Arkib Kategori: KERETA

Peugeot 2008 crossover lain daripada yang lain – Pandu Uji

ANDA mungkin sudah sedia maklum yang segmen crossover sudah semakin berkembang pesat sejak beberapa tahun yang lalu, mengatasi segmen sedan yang pernah menjadi pilihan utama pembeli suatu ketika dulu.

Di Malaysia, pasaran crossover segmen B adalah antara pasaran yang paling hangat dengan model-model yang hebat-hebat belaka seperti Proton X50, Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Hyundai Kona.

Kini, persaingan bakal menjadi lebih sengit dengan kehadiran satu lagi pesaing iaitu Peugeot 2008. Berasal dari Perancis dan dipasang di Gurun, Kedah, ia merupakan model pertama yang dilancarkan oleh Bermaz Auto Alliance sebagai penjaga baharu jenama Peugeot di negara ini.

Mampukah ia membantu menaikkan nama Peugeot setaraf dengan Proton, Honda dan lain-lain dalam pasaran?

Luaran yang lain daripada yang lain

Benar, reka bentuk atau rupa paras adalah sesuatu yang objektif. Apa yang cantik di mata anda, mungkin biasa-biasa sahaja bagi orang lain.

Bagi 2008, penulis memang tertarik dengan rekaan luarannya kerana ia lain dari apa yang sudah biasa dilihat di jalan raya atau dalam erti kata lain, tidak membosankan.

Bagi penulis, model ini sekilas pandang sudah menampakkan ciri-ciri Eropahnya yang membuatkan ia lebih menonjol berbanding pesaing-pesaing terdekatnya.

Malah, jika logo Peugeot dibuang pun anda pasti akan mengatakan yang ia kereta dari jenama Eropah, bukan dari Jepun atau China.

Membuatkan ia lebih cantik adalah elemen-elemen unik seperti efek cakaran 3D pada lampu depan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk taring dan kemasan krom pada gril.

Apa yang menarik, ia menggunakan muncung ekzos berkembar yang sebenar. Jenama-jenama besar seperti Mercedes-Benz dan BMW sepatutnya berasa malu.

Ruang kabin yang memukau

Jika anda sukakan reka bentuk luaran 2008, ruang kabinnya pasti akan memukau. Ia sememangnya berbeza dengan model-model crossover lain di pasaran terutamanya dengan rekaan i-Cockpit yang penulis masih akan nampak baru dalam 10 tahun lagi.

Bahan-bahan yang digunakan seperti upholsteri kulit, sentuhan lembut pada keseluruhan papan pemuka dan trim ala gentian karbon rasa mahal dan berkualiti tinggi.

Senarai kelengkapan yang disediakan tidak mengecewakan, dengan adanya kluster instrument digital berukuran 10 inci dengan paparan 3D, skrin sentuh tujuh inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, voice command dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, kekurangan 2008 menjadi lebih jelas apabila penulis hendak menggunakan kluster instrumen digital dan skrin sentuh kerana kedua-duanya mengalami masalah lagging. Mungkin dengan menukar sistem operasi (OS) masalah ini boleh diselesaikan.

Satu lagi perkara yang penulis kurang gemar adalah kelajuan kipas dan suhu sistem pendingin hawa yang hanya boleh diubah menerusi skrin sentuh. Ini menyukarkan penulis untuk menumpukan perhatian kepada jalan raya.

Selain itu, penulis perasan banyak juga kelengkapan yang sepatutnya ada tetapi tiada pada model ini. Antaranya termasuklah pelarasan elektrik pada tempat duduk pemandu, pengecas tanpa wayar, corong udara belakang dan tailgate kuasa.

Sistem keselamatan tak mengecewakan

Walaupun banyak kemudahan yang tertinggal, sekurang-kurangnya BAA tidak kedekut dalam soal keselamatan.

2008 didatangkan standard dengan sistem keselamatan aktif dan bantuan pemandu seperti High Beam Assist, Blind Spot Monitoring, Active Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning dan Active Safety Brake.

Turut disertakan adalah enam beg udara, ABS, EBD & Brake Assist, Stability Program, Anti-Skid Regulation, Hill Start Assist, Seat Belt Warning dan ISOFIX.

Prestasi pemanduan mantap

‘Nadi’ 2008 merupakan enjin turbo 1.2-liter tiga silinder yang mampu menghasilkan 130 hp dan 230 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan oleh transmisi automatik enam kelajuan.

Mungkin ada yang menganggap yang ia terlalu kecil untuk sebuah crossover namun jangan salah sangka kerana enjin PureTech ini agak bertenaga terutamanya pada julat pertengahan.

Malah, ada beberapa ketika penulis merasakan yang ia seolah-olah meminta untuk ‘didera’, satu karakteristik yang tidak asing lagi bagi enjin turbo.

Turbo lag, satu lagi perkara yang biasa dihadapi oleh enjin jenis ini, sememangnya ada dan boleh dirasakan dengan jelas terutamanya ketika memandu di dalam trafik namun bagi penulis ia bukanlah masalah besar.

Untuk pengendalian pula, karakter Eropah 2008 boleh dirasakan sekali lagi dengan prestasi cornering yang lincah dan meyakinkan. Crossover ini tiada masalah untuk memasuki selekoh pada kelajuan yang lebih tinggi dari kebiasaan, namun olengan badan akan mula terasa jika terlalu dipaksa.

Sistem suspensinya seperti yang dijangka, agak keras sedikit namun secara umumnya masih selesa untuk pemanduan harian. Cuma kalau anda melalui jalan yang berlubang dan tidak rata, segala ketidaksempurnaan boleh dirasakan dari dalam kabin.

Sudah tentu, penggunaan sistem suspensi yang lebih tegar memberikan kelebihan-kelebihan yang tersendiri. Selain pengendalian yang lebih lincah, 2008 juga terasa sangat stabil walaupun bergerak pada kelajuan yang tinggi.

Konklusi

Berbalik kepada persoalan tadi, mampukah 2008 membantu menaikkan nama Peugeot dalam pasaran Malaysia?

Bagi penulis, dalam jangka masa pendek mungkin sukar untuk model ini bersaing dengan X50 dan HR-V dari segi jualan namun Bermaz boleh menggunakan peluang ini mengubah persepsi pembeli terhadap jenama Peugeot.

Ini kerana 2008 secara asasnya adalah produk yang cukup bagus walaupun terdapat beberapa kekurangan. Rekaan luaran dan dalamannya sangat memikat hati, enjinnya cukup berkuasa dan pemanduannya juga begitu memuaskan.

Namun agak malang kerana pesaing-pesaingnya juga bukan calang-calang dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik perhatian pembeli.

Tetapi kalau anda ingin juga menjadi lain dari yang lain dan mendapatkan 2008, jangan khuatir kerana ia didatangkan dengan waranti lima tahun dan pakej servis tiga tahun.

Spesifikasi Peugeot 2008

Harga: RM131,103
Enjin: 1.2-liter PureTech petrol turbo 3-silinder
Kotak gear: automatik 6-kelajuan
Kuasa: 130 hp @ 5,500 rpm
Tork: 230 Nm @ 1,750 rpm

Volkswagen Golf GTi Mk8 dengan tiga magik utama – Pandu uji

SIAPA yang tidak kenal akan Volkswagen Golf GTi: Suatu nama yang sangat sinonim bukan sahaja kepada peminat hot hatch, tetapi juga kepada peminat kereta keseluruhan.

Dari generasi pertama Mk1 hinggalah yang terkini Mk8, resepi yang digunakan masih sama. Sebuah hatchback praktikal front-wheel drive (FWD) dengan prestasi enjin dipertingkat dan pengendalian lincah.

Cumanya sejajar dengan peredaran masa, kenderaan masa kini rata-ratanya lebih berat, lebih besar, lebih canggih, lebih mesra alam, dan lebih selamat. Kenderaan moden mempunyai saiz, berat dan teknologi sebegitu untuk mencapai matlamat menepati piawaian yang semakin ketat.

Golf GTi juga tidak terkecuali. Tetapi, adakah ini menjadikannya semakin hilang fokus? Ibarat kopi ais yang semakin cair, tidak lagi ‘kaw’?

Golf MK8 terkesan?

Sedikit latar belakang, Golf GTi Mk8 dilancarkan pada Februari 2022 dengan harga cukup menarik iaitu RM211,711 sahaja. Harga ini sebenarnya sangat berbaloi kerana hot hatch lain jauh lebih tinggi harganya.

Sebagai contoh, Honda Civic Type-R FK8 dan Renault Megane RS kedua-duanya berharga antara RM280k hingga RM300k. Golf GTi Mk7.5 sebelum ini juga dijual pada RM240k.

Hal ini kerana satu fakta penting yang kita perlu ketahui, Golf GTi Mk8 dipasang secara CKD di Malaysia. Dan ianya model GTi pertama yang dikeluarkan di fasiliti Volkswagen di Pekan, Pahang itu. Tetapi faktor harga sahaja belum cukup untuk menilai Golf GTi ini.

Penampilan Mk8 ini masih mempunyai rekaan ikonik Golf GTi walaupun sekilas pandang. Bentuk keseluruhan dengan garisan-garisan sisi badan kekal seperti sebuah Golf moden.

Tetapi amati dengan lebih teliti, anda akan dapati lampu depan dan belakang LED sepenuhnya yang menjadikannya tampak lebih moden dan serasi dengan barisan model Volkswagen terkini.

Mungkin terlalu moden hingga hilang sedikit kegarangannya. Masih terdapat garisan-garisan highlight merah pada badan kereta ini seperti pada gril depan dan fender tepi, tetapi warna Kings Red ini menenggelamkannya sedikit.

Bampar depan mempunyai rekaan seperti bukaan kemasukan udara yang besar tetapi hanya sebahagian sahaja yang benar-benar berlubang, selebihnya plastik hitam. Hal yang sama dengan Civic Type-R, tetapi penulis tidak mempunyai isu dengan ini. Yang penting lawa dan garang! Terlalu banyak rongga yang tidak perlu nanti drag bertambah pula.

Bab moden ini diteruskan ke bahagian dalam. Golf Mk8 dilengkapi dengan panel instrumen dan infotainment digital sepenuhnya. Ia solusi yang baik untuk mengurangkan semak dari butang dan suis terlalu banyak kerana Mk8 ‘menyimpan’ banyak fungsi dan sistem.

Kokpit sememangnya tampil kemas, minimalis, dan kontemporari.

Tetapi pelaksanaan mungkin tidak begitu kena. Sebagai contoh, butang di stereng terlalu banyak fungsi pada satu panel, bukan butang berasingan. Jadi, ia tidak begitu memuaskan bila diguna.

Ia juga mempunyai kawalan haptic dimana anda boleh sentuh atau gosok untuk memasukkan input, tetapi ini bukan telefon pintar. Penulis lebih gemarkan butang fizikal, lebih-lebih lagi pada stereng.

Begitu juga panel instrument, solusi kabin minimalis ini menyebabkan beberapa fungsi penting seperti pendingin hawa menjadi kurang praktikal. Anda perlu membuat beberapa sentuhan hanya untuk melaras suhu.

Tidak dinafikan segalanya cantik, teras berkualiti dan mempunyai ketepatan tinggi. Tetapi mujurlah Volkswagen dilaporkan akan kembali ke butang fizikal untuk beberapa kawalan utama untuk model akan datang.

Apa pun, ergonomik masih mantap untuk Golf GTi, ini juga penting kerana ianya hot hatch untuk mereka yang gemar memandu. Posisi duduk, pelarasan stereng dan sudut pandangan keluar semuanya ideal dan seimbang. Tiada rungutan untuk aspek ini.

Jika anda duduk sahaja tanpa kereta bergerak, sukar untuk percaya Golf GTi ini menyimpan banyak prestasi.

Magik GTi generasi kelapan

Volkswagen Golf GTi generasi terkini dikuasakan oleh enjin EA888 yang kita sudah familiar, iaitu unit 2.0-liter turbo petrol 4-silinder. Ia menjana 242hp dan 370Nm tork, meningkat berbanding 230hp dan 350Nm pada Mk7.5.

Enjin yang memenangi banyak anugerah ini digandingkan dengan kotak gear baharu DSG 7-kelajuan jenis klac basah. Gandingan ini memberikan pecutan 6.3 saat ke 100km/j dan kelajuan maksima 250km/j.

Tetapi angka dan prestasi ini bukan hadir dari enjin dan kotak gear semata-mata. Ada rahsia yang anda kena tahu mengenai GTi Mk8 ini yang menjadikannya antara hot hatch paling lincah dipandu hari ini.

Rahsia itu ialah Vehicle Dynamic Manager (VDM); ia bukan pengurus syarikat tetapi suatu pakej yang mengawal tiga magik iaitu tetapan ESC, LSD elektronik XDS, DCC.

1. ESC Sport

Selain On dan Off, ESC pada Golf ini mempunyai tetapan Sport yang membolehkan kereta slide atau menggelungsur sedikit dalam keadaan terkawal, tetapi masih laju.

Dalam perlumbaan, mengambil selekoh dengan terlalu kemas memang sudah laju, tetapi ada sedikit ‘threshold slide’ adalah lebih laju. Bezanya, threshold slide ini biasanya boleh dibuat oleh pelumba berpengalaman, tetapi Golf GTi Mk8 ini mampu membuatkan anda rasa seperti pelumba profesional.

2. XDS

Ini aspek kegemaran penulis, iaitu XDS (pengunci differential elektronik). Ia menggunakan brek secara individu di semua tayar untuk memastikan kereta boleh mengikut arah yang dikehendaki pemandu, tidak kira sama ada permukaan licin atau throttle sedang memaksa kuasa yang banyak untuk pergi ke tayar depan.

Bayangkan dalam keadaan hujan di permukaan simen (dalam keadaan selamat, bukan di jalan raya awam), pada kelajuan sekitar 45km/j dan anda terus pusing stereng 180 darjah, kereta berjaya mengikut dengan kemas tanpa sebarang gelinciran.

Ini mungkin ayat cliché, tapi memang seperti gokart. Atau seolah-olah berada di atas landasan.

Begitu juga jika anda mahu buat pusingan-U sambil full-throttle, tiada masalah langsung.

Ia membuatkan penulis terfikir, “macam mana lah dia buat differential ini, kereta FWD lain sudah tentu naik atas tembok dah.” Inilah pentingnya teknologi.

3. DCC

Akhir sekali ialah Dynamic Chassis Control atau DCC yang mengawal respon throttle, kotak gear, suspensi, stereng. DCC ini bukan sahaja menjadikan GTi jaguh di litar, tetapi versatil untuk hatchback kegunaan harian.

Mahu hantar anak ke sekolah? Makan malam dengan keluarga? Balik kampung? Touge hujung minggu? Serba boleh.

Hot hatch sempurna?

Volkswagen Golf GTi Mk8 ini boleh dikira sempurna, tetapi arus kemodenan memaksanya menjadi sedikit ‘manja’. Atau kurang hardcore.

Bunyinya tidak segarang dulu, dan kokpit terlalu futuristik. Tetapi bab feel pemanduan dan pengendalian masih sangat-sangat cemerlang, sesuai dengan statusnya.

Dan penulis bersyukur ia kekal FWD. Tidak perlulah menambah berat dan kompleksiti semata-mata mengejar catatan masa Nurburgring. Rasanya pemandu tegar lebih hargai feel dan karakter asal GTi ini. Dan memang untuk itulah Golf GTi; pemandu tegar.

Spesifikasi Volkswagen Golf GTi Mk8

Harga: RM212,711.54
Enjin: 2.0-liter EA888 petrol turbo 4-silinder
Kotak gear: DSG 7-kelajuan
Kuasa: 242hp @ 5,000rpm
Tork: 370Nm @ 1,600rpm

Honda Civic RS lebih matang, tapi bukan tua – Pandu uji

SETIAP kali Honda mengeluarkan model baharu di Malaysia, ianya akan menjadi perhatian ramai peminat dan pemerhati industri automotif negara ini. Pelancaran Civic serba baharu tidak terkecuali.

Civic FE ini mendapat pelbagai pendapat mengenai rupa luarannya, kerana aspek penampilan menjadi isu pertama dan utama yang sering dibahaskan orang kita. Ada yang selesa dengan pembaharuan Civic ini, dan ada yang lebih gemarkan penampilan Civic FC.

Bagi penulis secara keseluruhan, lebih sukakan rekabentuk Civic FE baharu ini. Silhouette atau bayangnya dari sisi masih hampir sama, tetapi perincian diubah menjadikan Civic ini kelihatan lebih matang.

Tetapi tidak tua!

Lampu depan contohnya kurang gaya terlalu tajam dan garang, kini lebih relaks dan mirip lampu kereta jenama Eropah yang lebih premium. Kami taknak sebut jenama apa…

Kemudian bahagian ‘hidungnya’ kini gelap dan tiada krom, jadi sebenarnya nampak lebih premium juga pada pendapat penulis. Tiada lagi permukaan-permukaan berkilau.

Bahagian belakang juga lebih kemas pada FE ini, cuma penulis masih cuba untuk ‘menghadam’ rekaan lampu. Ini kerana ia seperti terlalu tinggi atau tebal, jika lebih nipis rasanya lebih padan dengan rekabentuk keseluruhan.

Tetapi siapalah kami nak persoalkan lebih-lebih, bukan? Mungkin pereka bentuk Civic FE ini ada penjelasan lebih kukuh dari aspek seni dan penampilan.

Akhir sekali sebelum kita masuk ke dalam, penulis hendak sentuh rim Civic ini, yang mana kami rasa cukup cantik dan sporti. Warna satu tona hitam dengan 10 bilah sangat padan dengan karakter kereta ini.

Ia juga menjadikan anda tidak perlu tergesa-gesa menukar rim ini selepas beli Civic. Rupanya sahaja sudah nampak cukup aftermarket.

Kokpit baharu yang moden dan sporti

Honda nampaknya semakin pandai menjadikan kabin kereta mereka cukup mantap dan kontemporari, bukan luas semata-mata. Jika dulu Mazda dikatakan mempunyai kabin cukup menarik dan terasa mewah, kini Honda juga bersaing rapat untuk aspek ini.

Paling penulis suka pada kabin Civic ini adalah rekaan ‘honeycomb’ mendatar yang panjang untuk corong pendingin hawa, dan ia terus ‘ditarik’ melintang menghubungkan dua pendingin hawa. Ini memberikan ilusi seolah-olah pendingin hawa itu mempunyai rongga yang luas dan lebar.

Bahan yang digunakan juga cukup baik, warna krom yang memberi kontra kepada papan pemuka hitam, tetapi tidak terlalu berkilau. Just nice, orang putih kata.

Dan corong ini juga diselitkan dengan tuil pelaras arah pending hawa yang – lagi sekali – terasa premium bila digunakan. Terdapat ‘klik’ yang cukup “ummmpph…” bila anda melaraskannya.

Aspek lain yang boleh dikatakan mengenai kabin Honda Civic FE ini ialah kedudukan serta posisi memandu yang rendah dan terasa sporti. Pada masa yang sama, penglihatan ke luar masih sangat baik, langsung tidak terganggu.

Anda dapat melihat ke depan dan tepi serta mengemudi kereta dengan baik di bandar dan tempat sempit, tetapi yang penting posisi rendah membuatkan anda dapat lebih banyak ‘feel’ dari pergerakan kereta.

Tiada lagi NA, hanya turbo

Barisan Civic FE kali ini tidak lagi ditawarkan dengan enjin naturally-aspirated (NA), sebaliknya hanya turbo. Enjin 1.5-liter VTEC Turbo ini menjana 180hp dan 240Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT.

Melalui pemanduan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan jalan persekutuan serta lebuhraya, apa yang boleh dikatakan ialah kesan ‘rubber band’ dari kotak gear kini kurang terasa, menjadikan enjin dirasakan lebih responsif.

Pecutan atau pertambahan kelajuan dapat dibuat dengan lebih cepat. Malah pecutan dirasakan lebih cekap, seolah-olah tiada ‘powertrain loss’ dalam sistem CVT kali ini.

Pengendalian antara terbaik dalam segmen

Untuk aspek pengendalian dan pemanduan keseluruhan pula, penulis boleh simpulkan dengan satu ayat mudah: semua sedan segmen-C sekarang sangat sedap dipandu.

Jika 10 atau 15 tahun dahulu, Honda begitu ‘raw’ dan sangat jitu pemanduannya, ibarat jentera perlumbaan yang dibawa ke bilik pameran dan dipasang nombor plat.

Kemudian Honda semakin ‘lembut’ dan hilang arah tuju sedikit sebelum Mazda cemerlang untuk aspek ini. Toyota pula dari dulu dikenali sebagai pemanduan tiada jiwa, seperti kereta untuk abah-abah.

Tetapi kini untuk 2022, boleh dikatakan semua sedan segmen-C seronok dipandu dengan cara masing-masing.

Mazda3 terasa penghalusan dan penelitian dengan bantuan GVC, Toyota Corolla mempunyai kawalan badan yang sangat baik, dan Honda Civic FE 2022 ini pula mempunyai posisi memandu dan respon stereng yang tepat.

Semakin sukar untuk buat pilihan sedan segmen-C sekarang, tetapi kebanyakan dari anda tidak kisah aspek pemanduan, dan hanya mahukan SUV, betul?

Apa pun, karakter pemanduan Civic FE penulis rasakan satu penambahbaikan cukup besar berbanding FC, malah berbanding FC versi facelift sekalipun. Nampaknya Honda semakin kembali ke jiwa sporti mereka, dan ini membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat apa yang mereka boleh tawarkan dengan Civic Type-R nanti.

Satu lagi perkara penting ialah Honda telah menambahbaik casis Civic FE untuk menjadikannya lebih tegar tetapi pada masa yang sama lebih ‘refined’. Hasilnya seperti yang dikatakan tadi; pemanduan lebih sporti tetapi senyap dan selesa.

Spesifikasi Honda Civic RS 2022

Harga: RM150,700
Enjin: 1.5-liter VTEC Turbo
Kotak gear: CVT
Kuasa: 180hp @ 6,000rpm
Tork: 240Nm @ 1,700rpm

BMW 330e M Sport sedan seronok dipandu dengan ‘perisa’ elektrifikasi – Pandu uji

BMW secara tradisinya terkenal dengan karakter mereka yang sedap dipandu, lebih-lebih lagi 3-Series. Malah model ini menjadi penanda aras untuk pengendalian bagi segmen sedan kompak premium.

Dari zaman E30, E36, hinggalah kepada G20 yang terkini, boleh dikatakan BMW masih di tempat teratas untuk aspek ini. Ada pesaing seperti Mercedes C-Class dan Jaguar XE yang agak hampir, tetapi BMW 3-Series masih sedikit ke depan.

Kini dengan era elektrifikasi, BMW telah mula menyuntik elemen ini ke dalam kereta-kereta mereka, maka lahirlah BMW 330e. Ianya varian tambahan selain 320i dan 330i untuk pasaran Malaysia.

Jadi, adakah aspek elektrifikasi ini telah ‘merosakkan’ aspek pengendalian sinonim dengan BMW? Kenderaan hibrid adalah lebih berat berbanding versi asal, jadi hukum fizik secara umum mengatakan berat bukanlah sahabat baik untuk pengendalian.

Rekaan

Jika dilihat rekaan 3-Series generasi G20 terkini tidak jauh berbeza dari yang sebelumnya. BMW banyak mengambil pendekatan evolusi berbanding revolusi.

Ia mungkin nampak kekal dari tradisi 3-Series, tetapi jika ingin bersaing dengan model-model lain dalam bab rekabentuk ini, BMW perlu menghasilkan satu perubahan yang lebih drastik.

Apa pun, rekabentuk BMW G20 kali ini tetap cantik dengan lampu depan lebih sofistikated, ‘Hofmeister kink’ yang diubah posisi kini di belakang pintu, dan lampu belakang dengan kesan 3-dimensi. Bagi penulis lampu belakang ini bukan sahaja cantik, tetapi tampil begitu moden.

Dan varian M Sport hadir dengan pelbagai kit M yang sporti di luar dan dalam, menaikkan lagi seri kereta ini.

Di bahagian kabin pula, penulis rasakan BMW 3-Series G20 masih kekurangan jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, C-Class. Walaubagaimanapun, rekaan kokpit G20 kali ini jauh lebih baik berbanding F30 sebelumnya.

Kokpit kini sedap dilihat, dengan susun atur yang cukup kemas, dan pilihan bahan yang membuatkan 3-Series ini terasa cukup berkualiti dan solid.

Pemanduan

Paling ketara mengenai BMW 3-Series generasi G20 ini ialah sterengnya yang kekal tajam, responsif dan tepat walaupun menggunakan sistem baharu. Stereng serta posisi memandunya yang sporti menyumbang kepada kepuasan pemanduan untuk kereta ini.

Kuasa lebih dari mencukupi, dengan penjimatan bahan api yang agak mengagumkan. Oh ya, enjinnya juga sangat senyap, memberikan pemanduan selesa untuk perjalanan jauh.

Dan memandangkan 330e ini merupakan versi plug-in hibrid (PHEV), cara memandunya ialah anda harus rajin mengecaj baterinya bila ada kelapangan, sebagai contoh setiap kali balik ke rumah.

Ini kerana jika baterinya habis, 330e M Sport ini ibarat ‘menggalas’ beban lebih yang sia-sia kerana dengan berat sekitar 1,740kg, kereta ini adalah hampir 300kg lebih berat berbanding 330i.

Ya betul, baterinya boleh dicaj sambil bergerak semasa dipandu, tetapi kadarnya agak rendah dan perlahan. Selain itu, komputer kereta juga jarang sekali menggunakan baterinya sehingga betul-betul habis.

Secara keseluruhan, BMW 330e ini tetap lincah dan sporti. Dalam kebanyakan masa, anda hampir terlupa bahawa ianya sebuah hibrid.

Untuk siapa BMW 33e M Sport?

Jika anda mahukan sedan premium sporti dengan sedikit elemen elektrifikasi, BMW 330e M Sport ini satu pilihan cukup ideal. Sekurang-kurangnya dapat ‘menyediakan’ anda sebelum beralih kepada kenderaan EV sepenuhnya nanti.

Tetapi jika anda rasakan kenderaan hibrid masih terlalu kompleks, lebih baik pilih sahaja 320i atau 330i.

Spesifikasi BMW 330e M Sport

Harga: RM260,680
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 181hp @ 5,000rpm
Tork: 300Nm @ 1,350rpm
Kapasiti bateri: 12kWh
Output bateri: 67hp, 120Nm

Volvo S60 T8 R-Design sedan eksekutif serba boleh – Pandu uji

SEBUAH sedan yang serba boleh; pandu perlahan dengan bergaya ke majlis makan malam, pergi mesyuarat, atau melayan selekoh di Lebuh Raya Karak. Inilah dia Volvo S60.

Sekali pandang, Volvo S60 ini nampak begitu bersahaja, dengan garis-garis lurus yang ringkas pada badannya, cuma mungkin DRL LED Thor’s Hammer yang membuatkannya sedikit menyerlah. Tetapi ia ‘menyimpan’ prestasi yang cukup tinggi, malah melebihi pesaing-pesaingnya yang nampak lebih sporti dari luaran.

407hp dan 640Nm tork dari pakej 2.0-liter turbo dan sistem hibrid. Amacam? Kita akan cerita dengan lebih lanjut selepas ini.

Gaya elegan bersahaja

Volvo S60 berada dalam segmen sedan premium kompak seperti BMW 330i, Mercedes-Benz C300 dan Volkswagen Arteon.

Mungkin ada banyak sebab mengapa Volvo S60 kurang menjadi pilihan berbanding jenama-jenama kebiasaan tetapi mereka yang memilih jenama Sweden ini – bagi penulis – mempunyai citarasa tersendiri dan tahu apa yang mereka mahukan.

Bagi penulis, Volvo S60 cukup bergaya dan segak, serta nampak agak menonjol di jalan raya berbanding sedan lain dalam segmennya.

Pakej R-Design menaikkan lagi seri kereta ini dan membuatkannya tampil lebih sporti. Ia terdiri dari item seperti gril hitam, perumah cermin sisi hitam, rim aloi Matt Tech Black Diamond Cut 19-inci, tempat duduk sports, dan pedal aluminium.

Dari sisi, Volvo S60 nampak seperti sebuah sedan sports pacuan roda-belakang seperti BMW atau Jaguar, dengan bonet depan agak panjang, kabin sedikit ke belakang, dan but yang pendek. Padahal ia secara asasnya sebuah pacuan roda-depan.

Kabin selesa seperti di rumah

Pelik? Tetapi itulah yang penulis rasakan bila memandu atau berada dalam Volvo S60 ini. Kebiasaannya kita akan penat memandu dan mahu berehat di rumah.

Tetapi dengan S60, ia cukup selesa dan nyaman lantas menjadikan penulis tidak kisah bila orang rumah meminta penulis ke kedai sebentar untuk memberi satu atau dua barang. Jika dengan kereta lain, kita akan terasa liat atau malas.

Selesa untuk S60 bukan semata-mata bermakna tempat duduknya lembut, tetapi segala butang-butang kawalan, stereng, tombol, semuanya mudah dan sedap digunakan.

Pilihan bahan dan warna pada papan pemuka (metal mesh), tempat duduk kulit (Nappa dan Nubuck), tombol gear kristal, semuanya menyumbang kepada aspek ini.

Pada masa yang sama, kabin S60 ini terasa cukup premium dan moden dengan skrin instrumen digital 12.3-inci di depan stereng serta skrin infotainmen menegak di tengah, bersaiz 9-inci.

Cuma kawalan pada S60 dan model-model lain Volvo yang semuanya dari skrin infotainmen tidak begitu digemari penulis. Ianya okay untuk kawalan seperti sistem hiburan, tetapi jika pelarasan pendingin hawa pun melalui skrin, ia kurang praktikal.

Pakej hibrid prestasi tinggi

Hanya satu varian diberikan untuk S60 ini, iaitu T8 AWD Recharge yang terdiri dari enjin 2.0-liter turbo dan supercaj 4-silinder yang digandingkan dengan motor elektrik dan bateri berkapasiti 11.6kWh. Ya, Volvo S60 T8 ini merupakan model PHEV (plug-in hibrid).

Tetapi jangan biarkan status PHEV mengelirukan anda. PHEV bukan bermakna ia ‘lembut’ atau bersifat seperti hibrid tradisional. Sebaliknya Volvo menjadikan versi PHEV sebagai berprestasi tinggi, malah duduk lebih atas dari varian-varian lain.

Enjinnya menyalurkan 302hp dan 400Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Motor elektrik pula membekalkan tambahan 87hp dan 240Nm ke roda belakang.

Jadi, bergantung kepada mod pemanduan, Volvo S60 T8 boleh menjadi pacuan roda-depan (enjin sahaja), pacuan roda-belakang (mod EV), atau pacuan semua-roda (mod hibrid).

Mentaliti berbeza bila memandu

Menurut Volvo, S60 merupakan model yang paling fokus kepada pemandu, kiranya paling sporti. Adakah ini benar? Dan lagi satu, adakah status ini cukup untuk menandingi pesaingnya dari Munich?

Baik, Volvo S60 T8 ini cukup selesa digunakan dalam semua keadaan sama ada ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, bergaya hujung minggu minum kopi di Bangsar Shopping Centre, atau menyakat Ford Mustang di lebuh raya.

Sterengnya yang ringan serta kabin selesa membuatkannya sesuai untuk kegunaan harian. Tetapi tork setinggi 640Nm dan kabin yang senyap walaupun dipandu laju menjadikan S60 ibarat kereta sports tanpa drama. Laju dan pantas tanpa sebarang bunyi ekzos meletup-letup.

Untuk itu, penulis rasakan S60 T8 ini memang model Volvo yang paling fokus kepada pemandu kerana model-model lain adalah lebih berat dan lebih menekankan aspek keselesaan.

Tetapi jujur kata, S60 T8 tidak dapat menandingi BMW 3-Series G20 untuk aspek pengendalian. Ini kerana pada 2,041kg, S60 ini 600kg lebih berat berbanding 320i jadi ia tidak selincah BMW.

Selain itu, beberapa mod pemanduan seperti Eco, Comfort, Dynamic dan Individual membolehkan anda menukar karakter kereta ini. Tetapi sepanjang pemanduan, kita sentiasa berfikir mengenai baki caj bateri, penjimatan tenaga, dan berapa banyak pedal hendak ditekan.

Pendek kata, mentaliti dan car akita memandu Volvo S60 T8 ini sedikit berbeza dari kenderaan lain. Kita akan selalu memikirkan tentang penjimatan tenaga. Ada masanya kita tak kisah memandu perlahan dan ‘menyimpan kuasa’ bateri untuk digunakan bila perlu.

Berbaloi?

Jika anda mahukan sedan premium sporti dan anda rajin mengecaj di rumah, maka Volvo S60 T8 AWD Recharge ini satu pilihan sangat menarik untuk dinilai. Anda akan jimat penggunaan petrol, dapat gaya, rasa premium, dan prestasi.

Tetapi jika anda tidak mampu mengecaj dengan kerap, sebagai contoh anda tinggal di kondominium dengan tiada tempat mengecaj, maka S60 ini bukan pilihan ideal.

Ini kerana keseluruhan 407hp dan 640Nm hanya didapati bila bateri mempunyai kuasa. Jika bateri kehabisan kuasa sepenuhnya, hanya enjin yang digunakan untuk menggerakkan kereta dan kita terasa berat bateri itu seperti sia-sia atau ibarat mengusung bagasi penuh dalam but sepanjang masa.

Spesifikasi Volvo S60 T8 AWD Recharge

Harga: RM282,540.00
Enjin: 2.0-liter turbo, supercaj, 4-silinder
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 320hp @ 5,700rpm
Tork: 400Nm @ 1,200rpm
Kapasiti bateri: 11.6kWh
Output bateri: 87hp, 240Nm
Output keseluruhan: 407hp, 640Nm

Lexus ES250 F Sport pencabar sedan Jerman? – Pandu uji

APABILA kita hendak membeli kereta bernilai lebih RM300,000, kita cenderung mahukan sesuatu yang menonjol. Sebolehnya bila balik ke rumah, jiran akan menegur, “Wah, cantiknya Mercedes baru abang Man!”, atau “Amboi beli BMW 5-Series baru nampak, berapa harga ni?”

Tetapi jika kita balik ke rumah dan jiran menegur, “Lawa kereta baru kau Man, kereta apa ni?” Ada masalah di situ.

Kereta yang anda beli tidak cukup menonjol atau tidak mempunyai identiti yang jelas. Ia mungkin boleh jadi perkara yang negatif, atau positif, bergantung kepada personaliti anda.

Jadi ini yang ditafsirkan oleh Abang Syamsul kita.

Lexus ES250 dibina pada pelantar Global Architecture K (GA-K) dan membawakan rekaan cukup moden. Varian F Sport yang kami uji ini dilengkapi lampu LED three-beam yang begitu tajam bucu-bucunya, mengapit gril ‘spindle’ yang besar di tengah-tengah.

Warna putih White Nova Glass ini khas untuk F Sport, dan varian ini juga mendapat rim 19-inci dengan warna Dark Premium Metallic. Cukup kontra di situ.

Bahagian dalamnya sedikit ‘kasanova’ dengan balutan kulit merah Flare Red untuk tempat duduknya, dan dipadankan dengan trim aluminium di papan pemuka. Tetapi jika anda tidak tahan dengan warna merah ini, masih terdapat warna hitam biasa untuk dipilih.

Tetapi kabin Lexus ES250 ini cukup mewah dan terasa berkualiti tinggi, selesa untuk diduduki dalam perjalanan jauh. Cuma untuk pemandu, terlalu banyak butang fizikal yang mungkin nampak kurang kemas dan memerlukan masa untuk anda menghafal lokasi-lokasinya.

ES250 F Sport dikuasakan oleh enjin 2.5-liter Dynamic Force 4-silinder, menjana 204hp dan 247Nm tork. Enjin dengan suntikan terus bahan api ini digandingkan dengan kotak gear automatik Direct Shift 8-kelajuan, menghantar kuasa ke roda depan.

Ya, ianya sebuah jentera FF walaupun mempunyai rupa seperti ianya pacuan roda-belakang (FR). Mungkin Lexus ES250 ini lebih sesuai dibandingkan dengan Volvo S90?

Teknologi-teknologi utama pada ES250 F Sport termasuklah skrin infotainmen 12.3-inci yang besar gedabak dengan paparan warna jelas, sistem navigasi, ciri keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+), dan generator ion negatif Nanoe-X yang menapis udara luar sebelum masuk ke dalam kabin.

Kereta ini juga mempunyai pengesan mendongak, jadi ia akan membunyikan siren secara automatik jika ia diangkat atau ditunda tanpa kebenaran. Bijak, kan?

Ciri menarik juga pada ES250 yang hanya ada pada F Sport ialah meter yang boleh bergerak menggelungsur ke tepi. Ianya mula digunakan pada supercar LFA, dan meter ini bergerak ke kanan dalam mod tertentu untuk membolehkan anda melihat lebih banyak maklumat di bahagian kiri.

Bukanlah suatu ciri teknikal yang memberi kesan kepada pemanduan, tetapi ianya mampu membuatkan anda atau penumpang berkata “Wow,” terutama sekali semasa kali pertama melihatnya.

Ikuti apa komen Abang Syamsul kita mengenai Lexus ES250 ini, adakah ia cukup berkemampuan bersaing dengan sedan-sedan Jerman?

Spesifikasi Lexus ES250 F Sport

Harga: RM345,134
Enjin: 2.5-liter Dynamic Force 4-silinder
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 204hp @ 6,600rpm
Tork: 247Nm @ 5,000rpm

Honda Accord 1.5 TC-P: Kecil di sini, besar di sana – Pandu uji

INI bukanlah jenaka dua maksud atau double-meaning, tetapi Honda Accord 1.5 TC-P ini sememangnya kecil di sini, besar di sana.

Kecil di bahagian sesaran atau kapasiti enjinnya, tetapi besar dari segi kuasa dan prestasi. Sebenarnya, kita telah lama memasuki era dimana kita harus berhenti ‘mengukur’ kemampuan sesebuah kereta dari kapasiti enjinnya.

Untuk 2022, kereta dengan enjin 5.0-liter V10 belum tentu lebih laju dari enjin 3.0-liter V6. Begitu juga enjin 1.5-liter turbo, belum tentu ia lebih perlahan dari 2.0-liter lebih-lebih lagi jika naturally-aspirated (NA).

Pengukuran lebih tepat adalah terus melihat kepada output yang dihasilkan, iaitu kuasa dan tork. Untuk Honda Accord 1.5 TC-P ini, enjin 1.5-liter VTEC Turbo 4-silinder menjana 201hp pada 5,550rpm dan 260Nm tork dari 1,600 hingga 5,000rpm.

Angka ini adalah lebih tinggi dari enjin 2.4-liter Accord generasi sebelum ini yang menghasilkan 175hp dan 225Nm tork. Ini bukan magik tuan-tuan dan puan-puan, tetapi sekadar fizik dan sains.

Accord generasi ke-10 ini juga merupakan yang pertama dalam sejarah yang dikuasakan oleh enjin turbo. Tetapi, bagaimana dengan prestasi dan pemanduan dunia sebenar Accord ini?

Bayangan berbeza

Sebelum itu, mari kita belek terlebih dahulu apa yang ada di luar dan dalam kereta ini. Pasaran sedan segmen-D semakin mengecil jadi salah satu cara pengeluar membuatkan pelanggan terus membeli kereta sebegini ialah dengan menjadikan rupanya ‘tidak begitu sedan’.

Maksud saya ialah memberikan reka bentuk yang tidak konvensional, seperti Honda Accord ini dengan rekaan ala fastback di belakang. Dan harus dikatakan juga Accord generasi ini lebih kepada revolusi dari segi rekaan, berbanding sekadar evolusi.

Bentuknya agak jauh berbeza berbanding generasi-generasi sebelum ini dengan rekaan sedan tradisional.

Bumbung belakangnya ‘ditarik’ terus hingga hampir ke hujung but, dengan permukaan mendatar di but yang lebih pendek dari biasa. Tetapi jangan terkeliru kerana ruang kargonya masih besar dan ke dalam, dengan kapasiti 570 liter.

Muka depannya masih sangat Honda, dengan bahasa rekaan Solid Wing Face seperti model-model Honda yang lain pada masa kini. Saya agak suka rupa depan ini kerana nampak cukup premium dan mahal.

Bahagian belakangnya agak janggal tetapi sofistikated bagi saya, ia tidaklah begitu cantik, tetapi satu rekaan yang unik dan ‘segar’. Tidak terlalu menyerupai mana-mana kereta. Apa pendapat anda semua?

Rim Honda Accord ini bersaiz 18-inci dan nampak cukup besar, dipadankan pula dengan tayar Michelin Primacy 3 ST yang sebenarnya cukup sesuai dengan karakter Accord.

Kabin luas tetapi kurang ‘umph’

Duduk di tempat pemandu, anda terasa cukup lapang tetapi pada masa yang sama segala suis dan butang kawalan mudah dicapai.

Entah kenapa saya begitu pentingkan rekaan roda stereng walaupun ia tiada kena mengena dengan aspek mekanikal pemanduan. Apa pun, saya cukup suka rekaan stereng Accord ini dengan tiga batang yang sporti, seolah-olah ‘menjemput’ anda untuk memandunya.

Posisi memandu juga sangat baik dengan banyak pelarasan yang boleh dibuat. Anda duduk rendah tetapi pandangan luar juga tidak begitu terjejas.

Untuk tempat duduk belakang, tiada rungutan yang boleh dibuat. Ruang kaki dan kepala sangat lapang, malah postur badan juga selesa untuk perjalanan jauh.

Cuma saya rasakan tiada apa-apa yang ‘wow’ untuk kabin Accord ini walaupun segalanya baik-baik sahaja. Pesaing-pesaingnya seperti Toyota Camry dan Hyundai Sonata mempunyai beberapa fungsi menonjol, tetapi Accord biasa-biasa sahaja untuk bab ini.

Dari segi paparan meter, susunan instrumen Accord lebih tradisional dengan dua meter; rpm di belah kiri dan speedometer di belah kanan. Tetapi meter rpm di sebelah kiri ini sebenarnya paparan digital dan pelbagai maklumat pemanduan boleh dipaparkan di bahagian dalamnya.

Sementara itu speedometer di belah kanan adalah jenis fizikal yang kekal tidak berubah. Secara keseluruhan paparan sebegini cukup kemas dan tidak menyemakkan mata dengan terlalu banyak maklumat.

DNA sejati sebuah Honda

Seperti diperkatakan di permulaan tadi, Honda Accord ini dipacu oleh enjin 1.5-liter turbo buat pertama kali. Adakah prestasinya terbantut dengan kapasiti enjin lebih kecil ini?

Jika dilihat pada angka 201hp dan 260Nm tadi, ia bukan sahaja jauh lebih tinggi dari Accord 2.4 generasi sebelum ini, malah masih lebih tinggi berbanding CR-V dan Civic generasi terkini.

1.5-liter VTEC Turbo pada CR-V menjana 190hp dan 243Nm, manakala pada Civic mengeluarkan 180hp dan 240Nm.

Talaan enjin dan transmisi CVT pada Accord menjadikannya mudah dan lancar dipandu pada kelajuan rendah, tetapi pada masa sama mempunyai tenaga mencukupi untuk menambah kelajuan walaupun meter menunjukkan tiga angka.

Sebagai contoh anda memandu pada kelajuan 110km/j dan mahu menukar lorong untuk memotong, kuasa yang dibekalkan mencukupi untuk anda memecut ke 130km/j contohnya. Jadi ini memberikan anda keyakinan untuk memotong, lantas menambah keyakinan.

Transmisi CVT juga begitu responsif, memberikan kesan seolah-olah ‘downshifting’ jika diperlukan, jadi anda akan sentiasa berada pada julat kuasa yang betul pada masa yang betul.

Anda yang mengikut perkembangan permotoran sudah tentu skeptikal dengan CVT tetapi saya harus katakan CVT pada Honda Accord ini adalah antara yang terbaik talannya. Rasa ‘rubber band’ sangat minima, dan kebanyakan masa terasa agak semulajadi.

Accord semakin menyinar di selekoh, dimana badannya yang lebih rendah dan lebar menghasilkan pergerakan badan yang sporti. Stereng juga mempunyai ‘feel’ dan ketepatan cukup baik, menambahkan lagi kepuasan pemanduan.

Dengan Accord, anda akan rasa ragu-ragu untuk mengambil sedan Jerman recond. Ya betul sedan Jerman dengan konfigurasi RWD kedengaran lazat dipandu, tetapi sedan seperti Accord pun kini semakin sofistikated dan mempunyai kualiti pemanduan yang tinggi.

Casis keseluruhan terasa tegap, sebagai contoh dalam situasi mengambil selekoh berkelajuan tinggi yang panjang dengan sedikit alunan pada permukaan jalan. Kereta terasa melekat dan stabil, sterengnya juga memastikan anda sentiasa rasa dalam kawalan penuh.

Oh ya, saya juga sempat memandu Accord ini ke Genting Highlands. Satu perkara yang anda perlu tahu adalah turbo amat sukakan udara lebih sejuk, ia akan berfungsi dengan lebih cekap dan menghasilkan lebih kuasa.

Jadi tiada masalah Accord 1.5 VTEC Turbo ini untuk dipandu secara ‘spirited’ ke jalan-jalan sebegini, dan tayar Primacy 3 ST memberikan keseimbangan baik antara cengkaman serta kesenyapan. Kelincahan Accord di selekoh membuatkannya rasa lebih kecil dari saiznya yang sebenar.

Berbaloi dibeli?

Untuk harganya, pesaing terdekat yang anda akan jumpa adalah Camry, Mazda6, Passat dan Sonata. Masing-masing mempunyai kelebihan dan untuk Accord, saya rasakan ia mempunyai kelebihan rupa yang paling sporti.

Jika Passat lebih bersahaja, Camry lebih organik, Accord ini lebih bersegi dan dinamik.

Apa pun, sedan segmen-D memang satu pasaran yang semakin kecil tetapi tetap penting untuk banyak pengeluar. Dan kita harus berikan pujian pengeluar-pengeluar ini kerana meletakkan usaha begitu banyak dalam penghasilannya.

Spesifikasi Honda Accord 1.5 TC-P

Harga: RM187,390.73
Enjin: 1.5-liter 4-silinder VTEC Turbo
Kotak gear: Automatik CVT
Kuasa: 201hp @ 5,500rpm
Tork: 260Nm @ 1,600-5,000rpm

Toyota Camry facelift 2022: Macam sama, tapi berbeza sangat! – Ulasan awal

TOYOTA Camry, apa perkara pertama yang anda terfikir bila terdengar nama ini; Pak lebai? Guru besar? Pakcik pencen? Senior manager?

Ya, walau apa pun, nama Camry cukup sinonim dengan golongan lebih berusia dan sudah settle down, mahu semuanya lebih relaks dan tenteram.

Toyota Camry 2022 terkini juga bukanlah untuk golongan terlalu muda, tapi gayanya seperti untuk mereka yang masih mahu sesuatu yang mengujakan, laju, dan menonjol.

Kami sempat memandu Toyota Camry facelift 2022 dalam satu sesi pemanduan singkat, dan apa yang boleh penulis katakan, sedan segmen-D Toyota kali ini terasa cukup berbeza.

Apa yang baharu? Nampak sama sahaja…

Nampak sama sahaja dengan Camry 2019, bukan? Tidak seperti facelift biasa yang hanya memberikan pembaharuan dari segi rupa atau kosmetik, Camry 2022 ini hanya sedikit di bahagian itu, tetapi lebih kepada bahagian mekanikal.

Untuk bahagian rupa, sangat sedikit. Pembaharuan terhad kepada bampar depan yang direka semula, rim rekaan baharu, dan lampu belakang yang diubah sedikit. Itu sahaja.

Kini untuk pembaharuan lebih besar, ialah enjin dan kotak gear baharu. Enjinnya masih menggunakan sesaran atau kapasiti 2.5-liter, tetapi ia kini merupakan unit Dynamic Force yang menggantikan enjin 2AR-FE sebelumnya.

Enjin baharu ini mendapat sistem suntikan terus bahan api, VVT-iE (electric variable valve timing), kepala silinder baharu, nisbah mampatan 13:1, dan kecekapan suhu lebih baik sebanyak 40 peratus. Hasilnya, output kini setinggi 209hp dan 253Nm berbanding 184hp/235Nm pada sebelumnya.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear yang juga baharu, iaitu Direct Shift dengan 8-kelajuan menggantikan automatik 6-kelajuan. Walaupun kotak gear baharu ini mempunyai lebih nisbah gear, ianya – menurut Toyota – lebih kompak dari sebelum ini.

Kemudian ada lagi, di dalam kabin di belakang, konsol tengah tempat duduk kini menampilkan beberapa gajet dan ‘permainan’.

Terdapat panel sesentuh dimana anda boleh mengawal pendingin hawa, sudut sandaran tempat duduk sebanyak lapan-darjah, dan menaik atau menurunkan tirai di cermin belakang. Anda juga boleh menjadi bos dengan mengawal sistem infotainmen di depan melalui konsol ini.

Di depan pula, papan pemuka masih lagi terdapat jalur panjang berbentuk Y yang mendominasi rekaannya, tetapi terdapat perubahan susunan skrin infotainmen. Skrin ini lebih besar, dan kini di atas corong pendingin hawa. Oh ya, sistem infotainmen juga kini menyokong sambungan Apple Carplay dan Android Auto.

Akhir sekali, pembaharuan di bahagian keselamatan. Camry facelift 2022 ini mendapat TSS (Toyota Safety Sense) versi 2.5 dan dua penambahbaikan utama adalah pada Pre-Collision System dan Dynamic Radar Cruise Control.

Pre-Collision System padanya bukan sahaja mengesan kenderaan, pejalan kaki dan penunggang basikal, tetapi juga mampu mengesan siang dan malam. Dynamic Radar Cruise Control pula kini mampu beroperasi pada semua kelajuan, termasuklah pada kelajuan ‘merangkak’ seperti dalam kesesakan jalan raya.

Gaya pemanduan semakin ‘muda’

Pemanduan Toyota Camry generasi sekarang sebenarnya sudah cukup mantap, sebab utamanya kerana penggunaan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) yang memberikan casis cukup tegap serta respon yang baik.

Cuma ‘kesedapan’ ini sedikit terbantut dek powertrain, dimana kotak gear terasa seakan tidak padan dengan enjinnya.

Kotak gear automatik 6-kelajuan itu sedikit gelabah. Sebagai contoh, kita tambahkan sedikit input pendikit minyak semasa menaiki bukit, kotak gear ini tergesa-gesa downshift terlalu banyak, sampaikan bunyi enjin tiba-tiba menerpa ke dalam kabin.

Ia membuatkan suasana kabin kurang selesa.

Perkara ini diselesaikan dengan penggunaan enjin Dynamic Force dan kotak gear baharu Direct Shift. Enjin dan kotak gear ini seolah-olah direka untuk satu sama lain.

Dengan kotak gear Direct Shift, pecutan juga terasa lebih “direct”. Haa nampak di situ? Kotak gear baharu ini memberikan rasa pecutan lebih telus dan responsif, dan seperti kurang pembaziran kuasa.

Ditambah pula dengan casis yang sedia mantap, pemanduan Toyota Camry facelift 2022 ini secara keseluruhan lebih memuaskan.

Kami teruja untuk uji sedan ini dengan lebih lanjut di masa akan datang untuk meneroka lagi kebolehan Camry ini. Sementara itu, jemput tonton video ringkas kami di bawah:

Spesifikasi Toyota Camry 2.5V

Harga: RM199,109.50
Enjin: 2.5-liter 4-silinder Dynamic Force
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 206hp @ 6,600rpm
Tork: 253Nm @ 5,000rpm

Nissan Almera 1.0 Turbo paling berani dalam kelasnya – Pandu uji

PASARAN sedan segmen-B dengan julat harga RM80,000 hingga RM110,000 adalah antara yang paling kompetitif di Malaysia, setiap pelancaran produk pastinya menarik minat pembaca dan rakyat negara ini.

Tiga pengeluar utama segmen ini pastinya Toyota, Honda dan Nissan, dengan masing-masing mempunyai daya penarik tersendiri.

Uniknya untuk Nissan dengan Almera baharu ini, ia satu-satunya model dengan enjin turbo! Tetapi ia bukan yang pertama, kerana beberapa tahun dulu Volkswagen pernah menawarkan Polo sedan atau Vento dengan enjin 1.2 TSI turbo.

Enjin kecil, moden, prestasi mantap

Hadir dengan tiga varian dan harga bermula betul-betul bawah RM80,000, enjin 1.0-liter turbo 3-silinder merupakan satu-satunya pilihan janaan kuasa, termasuklah varian tertinggi VLT yang kami pandu uji ini.

Kita pada hari ini tidak boleh lagi melihat kemampuan enjin sesebuah kenderaan berdasarkan cc, sebaliknya lihat kepada outputnya. Walaupun bersesaran 999cc atau 1.0-liter, enjin Almera ini menjana 99hp dan 152Nm tork.

Nilai kuasanya adalah hampir sama enjin 1.5-liter naturally-aspirated seperti pada Perodua Myvi atau Toyota Vios, tetapi nilai torknya pada 152Nm adalah jauh lebih tinggi.

Ditambah pula dengan beratnya yang hanya sekitar 1,114kg, Nissan Almera ini sangat seronok dipandu dan pecutannya terasa mudah dan bersahaja. Sedar-sedar dah sampai kelajuan lebuhraya.

Malah Almera juga mampu membantu kelancaran trafik kerana ia mampu memecut susur masuk ke lebuhraya dengan cepat menyamai trafik lorong utama, jadi kenderaan di lorong-lorong utama tidak perlu membrek.

Tidak seperti kereta lain yang lembap atau sesetengah pemandu Malaysia yang malas menekan minyak seolah-olah risau enjin bekerja keras, sanggup mengganggu kelancaran trafik. Tetapi bila di taman perumahan atau bila diacah, pandai pula tunjuk hebat tidak bertempat. Eh maaf penulis ‘terluah perasaan’ pula.

Oh ya, dengan kuasa dan pecutan agak mantap, paling mengagumkan penulis ialah tahap penjimatan yang diberikan, jimat seperti Perodua Bezza!

Rupa jauh lebih segak dan dinamik

Kita tidak boleh abaikan rupa dan rekaan luar Nissan Almera baharu ini, kerana cukup berbeza berbanding generasi dahulu. Beza 180 darjah, ibarat langit dan bumi.

 

Almera generasi terkini tampak cukup segak, dinamik, tengok rupa pun sudah dapat rasakan ia seronok dipandu. Berbeza sekali dengan Almera sebelumnya yang nampak bulat-bulat dan comel.

Standard tinggi untuk keselamatan

Selain berani membawa masuk enjin turbo untuk pasaran segmen ini, pujian juga harus diberikan kepada Edaran Tan Chong Motor kerana menawarkan Autonomous Emergency Braking sebagai standard untuk semua varian.

Ini pastinya meletakkan penanda aras yang tinggi untuk segmen ini, diharapkan pengeluar lain juga boleh ikut selepas ini.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai ulasan pandu uji Nissan Almera 1.0 Turbo? Jemput tonton video di bawah ini, penat kami buat!

Spesifikasi Nissan Almera 1.0 Turbo VLP

Harga: RM91,310.00
Enjin: 1.0-liter 3-silinder turbo
Kotak gear: CVT Xtronic
Kuasa: 99hp @ 5,000rpm
Tork: 152Nm @ 2,600rpm

Ulasan VW Golf GTi dan R-Line di litar – Pandu uji

INGIN dinyatakan terlebih dahulu bahawa ini bukanlah pandu uji penuh, sebaliknya hanya tanggapan pertama di litar untuk Volkswagen Golf Mk8.

Tetapi kami dapat memandu uji kedua-dua varian yang dilancarkan iaitu Golf R-Line dan juga Golf GTi, jadi saya akan kongsikan sedikit ulasan untuk kedua-dua kereta dari sesi pemanduan singkat itu.

Disebabkan kedua-dua model menggunakan enjin dan kotak gear berbeza, saya akan ulas mengikut empat aspek; penghantaran kuasa, kotak gear, casis dan pengendalian, dan adakah kereta ini sesuai untuk kegunaan litar.

Golf R-Line

Baik, kita mulakan dengan Golf R-Line dahulu, ya sabar, kita mulakan dengan model asas ya. Jangan terkeliru dengan Golf R yang berharga RM358k, kerana hot hatch itu mempunyai kuasa lebih 300hp, sistem 4Motion dan sebagainya.

Golf R-Line adalah varian ‘lebih mesra’ pemandu dan poket, diasaskan dari Golf 1.4 tetapi dikemaskan dengan pakej R-Line yang memberikannya rupa cukup sporti. Malah ada beberapa aspek seperti tempat duduknya nampak lebih sporti dari Golf GTi sendiri.

Golf R-Line dijual pada harga antara RM155k hingga RM165k, kenapa antara? Kerana Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) belum mengesahkan harganya.

Penghantaran kuasa

Untuk aspek ini, harus kita ketahui Golf R-Line dipacu oleh enjin 1.4-liter TSI yang menjana 150hp dan 250Nm tork dari 1,500 hingga 4,000rpm.

Terus terang saya katakan, pecutan Golf ini tidaklah rasa terlalu mengujakan, kerana jika dibandingkan, Honda Civic pun sudah mempunyai 180hp dari enjin 1.5-liter VTEC Turbo padanya. Mungkin juga kerana keadaan Litar Sepang yang luas dan lebar membuatkan daya pecutan dan kelajuan tidak begitu terasa.

Tetapi enjin 1.4 TSI ini mempunyai 250Nm iaitu 10Nm lebih dari Honda Civic, jadi mungkin pecutan dalam gear lebih bertenaga, dan pemanduan seharian dalam bandar lebih ‘ummpph’.

Apa pun, penghantaran kuasa cukup linear dan walaupun enjin ‘ditarik’ hingga ke redline, kabin Golf ini tidak bising dan enjin tidak terasa ‘menjerit’ atau mengaum. Jadi ini membuatkannya selesa untuk diperah ke hujung rpm walaupun enjin ini merupakan unit janaan turbo.

Kotak gear

Untuk Mk8, Golf 1.4 kini menggunakan kotak gear baharu automatik 8-kelajuan jenis torque converter menggantikan DSG dwi-klac pada generasi sebelumnya (Mk7 dan Mk7.5).

Harus dikatakan juga untuk pecutan berterusan di litar seperti ini, kotak gear 8AT ini terasa tidak begitu gembira dihenyak. Ya, ia memang mampu bertahan, tetapi pecutan dari unit 8AT dengan klac tunggal ini bukanlah yang terpantas dan terlancar.

Mungkin juga kerana penulis telah ‘dimanjakan’ dengan kereta-kereta lain dengan kotak gear lebih sporti di litar sebelum ini.

Respon dari input paddle-shifter juga tidak begitu pantas, tetapi menariknya, tetap ada ‘blip’ yang sporti semasa downshifting memasuki selekoh.

Penulis percaya Golf R-Line dengan kotak gear 8AT ini lebih selesa dalam pemanduan biasa dan benar sekali, semasa memandu perlahan memasuki South Paddock, tukaran gear pada 8AT ini sangat lancar dan selesa.

Penulis juga percaya Volkswagen menggantikan DSG dengan 8AT ini bertujuan mengurangkan kos peneyelenggaraan Golf secara amnya, kerana DSG dwi-klac adalah lebih kompleks, jadi pasti lebih tinggi kos menjaganya.

Casis dan pengendalian

Semasa mengambil selekoh tajam dari jalan lurus keluar South Paddock dan terus potong ke Turn 8 dalam konfigurasi South Circuit, casis Golf R-Line ini cukup bersahaja menampung semua daya membelok.

Dan di selekoh panjang berkelajuan tinggi seperti di Turn 12, dapat dirasakan bahawa had pengendalian R-Line ini adalah tayarnya, kerana casis tetap tegap memastikan kestabilan kereta.

Tayar pada Golf ini pun adalah Bridgestone Turanza, sejenis tayar touring dan bukan paling sporti. Jadi jika anda memiliki Golf R-Line dan ingin menaik taraf pengendaliannya, tukarlah tayar dahulu, pasti hasilnya cukup ketara.

Bukan hendak katakan Bridgestone Turanza ini tayar yang tidak bagus, tidak sama sekali, tetapi Turanza lebih kepada ketahanan jangka masa panjang dan sedikit penjimatan bahan api.

Sesuai untuk litar?

Golf R-Line boleh sahaja masuk track day, “tak segan”, orang kata. Pakej R-Line pun sememangnya memberikan gaya sporti padanya.

Tetapi untuk pemanduan lebih optima, mungkin anda boleh tukar tayar. Untuk kereta yang sudah melepasi tempoh jaminan pula, bolehlah menaik taraf pelapik brek.

Golf GTi

Kini kita ke hero pada hari ini, iaitu Golf GTi yang ikonik.

Golf GTi Mk8 dijual pada harga RM212,711 dan ia mendapat harga yang agak kompetitif kerana GTi kini merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

Ini merupakan kali pertama kilang VPCM di Pekan memasang Golf GTi dan ini juga kali pertama GTi dipasang selain di Jerman dan China.

Penghantaran kuasa

Terus ke pandu uji, dengan ledakan 245hp dan 370Nm tork dari enjin EA888 2.0-liter TSI, Golf GTi ini jelas terasa lebih bertenaga memecut keluar South Paddock, terus mencapai 150km/j dengan mudah sebelum membrek dan downshift untuk memasuki selekoh pertama yang hampir 180-darjah.

Untuk perbandingan dengan Mk7.5, enjin pada GTi Mk8 ini adalah 15hp dan 20Nm lebih berkuasa.

Pecutan dan penghantaran kuasa juga ditemani dengan bunyi deruman yang cukup merdu, paling jelas dalam mod Sport. Tetapi saya yakin bunyi ini lebih kepada janaan pada pembesar suara, dan bunyi ekzos di luar sebenarnya lebih senyap untuk menepati piawaian Eropah yang semakin ketat.

Tetapi pemanduan setakat ini cukup untuk memberikan senyuman. Apa pun, kita yang memandu perlu kepuasan, bukannya perlukan ekzos terlalu kuat untuk ‘belanja’ orang di luar, betul tak?

Kotak gear

Sekarang, padanan unit DSG 7-kelajuan ini suatu pasangan atau peneman paling ideal untuk enjin 2.0-liter TSI tadi.

Jika enjinnya ibarat suami, kotak gear dwi-klac ini merupakan isterinya, dan boleh dikatakan mereka tidak boleh hidup tanpa satu sama lain. Eh apa yang saya melalut ni.

Point nya ialah, semasa memecut, kita boleh rasakan yang enjin TSI dan kotak gear DSG ini seolah-olah dicipta untuk bekerja bersama.

Kotak gear ini membantu menyampaikan kuasa ke roda dengan cukup cekap dan efektif. Untuk pemanduan litar, pakej drivetrain ini terasa selesa atau “feels at home” di sini.

Upshift begitu lancar dan pantas sekelip mata, dan downshift pula sempurna segala rev-matchingnya dan memberikan sensasi kepuasan untuk pemandu menggunakan paddle-shifter.

Casis dan pengendalian

Antara ciri penting pada Golf GTi yang tiada pada R-Line adalah XDS (pengunci differential elektronik) dan DCC (Dynamic Chassis Control) iaitu penyerap hentak elektronik.

GTi juga dilengkapi suspensi yang 15mm lebih rendah berbanding Golf R-Line, jadi kesemua ini memberikannya rasa yang lebih selesa dan mantap di litar.

XDS bekerja cukup cemerlang untuk memastikan cengkaman optima apabila pedal minyak ditekan rapat semasa keluar selekoh pertama yang agak tajam. Tanpa XDS ini, tayar depan sebelah dalam akan mudah tergelincir, hasilnya kuasa terbazir dan kereta menjadi understeer.

DCC pula memastikan kawalan badan cemerlang sama ada di jalan lurus atau di selekoh, olengan badan (body roll) jelas kurang pada GTi, lantas membantu tayar Bridgestone Potenza padanya membekalkan cengkaman maksima.

Menariknya, saya dapat rasakan juga bahawa tayar belakang mengikut cukup baik sebarang input agresif di tayar depan, seolah-olah tayar depan dan belakang bersama-sama membantu kereta membelok.

Ini saya percaya hasil dari talaan geometri suspensi yang cukup baik oleh jurutera-jurutera Volkswagen.

Sesuai untuk litar?

Sudah tentu! Dengan yakinnya saya berani katakan bahawa Golf GTi ini boleh sahaja terus dibawa ke litar sebaik anda menerima kuncinya dari bilik pameran. Keluar kedai terus boleh lenjan!

Kesimpulan

Dapat disimpulkan di sini bahawa Golf R-Line dan GTi masing-masing direka untuk tujuan dan golongan pemilik berbeza walaupun berasaskan model sama.

Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana Golf R-Line cukup praktikal untuk kegunaan seharian dan adakah Golf GTi juga selesa untuk pemanduan di luar litar.

Akhir sekali, kami teruja untuk mengetahui apa yang mampu Golf R tawarkan, iaitu sebuah hot hatch lebih hardcore. Jentera ini sememangnya sebuah monster jika dilihat spesifikasinya, adakah ia seronok dan mudah dipandu? Sama-sama juga kita nantikan.

VW Arteon R-Line lebih baik dari BMW 3-Series? – Pandu uji

BILA berkata mengenai sedan premium, kita tidak akan dapat lari dari terfikirkan tiga jenama Jerman – Audi, BMW dan Mercedes-Benz. Namun, ada satu lagi jenama Jerman yang juga mantap, tetapi kita mungkin terlepas pandang; Volkswagen.

Volkswagen Arteon menawarkan prestij sebuah sedan premium tetapi dengan gaya lebih sporti jika dilihat dari penampilan fastback padanya, sama seperti Audi A5.

Eh memang kedua-dua kereta ni adik-beradik pun, Arteon dan A5 mempunyai platform mekanikal yang sama, cuma rupa luaran dan penampilan sahaja sedikit berbeza.

Jadi Arteon kini dengan pakej R-Line membawakan rupa lebih sporti antaranya kemasan serba hitam pada beberapa bahagian badan, lencana R-Line, dan juga spoiler kecil pada butnya.

Untuk siapa Volkswagen Arteon ini? Ia untuk mereka yang mahukan sedan-coupe dari Jerman, tetapi tidak mahu membayar harga Audi/BMW/Mercedes, Arteon merupakan sebuah produk berkualiti, sesuai untuk mereka yang tidak mementingkan jenama, tetapi mempunyai nilai yang baik.

Arteon R-Line mempunyai rupa yang kemas dan segak, susah untuk kita mencari perkara yang tidak berapa elok mengenai penampilannya. Lampu depan dengan DRL LED yang mempunyai garisan hingga ke dalam gril pastinya membuatkan anda ke tepi jika melihatnya di cermin pandang belakang.

Dari prestasi, sememangnya tiada rungutan. Enjin 2.0-liter turbo TSI menghasilkan 276hp dan 350Nm tork, lebih dari mencukupi untuk semua keadaan.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear DSG 7-kelajuan dan lebih menarik lagi, kuasa disalurkan melalui sistem 4Motion iaitu sistem pacuan semua-roda. Ini pastinya memberikan keyakinan dalam semua situasi pemanduan dan memerlukan teknik khas untuk menjinakkannya di selekoh.

Jemput tonton ulasan Abang Syamsul kita mengenai pemanduan Volkswagen Arteon R-Line ini.

Spesifikasi Volkswagen Arteon R-Line

Harga: RM248,692.97
Enjin: 2.0-liter turbo 4-silinder TSI
Kotak gear: Automatik DSG 7-kelajuan
Kuasa: 276hp @ 5,100rpm
Tork: 350Nm @ 1,700rpm
Pecutan 0-100km/j: 5.6 saat

Suzuki Swift Sport: Hot hatch yang jujur! – Pandu uji

ADA perkara menggembirakan dan mengecewakan dengan Suuzki Swift Sport baharu ini. Yang menggembirakan ialah akhirnya Suzuki kembali ke Malaysia membawakan model-model terkini.

Yang mengecewakan pula ialah Swift Sport ZC33S ini tidak ditawarkan dengan pilihan manual 6-kelajuan, sebaliknya ‘hanya’ automatik 6-kelajuan.

Nanti dulu, sebelum anda semua serang penulis dengan alasan kaki lenguh, ‘traffic jam’ dan lelaki moden, harus diingat kereta sebegini lebih elok dinikmati dengan kotak gear yang betul. Hanya kerana ada pilihan automatik, tidak bermakna kita harus pilih yang itu.

Jika ada menu roti canai dengan sebuk Lotus Biscoff, tidak bermakna itu pilihan yang betul, bukan? Roti canai sedap dimakan dengan dhal dan kari sahaja. Sama lah juga dengan Swift Sport ini…

Baik, cukup merungut. Sekarang kita sudah ada unit pandu uji Swift Sport ZC33S, mari kita lihatkan mantap atau tidak hot hatch terbaharu Jepun ini.

Rupa lebih moden tapi kekalkan elemen SSS

Dapat dilihat bahawa Suzuki Swift Sport baharu mempunyai rupa lebih tajam dan agresif berbanding kereta generasi sebelumnya. Pada sesetengah bahagian seperti tiang-C dan lampu belakang juga nampak lebib premium, hampir seperti MINI Cooper S.

Pada masa yang sama, ia tetap mengekalkan ciri-ciri dan elemen dari Swift generasi sebelumnya, ini yang penulis suka. Sebagai contoh, bentuk lengkungan lampu depan yang naik hampir ke atas hud serta tiang-A yang dicat hitam memberikan kesan rupa ‘bumbung terapung’.

Jika tiada logo Suzuki pun rasanya orang boleh kenal ini sebuah Swift.

Cukup luas dan praktikal

Melihat kepada lengkuk pada ‘bahu’ kereta iaitu dari sisi pintu naik ke cermin, ia memberikan gambaran badan yang lebar tetapi ruang kabin agak kecil.

Sebenarnya, ruang dalam Suzuki Swift Sport ini tetap luas dari yang disangkakan, inilah magik pengeluar kereta Jepun. Mereka pandai mencipta ruang yang lapang tanpa mengorbankan rupa luaran.

Cuma mungkin pandangan untuk penumpang belakang terhalang sedikit oleh tempat duduk depan yang besar dan sporti. Mujurlah siling kereta berwarna cerah, jika berwarna hitam pasti memburukkan keadaan.

Untuk kabin depan, boleh dikatakan masih banyak plastik-plastik berkos rendah, senang cerita bahagian papan pemuka ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang terlalu wow atau hebat walaupun kereta ini berharga kira-kira RM140,000.

Tapi harus diingat, anda bukan bayar Suzuki Swift Sport ini untuk ruang dalaman yang premium dan mewah. Jika ini yang anda cari, maka Swift Sport ini bukan untuk anda.

Berkuasa tapi jimat

Suzuki Swift Sport kali ini ditawarkan dengan enjin turbo buat kali pertama, dan sesaran diturunkan dari 1.6-liter sebelum ini kepada 1.4-liter. Enjin 1.4 BoosterJet ini menjana 140hp pada 5,500rpm dan 230Nm tork pada 2,500rpm.

Cukup atau tidak? Harus diketahui bahawa kereta ini hanya seberat 970kg, tidak sampai satu tan. Bayangkan berat sama seperti Myvi, tapi dengan 50 peratus lebih kuasa dan hampir dua kali ganda tork. Dapat bayangkan?

Penulis harus katakan tiada langsung ‘turbo lag’ pada enjin ini, ia cukup responsif. Tekan sahaja bila-bila masa, ada kuasa dan kereta terus melonjak ke depan.

Baik, kotak gear pula. Walaupun bukan manual seperti yang diharapkan, sebenarnya unit torque converter 6-kelajuan ini cukup bagus dan bijak. Ia memberikan gear yang tepat setiap masa sama ada anda memandu santai ke kedai runcit atau melayan selekoh di Ulu Yam pada pagi Ahad.

Penulis berani katakan yang kotak gear ini adalah yang terbaik dalam paras harga bawah RM150,000.

Oh ya, tiada sebarang mod Normal, Comfort atau Sport. Sebaliknya kaki anda jadi penentu. Tekan secara agresif, dia akan berikan prestasi. Tetapi ringankan kaki, dia akan beri anda keselesaan dan penjimatan.

Ya, walaupun sebuah hatchback prestasi, enjin BoosterJet ini cukup menjimatkan. Tangki 37 liter ini dengan mudah memberikan anda 450 hingga 500 kilometer.

Pengendalian jujur

Mengapa penulis kata pengendalian Swift Sport ini jujur? Dua sebab. Pertama, sterengnya begitu tepat dan banyak maklum balas, antara stereng paling responsif pernah penulis rasa dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

Sungguh lazat mengambil selekoh dengan stereng Swift Sport ini kerana kita akan rasa mempunyai banyak kawalan ke atasnya. Malah anda pandu kereta ini pada kelajuan 30km/j pun boleh rasa yang stereng ini bukan calang-calang.

Kedua, seperti dinyatakan tadi, tiada sebarang mod pemanduan. Jadi, kereta ini jujur dan patuh sahaja kepada sebarang arahan pemandunya. Dia boleh menjadi kenderaan selesa, dan juga boleh menjadi jentera track day.

Padanan sistem suspensi dan tayar Yokohama Advan A13 juga memberikan keseimbangan untuk semua kegunaan, membolehkan Swift Sport ini mengambil selekoh pada kelajuan tinggi tanpa sebarang drama.

Hanya untuk yang tegar

Untuk siapa Suzuki Swift Sport ini? Hanya untuk yang tegar. Kerana pada harga sekitar RM140,000, anda boleh dapat SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, malah Proton X70 yang lebih besar.

Tetapi yang memilih Swift Sport ini tidak meletakkan ruang kargo sebagai keutamaan, tetapi menghargai nikmat dan keseronokan pemanduan. Dan pasti juga dia berjaya pujuk orang rumahnya untuk kereta ini.

Dan mungkin juga sesuai untuk mereka yang bujang dan mahukan sesuatu yang seronok dipandu, tidak mahu terlalu sama dengan orang lain. Penulis gerenti Swift Sport ini boleh tapau Honda Civic yang lebih berkuasa.

Tiada kekurangan?

Kekurangan? Mestilah ada, walaupun tak banyak. Baik, selain dari ketiadaan kotak gear manual untuk pasaran Malaysia, Swift Sport ini bagi penulis terlalu senyap bunyinya.

Mungkin Suzuki mahu capai penjimatan atau menepati piawaian-piawaian tertentu, tetapi kalau ekzosnya berbunyi lebih garang dan ada meletup-letup sedikit, kira sempurna dah kereta ni.

Spesifikasi Suzuki Swift Sport

Harga: RM139,900
Enjin: 1.4-liter BoosterJet turbo
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Kuasa: 140hp @ 5,500rpm
Tork: 230Nm @ 2,500rpm
Pecutan 0-100km/j: 8.0 saat

Pandu: Polestar 2 – Laju seperti bil elektrik anda

UNTUK pandu uji kali ini, kami bawakan satu kereta yang sangat istimewa, lain dari biasa. Sebuah kereta elektrik sepenuhnya, dari jenama Sweden.

Ya, persembahkan Polestar 2. Jadi, kereta apa ni sebenarnya? Ini ialah model kedua dari Polestar, sebuah pengeluar terbitan dari Volvo, tetapi khas untuk kereta elektrik sepenuhnya (EV).

Maka sebab itulah anda dapat lihat gaya luaran dan dalamannya sangat menyerupai Volvo, dengan garisan ringkas yang lurus, tegak, dan rekaan moden minimalistik terutamanya di bahagian dalam.

Sebelum ini model pertama mereka ialah Polestar 1, sebuah EV dengan rekabentuk coupe dua-pintu. Ia nampak seperti Volvo S60 atau S90, hanya kurang dua pintu.

Untuk Polestar 2, mereka mengambil rekaan seperti hatchback 5-pintu, tetapi sedikit tinggi seakan-akan crossover. Boleh dikatakan Polestar 2 ini direka untuk menyaingi Tesla Model 3.

Spesifikasi ringkas Polestar 2

Harga: RM420,000-450,000
Janaan kuasa: Dua motor elektrik, bateri 78kWh
Jarak pemanduan: 400-500km

Kuasa maksima: 300kW (408hp)
Tork maksima: 660Nm
Pecutan 0-100km/j: 4.5 saat
Kelajuan maksima: 204km/j
Berat: 2,200 kg
Sistem keselamatan: Run-off Road Mitigation, Oncoming Lane Mitigation, Lane Keeping Aid, Post Impact Braking, Connected Safety, Slippery Road Alert, Hazard Light Alert, Driver Alert Control, Road Sign Information, Speed Limiter

Disebabkan Polestar dari Volvo, kereta ini berkongsi pelantar dengan XC40. Di sebelah kiri, anda akan nampak penutup seperti tempat mengisi minyak, tetapi disebabkan Polestar 2 ialah EV, di sini sebenarnya tempat ia dicaj.

Polestar 2 boleh dicaj dengan du acara, iaitu DC Fast Charging pada kadar 150kW dan AC Charging pada 11kW.

Bahagian dalam Polestar 2 mendapat vegan interior atau bahan-bahan bebas kulit dan lebih mesra alam. Dapat dilihat rekabentuk papan pemuka, stereng, konsol tengah dan tombol gear mengingatkan kita pada model-model Volvo terkini.

Sama seperti Volvo, ruang kabin Polestar ini cukup selesa, praktikal, mendapat bahan berkualiti, dan nampak ringkas dan tidak terlalu flashy atau menunjuk.

Aspek minimalistik pula ditonjolkan dengan kurangnya butang-butang kawalan, sebaliknya kebanyakan fungsi kenderaan dikawal atau diakses melalui skrin tengah, iaitu unit 11-inci bersaiz potret.

Rupa ‘baik’, prestasi sports car

Dengan kemampuan pecutan 0 ke 100 dalam 4.5 saat, ini meletakkan Polestar 2 dalam liga kereta sports. Sebagai konteks, pecutan ini lebih pantas dari VW Golf GTi MK7.5 dan Honda Civic Type-R FK8.

Pada masa yang sama, Polestar 2 boleh dipandu dengan selesa setiap hari dan tetap praktikal untuk kegunaan keluarga.

Bagaimana pula dengan gaya pemanduan dan proses mengecaj Polestar 2 ini? Jemput tonton video pandu uji kami di bawah untuk ketahui dengan lebih lanjut.

AE 86, GR Yaris antara kereta sport terbaik Toyota

KREDIBILITI Toyota sebagai syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dunia tidak dapat disangkal lagi.

Syarikat asal “negara matahari terbit” itu bukan sahaja sekadar menempa nama di peringkat global malah, kekal bersaing menghasilkan kenderaan hebat.

Ini terbukti apabila Toyota sebelum ini pernah menghasilkan beberapa model sport yang agak power.

Jadi, kali ini EnGear telah senaraikan lapan model sport Toyota yang pernah ‘menggegar’ pasaran automotif dunia.

Toyota 222D

Ramai yang menganggap model 222D seakan kereta keluaran Ford iaitu RS200.

Model ini terkenal dengan kelajuan yang super hebat terutama dalam sukan rally.

Bagaimanapun, disebabkan kenderaan ini terlalu laju, ia kemudian dihentikan daripada memasuki kejohanan rally.

Toyota Soarer

Syarikat Toyota dikatakan mempunyai niat tersembunyi ketika mengeluarkan model ini.

Khabar angin mengatakan bahawa model Soarer dihasilkan bagi menyaingi kenderaan keluaran syarikat Jerman.

Buat pengetahuan anda, model Soarer adalah asas kepada penghasilan sport car
keluaran Lexus.

Toyota Celica GT Liftback

Sekali pandang model ini persis kereta keluaran Amerika Syarikat (AS), Mustang.

Ia dikeluarkan pada tahun 1977 dan ramai meminati model ini bukan sahaja kerana rekaannya tetapi disebabkan enjin berkuasa tinggi.

Toyota Trueno (AE 86)

AE merupakan antara model yang agak famous bagi peminat kereta.

Hal ini kerana AE 86 pernah muncul dalam sebuah filem yang mengetengahkan aksi perlumbaan drift.

Maklumat yang kami selidiki mendapati model AE 86 sebenarnya adalah berasaskan daripada model Corolla.

Toyota Supra Mark 3

Supra Mark 3 juga salah satu model paling famous bagi kenderaan keluaran Toyota.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa model ini antara yang terbaik pernah dihasilkan Toyota.

Pada masa sama, reka bentuk ini sangat ‘mengancam’ dan sering menjadi ‘buruan’ peminat kereta.

Toyota 2000GT

Pertama kali terpandang model ini, pasti mata kita akan terpanggil untuk melihat rekaan lampu hadapannya.

Kelebihan ada pada kereta ini selain enjin yang mantap adalah detailing yang dihasilkan menghampiri tahap sempurna.

Toyota Supra Mark 4

Supra Mark 4 tidak dinafikan antara kereta pasaran domestic Jepun (JDM) yang masih mahal harganya.

Ini bukan sahaja kerana rupanya yang agresif malah enjin yang digunakan sangat hebat.

Kami yakin, ramai juga meminati model ini kerana rekaan dalaman cockpit yang menarik dan sporty.

Percaya atau tidak, Supra Mark 4 juga boleh mencapai 1000 kuasa kuda walau hanya menggunakan blok asal!

Toyota GR Yaris

Percaya atau tidak GR Yaris pernah menerima pengiktirafan daripada Top Gear sebagai kenderaan perfect 10!

Ini merupakan satu pencapaian membanggakan bagi Toyota.

Walaupun harga model ini mencecah RM300,000 tetapi ia masih berbaloi untuk dibeli bagi mereka yang berkemampuan.

GR Yaris juga adalah satu-satunya kereta sport untuk kegunaan rally yang dijual kepada orang ramai.

Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai artikel ini boleh kongsikan kepada kami.

Informasi lanjut sila layari laman sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram dan Twitter.

Jangan lupa untuk saksikan video menarik mengenai lapan kereta sport keluaran Toyota bersama host kesayangan ramai, Shamsul Yunos!

Chiow!

Skyline GT-R R34 ini lebih mahal daripada Ferrari F8 N-Largo!

Adakah anda masih ingat akan model Nissan Skyline GT-R R34?

Ya, sebuah model Skyline yang telah berusia hampir 20 tahun.

Apa yang menarik baru-baru ini sebuah Nissan Skyline GT-R R34 dengan spesifikasi V-Spec II Nur ingin dijual oleh Yahoo Auction.

Berdasarkan kenyataan Yahoo Auction, kenderaan itu dikatakan belum didaftarkan malah, jarak perbatuannya hanya kurang 10 kilometer!

Untuk rekod, model V-Spec II Nur merupakan salah satu daripada 718 unit pernah dihasilkan dan daripada jumlah itu, hanya 159 unit dicat warna putih.

R34 GT-R V-Spec II ini dikatakan masih belum didaftarkan walau telah dihasilkan lebih 20 tahun lalu. – Foto ihsan Yahoo Auction

Selain itu, model ini didatangkan dengan enjin perlumbaan RB26DETT.

Antara penambahbaikan yang telah dibuat termasuk:

  • Aci engkol lebih seimbang
  • Saluran air dan udara lebih baik
  • Omboh yang dinaiktaraf
  • Unit pengecas turbo baharu
  • Aci sesondol yang dinaiktaraf

Yahoo Auction memaklumkan harga bidaan bagi Nissan Skyline GT-R R34 tersebut bermula dari 50,000,000 yen atau bersamaan RM1.87 juta!

Apa kata anda?

Kenderaan ‘kayangan’, Ferrari F8 N-Largo hanya 15 unit seluruh dunia

‘PERANG’ supercar nampaknya terus memuncak dengan pengenalan model baharu Ferrari F8 N-Largo.

Tampil lebih ‘garang’ dan eksklusif, model ini mendapat sentuhan pereka Jerman Vittorio Strosek.

Apa yang menarik, Ferrari F8 N-Largo hanya dihasilkan sebanyak 15 unit bagi pasaran global.

Justeru, apa kelebihan Ferrari F8 N-Largo ini?

Ferrari F8 N-Largo mampu menjana kuasa mencecah 818 PS pada 7,960 rpm dan tork 903 Nm dari serendah 3,100 rpm.

Ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 2.6 saat selain mencapai kelajuan 200 km/j dengan masa kurang 7.4 saat.

Tahap kelajuan maksimum yang boleh dicapai pula adalah 340 km/j.

Ferrari F8 N-Largo sesuai untuk mereka yang gemarkan kelajuan. – Foto ihsan Motor1.com

Berikut antara kelebihan lain terdapat pada model Ferrari F8 N-Largo:

  • Penggunaan dua modul kawalan enjin yang memperkenalkan pemetaan khas bagi pencucuhan dan suntikan serta kawalan tekanan rangsangan
  • Sistem ekzos kustom yang diperbuat daripada aloi Inconel
  • Menggunakan roda Novitec NF10 NL 21-inci dan 22-inci yang dihasilkan menerusi kerjasama Vossen
  • Tayar prestasi tinggi 255/30 ZR21 (9.5J) dan 335/25 ZR22
  • Gegelung sport bagi mengurangkan ketinggian jentera sebanyak 35 mm
Rekaan belakang Ferrari F8 N-Largo kelihatan begitu ‘seksi’. – Foto ihsan Motor1.com

Pelanggan yang berminat membuat tempahan diberi pilihan untuk memilih warna luaran, roda dan ruang kabin mengikut selera masing-masing.

Harga bagi sebuah Ferrari F8 N-Largo bermula serendah $274,000 atau bersamaan RM1.14 juta sahaja.

Kenapa harga Mini 3 Door 2021 cecah RM300 ribu?

KETERUJAAN ketika mengendalikan kenderaan merupakan antara aspek penting perlu ada dalam diri setiap pemandu.

Kenderaan kini bukan sekadar membawa anda dari lokasi “A” ke lokasi “B”, malah menjadi simbol kepada kemegahan, keseronokan, keghairahan dan banyak lagi.

Untuk itu, syarikat pengeluar kenderaan Mini sekali lagi tampil memperkenalkan semula model John Cooper Works 3 Door baharu di pasaran.

Rekaan luaran yang lebih kemas dan ‘garang’ pasti memukau setiap mata memandang.

Menerusi sudut pandang hadapan, John Cooper Works 3 Door dilengkapi gril radiator baharu lebih besar berbentuk heksagon.

Selain itu, ia turut dilengkapi lampu hadapan LED Adaptif yang dilitupi perumah dalaman baharu berwarna hitam.

Model ini juga hadir dengan rongga udara penyejukan untuk memastikan sistem pemanduan dan brek berada pada tahap suhu optimum apabila jentera dipandu dalam kondisi ‘sporty’.

Logo John Cooper Works yang eksklusif. – Foto oleh Mini

Warisan DNA perlumbaan John Cooper Works

Model John Cooper Works 3 Door baharu dikuasakan oleh enjin Mini Twin Power Turbo 2.0 liter 4 silinder.

Ia dibangunkan menerusi kepakaran John Cooper Works dalam bidang perlumbaan kereta.

Apa yang menarik, John Cooper Works 3 Door baharu mampu menjana 231 kuasa kuda dan tork sebanyak 320 Nm.

Pecutan 0-100 km/j pula hanya perlu mengambil masa selama 6.1 saat sahaja!

Jentera ini mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 246 km/j dengan penggunaan bahan api direkodkan pada paras 6.3 liter bagi setiap jarak perjalanan 100 kilometer.

Sistem brek Brembo

Sistem brek Brembo terbukti amat berkualiti tinggi selain memberi cengkaman yang luar biasa. – Foto oleh Mini

John Cooper Works 3 Door mempunyai sistem brek sport meliputi angkup brek empat piston berserta cakera yang diventilasi dari dalam.

Pada masa sama, model ini turut didatangkan dengan Suspensi Adaptif menggunakan teknologi redaman selektif frekuensi.

Sekaligus, ia menjamin keseimbangan yang optimum dari segi kelasakan dan keselesaan ketika memandu.

Berikut antara ciri-ciri istimewa lain Mini John Cooper Works 3 Door:

  • Stereng baharu dengan ruji horizontal serta iras baharu
  • Mini Yours Aluminium Interior Surface baharu
  • Skrin sentuh 8.8 inci dalam rekaan panel hitam
  • Program audio,
  • Navigasi
  • Fungsi Live Widget

Terdapat tiga warna ditawarkan iaitu Rebel Green, Midnight Black, serta White Silver.

Kesemua tawaran warna ini dipadankan dengan bumbung warna merah yang menawan.

Harga bagi sebuah Mini John Cooper Works 3 Door baharu adalah RM311,259.49.

BMW 320i Sport baharu bukan sekadar “BMW”

ADAKAH anda masih tercari-cari model kereta apa hendak dibeli tahun ini dengan kualiti yang super awesome?

Jika ya, penulis sarankan anda mempertimbangkan untuk membeli sebuah BMW 320i Sport baharu.

Selain memiliki harga yang tidak terlalu ‘kayangan’, model BMW baharu ini memiliki antara spesifikasi terkini untuk keselesaan pemandu dan penumpang.

Tak percaya? Jom semak ciri menarik yang ada pada BMW 320i Sport 2021 ini.

Spesifikasi enjin BMW 320i Sport baharu

BMW 320i Sport didatangkan dengan enjin petrol TwinPower Turbo 2.0 liter yang dipadankan dengan Transmisi Steptronic Sport 8 Kelajuan.

Ia mampu menjana kelajuan mencecah 235 km/j dengan output maksimum 184 kuasa kuda pada paras 5,000-6,500 rpm dan puncak tork 300 Nm pada paras 1,350-4,000 rpm.

Untuk rekod, BMW 320i Sport mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.1 saat!

Papan meter digital yang direka untuk memberi paparan lebih selesa untuk pemandu. – Foto oleh BMW Malaysia

Rekaan menarik

Model terbaharu ini didatangkan dengan lampu kabus diod pemancar cahaya (LED).

Varian ini turut dilengkapi dengan set roda aloi ringan V-Spoke Style 780 Bicolour bersaiz 18 inci.

Selain itu, sedan sport premium ini juga tampil dengan BMW Live Cockpit Professional yang serba canggih.

Pada masa sama, ia turut dilengkapi skrin paparan bersaiz 10.25 inci dengan resolusi 1920×720 dan kluster paparan instrumen pula menampilkan skrin 12.3 inci.

Antara kelebihan lain BMW 320i Sport baharu ini adalah seperti berikut:

  • Takometer dengan keupayaan pergerakan rpm berlawanan arah jam berserta paras bahan api, kelajuan dan suhu enjin dalam gelung tiub
  • ‘Widget’ yang boleh dikonfigurasi meliputi papan skor sukan, data pemanduan, penggunaan dan keefisienan bahan api serta meter Daya G
  • Memiliki bantuan Mengundur (Reversing Assistant)
  • Kamera Pandangan Belakang (Rear View Camera) dikuasakan sistem operasi BMW 7.0 terkini
  • BMW Intelligent Personal Assistant yang membolehkan pemandu mengawal fungsi kenderaan, navigasi dan sistem hiburan dengan lebih mudah
  • Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call) serta Telekhidmat (Teleservices) yang bertindak balas secara automatik jika berlaku kemalangan

Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Phytonic Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange.

Harga jualan bagi BMW 320i Sport baharu dengan waranti lanjutan dan pakej servis, tanpa SST (atas jalan, tanpa insurans) adalah RM 243,883.65.

Passat R-line paling mengancam, pandu dulu baru tahu

SEBUT nama Volkswagen Passat pasti di kepala terlintas kenderaan segmen D untuk golongan senior.

Namun, seperti penulisan sebelum ini ternyata Volkswagen Passat sesuai untuk semua lapisan umur.

Benarkah dakwaan ini?

Artikel kali ini penulis ingin bercelotoh mengenai model Volkswagen Passat R-line yang lebih sporty, sesuai untuk golongan muda!

Model ini mempunyai ‘rupa paras’ sangat bergaya. Walaupun rekaannya tidak terlalu mencuba namun, impak perubahan sangat ketara.

Antara menarik perhatian penulis adalah bahagian rim Passat R-line.

Mempunyai size 19 inci, ternyata ‘kegarangan’ model ini amat terserlah!

Selain itu, model ini turut menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang begitu cantik.

Passat R-line mempunyai perubahan rekaan sedikit tetapi impak yang banyak. – Foto oleh EnGear

Kelebihan Passat R-line

Passat R-line mempunyai Driving Mode Selection (DMS) yang mana ia membolehkan pemandu memilih jenis mod pemanduan mengikut kesesuaian.

Digandingkan pula dengan Dynamic Chassis Control (DCC), Passat R-line ini sungguh seronok dipandu.

Ia membolehkan kereta ini dipandu secara ekonomi ataupun lebih agresif.

Bagaimana sistem DCC itu dapat membantu anda memandu kereta ini dengan lebih seronok?

Dengan sistem ini, ia membolehkan sistem gantungan Volkswagen Passat R-line untuk berubah mengikut pilihan gaya pemanduan.

Jika anda memilih ‘comfort’ maka ia akan memastikan sistem gantungan memberi keselesaan maksima kepada pemandu dan penumpang.

Mode sport akan memastikan pemandu dapat merasakan pemanduan seperti sebuah kereta sukan.

Enjin masih dikekalkan sama seperti Passat Elegence iaitu 2.0TSI yang menghasilkan 190hp dan 320nm tork.

Ini bermakna Passat R-line ini juga masih boleh dipandu sejauh 1000 kilometer dengan satu tangki penuh.

Selain itu, kotak gear DSG yang sangat lancar masih digunakan sekaligus menjadikan kereta ini amat menjimatkan bahan api.

Pengalaman kami memandu?

Apa yang boleh dikatakan Volkswagen Passat R-line ini sesuai untuk semua jenis jalan.

Walaupun nampak seperti besar, namun kereta ini masih mudah dikendalikan.

Bayangkan laluan yang sempit pun masih mudah dikendali, terima kasih kepada sensor kereta Passat R-line!

Setelah menggunakan kereta ini hampir seminggu dengan jarak penggunaan 750 kilometer, masih terdapat baki minyak dalam tangki! Hebat!

Sporty dan eksklusif! – Foto oleh EnGear

Adakah Passat R-line ini sesuai untuk penggunaan harian?

Volkswagen Passar R-line ini sememangnya sesuai untuk penggunaan harian.

Ini kerana Passat R-line mempunyai fungsi lengkap sebagai kereta harian yang sempurna.

Sememangnya pada harga lebih RM200,000, Passat R-line ini bukan kereta mampu milik.

Tetapi, jika dilihat dalam segmennya, ia adalah sebuah kenderaan yang amat berbaloi untuk dibeli.

Makanya, jangan gentar untuk memiliki sebuah Volkswagen kerana kualiti dan jaminan telah dipertingkatkan saban tahun.

Pada masa sama Volkswagen turut menawarkan lima tahun jaminan tanpa batuan serta tiga tahun servis percuma.

Harga Geely Geometry A Pro tak masuk akal, bakal dieksport waktu terdekat

SYARIKAT pengeluar kenderaan gergasi China Geely nampaknya semakin serius dalam menghasilkan kenderaan pintar.

Memperkenalkan model Geometry A Pro, ia bukan sahaja mesra alam tetapi turut didatangkan dengan teknologi canggih demi kepuasan pemanduan.

Sebenarnya, Geometry A Pro merupakan kesinambungan daripada model Geometry A yang dilancarkan pada tahun lalu.

Geometry A Pro sudah pasti memiliki beberapa penambahbaikan dengan peningkatan teknologi terkini serba canggih.

Memetik maklumat didedahkan Geely UnCut, Geometry A Pro yang didatangkan dengan bateri 70 kWh dapat menjimatkan 20 peratus ruang meskipun mempunyai kapasiti lebih tinggi.

Mengikut kitaran NEDC, Geometry A Pro mampu mencapai jarak pemanduan mencecah 600 kilometer.

Sementara itu, Geometry A Pro juga didakwa mampu memecut 0-100 km/j hanya dalam masa 6.9 saat.

Apa lagi menarik mengenai Geometry A Pro?

Geometry A Pro juga memiliki teknologi iBooster terbaharu keluaran Bosch.

Teknologi ini mampu memberi daya tahan lebih lama kepada kenderaan terutama ketika dipandu dalam bandar.

Setakat ini, Bosch mendakwa iBooster mampu menghasilkan tekanan secara pantas untuk jarak henti lebih pendek selain memberi “rasa pedal terbaik” yang boleh dilaras.

Geometry A Pro dijual pada harga sekitar 148,000 yuan atau bersamaan RM95,116.