fbpx

Honda U-Be untuk China – Skuter elektrik bandar dengan jarak tunggangan hingga 80km

honda u-be 01
Honda U-Be

POPULARITI skuter atau moped elektrik (e-skuter) di China dilihat semakin meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan China Internet Watch, jualan e-skuter di negara itu mencecah 144,654 unit bagi suku pertama tahun ini, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 321.5 peratus (lebih tiga kali ganda) berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menyedari potensi yang ada ini, Wuyang-Honda (anak syarikat Honda untuk pasaran China) baru-baru ini memperkembangkan penawaran mereka dengan pelancaran U-Be baharu. Ia merupakan model e-skuter kedua yang diperkenalkan oleh syarikat itu pada bulan ini selepas U-Go.

Apa yang menarik, U-Be digelar sebagai ‘basikal elektrik’ di laman web Wuyang-Honda kerana ia mempunyai pedal pengayuh, namun seperti yang boleh dilihat, bentuknya lebih kepada skuter konvesional berbanding basikal.

Tidak seperti U-Go, model ini mempunyai saiz yang lebih kecil dan kompak. Rekaannya ringkas tetapi moden, dengan pelana tunggal yang tebal, ruang meletak kaki ala skuter, lampu LED serta bar hendal yang tidak bertutup. Sesuailah dengan harganya yang bermula dari 3,099 yuan hingga 3,750 yuan, kira-kira RM2,021 hingga RM2,445 mengikut kadar pertukaran semasa.

‘Nadi’ U-Be adalah sebuah motor elektrik berkapasiti 350W yang terletak di dalam hab roda belakang. Kuasa yang dihasilkan tidaklah tinggi namun ia sudah cukup untuk membolehkan e-skuter seberat 54 kg ini mencapai kelajuan maksimum 25 km/j.

Harus diingat yang e-skuter tidak dibangunkan untuk tujuan ditunggang di atas jalan raya, sebaliknya hanya sekadar sebagai mod pengangkutan persendirian yang mudah dikendalikan untuk mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Sejauh manakah ia boleh ditunggang? Pelanggan mempunyai tiga pilihan pek bateri lithium-ion iaitu 48V-15Ah yang memberikan jarak tunggangan sehingga 55km, 48V-20Ah dengan jarak tunggangan sehingga 70km dan 48V-24Ah dengan jarak tunggangan sehingga 80km.

Dari segi kelengkapan, U-Be didatangkan dengan paparan LCD yang memberikan penunggang akses kepada pelbagai informasi penting seperti kelajuan, peratusan kuasa bateri dan jarak perbatuan. Bukan itu sahaja, varian 20Ah dan 24Ah juga didatangkan dengan kelengkapan tambahan seperti Smart Lock dan port USB.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved