Arkib Tag: umw toyota

Aplikasi Toyota MY App dikemas kini untuk lebih mudah digunakan

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan pelancaran aplikasi Toyota MY yang ditambah baik. Boleh digunakan sama ada pada platform iOS atau Android, aplikasi telefon pintar itu menggabungkan Toyota Drive dan Toyota 24Seven menjadi satu aplikasi mudah.

Ia direka untuk solusi pemilikan kenderaan yang memudahkan pengguna dan sesuai untuk menguruskan fungsi-fungsi kenderaan.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, “Toyota mengampilkasikan falsafah ‘kaizen’ yang bermaksud tambah baik secara berterusan. Ianya bukan diamalkan pada reka bentuk dan pembuatan kenderaan, tetapi juga kepada pengalaman pelanggan kami.”

Pemilik Toyota kini boleh mengakses segala maklumat kenderaan, membuat temu janji servis, melihat kutipan mata Loyal-T, memohon bantuan 24Seven, mencari pusat servis berdekatan, dan membuat pelbagai fungsi dengan mudah pada aplikasi baharu ini.

Aplikasi ini juga akan menjadi platform pusat untuk pelbagai berita dan promosi terbaharu dari Toyota.

Dengan pengenalan aplikasi baharu ini, kedua-dua aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven akan ditamatkan. Anda boleh muat turun aplikasi baharu Toyota MY App di pautan-pautan di bawah:

Peranti iOS: https://apps.apple.com/my/app/toyota-drive/id1182883397
Peranti Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=umwt.com.toyotadrive.android

Jentera lumba GR Vios Challenge generasi baharu dengan platform DNGA bakal bersaing dalam Season 7

JENTERA lumba GR Vios Challenge generasi terbaharu didedahkan secara rasmi semalam di Litar Antarabangsa Sepang, diasaskan dari Toyota Vios 2023 dengan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture).

Dipersembahkan dalam pusingan akhir Festival Toyota Gazoo Racing yang berlangsung hujung minggu ini (30 September hingga 1 Oktober 2023), GR Vios itu bakal digunakan sepenuhnya oleh semua pelumba dan pasukan Vios Challenge Season 7 tahun depan.

Tetapi untuk perlumbaan hujung minggu ini, para pelumba selebriti dalam Promotional Class menjadi kumpulan pertama ‘merasmikan’ GR Vios baharu itu di litar.

GR Vios ini akan terus menggunakan enjin 1.5-liter yang kita sudah sedia kenal, dengan kotak gear manual 5-kelajuan. Tetapi dengan platform DNGA baharu, ia membawakan sebuah pelantar yang lebih tegar, stabil, serta aerodinamik lebih baik untuk para pelumba.

Penambahbaikan di bahagian casis memberikan pengendalian jauh lebih baik menurut Toyota, menjadikan Vios ini lebih stabil di selekoh, lebih responsif dari imput pemandu, dan mampu mencatatkan pusingan masa lebih pantas.

Selain enjin dan kotak gear manual yang dikira sama dengan kereta yang dijual bilik pameran, naik taraf di bahagian lain menjadikan Toyota Vios ini sebuah jentera lumba yang kompetitif. Antaranya adalah roll-cage 6-poin, tempat duduk lumba, dan tali pinggang 6-poin yang mematuhi piawaian FIA.

Vios ini juga mendapat sistem ekzos perlumbaan, suspensi talaan lumba, LSD (limited-slip differential), dan beberapa kelengkapan lain. Perincian adalah seperti di bawah:

Semua pasukan dan individu yang menyertai Vios Challenge kini boleh membeli kereta baharu untuk perlumbaan Season 7 tahun depan.

Selama enam musim perlumbaan setakat ini, GR Vios Challenge telah menjadi siri perlumbaan sedan one-make yang utama, menarik bukan sahaja pelumba berpengalaman malah menjadi medan bangkitnya bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran negara ini.

Bagi pasukan dan pemandu yang ingin membuat pendaftaran Season 7 serta pembelian kereta baharu, bolehlah menghubungi Race Management di talian 016-367 3300 (Janet).

GR Vios Challenge kutip 3.7 juta penonton online untuk S6R2

DENGAN berakhirnya Race 2 bagi Season 6 pada hujung minggu lepas, kejuaraan GR Vios Challenge semakin memuncak dalam kesemua kelas.

Pelumba-pelumba dalam Super Sporting Class, Sporting Class, Rookie Class dan Promotional Class kini mempunyai peluang pusingan ketiga dan terakhir pada September ini untuk merebut peluang juara.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada semua penonton online dan peminat perlumbaan kami di atas sokongan mereka. Peminat-peminat inilah yang menjadikan GR Vios Challenge apa yang kita lihat hari ini,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K.

“Sudah tentu, tidak dilupakan pelumba-pelumba kami, pasukan, pengedar, dan para penaja,” tambahnya.

Sporting Class

Bekas pelumba Rookie, Sharique Zulqarnain yang bermula di petak depan pada Race 2 tidak bermula dengan baik, membolehkan Kenneth Koh (Panglima City Racing Team) untuk mara ke depan. Mereka diikuti oleh Bradley Benedict Anthony (Crestmax Motorsport) di tempat ketiga dan Aaron Haikal (Distinctive Model) di tempat keempat.

Walaubagaimanapun Sharique terus tercicir selepas tiga pusingan dan hanya tinggal Koh, Bradley dan Aaron di tiga tempat teratas.

Bradley memenangi perlumbaan itu hanya 0.6 saat di depan Koh dan diikuti Aaron di tempat ketiga.

Super Sporting Class

Dalam format grid terbalik, Naquib Azlan (Axle Sport) terus ke posisi pertama diekori oleh Freddi Ang (Telagamas Toyota) dan Hayden Haikal masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Memasuki pusingan kedua, giliran Hayden untuk mengetuai perlumbaan. Tetapi berlaku insiden pada pusingan ketujuh dan bendera merah dinaikkan, perlumbaan dihentikan.

Bila perlumbaan kembali dengan baki dua pusingan, Putera di depan diikuti oleh Ang di tempat kedua, manakala Mitchell Cheah di tempat ketiga.

Rookie Class

Di kelas Rookie pula, ia dimenangi oleh Elson Lew yang telah menjadi pemandu terpantas di pusingan kelayakan, tetapi tamat di tempat kelima dalam Race 1. Jadi, Race 2 menjadi tempat untuk beliau menebus semula.

Tempat kedua dimenangi oleh Iman Danish manakala Azriel Azhar di tempat ketiga.

Promotional Class

Perlumbaan selebriti ini dihentikan dengan bendera merah selepas hanya tiga pusingan disebabkan Shukry Yahaya berpusing di laluan lurus utama, memasuki laluan Hefny Sahad.

Sebaik perlumbaan dimulakan semula, Zizan Razak terus mara 1.8 saat di depan Ezzrin Loy, dengan Ahirine Ahirudin di tempat ketiga.

Jarak Zizan semakin menipis dengan hanya 0.2 saat, beliau bekerja keras mempertahankan posisinya dari Ezzrin.

Pusingan ketiga dan terakhir GR Vios Challenge akan diadakan serentak dengan Toyota Gazoo Racing festival di lokasi sama, iaitu Litar Antarabangsa Sepang pada 29 September hingga 1 Oktober depan.

Bagi Race 2 ini, UMW Toyota berkongsi bahawa sebanyak 3.7 juta penonton online telah menyaksikan perlumbaan tersebut di semua platform media sosial.

Sah, tiga model Toyota GR baharu bakal tiba di Malaysia!

UMW Toyota Motor (UMWT) akan menambah beberapa model GR dalam barisan kenderaan mereka di Malaysia tahun depan. Lebih tepat lagi, tiga model GR baharu.

Gambar oleh: Toyota USA

Ini adalah GR Corolla, GR86 dan GR Supra dengan kotak gear manual. Perkara ini dikongsi oleh Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy, menurut laporan oleh Paultan.org.

Model-model tersebut akan menyertai barisan GR yang pernah ditawarkan iaitu GR Yaris dan GR Supra (hanya transmisi automatik 8-kelajuan ditawarkan sebelum ini).

GR Corolla dilancarkan pada April lepas merupakan model terkini yang membuat pelancaran global. Ia dilengkapi dengan enjin 1.6-liter turbo 3-silinder yang menjana 300hp dan 370Nm tork, lebih berkuasa dari GR Yaris yang menggunakan enjin sama.

GR Corolla juga hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching, sistem pacuan semua-roda GR-Four dan limited-slid differential (LSD) Torsen di belakang.

GR86 pula merupakan kembar kepada Subaru BRZ generasi kedua, dilancarkan pada April 2021. Model coupe sports dua-pintu pacuan roda-belakang ini dipacu oleh enjin 2.4-liter flat-four dengan 232hp dan 250Nm, dan boleh didapati dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik.

Sementara itu GR Supra manual pula merupakan tambahan kepada Supra yang diperkenalkan pada 2019. Ianya model GR paling berkuasa dengan 382hp dan 500Nm, hasil kerahan enjin 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris.

Tiada perincian lanjut buat masa ini seperti harga dan tarikh pelancaran. GR Corolla baru tiba di ASEAN semasa ia dilancarkan di Thailand minggu lepas, dengan harga mencecah RM500,000.

GR Supra pula ditawarkan pada harga RM611,880 untuk model facelift.

Toyota Camry facelift 2022 kini dengan enjin 2.5 Dynamic Force, kotak gear baharu, RM199k

TOYOTA agak aktif awal tahun ini, baru sahaja melancarkan Corolla Cross Hybrid bulan lepas, kini mereka merasmikan pula kehadiran Camry facelift. Sedan segmen-D ini kini menerima pembaharuan luar dan dalam.

Sebenarnya di bahagian luar tidak banyak yang berubah, ia mendapat gril depan yang direka semula, rim 18-inci baharu, dan lampu LED belakang yang diubah sedikit.

Perubahan terbesar adalah pada enjin dan kotak gearnya. Toyota Camry facelift 2022 ini dikuasakan oleh enjin 2.5-liter Dynamic Force baharu yang masih naturally-aspirated, tetapi kini merupakan suntikan terus bahan api.

Ia juga mempunyai kecekapan haba sebanyak 40 peratus serta menampilkan kepala silinder yang direka semula. Output kini adalah 209hp pada 6,600rpm dan 253Nm pada 5,000rpm (25hp dan 18Nm lebih dari sebelum ini).

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear yang juga baharu, iaitu automatik Direct Shift 8-kelajuan. Walaupun mempunyai lebih nisbah gear, ianya mempunyai saiz lebih kompak berbanding unit 6-kelajuan sebelumnya.

Masuk ke dalam pula, anda akan lihat bahawa unit infotainmen kini diletakkan di atas corong pendingin hawa, dan paling penting, kini menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dan di belakang, terdapat satu ciri yang pasti memberi kelebihan buat Camry berbanding pesaing-pesaingnya. Ciri ini ialah panel kawalan elektronik di perehat tangan belakang yang mampu mengawal fungsi-fungsi seperti penyandar, sistem pendingin hawa, tirai cermin belakang, serta sistem audio.

Ciri lain pada Camry facelift termasuklah keyless entry, lampu automatik, tempat duduk depan dengan pelarasan berkuasa, pengecaj tanpa-wayar, kamera 360-darjah, sistem audio JBL, dan sistem telematik.

Bahagian keselamatan Camry juga dipertingkat, kini menampilkan Toyota Safety Sense 2.5. Beberapa ciri seperti Autonomous Emergency Braking kini mampu mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal dalam keadaan siang dan malam.

Adaptive Cruise Control pula kini mampu memperlahankan kenderaan untuk mengambil selekoh dan memecut secara automatik untuk memotong apabila signal dihidupkan.

Berapakah harga untuk Camry facelift 2022 ini? Ia ditawarkan pada harga RM199,110 atas jalan tanpa insurans, kira-kira RM10,000 lebih dari model sebelum ini. Adakah peningkatan harga ini berbaloi dengan penambahan spesifikasinya?