Bugatti Tourbillon – 16 silinder, 8.3-liter, 3 motor elektrik, 1,800hp, 0-100 2 saat
WALAUPUN sekali imbas nampak seperti Chiron, tetapi ini ialah Bugatti Tourbillon, model baharu sepenuhnya. Casis monocoque, suspensi, dan enjin semuanya baharu. Mari kita lihatkan perincian dan angka-angka enjin dahulu.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Bugatti akan mengeluarkan hypercar dengan enjin 16 silinder baharu, inilah dia.
Di belakang kokpit Tourbillon ini tersumbatnya enjin 8.3-liter V16 hibrid naturally-aspirated yang mampu berputar sehingga 9,500rpm dan menjana 1,000hp sendiri. Tetapi ini bukanlah outout keseluruhan Tourbillon.
Ini kerana ia mendapat bantuan hibrid yang dibangunkan oleh Cosworth. Terdapat dua motor elektrik di gandar depan, dan motor ketiga di belakang bersama enjin.
Pek bateri 25kWh membekalkan 800hp untuk sistem elektrik ini, menjadikan output keseluruhan 1,800hp. Ditambah pula dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2, Bugatti Tourbillon mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 2 saat.
Kemudian jika anda terus menekan pedal rapat ke lantai, 200km/j dicapai dalam 5 saat, dan 300km/j kurang 10 saat.
Kelajuan maksima 380km/j pula dicapai dalam masa kurang 25 saat. Kemudian jika anda mempunyai Speed Key khas, spoiler belakang Tourbillon akan terus memastikan kereta stabil hingga 444km/j.
Walaupun lebih kompleks dan lebih berkuasa, Bugatti berkata Tourbillon lebih ringan dari Chiron. Ia juga menggunakan sistem 800 volt dan boleh dipandu sehingga 60km dalam mod elektrik.
Peminat jam tangan akan perasan bahawa Tourbillon menampilkan banyak komponen mekanikal yang memerlukan ketepatan dan kualiti tinggi.
Ia dilengkapi pintu dihedral berkuasa elektrik, dan tiga paparan analog untuk instrumen yang direka oleh pembuat jam Switch. Paparan ini terpasang tetap pada kolum stereng.
Di konsol tengah pula, terdapat barisan suis-suis aluminium, tombol rotary, dan tombol kristal untuk menghidupkan enjin V16. Kesemua ini direka untuk memberikan Tourbillon rupa yang timeless.
Dari segi rekaan luaran, anda pasti kenal ianya sebuah Bugatti dengan sekali pandang sahaja. Reka bentuk mirip Chiron ini dilengkapi dengan diffuser yang bermula dari belakang kabin, hampir tidak kelihatan dari pandangan biasa.
Corong-corong di lampu depan menyalurkan udara ke liang udara sisi yang besar, kemudian gril horseshoe ikonik di depan ‘menyuap’ udara ke radiator sambil menjana downforce.
Spoiler belakang aktif seperti biasa juga berfungsi sebagai brek udara. Tourbillon dilengkapi dengan suspensi baharu sepenuhnya yang 45 peratus lebih ringan dari Chiron.
Bugatti Tourbillon dijangka memasuki pasaran pada 2026 dengan 250 unit pertama akan dihasilkan. Harga bermula 3.6 juta Euro (RM18.2 juta).
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.