fbpx

Ini harga lampu depan Bugatti Chiron, hanya RM712,773 sepasang

lampu bugatti chiron 01

TIDAK banyak kereta yang mempunyai lampu quad seperti Bugatti Chiron. Nyalaannya cukup jelas, menyebabkannya mudah dikenali dari jauh atau pada waktu malam.

Walaubagaimanapun, kenderaan ini cukup rare, hanya 500 unit dibina. Tetapi sudah tentu, tahap eksklusif ini berkos tinggi bukan sahaja semasa membeli kereta, tetapi juga untuk alat ganti.

Untuk rujukan, sebuah iklan di eBay Germany memaparkan sepasang lampu depan Valeo untuk Chiron dengan harga yang boleh tahan menangis bila kita melihatnya. Cuba teka. RM100,000? RM250,000? Salah.

Sepasang lampu LED quad yang boleh dipasang pada Chiron Pur Sport dan Super Sport 300+ ini berharga 147,000 Euro, bersamaan RM712,773 (mengikut kadar tukaran hari ini).

Dengan harga ini, di Malaysia, anda boleh beli BMW X7, Lotus Emeya, Mercedes S580e, atau Audi A7 baharu. Bayangkan harga sepasang lampu menyamai harga kereta-kereta mewah.

Penjual eBay ini berada di Poland tetapi dia boleh menghantar lampu Chiron itu ke negara-negara Eropah, dengan tambahan harga 1,000 Euro (RM4,848). Anda mahu ia dihantar ke Malaysia? Pasti boleh, tetapi kami yakin penghantarannya lebih mahal lagi.

Menurut iklan itu lagi, lampu tersebut adalah baharu dan dalam keadaan sempurna. Ianya mempunyai kod OEM alat ganti bertulis 5B4941035C 5B4941036C.

Mengapa harga lampu LED ini begitu mahal? Pastinya dengan beberapa sebab. Lampu tersebut berteknologi tinggi, bukan LED biasa tetapi lengkap dengan fungsi terkini seperti Auto High Beam dan matriks.

Kemudian, ianya mahal kerana pengeluaran yang terhad. Apa-apa barang jika dikeluarkan dalam jumlah terhad, pasti harganya lebih tinggi untuk mencapai skala ekonomi.

Akhir sekali, jika anda tidak boleh terima harganya, mungkin anda belum menjadi pelanggan sasaran Bugatti.

Buat pemilik dan pelanggan Bugatti, mereka tiada masalah membayar harga sebegini asalkan kereta-kereta koleksi mereka berada dalam keadaan sempurna untuk ditayang dalam media sosial dan dibawa melepak bersama rakan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved