fbpx

Tesla Cybertruck diperkenalkan secara rasmi, ini apa yang anda perlu tahu

Tesla Cybertruck 01

SEJAK diumumkan buat pertama kali pada November 2019, Tesla Cybertruck terus menarik perhatian pemerhati dan pemain industri bukan sahaja dengan rekaannya yang pelik tetapi juga dengan angka-angka luar biasa.

Kini, trak pikap EV itu telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran bersama-sama dengan spesifikasi lengkapnya. Berikut adalah apa yang anda perlu tahu mengenai Cybertruck:

Ada 3 varian untuk dipilih

Cybertruck akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Rear-Wheel Drive, All-Wheel Drive dan Cyberbeast.

Jumlah kuasa varian Rear-Wheel Drive tidak didedahkan, namun menurut Tesla varian ini boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 6.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Jarak pandu adalah sekitar 402 km.

Varian All-Wheel Drive mempunyai motor elektrik berkembar yang menjana 608 PS dan 10,080 Nm. Pecutan 0-96 km/j dilakukan dalam 4.1 saat manakala kelajuan maksimum adalah sama. Jarak pandu adalah 547 km atau 756 km dengan range extender.

Cyberbeast pula dilengkapi dengan tiga motor elektrik iaitu satu pada gandar hadapan dan selebihnya pada gandar belakang. Dengan 857 PS dan 13,959 Nm, ia memerlukan 2.6 saat untuk mencapai kelajuan 96 km/j dan boleh memecut sehingga 209 km/j. Jarak pandu adalah 515 km atau 708 km dengan range extender.

Jarak pandu tak cukup jauh? Range extender kan ada…

Ramai menyangkakan bahawa Tesla akan menggunakan enjin pembakaran dalaman sebagai pemanjang jarak namun sebenarnya range extender yang dimaksudkan adalah bateri pak tambahan sebesar kotak alat yang diletakkan pada bahagian belakang trak.

Ia ditawarkan sebagai aksesori tambahan namun hanya untuk varian AWD dan Cyberbeast.

Boleh tahan besar Cybertruck ni

Untuk pengetahuan anda, Cybertruck mempunyai ukuran panjang 5,682 mm, lebar 2,413 mm, tinggi 1,790 mm dan jarak roda 3,810 mm.

Bahagian bed pula berukuran 1,829 mm panjang dan 1,219 mm lebar, serta mempunyai ruang storan berkapasiti 1,897 liter.

Kapasiti muatan dan tunda

Ketiga-tiga varian Cybertruck boleh menampung berat muatan sehingga 1,134 kg. Bagaimanapun, kapasiti menunda berbeza mengikut varian iaitu 3,402 kg untuk varian RWD dan 4,990 kg untuk varian AWD dan Cyberbeast.

Walaupun nampak mengagumkan, angka-angka ini sebenarnya lebih rendah berbanding apa yang dijanjikan oleh Tesla sebelum ini.

Badan kalis peluru

Cybertruck sesuai untuk dimiliki oleh golongan elit dan bangsawan yang mempunyai banyak musuh kerana trak ini mempunyai badan exoskeleton dengan panel keluli tahan karat yang kalis peluru.

Ini bukan ‘syok sendiri’ kerana dakwaan itu telah pun dibuktikan dalam satu demonstrasi di mana badan Cybertruck ditembak bertubi-tubi dengan senapang Thompson.

Bukan itu sahaja, cermin Cybertruck (yang pecah selepas dibaling bola besi semasa demonstrasi pada 2019) boleh menahan impak bola besbol pada kelajuan 113 km/j.

Radius putaran lebih kecil dari Model S

Cybertruck menggunakan sistem steer-by-wire yang boleh mengubah nisbah stereng berdasarkan kelajuan kenderaan dan faktor-faktor lain.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan kawalan stereng roda belakang dan pemvektoran tork. Ini membantu memberi Cybertruck radius putaran yang lebih kecil berbanding Model S.

Harga

Di Amerika Syarikat, harga jualan Cybertruck bermula dari USD60,990 (RM285,036) untuk varian RWD, USD79,990 (RM373,833) untuk varian AWD dan USD99,990 (RM467,303) untuk Cyberbeast.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved