Jaguar I-Pace kini boleh didapati dengan pakej Stealth, harga RM12,000

JAGUAR Land Rover Malaysia hari ini melancarkan pakej I-Pace Stealth untuk pemilik sedia ada dan pelanggan baharu Jaguar I-Pace.

Jika anda masih ingat, crossover elektrik itu dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu pada harga bermula dari RM460,800 untuk Black LE, dan RM498,800 untuk HSE.

Dijual pada harga RM12,000, pek Stealth memberikan I-Pace penampilan yang lebih unik dan dinamik menerusi gril depan baharu berwarna kelabu Atlas terang, serta lencana Jaguar dalam warna hitam dan perak.

Selain itu, pek ini juga membawakan cermin sisi berwarna hitam, sementara diffuser belakang, jalur pintu dan bampar didatangkan sedondon dalam warna badan dan bukannya hitam berkilat.

Tiada sebarang naik taraf untuk trenkuasa, bermakna I-Pace kekal dengan motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 400 PS dan 696 Nm.

Dari segi prestasi, EV ini hanya memerlukan 4.8 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Dengan bateri berkapasiti 90 kWj, ia boleh mencapai jarak pandu sejauh 470 km dengan satu cas penuh (berdasarkan kitaran WLTP).

I-Pace menyokong pengecasan AC 11 kWj yang memerlukan 8.6 jam untuk pengecasan dari 0 hingga 100 peratus. Dengan pengecas pantas DC berkapasiti hingga 100 kW, bateri boleh dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam hanya 40 minit.

Pakej Stealth untuk Jaguar I-Pace boleh didapati di bilik pameran Jaguar Land Rover Malaysia di Ara Damansara dan Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan pada kadar serendah 1.23 peratus setahun, dan memanfaatkan program Subsidi Faedah.

Jaguar Land Rover menang Retailer of the Year Award kali ketiga

JAGUAR Land Rover Malaysia (JLRM) sekali lagi menjulang anugerah Retailer of the Year Award (Asia Pacific) bagi tahun 2022/2023.

Meneruskan kemenangan mereka, ini merupakan tahun ketiga berturut-turut dan kali keempat kejayaan ini dicapai oleh JLRM.

Retailer of the Year Award tahunan mengiktiraf Jaguar Land Rover dari seluruh rantau dan menetapkan penanda aras untuk mereka mematuhi tahap piawaian tertinggi dalam usaha membawakan pengalaman pelanggan yang luar biasa.

Calon dinilai berasaskan kriteria prestasi khusus dalam tiga kategori berbeza: pemasaran, jualan dan perkhidmatan pelanggan, dan juga latihan kakitangan dan peragaan peruncit.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Asia Tenggara, berkata, “Sejajar dengan komitmen Sime Darby Motors terhadap kecemerlangan, anugerah ini sesungguhnya memperlihatkan prestasi JLRM yang membanggakan dan tumpuan yang utuh dalam menyediakan pengalaman automotif bertaraf dunia.

“Kejayaan ini juga membuktikan kesungguhan dan kegigihan seluruh pasukan, secara konsisten dalam setiap aspek perniagaan.”

Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia menambah: “Selari dengan hala tuju peralihan masa depan, kami mendedikasikan anugerah ini kepada pelanggan dan di atas komitmen kami untuk mengekalkan kelebihan daya saing dalam segmen kereta mewah.

“Kami akan terus berusaha menjangkaui sempadan dan mempelopori inovasi, memastikan pelanggan kami menikmati hanya yang terbaik dalam kemewahan moden.”

SEMA: Jaguar E-Type ini dikacuk dengan komponen Amerika dan Eropah

JAGUAR E-Type dikira antara kereta paling cantik pernah dibuat, sama seperti Mercedes 300SL Gullwing dan Lamborghini Miura.

Tetapi apa yang anda dapat lihat ini sudah tentu bukanlah versi biasa E-Type. Untuk pameran SEMA 2023, ia telah melalui transformasi yang boleh mencetuskan kontroversi.

Ini kerana Jaguar E-Type ini telah disumbat dengan enjin 2JZ-GTE Toyota Supra berserta pengecas turbo Borg Warner. Kuasa pula disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual 5-kelajuan ZF dari BMW M3 E36.

Projek ini dibina oleh DevSpeed Motorsports dan dipamerkan di ruang pameran Eneos, iaitu jenama minyak dan pembekal cecair enjin serta transmisi dari Jepun.

Jaguar E-Type unik ini juga mendapat brek depan dari Chevrolet Corvette C5 2003, sementara brek belakang dari BMW 5-Series E60 2010. Subframe dan differential belakang juga dari BMW E60 ini.

Rim pula adalah Rotiform 17-inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza 225/45/R17 di depan dan 255/40/R17 di belakang.

Untuk memuatkan tayar-tayar yang gemuk ini, fender telah dikembangkan dan direka dengan pencetak 3D sebelum gentian karbon ditambah untuk menguatkan panel badan.

Banyak lagi komponen kacuk yang ada pada Jaguar Frankenstein seperti suspensi depan kustom, spring Silvers, sangkar guling DevSpeed, stereng OMP, tempat duduk Tillett dengan tali pinggang Schroth, dan kotak pedal OBP.

Jaguar I-Pace mendarat di Malaysia – 400hp, 0-100 4.8s, dari RM461k

JAGUAR elektrik sepenuhnya kini telah tiba di Malaysia. Perkenalkan Jaguar I-Pace baharu, kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama dari jenama itu. Dan seperti biasa dengan jenama-jenama lain, Jaguar I-Pace ini juga hadir dalam bentuk SUV.

Walaupun berbentuk SUV, ia membekalkan kuasa dan kualiti pemanduan seperti kereta sports, menurut kata Jaguar. Tetapi ini pasti logik, memandangkan I-Pace mempunyai badan dari binaan aluminium dan ketegeran casis setinggi 36kNm/darjah. Senang cerita, memang keras casisnya.

Jaguar I-Pace didatangkan dengan dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu di gandar belakang) dengan output keseluruhan 400hp dan 696Nm tork. Ini menjadikan I-Pace sebuah jentera AWD, dan pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam masa 4.8 saat sahaja.

Kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 90kW, dan ini membolehkan I-Pace mempunyai jarak pemanduan sehingga 470km (mengikut kitaran WLTP).

Dari segi pengecasan pula, I-Pace boleh disambungkan kepada pengecaj AC 11kWh dan sifar hingga 100 peratus bateri boleh dicapai dalam masa 8.6 jam. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, ia hanya memerlukan 40 minit untuk dicaj dari sifar hingga 80 peratus.

Untuk maklumat tambahan, walaupun bateri Jaguar I-Pace terletak di tengah dan bawah kabin, SUV EV ini boleh meranduk air sehingga kedalaman 500mm. Jadi, tiada kerisauan jika berlakunya banjir kilat. Ia juga dilengkapi dengan suspensi udara, dan ketinggian boleh dilaras secara automatik.

Di bahagian dalam, Jaguar I-Pace menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci di depan pemandu. Di tengah pula, terdapat skrin infotainmen Pivi Pro bersaiz 10-inci, dan di bawahnya terdapat skrin ketiga bersaiz 5-inci untuk paparan sistem pendingin hawa digital.

Jaguar I-Pace dijual pada harga bermula RM460,800 untuk Black LE, dan RM498,800 untuk HSE. SUV ini hadir dengan jaminan 5-tahun atau 150,000km, pakej servis percuma 5-tahun, dan jaminan bateri sehingga 8-tahun atau 160,000km.

Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU mereka bagi tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei 2023, yang membolehkan pengguna meninjau lokasi pengecasan dengan mudah sepanjang perjalanan.

Jaguar F-Pace 2022 facelift mendarat di Malaysia – Varian tunggal R-Dynamic, 250hp, dari RM599k

SETELAH memperkenalkan XF 2022 kira-kira dua minggu lalu, Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) kini melancarkan pula F-Pace facelift. Ia hadir dalam satu varian iaitu 2.0L R-Dynamic, dengan harga RM598,800 (termasuk SST, tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans).

Dari luaran, Jaguar F-Pace 2022 mendapat lampu LED lebih nipis dengan DRL berbentuk-J, corak baharu pada gril, lampu LED belakang lebih nipis, dan bentuk pintu but yang direka semula.

Perubahan di dalam pula merangkumi papan pemuka yang kini baharu sepenuhnya, manakala konsol tengah kini lebih bersegi. Tombol gear pula kini menggunakan tombol kecil menggantikan butang berpusing pada model sebelum ini.

F-Pace juga didatangkan dengan mod-mod pemanduan Comfort, Eco, Rain-Ice-Snow dan Dynamic. Sementara itu, terdapat juga Configurable Dynamics yang membolehkan anda menetapkan respon enjin, cara penukaran gear, dan berat stereng mengikut kesesuaian.

SUV ini juga dilengkapi dengan skrin sesentuh melengkung bersaiz 11.4-inci yang terletak di bawah corong pendingin hawa. Sistem ini kini menggunakan operasi Pivi Pro, hadir dengan pengecaj tanpa-wayar, dan menyokong Android Auto serta Apple CarPlay.

Sama seperti sedan XF, Jaguar F-Pace mendapat ciri keselamatan standard seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Cruise Control dan Driver Monitoring. Active Noise Cancellation juga hadir secara standard.

Tiada perubahan pada janaan kuasa. Jaguar F-Pace facelift ini dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder turbo menghasilkan 250hp dan 365Nm tork, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 boleh dilakukan dalam masa 7.3 saat.

Jaguar XF facelift 2022 kini di Malaysia – 2.0 R-Dynamic dengan Active Noise Cancellation

JAGUAR Land Rover Malaysia telah melancarkan XF facelift 2022 dan tempahan untuk sedan mewah itu kini dibuka. Ia hadir dengan varian tunggal 2.0L R-Dynamic, dengan harga bermula RM498,800 termasuk SST 10 peratus, sebelum cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

Enjin 2.0-liter Ingenium turbo 4-silinder ini menjana 250hp dan 365Nm tork, dengan output disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Ini membolehkan Jaguar XF ini memecut ke 100km/j dalam hanya 7.1 saat.

Untuk facelift kali ini juga, XF 2022 mendapat skrin infotainmen Pivi Pro yang lebih besar dan melengkung, bersaiz 11.4-inci. Unit ini menurut Jaguar memudahkan pengguna, dan menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Terdapat juga pengecaj telefon pintar tanpa-wayar serta sistem audio dengan Active Noise Cancellation untuk ruang kabin lebih senyap dan kualiti audio lebih baik.

Dari segi keselamatan, XF 2022 hadir dengan Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, dan Driver Condition Monitor. Sistem pendingin hawa pula menampilkan sistem ‘air ionisation’ dengan penapis PM2.5.

Tempahan untuk Jaguar XF 2022 kini dibuka dengan harga bermula RM489,800 seperti disebut di atas.

Jaguar XJ Coupe muncul semula selepas 40 tahun, kali ini oleh Carlex Design

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada 1975, Jaguar XJ Coupe atau nama ringkasnya XJ-C bukanlah calang-calang model dari pengeluar kereta British itu.

Reka bentuknya yang memukau terbukti popular di kalangan pembeli ketika apabila lebih 10,000 unit berjaya dijual dalam masa hanya tiga tahun.

Kini, setelah lebih 40 tahun sejak pengeluarannya dihentikan, XJ-C muncul kembali sebagai projek restomod terbaharu syarikat kustom terkenal dari Poland iaitu Carlex Design.

Ia merupakan model pertama yang akan dilancarkan dalam barisan Carlex Jewel, yang mana fokus utamanya adalah untuk memodenkan kereta klasik.

Ya, XJ-C restomod ini sememangnya kelihatan moden namun ia juga tampil sporti dan agresif, terutamanya dengan rekaan lampu ala turbin, gerbang roda lebar, rim jenis deep dish dan diffuser yang menempatkan sepasang muncung ekzos berkembar. Sudah tentu, hanya satu warna yang sesuai untuk kereta ini iaitu British Green.

Mengekalkan imej elegan yang ditampilkannya, ruang dalaman sedan dua pintu ini didominasi oleh upholsteri kulit mewah berwarna coklat dan kemasan kayu ala mahogani pada stereng dan papan pemuka.

Secara keseluruhannya, kokpit XJ-C ini kelihatan begitu kemas dan ringkas tanpa kehadiran elemen-elemen moden seperti skrin sentuh dan kluster instrumen digital.

Jika XJ-C yang asal boleh didapati dengan enjin 4.2-liter enam silinder sebaris dan 5.3-liter V12, versi restomod ini didatangkan dengan enjin V8 yang menghasilkan 400hp.

Carlex tidak mendedahkan dari mana enjin ini diperolehi, namun apa yang pasti kuasanya disalurkan ke roda belakang.

Di samping itu, Carlex turut menggunakan sistem brek dan suspensi moden, serta meletakkan rollbar di belakang bagi membantu meningkatkan ketegaran casis. Syarikat itu mendakwa kereta ini cukup selesa untuk digunakan sebagai kereta harian.

Buat masa ini, maklumat mengenai jumlah yang akan dihasilkan dan harga tidak tersedia. Namun memandangkan ia edisi restomod yang eksklusif, jumlahnya pasti terhad dan harganya pula sudah tentu tidak murah.