Arkib Tag: Volkswagen Passenger Cars Malaysia

Volkswagen Touareg R-Line dilancarkan di Malaysia – RM470k

SEPERTI yang dijanjikan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasminya melancarkan Volkswagen Touareg R-Line, menandakan kemasukan semula SUV flagship itu ke pasaran tempatan selepas 12 tahun.

Untuk pengetahuan, ini merupakan model generasi ketiga versi facelift yang diperkenalkan di peringkat global pada Mei tahun lalu.

Untuk pasaran Malaysia, Touareg R-Line dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang dan dijual pada harga bermula dari RM469,990 termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP).

Touareg tampil lebih garang dengan pakej R-Line yang sporty, bahagian hadapan yang telah direka semula, logo ‘R’ pada bahagian pintu dan gril, serta rim aloi Braga berukuran 20 inci.

Ia juga membawakan teknologi pencahayaan tercanggih menerusi lampu IQ.Light HD Matrix yang mempunyai lebih 38,000 unit LED mikro interaktif yang dikatakan dapat menerangi jalan dengan lebih tepat.

Selain itu, terdapat juga lampu lopak yang bertindak untuk menyuluh permukaan jalan dengan logo Volkswagen setiap kali pintu dibuka.

Di dalam, anda akan menemui Innovision Cockpit yang membawakan rekaan satu skrin. Ia terdiri daripada kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci untuk pemandu serta skrin sentuh 15 inci bersama sistem infohibur Discover Pro Max dan Wireless App-Connect.

Selain itu, terdapat juga pengecas tanpa wayar, lima port USB-C Type C berkapasiti 45W, sistem pendingin hawa empat zon, kerusi Active Climate untuk pemandu dan penumpang hadapan, dan sistem audio Dynaudio Consequence 730W dengan amplifier 80W dan 13 pembesar suara termasuk subwoofer di dalam but.

Memacu Touareg R-Line adalah enjin TSI 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340 PS dan 450 Nm, disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.

Sistem suspensi udara yang disertakan secara standard boleh mengubah suai ketinggian kenderaan selari dengan keadaan permukaan jalan. Ia juga boleh merendahkan ketinggian sebanyak 40 mm untuk memuatkan dan memunggah barang dari ruang kargo dengan lebih mudah.

Dari segi keselamatan, SUV ini didatangkan dengan sistem IQ.Drive yang menawarkan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking Front Assist, Automatic Post-Collision Braking, Lane Assist, Lane Keeping, Park Assist, Front Cross Traffic Assist dan Rear Cross Traffic Alert.

Turut disertakan adalah ciri Night Vision yang menggunakan sensor inframerah untuk mengesan suhu badan manusia atau haiwan sehingga 130 meter untuk memberikan pemandu pandangan yang lebih baik pada waktu malam.

Touareg R-Line boleh didapati dalam lima warna iaitu Lapiz Blue, Silicon Grey, Grenadilla Black, Oryx White dan Dolomite Silver.

Ia didatangkan dengan Pakej Jaminan Volkswagen yang merangkumi penyelenggaraan percuma, jaminan tanpa had perbatuan dan pakej bantuan tepi jalan percuma selama lima tahun.

Volkswagen lancar kempen Tahun Baru Cina, penjimatan sehingga RM18,888

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini melancarkan kempen Tahun Baru Cina yang membawakan pelbagai tawaran menarik untuk keseluruhan barisan modelnya.

Berlangsung sehingga 29 Februari, kempen tersebut menawarkan penjimatan berjumlah sehingga RM18,888 untuk model-model Volkswagen, termasuk Golf GTI, Tiguan Allspace dan Arteon R-Line.

Butiran penjimatan bagi setiap model adalah seperti berikut:

Model Penjimatan RRP dengan penjimatan
Tiguan Allspace Life (IQ.Drive) RM2,888 RM174,012
Tiguan Allspace Elegance (IQ.Drive) RM8,888 RM197,012
Tiguan Allspace R-Line (IQ.Drive) RM8,888 RM250,012
Arteon R-Line (IQ.Drive) RM18,888 RM281,012
Golf GTI (IQ.Drive) RM3,888 RM249,012

Bukan itu sahaja, semua model Volkswagen juga didatangkan dengan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun, waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan pakej bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Tempahan dan janji temu sesi pandu uji boleh dibuat di semua wakil pengedar bertauliah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari volkswagen.com.my.

Volkswagen panggil balik 6,671 unit kenderaan akibat isu beg udara Takata

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan panggilan semula ke atas 6,671 unit kenderaan yang dikeluarkan antara 2010 dan 2014 susulan isu keselamatan beg udara Takata.

Kempen panggilan semula ini melibatkan enam model Volkswagen iaitu Golf GTI generasi keenam, Eos, Passat CC, Polo, Beetle dan Vento, yang dilengkapi dengan dengan perumah penjana gas beg udara bahagian pemandu.

Menurut VPCM, kebimbangan terhadap komponen berkenaan adalah disebabkan kemerosotan pada propelan penjana akibat kelembapan udara yang tinggi dan turun naik suhu dalam jangka masa yang panjang. Ini boleh menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata mereka telah mengambil langkah yang perlu bersama rakan pengedarnya untuk memastikan ketersediaan alat ganti dan proses panggilan semula berjalan dengan lancar. Kempen panggilan semula di seluruh negara ini akan dijalankan secara berperingkat untuk menguruskan bilangan kes.

“Semua pemberitahuan kepada pemilik yang dikenal pasti, berdasarkan pangkalan data Volkswagen akan dijalankan melalui e-mel dan WhatsApp, dan pelanggan yang membeli kenderaan daripada pemilik terdahulu atau pengedar kereta terpakai dinasihatkan untuk segera menghubungi pengedar bertauliah Volkswagen terdekat untuk pengesahan,” katanya.

Sekiranya penggantian alat ganti diperlukan, kos buruh dan alat ganti tidak akan dikenakan ke atas pemilik.

Pemilik boleh melayari https://www.volkswagen.com.my/volkswagen-service/repair-and-service/service-action dan memasukkan nombor VIN 17 digit yang terdapat di bahagian bawah sebelah kiri cermin depan kenderaan mereka.

VPCM perkenal Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) untuk Golf, Arteon R-Line 4Motion

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP) dalam usaha untuk menawarkan perlindungan dan fleksibiliti yang diperlukan oleh para pemilik kenderaannya.

VAP ditawarkan ke atas semua model dilengkapi ciri IQ.Drive yang kini melibatkan model Golf GTI baharu dan Arteon R-Line 4Motion yang telah dinaik taraf.

Pakej berkenaan memberikan pemilik tambahan jaminan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun. Ia bernilai dari RM8,000 hingga RM10,000, bergantung pada model.

Pelanggan yang tidak memilih VAP akan menerima jaminan tanpa had perbatuan untuk dua tahun dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev berkata, “Kami kekal komited untuk menawarkan pelanggan dengan produk terbaik yang boleh memenuhi keperluan mereka. Dengan VAP, pelanggan tidak lagi perlu rasa bimbang.”

“Bukan itu sahaja, pasukan juruteknik berpengalaman kami akan memastikan kenderaan pelanggan diperiksa dengan terperinci. Jika ada alat ganti yang perlu diganti, ia akan diganti. Harus tahu juga bahawa kami hanya menggunakan alat ganti tulen bagi memastikan ketahanan dan prestasi terbaik kenderaan,” kata Denyu.

Volkswagen Tiguan Allspace dapat ciri bantuan pemandu IQ.DRIVE, harga bermula RM166k

SELEPAS diperkenalkan pada Arteon R-Line 4Motion bulan lalu, sistem bantuan pemandu Volkswagen iaitu IQ.DRIVE kini diperkenalkan pula pada barisan Tiguan Allspace.

Ini bermakna sistem berkenaan disertakan secara standard pada ketiga-tiga varian Tiguan Allspace iaitu R-Line 4Motion, Elegance dan Life.

Tiguan Allspace Elegance

IQ.DRIVE membawakan beberapa ciri bantuan pemandu termasuk Front Assist, Adaptive Cruise Control, Side Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Lane Assist. Selain itu, semua varian Tiguan Allspace juga mendapat pengecas tanpa wayar.

Seperti sebelum ini, Tiguan Allspace didatangkan standard dengan Digital Cockpit dan skrin sistem infohibur Discover Pro berukuran 9.2 inci bersama App-Connect tanpa wayar.

Sebagai varian tertinggi, Tiguan Allspace R-Line 4Motion dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0 TSI turbo dan transmisi DSG tujuh kelajuan yang mampu menjana 220 PS dan 350 Nm.

Varian flagship itu juga mempunyai rim aloi Sebring 19 inci, serta sistem audio digital Harman Kardon 480W yang terdiri daripada amplifier 16 saluran dan 10 unit pembesar suara.

Sementara itu, Tiguan Allspace Elegance dan Allspace Life pula dilengkapi enjin 1.4 TSI turbo yang mampu menghasilkan 150 PS dan 250 Nm yang dipadankan bersama kotak gear DSG enam kelajuan.

Menurut Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), gandingan itu menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.7 l/100 km.

Ketiga-tiga varian Tiguan Allspace boleh didapati dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang memberikan pelanggan jaminan lanjutan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun.

Bergantung kepada model, VAP dijual pada harga dari RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak mahu membeli pakej jaminan itu akan menerima jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.

Tiguan Allspace dengan IQ.DRIVE dijual pada harga bermula dari RM165,990 untuk varian Life, RM194,990 untuk Elegance dan RM245,990 untuk R-Line 4Motion. Harga-harga yang disebutkan ini tidak termasuk VAP.

Bilik pameran Das WeltAuto sendiri pertama di Malaysia dibuka

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan rakan pengedar, MHV Autohaus hari ini melancarkan bilik pameran Das WeltAuto ‘standalone’ yang pertama di Malaysia.

Dilancarkan di Malaysia pada 2019, Das WeltAuto merupakan program kereta terpakai global Volkswagen. Ia menawarkan kereta terpakai yang diperakui serta disokong dengan kepakaran pengetahuan, standard dan proses jenama Volkswagen.

Terletak di Jalan Gombak, bilik pameran Das WeltAuto ini mempunyai kawasan seluas 18,500 kaki persegi dan boleh menempatkan sehingga 55 unit kereta. Ia juga mempunyai dua ruang parkir tambahan bagi tujuan penyerahan.

Selain menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai, pelanggan juga boleh memanfaatkan pembiayaan menarik, jaminan lanjutan dan bantuan tepi jalan selama setahun apabila membeli kereta Volkswagen daripada Das WeltAuto.

Menurut VPCM, semua model diterima untuk tujuan tukar-beli dan setiap kenderaan akan menjalani pemeriksaan 133 poin yang teliti dan menyeluruh sebelum disahkan oleh juruteknik Volkswagen.

Ketenangan minda juga terjamin kerana semua kereta Das WeltAuto menggunakan alat ganti tulen, bebas kemalangan dan banjir, serta hadir dengan bukti servis yang lengkap di pusat servis sah Volkswagen.

Sebagai tambahan, pelanggan Volkswagen yang ingin menjual kereta mereka boleh berbuat demikian di laman web Das WeltAuto dengan mengklik butang ‘Sell Your Car’.

Satu lagi ciri menarik pada laman web ini ialah bahagian ‘Nearly New Cars’ yang menyenaraikan kereta-kereta yang telah diperakui dengan jarak perbatuan kurang 12,000 km dan didaftarkan dalam tempoh setahun.

Das WeltAuto terdapat di 11 pengedar Volkswagen: Volkswagen Setia Alam, Volkswagen Puchong, Volkswagen Tebrau, Volkswagen Skudai, Volkswagen Gombak, Volkswagen Juru, Volkswagen Alor Setar, Volkswagen Seremban, Volkswagen Glenmarie, Volkswagen Ipoh dan Volkswagen Melaka.

Volkswagen Arteon R-Line 4MOTION kini dengan IQ.DRIVE

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan Arteon R-Line 4MOTION baharu yang kini dilengkapi dengan teknologi IQ.DRIVE.

Teknologi berkenaan membawakan dua ciri bantuan pemandu iaitu Bantuan Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk pemanduan yang lebih selesa dan selamat.

Selain itu, sedan fastback itu juga dilengkapi dengan port pengecasan tanpa wayar.

Aspek prestasi tidak berubah, di mana Arteon R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder TSI yang menghasilkan 280 PS dan 350 Nm.

Dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan 4Motion, ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4 liter/100 km.

Kelengkapan yang disertakan pada model ini termasuk Lampu Membelok Dinamik (Dynamic Cornering Lights), serta lampu belakang LED 3D yang hadir dengan lampu membelok jenis ‘sequential’.

Turut disertakan adalah ciri All Weather Light yang memberikan pencahayaan lebih luas bagi meningkatkan pandangan sewaktu cuaca buruk dan gelap.

Di dalam, terdapat Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci yang memaparkan pelbagai maklumat penting, serta sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2 inci yang hadir dengan kawalan suara dan gerakan, serta ketersambungan tanpa wayar App-Connect untuk Apple Car Play dan Android Auto.

Pemandu boleh mengubah suai pemanduan mereka dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual, serta sehingga 15 tetapan tertentu.

Dari segi keselamatan, Arteon hadir dengan Bantuan Sisi (Side Assist), Rear Cross Traffic Alert dan Bantuan Lorong (Lane Assist), sistem 360 Area View, Post Collision Braking System, Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Electronic Different Lock (XDS).

Harga cadangan Arteon R-Line 4MOTION dengan IQ.DRIVE adalah RM299,900. Ia disertakan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Manganese Grey, Lapiz Blue, Pyrite Silver, Deep Black dan Oryx White.

Tambahan 2 tahun servis percuma untuk Volkswagen Arteon, Tiguan Allspace

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan penambahan servis percuma selama dua tahun untuk Volkswagen Arteon R-Line, Tiguan Allspace R-Line dan Tiguan Allspace Elegance.

Dengan promos ini, ketiga-tiga model berkenaan kini didatangkan dengan servis percuma selama lima tahun atau 75,000 km (mana-mana tiba dahulu), serta jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Menurut VPCM, promosi ini menawarkan penjimatan sehingga RM9,600 kepada pelanggan.

Dilancarkan di Malaysia pada Julai 2021, Arteon R-Line tampil garang dengan bentuk fastback, kit badan R-Line dan rim aloi berukuran 19 inci.

Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TSI yang menghamburkan kuasa maksimum 280 PS dan 350 Nm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan 4Motion, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat.

Walaupun berkuasa, ia masih dapat menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4 l/100 km.

Tiguan Allspace Elegance

Sementara itu, SUV tujuh tempat duduk Tiguan Allspace pula memasuki pasaran tempatan pada Mac tahun lalu. Versi R-Line mempunyai enjin 2.0-liter TSI dengan 220 PS dan 350 Nm, manakala versi Elegance didatangkan dengan enjin 1.4-liter TSI dengan 150 PS dan 250 Nm.

Arteon R-Line 4Motion ditawarkan pada harga RM276,990 sementara Tiguan R-Line 4Motion pula berharga RM235,990. Tiguan Allspace Elegance pula boleh anda miliki pada harga RM188,990.

Volkswagen eShowroom dinaik taraf – tengok model apa yang ada pada masa sebenar

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini telah mempertingkatkan eShowroom untuk memberi lebih kemudahan kepada mereka yang ingin membeli sebuah Volkswagen.

Pada laman web yang telah ditambah baik itu, pelanggan kini mempunyai akses ke atas unit-unit yang ada untuk dijual di pengedar-pengedar sah Volkswagen di seluruh negara pada masa sebenar.

Berdasarkan seperti konsep ‘siapa cepat dia dapat’, hanya model yang ada di pengedar sahaja akan dipamerkan. Pelanggan boleh melayari laman web berkenaan untuk mencari apakah model yang ada sekarang dan lokasinya.

Kemudian mereka boleh memilih sama ada untuk mendapatkan slot pandu uji atau membuat tempahan secara dalam talian dengan yuran standard RM1,500. Mereka kemudian akan dihubungi oleh pengedar yang dimahukan untuk langkah-langkah seterusnya dan melengkapkan pembelian.

Tangkap layar laman sesawang Volkswagen eShowroom

Rebat eksklusif sempena Merdeka dan Hari Malaysia

Sebagai sebahagian daripada sambutan Merdeka dan Hari Malaysia sepanjang dua bulan depan, pelanggan yang membuat tempahan menerusi eShowroom akan menerima rebat eksklusif sebanyak RM500 atas pembelian mereka.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata pihaknya sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan Volkswagen bermula dari saat pembelian lagi.

“Dengan ini, eShowroom kami dibina di atas konsep untuk membawakan pengedar Volkswagen terus ke hujung jari pelanggan. Kami kini berbesar hati untuk menawarkannya dengan memperkenalkan ciri kebolehdapatan pada masa sebenar. Ia akan memberi kemudahan dan memastikan perjalanan pemilikan yang lebih lancar buat pelanggan,” tambah beliau.