Sime Darby Motors lancar pakej servis BYD, tempoh 3 hingga 8 tahun

SIME Darby Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, telah melancarkan pakej perkhidmatan selepas jualan untuk memenuhi keperluan para pemilik kenderaan elektrik jenama itu.

Pakej pertama yang ditawarkan ialah Pakej Servis Standard, di mana pelanggan boleh memilih tempoh tiga, enam dan lapan tahun atau jarak 60,000 km, 120,000 km atau 160,000 km, masing-masing. Harga bagi pakej ini adalah antara RM1,688 hingga RM4,888.

Perkhidmatan yang disediakan di bawah pakej ini termasuk servis minyak reducer, penggantian penapis penyaman udara, servis cecair brek, servis pendingin pemacu motor dan servis pendingin sistem penyaman udara.

Sementara itu, Pakej Servis Tambahan pula menawarkan tempoh enam tahun atau 120,00 km dan lapan tahun atau 160,000 km, pada harga antara RM7,888 hingga RM12,888.

Antara perkhidmatan tambahan yang terangkum di dalam pakej ini termasuk penggantian cecair pencuci cermin depan, penggantian bilah pengelap cermin (depan dan belakang), penggantian bateri alat kawalan jauh, penggantian bateri 12V, penggantian pad brek (depan dan belakang), penggantian cakera brek (depan dan belakang).

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Bahagian Peruncitan & Pengedaran Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong, dan Macau berkata perkhidmatan selepas jualan merupakan komponen penting di dalam rantaian nilai syarikat itu.

“Sime Darby Motors mempunyai pusat membaiki dan mengecat badan kenderaan dengan piawaian tertinggi yang diluluskan oleh panel insurans. Pusat-pusat tersebut terletak secara strategik di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru,” katanya.

BYD buka bilik pameran, pusat servis di Johor dan Pulau Pinang

SIME Darby Motors, selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, terus meluaskan jaringan pengedarnya di negara ini menerusi pembukaan dua pusat BYD di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Dibangunkan oleh anak syarikat Sime Darby Motors iaitu Sime Darby Beyond Auto (SDBA), kedua-dua pusat baharu ini menawarkan kemudahan perkhidmatan jualan (1S) kepada mereka yang berada di kawasan selatan dan utara.

Bukan itu sahaja, kedua-duanya juga dibina untuk menyediakan pengalaman lebih baik bagi pelanggan kerana terletak di dalam pusat beli-belah iaitu Mid Valley Southkey Johor dan Gurney Plaza Pulau Pinang.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Bahagian Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors – Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, berkata, “Sambutan kepada BYD di pasaran Malaysia adalah amat positif, jelas menunjukkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat di negara ini.”

Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT. BYD Motor Indonesia, mengulas, “Pengembangan rangkaian BYD secara agresif di Malaysia membuktikan pertumbuhan positif bagi prospek EV di negara ini, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia mengiktiraf kehadiran jenama BYD dan manfaat EV.”

Untuk perkhidmatan selepas jualan, pelanggan BYD di Johor boleh mengunjungi pusat servis BYD di Jalan Skudai Kiri, Johor Bahru manakala mereka yang berada di Pulau Pinang boleh ke pusat servis BYD di Jalan Sungai Pinang, Georgetown.

Menurut SDBA, perkhidmatan selepas jualan yang disediakan sememangnya serba lengkap untuk memberikan sokongan diagnostik, manakala pengurusan bersepadu pengedaran alat ganti BYD di seluruh negara menjamin bekalan alat ganti yang secukupnya.

Bukan itu sahaja, ia disokong oleh pasukan juruteknik yang terlatih untuk memastikan kepakaran dan penjagaan berkualiti demi ketenangan fikiran pelanggan.

BYD Atto 3 laku keras, 1000 unit diserahkan dalam 100 hari

NAMPAKNYA kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu BYD Atto 3 menerima sambutan yang menggalakkan daripada pembeli di Malaysia.

Menurut pengedar rasmi jenama BYD iaitu Sime Darby Motors, mereka telah berjaya memecahkan rekod dengan penyerahan 1,000 unit Atto 3 dalam masa hanya 100 hari.

Detik bersejarah ini telah diraikan bersama 1,000 pemilik pertama BYD di Malaysia dalam satu majlis penyerahan besar-besaran yang pertama seumpamanya di Stadium Negara Bukit Jalil baru-baru ini.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Hong Kong dan Macau, berkata sambutan ini menandakan satu mercu jaya penting dalam pemasaran EV di Malaysia dan ia mencerminkan tahap populariti dan penerimaan EV yang semakin meningkat di negara ini.

“Kami sukacita untuk mengekalkan momentum penyerahan BYD ATTO 3 kami kepada pelanggan, dan hari ini merupakan satu majlis yang bertujuan meraikan semua pemilik kereta baharu. Kami akan terus memacu pertumbuhan permintaan EV di seluruh segmen pasaran kami,” katanya.

Sementara itu, Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT BYD Motor Indonesia berkata, “Kami berharap para pemilik BYD menikmati pengalaman unik bersama kami pada hari ini dan kami akan terus berusaha membawakan teknologi tenaga dan produk tenaga baharu di Malaysia pada masa depan.”

Bersempena dengan kejayaan menyerahkan kenderaan baharu, BYD baru-baru ini membuka bilik pameran terbaharunya di Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Bilik pameran ini menyediakan ruang yang selesa seluas 1,500 kaki persegi, serta stesen pengecasan percuma di tingkat 6 bangunan tersebut. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mengambil kesempatan dengan memandu uji Atto 3.

Pusat perkhidmatan lepas jualan BYD pula terletak di Sungai Pinang, hanya 6 km dari bilik pameran tersebut. Kemudahan berkeluasan 20,000 kaki persegi ini menyediakan alat ganti, serta perkhidmatan membaiki dan mengecat.

BYD Atto 3 masuk pasaran Malaysia – harga dari RM149,800

Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi kenderaan elektrik BYD di Malaysia telah melancarkan model pertamanya iaitu Atto 3 untuk pasaran tempatan. 

SUV elektrik itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard Range dan Extended Range, dengan harga masing-masing bermula dari RM149,800 dan RM167,800.

Atto 3 didatangkan dengan waranti pengeluar selama enam tahun atau 150,000 km, waranti bateri untuk lapan tahun atau 160,000 km dan waranti motor elektrik untuk lapan tahun atau 150,000 km.

Varian Standard Range dilengkapi dengan bateri berkapasiti 49.92 kWh, membolehkan ia dipandu sejauh 410 km dengan satu cas penuh. Sementara itu, varian Extended Range yang mempunyai bateri 60.48 kWh pula menawarkan jarak gerak sehingga 480 km.

Dengan motor elektrik berkuasa 203 hp dan 150 Nm, Atto 3 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat. Kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

Untuk pengecasan, Atto 3 menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW. Ia juga boleh menampung pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 70 kW untuk Standard Range dan 80 kW untuk Extended Range.

Untuk pasaran Malaysia, Atto 3 boleh didapati dalam lima warna iaitu Surf Blue, Ski White, Boulder Grey, Forest Green dan Parkour Red.Standard Range menggunakan rim 17 inci dengan tayar 215/60, manakala Extended Range dengan rim 18 inci dan tayar 215/55.

Masuk ke dalam, terdapat kluster instrumen digital berukuran 5 inci, skrin sentuh 10.25 inci yang boleh dipusing, bumbung suria panoramik dan pengecas tanpa wayar. Menurut Sime Darby, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar akan tersedia mulai suku kedua 2023.

Sistem keselamatan merangkumi enam beg udara, brek parkir elektronik, sistem pemantau tekanan tayar, monitor 360 darjah dan ADAS.