fbpx

Isuzu D-MAX 4×2 versi RWD ini mungkin paling sesuai untuk kenderaan syarikat anda, RM101k sahaja

isuzu d-max 4×2 02

BUKAN semua trak pikap memerlukan pacuan empat roda 4X4, jadi Isuzu menawarkan D-MAX 4X2 iaitu pacuan roda-belakang (RWD). Menurut Isuzu, hanya kira-kira 28 peratus pemilik trak pikap menggunakan fungsi 4X4 mereka.

Ia hadir dengan varian D-MAX Auto Plus 4X2 1.9L, bermakna trak pikap ini dikuasakan oleh enjin 1.9-liter RZ4E-TC yang menghasilkan 150hp dan 350Nm. Kotak gear masih kekal automatik 6-kelajuan.

Dengan menggugurkan transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L hanya mempunyai berat 1,830kg, pengurangan 85kg berbanding model 4×4 biasa. Pengurangan komponen juga bermakna berkurangnya kos dan keperluan penyelenggaraan.

“Dalam waktu mencabar ini, Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L baru memberikan kelegaan yang lain dalam menawarkan pakej lebih mampu milik, dengan kemampuan sama serta penampilan menarik,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Walaupun menggunakan pacuan 4X2, D-MAX ini tetap mampu menggalas tugas berat disebabkan ia dilengkapi suspensi 3-leaf semi-elliptical spring di belakang selain double-wishbone di depan.

Ciri luaran pada D-MAX 4X2 termasuklah lampu Bi-LED dengan DRL LED, gril kelabu, rim 17-inci dengan tayar radial 255/65, pemijak sisi, dan alas ruang kargo belakang. Varian ini boleh dibezakan melalui pelekat “4X2 Auto Plus” di sisi badan.

D-MAX 4X2 juga mendapat kamera undur yang dipaparkan pada skrin multimedia 7-inci di kabin. Kelengkapan lain pada ruang kabin adalah kerusi fabrik dengan pelarasan 6-arah untuk pemandu serta stereng balutan kulit dengan butang kawalan pelbagai fungsi.

Di konsol tengah terletak pula sistem multimedia tujuh-inci dengan skrin sentuh. Ini menawarkan pilihan ketersambungan termasuk USB, Bluetooth, WiFi, MirrorLink, Miracast, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ini menawarkan hiburan tanpa had melalui enam-pembesar suaranya.

Untuk keselamatan, Isuzu D-MAX 4X2 hadir dengan ciri standard seperti ABS, EBD, Brake Assist, ESC, Traction Control System, Hill Start Assist, dan Hill Descent Control.

Isuzu D-MAX 4X2 boleh didapati dengan lima pilihan warna: Splash White Solid, Mercury Silver Metallic, Onyx Black Mica, Sapphire Blue Mica dan Valencia Orange Metallic.

Trak pikap ini ijual pada harga RM100,999.20 (atas jalan tidak termasuk insurans) dan kini boleh ditempah dan penghantaran akan dilakukan awal bulan November 2021.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved