Arkib Tag: cybertruck

Tesla Cybertruck akhirnya dapat mod off-road dengan pengunci differential

TESLA Cybertruck telah membuat kemunculan di Malaysia baru-baru ini selepas beberapa bulan berada dijual di seluruh dunia. Tetapi ia tidak mempunyai beberapa ciri utama sebuah trak pikap (itu pun jika anda mahu guna Tesla Cybertruck ini seperti sebuah trak pikap).

Apa pun, kemas kini perisian tidak lama lagi akan memberikan Cybertruck pengunci differential dan beberapa ciri off-road lain untuk membolehkan anda memandunya di laluan mencabar.

Ciri ini dinamakan Off-Road Mode, yang akan menambah baik pengendalian di batu-batu, kerikil, salji tebal, dan pasir.

Pengunci differential itu boleh didapati di model dwi-motor pacuan semua-roda. Model tiga motor pula boleh dikunci differential depannya, sementara differential belakang memasuki mod Overland.

Trail Assist pula membantu kelancaran di kelajuan perlahan di atas permukaan tidak rata supaya pemandu boleh fokus kepada kawalan stereng.

Terdapat juga Baja Mod yang boleh membantu keseimbangan dan pengendaliannya jika pemandu menetapkan Stability Assist pada tahap Minimal. Ia berfungsi dengan kawalan naik dan menuruni bukit.

Tetapi bukan semua kemas kini adalah untuk fungsi off-road. Tesla juga memperbaiki kebolehan trak ini untuk mengagak beban dan melaraskan suspensi adaptif dengan sesuai.

CyberTent Mode pula mengimbangi suspensi supaya trak ini kekal tegak walaupun ia berada di permukaan senget. Ini membolehkan anda tidur di atas permukaan rata (sekiranya anda mahu tidur di dalam Cybertruck). Ia juga membiarkan lampu dan soket kuasa dihidupkan.

Kemas kini terbaharu Cybertruck ini diumumkan oleh Tesla di laman X (Twitter) mereka.

Tesla Cybertruck dipanggil semula kerana kemungkinan pedal minyak tersangkut

TESLA sedang menjalankan recall (panggilan semula) untuk trak pikap elektrik (EV) Cybertruck mereka. Ini kerana pad plastik di atas pedal minyaknya boleh tertanggal dan tersangkut pada trim semasa pedal ditekan, memberikan risiko perlanggaran.

Recall itu dibuat oleh NHTSA (National Highway Traffic Safety Administration) hari ini selepas laporan-laporan media sosial menunjukkan pad pada pedal trak pikap EV itu longgar.

Tetapi pemilik-pemilik Cybertruck mendakwa menekan brek semasa pedal minyak itu ditekan akan mematikan input pedal minyak.

Pegawai NHTSA berkata dalam satu laporan bahawa “menekan pedal brek akan mematikan tork pacuan, termasuk jika menekan kedua-dua pedal, dan jika pedal brek terus ditekan ia akan menghentikan kenderaan sama cepat seperti pedal minyak tidak ditekan.”

Keseluruhan unit Cybertruck terlibat dalam recall ini, iaitu 3,878 unit yang dikeluarkan dari 13 november hingga 4 April. Selepas laporan media sosial itu tular, Tesla dikatakan telah menghentikan pengeluaran Cybertruck.

Punca kepada masalah ini ialah sabun. Ya, sabun!

Ia digunakan untuk memudahkan pad itu melekat pada pedal minyak semasa proses pemasangan. Dan ini didapati sebagai “perubahan tidak diluluskan” dalam proses pemasangan itu.

Disebabkan sabun ini, pad itu tidak melekat dengan begitu baik pada pedal, menyebabkannya mudah tertanggal.

Untuk menyelesaikan isu ini, Tesla akan menggantikan atau membaiki pedal minyak itu tanpa sebarang kos.

Trak yang dikeluarkan selepas 17 April telah diberikan komponen baharu dengan nombor siri baharu. Cybertruck yang belum diserahkan kepada pelanggan akan dibaiki dulu pedalnya ini terlebih dahulu.

Kenapa Tesla Cybertruck datang ke Malaysia?

SAYA pasti anda sudah melihat gambar dan video Tesla Cybertruck yang sudah berlegar di media sosial sejak minggu lepas lagi.

Walaupun sudah agak lambat, Engear TV baru-baru ini turut dijemput untuk melihat Cybertruck di Tesla Experience Centre di ibu pejabat Tesla Malaysia di Cyberjaya.

Seperti yang dijangka, ia besar dan nampak begitu mengagumkan apabila dilihat secara depan-depan. Sama ada fikir ia jelik atau sebaliknya, Cybertruck memang sangat menarik perhatian.

Tetapi apakah tujuan sebenar Cybertruck dibawa ke sini? Adakah Tesla Malaysia merancang untuk menjualnya di samping Model 3?

Jawapan ringkasnya, tidak kerana buat masa ini, Cybertruck hanya boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kiri. Tapi mana tahu Elon Musk akan berlembut hati dan ambil keputusan untuk jual versi pemanduan sebelah kanan suatu hari nanti?

Sementara ia berada di Malaysia, paultan.org melaporkan bahawa trak pikap ini akan dipamerkan untuk tontonan di bilik-bilik pameran Tesla di Cyberjaya dan Pavilion Damansara Heights pada Mei depan.

Berikut adalah antara beberapa fakta menarik mengenai Cybertruck:

  • Ia mempunyai ukuran panjang 5,682 mm, lebar 2,413 mm, tinggi 1,790 mm dan jarak roda 3,810 mm, bermakna ia lebih besar daripada trak pikap seperti Ford Ranger dan Toyota Hailak.
  • Bahagian bed pula berukuran 1,829 mm panjang dan 1,219 mm lebar, serta mempunyai ruang storan berkapasiti 1,897 liter.
  • Cybertruck ditawarkan dalam tiga varian iaitu Rear-Wheel Drive, All-Wheel Drive dan Cyberbeast. Unit yang dipamerkan di Cyberjaya ini adalah model Foundation Series yang berasaskan varian AWD.

  • Varian ini mempunyai 608 PS dan 10,080 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Jarak pandu adalah 547 km atau 756 km dengan range extender.
  • Ketiga-tiga varian Cybertruck boleh menampung berat muatan sehingga 1,134 kg. Bagaimanapun, kapasiti menunda berbeza mengikut varian iaitu 3,402 kg untuk varian RWD dan 4,990 kg untuk varian AWD dan Cyberbeast.
  • Cybertruck mempunyai badan exoskeleton dengan panel keluli tahan karat yang kalis peluru. Ia telah pun dibuktikan dalam satu demonstrasi di mana badan Cybertruck ditembak bertubi-tubi dengan senapang Thompson.

  • Cybertruck menggunakan sistem steer-by-wire yang boleh mengubah nisbah stereng berdasarkan kelajuan kenderaan dan faktor-faktor lain.
  • Ia juga didatangkan dengan kawalan stereng roda belakang dan pemvektoran tork, memberikannya radius putaran yang lebih kecil berbanding Model S.

Untuk lebih banyak fakta Cybertruck, jemput tonton video TikTok kami:

@engear.tv Trak pikap yang TAK BOLEH dijual di Malaysia. Apa yang menarik? #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tesla #cybertruck ♬ Piano sleep LoFi slow midnight(808930) – Gloveity

Nak dapat Tesla Cybertruck awal? Pilih versi Foundation Series yang berharga RM600k

TESLA mengalu-alukan mereka yang telah menempah Cybertruck untuk memilih Foundation Series, yang bermula pada USD120,000 (RM599,920) hingga USD135,000 (RM629,910). Jika anda pilih konfigurasi Foundation Series ini, anda mungkin dapat sebelum hujung bulan ini.

Foundation Series hanya terhad kepada 1,000 unit. Perincian tidak begitu banyak pada masa ini, tetapi ada beberapa ciapan di X (dahulunya Twitter) yang berkongsi maklumat lanjut. Tetapi sebelum itu, kita akan lihatkan berkenaan nama Foundation Series.

Foundation Series ialah sebuah buku sains fiksyen yang ditulis oleh Isaac Asimov. Musk pernah berkata siri ini antara kegemarannya untuk dibaca dan beliau juga menjadi peminat Asimov.

Buku-buku Foundation Series menceritakan berkenaan galaksi yang akan berlanggar. Seorang individu cuba menghalang perkara ini dari berlaku. Mungkin Musk meminati siri ini kerana beranggapan dirinya menjadi penyelamat dalam Foundation Series ini.

Menurut maklumat yang ditemui dari ciapan, forum, Facebook dan sebagainya, Tesla mula memberikan undangan untuk mereka yang menempah supaya memilih Foundation Series. Undangan itu bertulis:

“Sebagai pemegang tempahan awal, anda diundang menempah Cybertruck Foundation Series anda, dengan spesifikasi penuh dan mempunyai lencana ditempa laser edisi terhad, aksesori premium, alatan mengecas dengan Powershare, tayar all-terrain, Full-Self Driving, dan macam-macam lagi.”

Tesla menambah yang penghantaran telah bermula di California dan Texas dan mereka akan meneruskan lagi di “lebih banyak negeri pada 2024”. Hanya dua negeri buat masa ini, kedua-duanya dengan kilang Tesla.

Harga bagi Cybertruck Foundation Series ini ialah USD122,135 dan jika anda mahu ciri-ciri lain seperti range extender, perlu tambah lagi.

Cybertruck telah mula diserahkan dalam satu acara baru-baru ini dan kesemua 12 unit tersebut adalah Foundation Series. Jadi ada baki 988 unit.

Tesla Cybertruck diperkenalkan secara rasmi, ini apa yang anda perlu tahu

SEJAK diumumkan buat pertama kali pada November 2019, Tesla Cybertruck terus menarik perhatian pemerhati dan pemain industri bukan sahaja dengan rekaannya yang pelik tetapi juga dengan angka-angka luar biasa.

Kini, trak pikap EV itu telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran bersama-sama dengan spesifikasi lengkapnya. Berikut adalah apa yang anda perlu tahu mengenai Cybertruck:

Ada 3 varian untuk dipilih

Cybertruck akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Rear-Wheel Drive, All-Wheel Drive dan Cyberbeast.

Jumlah kuasa varian Rear-Wheel Drive tidak didedahkan, namun menurut Tesla varian ini boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 6.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Jarak pandu adalah sekitar 402 km.

Varian All-Wheel Drive mempunyai motor elektrik berkembar yang menjana 608 PS dan 10,080 Nm. Pecutan 0-96 km/j dilakukan dalam 4.1 saat manakala kelajuan maksimum adalah sama. Jarak pandu adalah 547 km atau 756 km dengan range extender.

Cyberbeast pula dilengkapi dengan tiga motor elektrik iaitu satu pada gandar hadapan dan selebihnya pada gandar belakang. Dengan 857 PS dan 13,959 Nm, ia memerlukan 2.6 saat untuk mencapai kelajuan 96 km/j dan boleh memecut sehingga 209 km/j. Jarak pandu adalah 515 km atau 708 km dengan range extender.

Jarak pandu tak cukup jauh? Range extender kan ada…

Ramai menyangkakan bahawa Tesla akan menggunakan enjin pembakaran dalaman sebagai pemanjang jarak namun sebenarnya range extender yang dimaksudkan adalah bateri pak tambahan sebesar kotak alat yang diletakkan pada bahagian belakang trak.

Ia ditawarkan sebagai aksesori tambahan namun hanya untuk varian AWD dan Cyberbeast.

Boleh tahan besar Cybertruck ni

Untuk pengetahuan anda, Cybertruck mempunyai ukuran panjang 5,682 mm, lebar 2,413 mm, tinggi 1,790 mm dan jarak roda 3,810 mm.

Bahagian bed pula berukuran 1,829 mm panjang dan 1,219 mm lebar, serta mempunyai ruang storan berkapasiti 1,897 liter.

Kapasiti muatan dan tunda

Ketiga-tiga varian Cybertruck boleh menampung berat muatan sehingga 1,134 kg. Bagaimanapun, kapasiti menunda berbeza mengikut varian iaitu 3,402 kg untuk varian RWD dan 4,990 kg untuk varian AWD dan Cyberbeast.

Walaupun nampak mengagumkan, angka-angka ini sebenarnya lebih rendah berbanding apa yang dijanjikan oleh Tesla sebelum ini.

Badan kalis peluru

Cybertruck sesuai untuk dimiliki oleh golongan elit dan bangsawan yang mempunyai banyak musuh kerana trak ini mempunyai badan exoskeleton dengan panel keluli tahan karat yang kalis peluru.

Ini bukan ‘syok sendiri’ kerana dakwaan itu telah pun dibuktikan dalam satu demonstrasi di mana badan Cybertruck ditembak bertubi-tubi dengan senapang Thompson.

Bukan itu sahaja, cermin Cybertruck (yang pecah selepas dibaling bola besi semasa demonstrasi pada 2019) boleh menahan impak bola besbol pada kelajuan 113 km/j.

Radius putaran lebih kecil dari Model S

Cybertruck menggunakan sistem steer-by-wire yang boleh mengubah nisbah stereng berdasarkan kelajuan kenderaan dan faktor-faktor lain.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan kawalan stereng roda belakang dan pemvektoran tork. Ini membantu memberi Cybertruck radius putaran yang lebih kecil berbanding Model S.

Harga

Di Amerika Syarikat, harga jualan Cybertruck bermula dari USD60,990 (RM285,036) untuk varian RWD, USD79,990 (RM373,833) untuk varian AWD dan USD99,990 (RM467,303) untuk Cyberbeast.

Ini Tesla Cybertruck khas untuk kucing, sebenarnya kotak pasir

PEMINAT Tesla mempunyai banyak pilihan untuk meletakkan logo jenama kegemaran mereka. Kebanyakan orang mungkin pilih barangan seperti topi atau kemeja-T, tetapi e-shop rasmi Tesla di China mempunyai produk unik iaitu kotak pasir untuk kucing!

Menariknya, kotak pasir yang biasa digunakan untuk kucing membuang najis mereka ini mempunyai bentuk Cybertruck. Mungkin ini boleh dikatakan Tesla Cybertruck untuk kucing?

Kotak pasir Cybertruck ini diperbuat dari kadbod sepenuhnya dengan bentuk bersegi dan permukaan rata diinspirasikan dari trak pikap EV tersebut.

Kadbod tebal dengan lima lapisan itu kalis lembapan dan sesuai untuk si bulus anda mencakar atau menggaru. Sementara itu bahagian badan terbuka dengan tiga lapisan cukup kukuh untuk kucing anda duduk berehat di atasnya.

Kotak pasir Cybertruck ini mempunyai kapasiti 15kg (33 pound), dikira lebih dari mencukupi untuk menutupi bau-bau kurang menyenangkan dari sisa kucing.

Kotak pasir Tesla Cybertruck ini dijual pada harga RM56.67 dan memerlukan sedikit kerja untuk memasangnya.

Di laman e-shop yang sama di China juga, terdapat barangan lain seperti batang besi dengan logo Tesla yang boleh digunakan untuk dipanaskan dan dicop pada kayu atau daging burger.

Tempahan Tesla Cybertruck kini lebih 1.9 juta unit! Tempoh menunggu lima tahun

TESLA Cybertruck baru dimulakan pengeluarannya dan hingga kini, terdapat lebih 1.9 juta tempahan. Memandangkan Tesla merancang untuk mengeluarkan sehingga 375,000 unit Cybertruck setiap tahun, ini bermakna tempoh menunggu kini mencapai lima tahun.

Tetapi mungkin ada juga antara mereka yang membuat tempahan akan membatalkan pembelian memandangkan bayaran tempahan cuma USD100 (RM456).

Cybertruck kini dikeluarkan di kilang Giga Texas dan mungkin akan dipasang juga di Giga Mexico apabila kilang itu siap dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Menarik juga untuk dilihatkan sama ada Tesla Cybertruck akan ditawarkan di pasaran luar selain Amerika Syarikat (AS). Buat masa ini, anda yang berada di Eropah dan Asia boleh membuat pra-tempahan trak EV itu.

Cuma isunya ialah saiz Cybertruck yang besar dan berat itu akan menimbulkan beberapa masalah. Contohnya, sesetengah negara Eropah akan terpaksa mengklasifikasikan trak itu sebagai kenderaan komersil atau semi.

Dalam satu temu bual bersama Earnings Call, Elon Musk memetik akan ciri inovatif pada Cybertruck, dimana ianya tidak seperti kenderaan lain yang ada di jalan raya sekarang.

“Saya ingin tekankan bahawa Cybertruck mempunyai banyak teknologi baharu padanya, memang banyak. Ia tidak nampak seperti kenderaan biasa kerana ia memang bukan kereta biasa,” katanya.

Cybertruck mencatat satu juta pra-tempahan pada Mei 2021, bermakna tempahan meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh dua tahun.

Tunda lagi! Pengeluaran Tesla Cybertruck dijangka bermula hujung 2023 pula

TESLA dilaporkan merancang untuk memulakan pengeluaran besar-besaran Cybertruck pada penghujung 2023, dua tahun selepas sasaran awal mereka iaitu 2021.

Reuters mendakwa maklumat ini diperolehi dari dua orang yang mempunyai pengetahuan mengenai perancangan ini, tetapi tiada perincian lain didedahkan dan Tesla juga tidak memberi maklum balas.

Bulan lepas, Tesla berkata mereka sedang mempersiapkan kilang di Austin, Texas untuk membina model baharu, dengan “produksi awal” dijangka bermula pertengahan 2023.

Imej oleh: CNBC

Elon Musk berkata semasa persidangan itu bahawa syarikat itu “dalam proses akhir untuk Cybertruck”.

Ini juga selari dengan kenyataan bahawa IDRA Group, iaitu syarikat Itali yang menghasilkan Giga Press seberat 9,000 tan yang akan digunakan untuk acuan Cybertruck, bahawa mesin itu sudah sedia untuk dibungkus dan dihantar.

Sejak prototaip Cybertruck didedahkan di penghujung 2019, Tesla telah menganjak waktu pengeluaran tiga kali, dari akhir 2021 ke akhir 2022, kemudian ke awal 2023, dan kini ke pertengahan 2023.

Semasa pendedahan pada 2019, Tesla Cybertruck dikatakan dijangka dijual pada harga permulaan sekitar USD40,000 (RM189,760).

Rivian R1T mula masuki pasaran AS – pesaing Tesla Cybertruck dengan kuasa hingga 700hp

TIDAK seperti sesetengah segmen kenderaan, trak pikap kekal popular di seluruh dunia dari dahulu sehingga kini dek sifatnya yang versatil dan tahan lasak.

Maka, tidak hairanlah jika syarikat-syarikat pengeluar kenderaan mula berusaha ke arah membangunkan ‘the next big thing’ dalam industri automotif iaitu trak pikap elektrik.

Setakat ini, segmen trak pikap elektrik dilihat bakal didominasi oleh jenama-jenama yang sudah lama bertapak seperti Tesla, Ford, Chevrolet dan GMC, namun ini tidak bermakna mereka tidak akan berhadapan dengan saingan daripada syarikat-syarikat startup. Rivian adalah salah satu daripada syarikat tersebut.

Berpengkalan di California, Rivian mempertaruhkan R1T untuk menyaingi Cybertruck, F-150 Lightning, Silverado EV dan Hummer EV di Amerika Syarikat.

Trak pikap elektrik itu diperkenalkan buat pertama kali pada 2019 namun menurut pengasas dan ketua pegawai eksekutif, RJ Scaringe, unit produksi pertama telah pun siap dibina pada 15 September lalu.

Seperti Cybertruck, R1T mempunyai reka bentuk yang futuristik namun ia tidaklah seradikal trak keluaran Tesla itu.

R1T mempunyai ukuran lebih pendek jika dibandingkan dengan Cybertruck, namun tinggi dan lebarnya tidak jauh berbeza.

Terdapat tiga varian yang ditawarkan iaitu Launch Edition (USD73,000), Adventure (USD73,000) dan Explore (USD67,500).

Menurut laman web syarikat itu, Launch Edition sudah pun habis ditempah, manakala Adventure dan Explore akan memasuki pasaran bermula Januari tahun hadapan.

Setiap varian didatangkan dengan konfigurasi quad motor di mana setiap roda dipacu oleh sebuah motor elektrik.

Model asas mempunyai 402hp/560Nm dan bateri 105kWh yang memberikan jarak pemanduan sejauh 370km, manakala model pertengahan mempunyai 754hp/1,120Nm dan jarak pemanduan melebihi 483km daripada bateri 135kWh.

Sementara itu, versi tertinggi pula bakal hadir dengan 700hp/1,120Nm dan bateri berkapasiti 180kWh dengan jarak pemanduan melebihi 644km dengan satu cas penuh.

Dari segi prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam 3.0 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200km/j. Namun, kelajuan di laluan lurus bukanlah tujuan utama R1T dibangunkan.

Sebagai sebuah trak pikap, ia harus berupaya mengatasi permukaan muka bumi yang mencabar. Menurut Rivian, R1T mempunyai sudut pendekatan 34-darjah, sudut pelepasan 29.3-darjah, sudut breakover 25.7-darjah, jarak lega tanah 14.9 inci dan keupayaan untuk meranduk air sedalam lebih tiga kaki.

Selain itu, trak ini juga mempunyai satu ciri unik yang dikenali sebagai Tank Turn. Secara asasnya, ciri ini membolehkan ia membuat pusingan setempat seperti sebuah kereta kebal. Ia bukanlah satu gimik semata-mata kerana ciri ini membolehkan ia keluar dari ruang yang sempat dengan mudah dan pantas.

Untuk menggalas tugas-tugas harian pula, R1T dilengkapi dengan bed berukuran 54 inci panjang dan 51.1 inci lebar, dengan kapasiti muatan hampir 800 kg. Selain itu, ia juga mempunyai kapasiti tunda sehingga 4,989 kg.

Akhir sekali, sistem bantuan pemandu Driver+ disertakan secara standard pada ketiga-tiga varian. Ia merangkumi 11 kamera, lima radar dan 12 sensor ultrasonik. Antara ciri utama Driver+ adalah Highway Assist yang membolehkan kawalan stereng, brek dan pecutan dilakukan secara automatik.

Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Automatic High Beam, Forward Collision Warning, Automatic Emergency Braking dan Dynamic Brake Support turut disertakan.

Pengeluaran Tesla Cybertruck ditunda ke hujung 2022

ELON Musk telah mengesahkan bahawa pengeluaran Tesla Cybertruck akan ditunda, kini hingga ke hujung 2022.

Garis masa penyerahan trak EV itu menjadi perhatian ramai, bukan kerana popularitinya, tetapi juga disebabkan perlumbaan menghasilkan trak pikap elektrik terutamanya di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Cybertruck sebelum ini dilihat sebagai yang pertama dalam pasaran, namun kini akan sedikit ketinggalan.

Bila Tesla mula mendedahkan Cybertruck pada 2019, mereka berkata akan mula memasarkannya pada penghujung 2021. Tetapi tahun lepas, sudah terdapat tanda-tanda ia akan ditunda.

Pertamanya, Tesla baru sahaja menyiapkan rekaan kejuruteraan trak pikap elektrik itu.

CEO Elon Musk juga menyatakan Tesla akan menghadapi beberapa cabaran dalam membawa Cybertruck ke produksi disebabkan beberapa ciri seperti badan exoskeleton besi yang memerlukan proses pembuatan baharu sepenuhnya.

Dalam satu laporan kewangan suku kedua 2021 Tesla, mereka melaporkan bahawa hanya akan memulakan pengeluaran Cybertruck selepas Model Y di Gigafactory Texas.

Produksi Model Y sepatutnya bermula hujung tahun ini, jadi ini bermakna Cybertruck hanya akan mula dikeluarkan paling cepat tahun depan.

Menurut laporan oleh Electrek, Musk mengesahkan pengeluaran Cybertruck tidak akan bermula hingga penghujung 2022.

Tambah Musk, terdapat begitu banyak teknologi baharu dalam pembangunan trak pikap elektrik itu yang akan menyukarkan proses pengeluarannya.

Tetapi beliau sempat berkata: “Ia akan menjadi satu projek istimewa. Seperti glitch dalam filem The Matrix. Seperti Neo mempunyai sebuah kereta.”