Arkib Tag: chiron

Inilah casis Bugatti Bolide yang istimewa, lebih kukuh dari Chiron

BUGATTI Bolide bukan sekadar sebuah hypercar super-eksklusif. Ia sebuah pencapaian kejuruteraan dimana keselamatan tahap tertinggi bertemu dengan prestasi.

Hasil pengetahuan dan pengalaman Bugatti dalam sukan permotoran membawakan kepakaran menghasilkan teknologi maju seperti casis monocoque gentian karbon yang mematuhi piawaian FIA (Fédération Internationale de l’Automobile).

Casis monocoque yang menjadi ‘tulang’ kepada Bugatti Bolide telah menetapkan suatu aras baharu untuk industri ini. Ia juga lebih kukuh dan tegar dari casis Bugatti Chiron!

Ciri keselamatan Bolide bukan calang-calang, ia melepasi piawaian FIA yang ketat bagi ujian gulingan dan perlanggaran. Hypercar prestasi tinggi ini juga dilengkapi dengan sistem pemadam api automatik bergred tentera serta tali pinggang enam-poin yang membuatkannya sedia untuk menyertai perlumbaan.

Kokpitnya direka untuk keselamatan dan juga keselesaan, tetapi lengkap dengan sistem HANS (Head And Neck Support). Sistem penghawa dinginnya pula ditala khas untuk situasi perlumbaan.

Ciri keselamatan lain termasuklah Tracton Control, Electronic Stability Control, dan brek ABS, memastikannya sedia bersaing dalam apa jua keadaan cuaca.

Nadi kepada Bugatti Bolide ialah enjin 8.0-liter quad-turbo W16 yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,825hp dan 1,850Nm tork. Kombinasi keselamatan, prestasi, dan inovasi kejuruteraan menjadikan Bugatti Bolide suatu hypercar yang istimewa.

Jam tangan Bugatti Carbone gentian karbon pertama di dunia, edisi terhad, mampu baca prestasi kereta

PENGELUAR hypercar, Bugatti juga menghasilkan jam tangan eskklusif untuk dipadankan dengan kereta-kereta mereka. Model terbaharu diperkenalkan ialah jam tangan pintar (smartwatch) Carbone Limited Edition.

Jam ini merupakan yang pertama di dunia yang dibina dari gentian karbon sepenuhnya (untuk perumahnya, bukan komponen digital). Dan hanya 2,500 utas akan dihasilkan di seluruh dunia.

Ia dihasilkan dari sebongkah gentian karbon sebelum dipotong menggunakan mesin CNC. Hasilnya ialah jam yang ringan dan rugged – mirip bahan-bahan pada Bugatti Chiron.

Jam ini seberat 94 gram – mungkin agak berat untuk sebuah jam tangan – tetapi ia menyamai satu lagi jam iaitu Bugatti Ceramique Edition One yang diperbuat dari zirconium.

Jam Carbone Limited Edition ini mampu ‘hidup’ selama sehingga 15 hari dengan satu caj penuh, bergantung kepada penggunaan.

Smartwatch gentian karbon pertama di dunia ini turut menampilkan aplikasi yang memantau tahap kesihatan pemakainya semasa tidur, berehat, membuat aktiviti, bersenam, atau di litar.

Untuk fungsi litar bukanlah bagi pemakainya, tetapi khusus untuk memantau prestasi kereta Bugatti. Ia mampu membaca dan memaparkan maklumat seperti catatan masa, kelajuan, dan pecutan, kesemuanya menggunakan GPS khas untuk bacaan berketepatan tinggi.

Bukan itu sahaja, jam ini juga boleh dibawa menyelam sehingga kedalaman 330 kaki (100 meter). Agak mengagumkan untuk peranti dengan 390×390 pixel, skrin sesentuh AMOLED Sapphire dengan 16.7 juta warna.

Terdapat 29 pilihan warna ditawarkan, dan kesemuanya menggunakan sistem operasi iOS 13.0 atau Android 7.0 ke atas. Setiap utas jam tangan mewah ini juga hadir dengan jaminan lima tahun, juga pertama seumpamanya.

Harga bumbung Bugatti Chiron lebih mahal dari sebuah Toyota Supra baharu!

MEMILIKI sebuah Bugatti mungkin salah satu benda paling mewah yang boleh kita miliki. Kos penyelenggaraan tahunan biasa, sebagai contoh penukaran minyak enjin boleh mencecah USD25,000 (RM109,000).

Dan ini hanya jumlah kecil yang anda belanjakan setiap tahun bagi memastikan hypercar Perancis ini dalam keadaan tiptop. Kos-kos ini boleh melangit lagi jika berlaku kerosakan pada badannya.

Bayangkan anda tercalarkan bumbung Bugatti Chiron milik anda, dan anda tak mahu ke bengkel rasmi untuk ‘berjimat’ sedikit.

Satu pilihan ialah cat semula panel itu. Tetapi jika calarnya terlalu dalam, tiada pilihan lain selain menggantikannya. Dan kini terdapat ‘bengkel luar’ yang membekalkan bumbung Chiron jika anda mahu menggantikan unit yang tercalar tadi.

TheSupercarBlog berkongsi tentang suatu iklan di Instagram oleh SGR Automotive yang memaparkan bumbung Bugatti Chiron. Menurut penjualnya, bumbung itu merupakan unit OEM dan dalam keadaan sempurna.

Foto-foto menunjukkan bumbung yang memang masih cantik, berwarna biru tanpa sebarang kecacatan pada cat atau struktur gentian karbonnya.

Harus diingat juga bahawa untuk Chiron, bumbungnya lebih dari sekadar panel biasa untuk menutupi ruang kabin. Sebaliknya, ia berperanan penting sebagai struktur monocoque yang memberi kekuatan kepada keseluruhan kenderaan.

Senang cerita, sebarang kecacatan pada bumbung ini walaupun kecil, akan memberi kesan kepada pemanduan dan pengendalian Chiron.

Berapa harganya? SGR Automotive meletakkan harga USD55,000 (RM241,370) untuk panel bumbung itu. Ya, harga bumbung ini cukup untuk membeli sebuah Toyota Supra 2022 di Amerika Syarikat (harga Supra bermula pada kira-kira RM191,000).

Jika di Malaysia, bumbung Bugatti Chiron ini bersamaan harga sebuah BMW 320i, Volkswagen Golf GTi atau Volvo XC40 T5.

Berbaloi? Mestilah berbaloi. Lagipun kalau dah mampu memilik Bugatti Chiron, berapa lah sangat RM100k atau RM200k tu kan?