Kekalkan enjin ICE, Bugatti sanggup bina stesen minyak khas depan rumah anda
Bugatti baharu sahaja selesai melancarkan supercar hibrid terbaharu, Bugatti Tourbillon sebagai salah satu komitmen untuk mengekalkan kewujudan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Dalam satu temubual yang bertempat di FT Future of the Car Summit di London pada bulan lepas, Mate Rimac selaku CEO Rimac Group yang turut sama menaungi jenama Bugatti mendedahkan pihaknya akan terus kekal menawarkan kereta petrol untuk jangka masa panjang.
“Saya tidak melihat apa-apa sebab untuk menghalang (penawaran kereta petrol) melangkaui tahun 2035. Kami telah pun selesai membangunkan enjin serba baharu dan kami mahu menggunakannya untuk tempoh beberapa ketika.
“Saya telah pun membaca undang-undang dan tidak melihat sebab kenapa ia mustahil – tajuk utama menyatakan kereta berenjin pembakaran akan diharamkan bermula 2035, tapi jika anda membaca dengan teliti dan ia tidak dinyatakan sedemikian di mana-mana – anda masih dapat memproduksikan (kereta ICE) namun mungkin ada penalti yang bakal dikenakan.
Mate Rimac turut memberikan cadangan untuk membina stesen minyak khas untuk setiap rumah pemilik Bugatti di mana jentera-jentera Bugatti boleh terus dipandu pada masa depan menggunakan bahan api sintetik.
Apa yang pasti, sebarang penambahan kos yang bakal diperkenalkan kelak (termasuklah pembinaan stesen minyak khas jika perlu) tidak akan mendatangkan masalah atau rungutan di kalangan para pemilik jentera eksklusif Bugatti.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.