Arkib Tag: skuter elektrik

Polis KLIA bakal guna ‘e-scooter’ untuk rondaan

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengguna pakai skuter elektrik (e-scooter) tidak lama lagi. 

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, penggunaan ‘e-scooter’ berkenaan akan membantu polis melakukan rondaan dengan lebih efisien. 

“Dengan ‘e-scooter’, kami boleh memberi respon dengan lebih cepat selain lebih banyak tempat dapat di awasi, jelasnya. 

Difahamkan, penggunaan ‘e-scooter’ tersebut telah pun dirancang awal tahun ini dengan kerajaan Selangor bersetuju untuk membuat pembelian. 

Dalam pada itu, Datuk Hussein Omar Khan turut menjelaskan bahawa kawalan di Terminal 1 akan diperketatkan susulan daripada insiden tembak yang berlaku baru-baru ini. 

“Kami akan perketatkan tahap kawalan dan sekuriti. 

“Laluan bahagian dalam yang dekat dengan pintu Ketibaan dan Pelepasan juga akan ditutup kepada orang ramai kerana sangat berisiko,” tambahnya. 

Skuter elektrik Bajaj Chetak 2024 dikemaskini di India, jarak gerak 127 km

Bajaj Auto telah mengemaskini penawaran skuter elektrik Bajaj Chetak model tahun 2024 untuk pasaran India.

Terdapat dua varian yang disediakan, iaitu Premium (Rs 1,15,001 atau RM6,434) serta varian yang lebih tinggi Urbane (Rs 1,35,463 atau RM7,579).

 

 

Antara ciri pembaharuan yang wujud pada model Chetak 2024 ialah kehadiran skrin paparan TFT bersaiz lima inci, kelajuan maksimum yang kini mencecah 73 km/j, serta pek bateri 3.2 kWh dengan jarak gerak maksimum sejauh 127 km.

Untuk pengecasan, terdapat pengecas 800W yang mampu menambah jarak gerak sejauh 15.6 km dalam masa 30 minit.

 

 

Ciri lain termasuklah lampu isyarat membelok dengan fungsi padam automatik, kunci elektronik, butang khas untuk membuka pelana, serta ruang storan yang kini lebih besar.

Bajaj turut menawarkan pakej TecPac yang merangkumi fungsi tambahan seperti navigasi turn-by-turn, kawalan muzik, amaran panggilan telefon, kawalan hill hold, mod undur, dan tema paparan yang boleh disesuaikan.

Yamaha wujudkan Enyring, tawar perkhidmatan tukar bateri e-bike di Eropah, mula 1H 2025

Yamaha dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan syarikat baharu Enyring yang menawarkan perkhidmatan penukaran bateri berasaskan langganan di Eropah.

Berdasarkan imej rasmi yang dibekalkan, perkhidmatan penukaran bateri Yamaha ini dilihat menggunakan unit bateri yang lebih kecil saiznya berbanding unit bateri Honda Mobile Power Pack e:.

Selain daripada menawarkan pelan langganan penukaran bateri skuter elektrik kepada pengguna, Enyring juga akan bekerjasama dengan peneraju di Eropah untuk mengitar semula bateri yang telah digunakan.

 

 

Dengan cara itu, Yamaha akan mencipta sebuah sistem gelung tertutup yang bergantung sepenuhnya kepada bahan kitar semula untuk menghasilkan produk terbaharu.

Enyring akan berpusat di Berlin, Jerman di mana operasi mereka hanya akan bermula pada separuh pertama tahun 2025.

Untuk permulaan, Enyring akan mendirikan infrastruktur penukaran bateri di dua bandar besar, iaitu Berlin dan Amsterdam.

Pemilihan dua lokasi tersebut dilihat amat bersesuaian di mana penggunaan basikal dan skuter elektrik telah pun menjadi popular di kalangan penduduk setempat.

Gachaco buka perkhidmatan perkongsian bateri skuter elektrik di Jepun kepada umum

Syarikat Big Four Jepun (Kawasaki, Suzuki, Yamaha dan Honda) serta syarikat tenaga Eneos telah membentuk Gachaco – perkhidmatan penukaran bateri skuter elektrik di pasaran Jepun.

Pada mulanya, Gachaco hanya disasarkan untuk kegunaan perniagaan dan penghantaran barangan sahaja dan hanya boleh digunakan untuk sesetengah model skuter elektrik Honda, seperti Benly e:, Gyro e:, Gyro Canopy e: dan EM1 e:.

 

 

Hanya EM1 e: sahaja satu-satunya model yang boleh dijual kepada umum di mana individu yang berminat boleh mendapatkan pelan langganan penukaran bateri yang ditawarkan oleh Gachaco.

Dengan mengubah status bateri sebagai sebuah perkhidmatan dan mengecualikannya daripada harga jualan, pelanggan Honda boleh mendapatkan skuter EM1 e: tersebut pada harga yang lebih rendah, sekitar 97,200 yen (RM3,167).

 

 

Apa yang mereka perlu buat adalah dengan melanggan perkhidmatan penukaran bateri Gachaco bergantung kepada penggunaan semasa.

Seperti contoh, pelan aras mula hanyalah sekitar 1,078 yen/bulan (RM35/bulan), sementara pelan standard berharga 2,805 yen/bulan (RM91.39/bulan).

 

 

Gachaco juga turut menawarkan opsyen pembayaran untuk setiap penggunaan (pay-per-use) dengan kos 180 yen untuk setiap kWh (RM5.86/kWh).

Buat masa ini, perkhidmatan penukaran bateri Gachaco yang menggunakan unit bateri Honda Mobile Power Pack e: itu hanya boleh didapati di Jepun sahaja.

Rider didakwa bakar motosikal, skuter elektrik depan KLCC

AZRIL Kamarunzaman didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di luar pusat beli-belah Suria KLCC minggu lepas.

Penghantar makanan berusia 34 tahun ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang pada 3.30 petang, 13 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Azril, Muhamad Ridzuan Umar merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Kebakaran motosikal di KLCC bukan berpunca dari skuter elektrik – Beam

PENYEDIA mobiliti elektrik, Beam Malaysia berkata pihaknya sedia maklum mengenai beberapa skuter elektrik (e-skuter) miliknya musnah dalam kebakaran yang berlaku di depan pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang petang semalam.

Menurut Beam, kemas kini susulan siasatan oleh pihak berkuasa, e-skuter mereka bukan punca kepada kebakaran itu.

“Beam lega kerana tiada pejalan kaki atau pengguna jalan raya tercedera dalam insiden itu. Kami ingin memaklumkan hasil dari siasatan pihak berkuasa terlibat, kenderaan kami tidak menjadi punca kebakaran itu,” kata Beam dalam satu kenyataan.

“Kami menzahirkan rasa simpati terhadap pemilik-pemilik motosikal persendirian lain yang musnah akibat kebakaran.

“Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa atas tindakan pantas mereka membendung kebakaran, mengelakkannya dari merebak dan menyebabkan lebih kerosakan,” tambah Beam.

Menurutnya, keselamatan menjadi keutamaan untuk Beam, dan mereka menggunakan bahan dan teknologi dari gred tertinggi (aluminium gred pesawat) bagi memastikan ketahannya.

“Bateri-bateri yang dipasang pada setiap e-skuter Beam juga mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa bagi memastikan standard tertinggi bagi keselamatan.”

Dalam kejadian semalam, sebanyak 13 buah motosikal dan empat e-skuter terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC,.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Iqbal Khan Malek Khan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3:46 petang.

“Seramai 15 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal Khan berkata, setibanya pasukan bomba dan penyelamat di lokasi kejadian mendapati sebanyak 13 motosikal dan empat buah e-skuter terbakar.

Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive untuk memadam kebakaran.

Sumber gambar: Facebook Inforoadblock dan Malaysian Land Public Transport Fans (MLPTF).

Skuter elektrik Blueshark R1 dilancar – harga dari RM7,190, RM59 sebulan untuk bateri

BLUESHARK, anak syarikat Sharkgulf Technologies Group telah melancarkan siri skuter elektrik Blueshark R yang terdiri daripada R1 dan R1 Lite ke pasaran Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (ASEAN) Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, Jin Chan berkata skuter Blueshark R merupakan kemuncak usaha pihaknya untuk membawakan solusi lestari dan inovatif ke pasaran mobiliti urban.

“Berbekalkan teknologi penukaran bateri serta aneka teknologi perintis, kami sedang memperkenalkan sebuah produk yang lebih hebat, namun mampu milik, bagi meluaskan aksesibiliti skuter elektrik pintar untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Blueshark R1 dipacu oleh sebuah motor elektrik dengan output 5kW dan tork puncak 201 Nm, yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 80 km/j.

Untuk tenaga pula, R1 mendapat bekalannya daripada dua pek bateri litium besi fosfat (LFP) yang menawarkan jarak tunggangan sejauh 110 km (berdasarkan kitaran NEDC).

Bateri-bateri tersebut boleh ditukar ganti dengan segera di mana-mana stesen penukar bateri BlueStation atau dicas penuh dalam masa 3.5 jam.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lim mod tenggangan termasuk Walk Assist Mode (WAM) dan Turbo, serta sistem operasi pintar ArkRide yang menyediakan sambungan Bluetooth, GPS, pemain media, kemas kini perisian secara OTA dan perakam tunggangan.

Apa yang menarik, semua ciri berkenaan boleh diakses menerusi papan pemuka HD IPS berukuran 10.4 inci.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dan dengan pengecualian SST) bermula dari RM7,190 untuk R1 Lite dan RM9,390 untuk R1.

Pek bateri tersebut pula boleh dilanggan menerusi pakej-pakej yang ditawarkan iaitu Lite (RM59/sebulan, 36 pertukaran), Standard (RM99/sebulan, 70 pertukaran), Pro (RM139/sebulan, 120 pertukaran) dan Flex (RM1.95 untuk setiap pertukaran).

Blueshark R1 diperkenal di Malaysia – teknologi tukar bateri, jarak tunggangan 160km

BLUESHARK R1 hari ini diperkenalkan di Malaysia hasil kerjasama dengan EP Manufacturing Berhad (EPMB), bertempat di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2022. Kerjasama ini adalah sebagai usaha merevolusi mobiliti urban hijau di Malaysia.

Beberapa memorandum kerjasama (MoC) juga dibuat dengan beberapa pemain industri tempatan bagi mencetus peluang pekerjaan berasaskan kelestarian buat komuniti B40 dengan memudahkan penerimagunaan mobiliti urban hijau di Malaysia.

Sebuah program rintis yang akan dijalankan dalam fasa pertama dengan rakan penghantaran dan infrastruktur masing masing akan mendemonstrasikan kebolehlaksanaan platform berelektrik ‘first-to-last mile’ serta ekosistem yang sedia menemui pasaran di kawasan Lembah Klang.

Skuter elektrik Blueshark R1 dikuasakan motor elektrik dengan kuasa maksima 5000W dan tork setinggi 201Nm (dalam mod Turbo Racing). Ia mampu memecut dari pegun ke 50km/j dalam hanya 4.5 saat, dengan kelajuan maksima 80km/j dan jarak tunggangan sehingga 160km.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) yang berteknologi terkini. Menariknya, selain boleh dicaj seperti biasa, bateri ini juga boleh ditukar dengan mudah.

Selain itu, Blueshark R1 menampilkan sistem operasi ArkRide OS yang dikatakan pertama seumpamanya untuk kenderaan dua roda. OS ini dipaparkan pada skrin IPS 10-inci yang memberikan paparan lebar, jelas, selain kalis air dan debu.

Skuter ini turut dilengkapi dengan lebib 70 pengesan yang akan mengawal pelbagai fungsi seperti sistem brek, lampu, dan kelajuan. Ia mampu memberikan amaran atau petunjuk sekiranya terdapat sebarang sistem yang bermasalah.

Sementara itu, pusat 3S pertama milik Blueshark yang bakal dibuka tidak lama lagi di Glenmarie untuk sokongan selepas jualan pengguna. Pemilik skuter ini juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mendapat dan mengawal segala maklumat R1.

Untuk maklumat lanjut, layari www.blueshark.com.my.

Sekali cas, skuter elektrik buatan Singapura mampu gerak sejauh 200km!

SYARIKAT skuter elektrik asal Singapura iaitu Scorpio Electric baru-baru ini memperkenalkan model terbaharunya dikenali sebagai X1.

Berdasarkan foto dimuatkan di laman web syarikat itu, tidak dinafikan X1 memiliki rekaan menarik dengan ditampilkan ciri-ciri lebih sporty.

Memetik maklumat daripada syarikat itu, X1 mampu bergerak sejauh 200 kilometer dengan sekali pengecasan penuh.

Kelajuan maksimum skuter ini pula adalah sekitar 105 km/j dan sudah pasti ia amat sesuai untuk kegunaan di dalam bandar.

Foto ihsan Scopio Electric

Selain itu, X1 juga didatangkan dengan sistem lampu depan diod pemancar cahaya (LED) di bahagian depan dan belakang.

Lebih istimewa, ia juga dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan panel meter yang lengkap dengan pelbagai informasi.

Antara kelebihan panel tersebut termasuk menyediakan maklumat mengenai trip, bateri, jarak anggaran, sistem navigasi pintar dan  penjejak kenderaan.

Foto ihsan Scopio Electric

Individu berminat mendapatkan maklumat lanjut untuk memiliki sebuah model X1 boleh melayari laman web Scorpio Electric.

Setakat ini, Scorpio Electric mendedahkan harga jualan X1 bermula US$9,800  atau RM40,697 dan tarikh penghantaran kepada pembeli dijangka bermula enghujung 2022 dan awal 2023.

Ola S1, S1 Pro skuter elektrik paling canggih?

OLA Electric memperkenalkan model skuter elektrik terbaharu iaitu S1 dan S1 Pro yang kini boleh didapati di pasaran.

Ola S1 dan Ola S1 Pro dihasilkan dengan teknologi terkini yang dikatakan mampu memberi kepuasan menyeluruh kepada rata-rata peminat skuter.

Menerusi perincian dikeluarkan Ola Electric, model Ola S1 menggunakan motor elektrik 8.5 kW yang mampu memberikan tork maksimum 58 Nm.

Model ini pada masa sama didakwa mampu bergerak sehingga jarak 121 kilometer dengan sekali pengecasan penuh selain capaian laju maksimum 90 km/j.

Bagi model S1 Pro pula, ia boleh mencapai jarak 181 kilometer dengan kelajuan maksimum 115 km/j.

Foto ihsan Ola Electric

Dua model ini dapat diandaikan sebagai antara skuter elektrik tercanggih buat masa ini.

Ia didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh inci dikuasakan oleh pemproses 1.8 GHz Quadcore dan RAM 3 GB.

Selain itu, kedua-dua skuter ini mempunyai sistem sambungan Bluetooth serta GPS build-in dengan fungsi kawalan sentuh.

Foto ihsan Ola Electric

Tambah menarik, penunggang boleh menggunakan arahan suara bagi mengawal sistem pada model S1 dan S1 Pro ini!

Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada model S1 dan S1 Pro:-
• Cruise control untuk varian Ola S1 Pro
• Hill Hold Control,
• Sistem amaran jika jentera keluar daripada radius atau jarak ditetapkan pemilik

Setakat ini, Ola Electric masih belum mendedahkan harga sebenar bagi kedua-dua model ini.

Foto ihsan Ola Electric

Bagaimanapun, difahamkan harga akan bermula dari serendah 79,999 rupee atau bersamaan RM4,562 sahaja!

Tempahan telah dibuka melalui laman web rasmi Ola Electric dan penghantaran awal dijangka bermula pada Oktober.

Sekali pengecasan, BMW CE 04 2022 mampu capai jarak 128 kilometer

BMW dijangka memasarkan model skuter elektrik terbaharu menjelang tahun hadapan dikenali sebagai CE 04.

Berdasarkan spesifikasi model ini, ia didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 42 kuasa kuda dan 60 Nm.

Walaupun kelajuan tertinggi skuter ini dihadkan 120 km/j sahaja namun, ia hanya mengambil masa kurang 10 saat untuk mencapai pecutan 0-100 km/j.

Selain itu, pecutan 0-48 km/j pula hanya mengambil masa sekitar 2.6 saat!

Keistimewaan enjin BMW CE 04

BMW CE 04 mampu bergerak sejauh 128.7 kilometer dengan sekali pengecasan penuh.

Ini kerana ia menggunakan pek bateri berkapasiti 8.9 kWh dengan dibantu sistem penyejukan udara agar bateri kekal di tahap optimum.

Masa pengecasan pula sekitar 1 jam 40 minit dari tahap bateri sifar hingga 100 peratus.

Rekaan garang skuter BMW CE 04. – Foto ihsan BMW

Ciri pengendalian memukau

Terdapat beberapa ciri lain menarik terdapat pada BMW CE 04.

Antara ciri tersebut termasuk:

  • Sistem keselamatan ABS
  • Kawalan gelinciran ASC
  • Dynamic Traction Control
  • ABS Pro

BMW turut memuatkan paparan skrin high-definition (HD) bersaiz 10.25 inci untuk kepuasan penglihatan penunggang.

Skrin ini bukan sahaja boleh disambungkan kepada peranti pintar malah mempunyai sistem navigasi canggih.

Paparan panel meter canggih high-definition (HD). – Foto ihsan BMW

Pada masa sama, BMW CE 04 turut ditawarkan dengan pakej premium dengan sistem DTC dan ABS Pro.

Terdapat juga sistem lampu utama diod pemancar cahaya (LED) adaptif, tempat duduk dengan pemanas dan mod dynamic bagi pengendalian sempurna.

Berdasarkan harga didedahkan BMW, ia dijangka dijual sekitar $11,795 atau bersamaan RM49,221.