fbpx

Borneo Safari kembali, Isuzu D-Max X-Terrain baharu akan diuji sepenuhnya

isuzu d-max borneo safari 2022 04

SELEPAS tampil di suasana urban bergaya ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun ini, Isuzu D-Max X-Terrain kini bersedia pula untuk menyahut cabaran lebih getir dalam acara off-road antarabangsa Borneo Safari.

Tiga unit trak pikap berkenaan akan digunakan sebagai kenderaan rasmi media untuk acara tersebut.

Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA), Haji Faez Nordin yang menerima trak pikap berkenaan daripada Pengurus Pemasaran Isuzu Malaysia, Alan Lee, berterima kasih atas sokongan berterusan Isuzu terhadap acara seminggu yang dijangka bakal berlangsung pada penghujung Oktober ini.

Ini juga akan menandakan kembalinya acara ini selepas pandemik melanda sejak lebih dua tahun lalu.

Acara tahun ini dijangka akan menempuh permukaan dan laluan antara yang paling sukar di bahagian kaki gunung Kinabalu, berdekatan Kota Belud.

Dengan pemandangan indah dan sungai bersih yang menyambut pengunjung, permukaan berbatu dan sukar juga akan memberikan cabaran yang bukan calang-calang untuk peserta dan jentera yang terlibat.

“Acara dalam skala seperti ini memerlukan sokongan besar baik dari segi kewangan dan juga penggunaan kenderaan yang cukup berkeupayaan,” jelas Faez.

“Kami sangat berterima kasih kepada Isuzu Malaysia kerana sekali lagi menyediakan kami dengan Penajaan Platinum serta sebagai pembekal kenderaan rasmi media,” tambahnya.

Tahun ini, Borneo Safari akan meraikan kali ke-30 acara ini dianjurkan setakat ini. Ia juga bakal menyaksikan penampilan sulung Isuzu D-Max generasi ketiga X-Terrain ditugaskan untuk menakluk hutan tebal Borneo kali ini.

“X-Terrain telah dipilih sebagai pembawa bendera kerana ia dilengkapi pelbagai ciri bantuan elektronik pintar,” jelas Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

“Digandingkan bersama kejuruteraan tinggi komponen mekanikalnya, kami percaya D-Max X-Terrain menggabungkan kepintaran dan ketangkasan yang diperlukan untuk menjadi satu daripada kenderaan off-road moden paling cekap dalam acara berkenaan.”

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved