Arkib Tag: yaris ativ

Isu ujian perlanggaran: Jualan Toyota Yaris Ativ (Vios) di Thailand dihentikan sementara

TOYOTA Motor Corp dilaporkan menghentikan jualan dan penghantaran Yaris Ativ di Thailand buat sementara waktu. Semakan di laman web Toyota Thailand juga mendapati model sedan segmen-B itu tiada dalam senarai jualan.

Pengumuman ini dibuat selepas Daihatsu Motor Co., Ltd secara umum mengaku dan memohon maaf kerana ‘menipu’ ujian perlanggaran keselamatan. Terdapat modifikasi khas dilakukan pada unit yang diuji itu.

Menurut laporan oleh Reuters, CEO Toyota Asia, Masahiko Maeda berkata dalam satu sidang media di Bangkok, masalah itu berlaku disebabkan tekanan ke atas Daihatsu untuk memendekkan tempoh pembangunan Yaris Ativ.

“Masalah sebegini sudah tentu tidak akan berlaku sekiranya pembangunan dilakukan dalam keadaan sepatutnya,” kata Maeda.

“Saya rasa hakikat bahawa perkara ini masih berlaku bermaksud terdapat sebarang bentuk tekanan di bahagian pembangunan,” katanya. Dia turut menambah saiz kenderaan itu yang lebih besar memberi cabaran kepada Daihatsu yang pakar dalam pembuatan kereta kecil.

Lebih 88,000 unit kenderaan kompak, kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota telah terkesan oleh ‘salah laku’ Daihatsu ini.

Majoriti kenderaan yang terlibat termasuklah 11,000 Perodua Axia yang dikeluarkan di Malaysia bermula Februari, 76,000 Toyota Yaris Ativ yang dikeluarkan di Thailand bermula Ogos 2022, dan terdapat kenderaan yang dijual di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Oman.

Di Malaysia, Yaris Ativ dikenali sebagai Toyota Vios 2023 yang dilaporkan tidak terlibat dengan insiden itu.

Daihatsu berkata penghantaran Yaris Ativ hanya akan kembali selepas ujian perlanggaran baharu dibuat dan disahkan.

Satu laporan terkini berkata syarikat itu sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk mengembalikan jualan Yaris Ativ yang dikeluarkan di kilang Chachoengsao.

Toyota Vios 2023 dirasmikan di Thailand dengan 1.2 NA, CVT, lampu kabin 64 warna!

PERKENALKAN, ini dia Toyota Vios 2023, rasmi dilancarkan di Thailand hari ini, dimana ia dikenali dengan nama Yaris Ativ. Sedan segmen-B ini dibina pada pelantar Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga menjadi ‘tulang’ kepada Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Perodua Alza/Toyota Avanza/Daihatsu Xenia.

Vios generasi keempat ini lebih besar sedikit dari model sebelumnya, dengan ukuran kini 4,425mm panjang, 1,740mm lebar dan 1,480mm tinggi. Jarak roda juga lebih panjang, berukuran 2,620mm iaitu pertambahan 70mm berbanding generasi ketiga.

Terdapat empat varian ditawarkan bagi Yaris Ativ untuk pasaran Thailand, iaitu Sport, Smart, Premium, dan Premium Luxury.

Untuk rupa luaran, Yaris Ativ ini menampilkan satu gril nipis di atas dan satu lagi gril besar di bawah, dan lencana Toyota di tengahnya. Terdapat lampu DRL berbentuk-L, dengan ruang kemasukan udara yang agak ketara di sisi bampar.

Bergantung kepada varian, kelengkapan luaran termasuklah lampu LED automatik dan rim aloi 16-inci. Dapat diperhatikan bahawa cermin sisi kekal rapat pada tiang-A, manakala rekaan lampu belakang menampilkan bentuk lebih bersegi dan kecil dari sebelum ini.

Seperti dipaparkan dalam laporan sebelum ini, ruang dalaman sedan ini baharu sepenuhnya, dengan rekaan panajng mendatar cukup moden dan minimalis. Ia dilengkapi skrin sesentuh bersaiz 9-inci untuk

Di bawahnya terdapat panel kawalan sistem penghawa dingin dan sistem penapis udara. Sementara itu, konsol tengah menempatkan ruang simpanan, brek parkir elektronik, dan suis kawalan sistem pencahayaan dengan 64 warna. Dah macam Mercedes!

Antara ciri lain di bahagian dalam termasuklah keyless entry, corong penghawa dingin belakang, enam pembesar suara, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto.

Ciri keselamatan standard untuk semua varian terdiri dari enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, VSC, Traction Control, Emergency Stop Signal dan Hill-Start Assist.

Tetapi sistem keselamatan Toyota Safety Sense hanya terdapat pada tiga varian teratas iaitu Smart, Premium, dan Premium Luxury.

Untuk pasaran Thailand, Yaris Ativ ini dipacu oleh enjin 1.2-liter 3NR-VE naturally-aspirated (NA) yang menjana 94hp pada 6,000rpm dan 110Nm tork pada 4,400rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi Super CVT-i yang membolehkannya mencatat bacaan sehingga 23.3km/L.

Toyota Yaris Ativ ini dijual pada harga bermula 539,999 Baht (RM67,700) untuk Sport sehingga 689,000 Baht (RM86,563) untuk Premium Luxury.

Apa pendapat anda untuk pesaing Honda City setakat ini? Bagi pasaran Malaysia, kami jangkakan spesifikasinya tidak jauh berbeza dengan varian tertinggi Premium Luxury.

Cuma berkemungkinan besar Toyota Vios 2023 ini akan kekal dengan enjin pada model sedia ada iaitu 1.5-liter dengan output 105hp, 140Nm dan transmisi CVT.

Toyota Vios 2023 disiar – rupa sporti, papan pemuka merah, lancar 9 Ogos ini!

SEBUAH video memaparkan Toyota Vios 2023 disiar hari ini. Maksud kami ialah Toyota Thailand menyiarkan video berkenaan Yaris ATIV (Vios untuk pasaran kita) yang akan dilancarkan secara rasmi pada 9 Ogos depan.

Ia juga akan menjadi pelancaran global untuk sedan segmen-B dengan namakod D92A itu.

Dalam klip video berdurasi 15 saat itu, beberapa imej disiar dengan pantas, menunjukkan apa yang kita boleh jangkakan untuk Vios serba baharu nanti.

Dapat dilihat ia menampilkan rupa depan bersegi, lampu LED nipis dengan DRL berbentuk L, gril agak besar, dan lampu signal sequential di belakang. Lampu belakang ini juga kelihatan hampir menyerupai Toyota Veloz (kembar Perodua Alza 2022).

Hanya satu gambaran bahagian dalam dipaparkan, tapi cukup jelas menampakkan rekaan papan pemuka baharu berwarna merah.

Di atasnya terdapat satu skrin infotainmen, manakala roda sterengnya meyerupai Toyota Raize dan Daihatsu Rocky. Oh ya, tempat duduknya juga menampakkan corak rekaan lebih abstrak.

Untuk bahagian enjin, Yaris ATIV akan mula ditawarkan dengan varian hibrid 1.5-liter yang juga menjadi nadi kepada Toyota Aqua (Prius C) di Jepun. Enjin 3-silinder dengan kitaran Atkinson ini menjana 91PS dan 120Nm tork.

Kemudian, terdapat juga 1.2-liter naturally-aspirated 4-silinder yang dijangka menjadi satu-satunya pilihan untuk Thailand.

Untuk pasaran-pasaran lain termasuk Malaysia, berkemungkinan 1.5-liter 4-silinder dikekalkan, tetapi dengan sedikit talaan untuk model terkini.

Sama-sama kita lihatkan perinciannya semasa pelancaran rasmi nanti.

Berbanding model-model lain dalam segmen ini, nampaknya Vios juga telah menawarkan hibrid selain Honda dengan City e:HEV. Nissan pula kekal satu-satunya pengeluar yang menawarkan enjin turbo iaitu pada Almera.

Apa pendapat anda mengenai Toyota Vios 2023 setakat ini?

Toyota Vios D92A akan dilancar di Thailand Q3 2022 – platform DNGA, enjin petrol dan hibrid

BARU sahaja kami melaporkan senarai kereta paling laris di ASEAN beberapa hari lepas yang menyaksikan Honda City kini lebih laris dari Toyota Vios untuk 2021, kebetulan pula Toyota ‘menjawab’ dengan pengumuman Vios serba baharu.

Menggunakan namakod D92A, Vios serba baharu akan diperkenalkan di Thailand dahulu pada suku ketiga tahun ini.

Vios yang dikenali dengan nama Yaris Ativ di sana akan dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Platform) yang juga menjadi asas kepada model-model seperti Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Toyota Avanza/Toyota Veloz/Daihatsu Xenia.

Pelantar baharu ini bakal memberikan beberapa kelebihan kepada Vios nanti iaitu berat yang lebih rendah, casis lebih tegar, dan keselamatan yang ditambah baik.

Penggunaan DNGA juga membolehkan Vios menerima janaan kuasa elektrik yang bakal memberi saingan kepada City e:HEV.

Untuk Toyota, mereka dijangkan menggunakan enjin 1.5-liter dengan bantuan motor elektrik, sebahagian dari Toyota Hybrid System II (THS II).

Enjin lain adalah 1.2-liter naturally-aspirated (dan bukan turbo seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Transmisi pula dijangka kekal dengan CVT.

Dari segi rupa, dapat dilihat ia mengambil inspirasi Daihatsu DN F Sedan yang mula membuat penampilan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) pada 2017.

Dengan badan ala coupe, konsep ini berukuran 4,200mm panjang, 1,695mm lebar, 1,430mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,510mm.

Menarik setakat ini? Apa pun kita harus tunggu rupa sebenar apabila ia dilancarkan di Thailand nanti, dikatakan sekitar Ogos.