pikap.

Jualan bagi model generasi ketiga Isuzu D-Max meningkat naik sebanyak 7.2 peratus antara Januari dan Ogos tahun ini, menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak 24.4 peratus.

Pusat 3S Isuzu Temerloh terletak di Bangunan Tanjung Keramat, Batu 1 Jalan Mentakab dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved