Arkib Tag: roadster

Tesla Roadster bakal mampu pecut 0-96km/j kurang satu saat – Elon Musk

PADA 16 November 2017, Tesla mendedahkan Roadster generasi kedua. Tetapi hingga kini, kereta sports elektrik (EV) itu masih belum dikeluarkan.

Tetapi menurut Elon Musk, penantian itu akan berakhir. Beliau baru-baru ini menulis di akaun X (Twitter) miliknya berkenaan prestasi EV sports itu.

Katanya, “Tidak akan ada kereta lain seperti ini, itu pun jika anda mahu panggil ia sebuah kereta.”

“Saya rasa ia akan menjadi demo produk paling menakjubkan,” tulisnya.

Beliau merujuk kepada kemampuan kereta itu untuk memecut ke 60 batu sejam (96km/j) dalam masa kurang satu saat. Ya, kurang satu saat!

Menurutnya lagi, reka bentuk Roadster itu telah dimuktamadkan dan kita bakal lihat kereta sebenar menjelang penghujung tahun ini.

Semasa Tesla Roadster mula didedahkan kepada umum pada 2017, ia didakwa mampu memecut ke 96km/j dalam masa 1.9 saat dan mencapai 160km/j dalam masa 4.2 saat.

Kereta sports pacuan semua-roda (AWD) itu dikatakan boleh dipandu melebihi 400km/j dengan jarak pemanduan hampir 1,000km sekali cas.

Hanya pada Mei 2021, Musk mendakwa kereta ini boleh memecut ke 96km/j dalam 1.1 saat.

Dalam perkembangan terkini, dakwaannya lebih dramatik – pecutan yang sama dalam masa kurang 1 saat.

Kami tak pasti sama ada kata-kata ini boleh dipercayai, tetapi ini adalah Elon Musk. Beliau terbukti membuat pelbagai kerja gila yang dikatakan mustahil oleh orang lain.

Dari segi pengetahuan kami, untuk mencapai pecutan super-pantas, motor elektrik dan sistem kereta tidak menjadi masalah besar.

Tetapi faktor terbesar adalah tayar dan manusia itu sendiri. Akan adakah tayar yang mampu bertahan dengan tork dan geseran pada tahap tinggi, serta bolehkah pemandu biasa menahan tekanan-G lateral dengan pecutan ini.

Gambar oleh: Eteknix

Sebagai rujukan, pelancar stim jet pejuang di atas kapal pengangkut mampu ‘menarik’ pesawat dari kedudukan statik ke kelajuan 270km/j dalam masa dua saat. Tetapi juruterbang pejuang perlu melalui pelbagai ujian fizikal bagi melayakkan mereka berada di kokpit.

BMW M 1000 R gegar pasaran Malaysia dengan 210 PS – harga dari RM158,500

BMW Motorrad Malaysia memperluaskan lagi barisan model mereka dengan pelancaran jentera roadster berprestasi tinggi iaitu M 1000 R. Secara asasnya, ia ‘kembar’ kepada S 1000 R yang lebih agresif.

Pertama sekali, jentera ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris yang telah ditala bagi menghasilkan 210 PS pada 13,750 rpm, menunjukkan peningkatan sebanyak 45 PS berbanding versi S.

Bagaimanapun, jumlah tork yang dihasilkan menurun sedikit dari 114 Nm kepada 113 Nm, namun ia memuncak pada rev yang lebih tinggi iaitu 11,000 rpm berbanding 9,250 rpm pada versi S. Bukan itu sahaja, model ini juga boleh mencapai redline yang lebih tinggi iaitu 14,600 rpm.

Menurut BMW, model ini juga mempunyai cengkaman roda belakang yang lebih baik dalam semua gear dengan nisbah gear kedua hingga keenam yang lebih singkat yang lebih singkat. Nisbah gear keempat, kelima dan keenam juga lebih singkat bagi memberi sumbangan dari segi tujahan.

Suspensi dan casis M 1000 R juga telah diperhalusi untuk prestasi yang lebih tinggi. Sebagai contoh, ia dilengkapi dengan pangkal spring fork boleh laras, peredam stereng boleh laras dan Dynamic Damping Control (DDC). Bar hendal tiub aluminiumnya juga tampak lebih lebar.

Dari segi aerodinamik, M 1000 R didatangkan standard dengan winglet M baharu yang boleh memberikan downforce tambahan untuk kestabilan yang lebih baik pada kelajuan tinggi. Penangkis angin turut disertakan bagi melawan rintangan aerodinamik tambahan yang tercetus ekoran penambahan kecil pada bahagian depan tadi.

Perincian rekaan aerodinamik ini memastikan jentera tersebut mempunyai kecenderungan wheelie yang lebih rendah, sekaligus dapat memecut dengan lebih cepat.

Untuk sistem brek pula, terdapat angkup M baharu, cakera berkembar berukuran 320 mm dengan ketebalan 5 mm serta pam brek radial. Semua ini ditemani sistem Brake Slide Assist yang membolehkan penunggang membuat aksi brake drift semasa memasuki selekoh.

Model ini mempunyai paparan TFT 6.5 inci yang menampilkan takometer baharu dan animasi M ketika enjin dihidupkan. Ciri-ciri lain yang ada termasuk Titanium ESD, bateri LiO, rim M, pelana M, rantai M Endurance, Keyless Ride, spoiler enjin, pemanas penggenggam dan bermacam lagi.

Turut disertakan adalah ciri-ciri elektronik seperti Shift Assistant Pro, mod-mod tunggangan Pro dan Cruise Control.

Ditawarkan dalam satu warna sahaja iaitu Lightwhite/M Motorsport, BMW M 1000 R dijual pada harga RM158,500 termasuk waranti tiga tahun dan program bantuan tepi jalan tiga tahun.

Bugatti W16 Mistral – jentera W16 terakhir, 99 unit habis terjual

SETELAH hampir 20 tahun, Bugatti akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan penjualan enjin W16 bagi membolehkannya melangkah ke era hibrid dan elektrifikasi bersama Rimac. Namun sebelum itu, syarikat itu akan menawarkan model terakhir yang dikuasakan oleh enjin quad turbo berkenaan. Memperkenalkan, Bugatti W16 Mistral.

Menurut Bugatti, W16 Mistral dinamakan sempena angin yang bertiup di lembah Rhone River. Unit berwarna hitam hangat dengan sedikit perincian coklat truffle dan aksen kuning diinspirasikan oleh Type 57 Roadster Grand Raid keluaran tahun 1934 yang kini dipamerkan di Muzium Louwman di Den Haag.

Namun seperti yang boleh dilihat, bentuk badan roadster ini membawakan elemen-elemen daripada beberapa model semasa Bugatti. Sebagai contoh, lampu belakang yang berbentuk X adalah daripada Bolide, manakala rekaan lampu depan pula adalah gabungan antara Divo dan La Vouitre Noire.

Ruang dalamannya tidak jauh berbeza dengan Chiron, namun untuk W16 Mistral, jurureka menggunakan tombol gear yang diperbuat daripada blok aluminium yang dihiasi dengan kemasan kayu dan amber. Panel pintu pula dihiasi dengan upholsteri kulit yang ditenun.

Sudah tentu, ‘nadi’ jentera ini adalah enjin 8.0-liter W16 dengan 1,600 PS. Ia merupakan versi enjin yang sama seperti pada Chiron Super Sport 300+ yang mencapai kelajuan 304.773 bsj (490.484 km/j) pada 2019. Bugatti berhasrat untuk menjadikan W16 Mistral kereta roadster terpantas di dunia bagi mengalahkan pemegang rekod semasa iaitu Hennessey Venom GT Spyder.

Pengeluaran W16 Mistral akan dihadkan kepada 99 unit sahaja dan setiap satu dijual pada harga 5 juta euro (kira-kira RM22.5 juta). Jangan terkejut kerana semuanya telah habis terjual!

Royal Enfield Hunter 350 diperkenalkan sebagai model roadster mampu milik

ROYAL Enfield telah memperkenalkan satu lagi model roadster dalam barisan mereka iaitu Hunter 350. Ia boleh didapati dalam dua versi iaitu Retro dan Metro. Retro hadir sebagai ‘Factory Series’, manakala Metro pula mempunyai dua varian di bawahnya iaitu ‘Dapper Series’ dan ‘Rebel Series’.

Dari segi penampilan, Hunter 350 hadir dengan penggayaan neo-retro dengan suntikan elemen baharu sambil mengekalkan DNA jenama Royal Enfield. Kedua-dua versi ditawarkan dengan pilihan warna dan livery yang berbeza, menjadi kombinasi keseluruhan sebanyak 23.

Lampu depan untuk kedua-dua versi adalah jenis halogen, manakala lampu belakang pula adalah jenis halogen untuk versi Retro dan LED untuk Metro. Lampu isyarat LED ditawarkan sebagai opsyen.

Seperti Classic 350 dan Meteor 350, model terbaharu ini dikuasakan oleh enjin J-Series 349 cc silinder tunggal. Ia menghasilkan 20.2 bhp pada 6,100 rpm dan 27 Nm pada 4,000 rpm. Dengan transmisi lima kelajuan, Hunter 350 dikatakan mampu mencapai redline 7,000 rpm dan memecut sehingga 114 km/j.

Sumber foto: bikedekho.com

Hunter 350 Retro dilengkapi dengan brek cakera depan dengan ABS dan brek gelendong belakang, manakala versi Metro pula mendapat brek cakera depan dan belakang, serta ABS dwi-saluran. Untuk roda pula, versi Retro didatangkan dengan rim jenis spoked manakala Retro dengan rim aloi berwarna hitam.

Berat keseluruhan roadster ini adalah sekitar 181 kg, menjadikan ia 14 kg lebih ringan berbanding Classic 350. Ini juga bermakna ia adalah yang paling ringan dan kecil berbanding mana-mana model dalam barisan Royal Enfield.

Jika dibandingkan dengan Classic 350 dan Meteor 350 yang berharga antara RM23,500 hingga RM24,300 di Malaysia, Hunter 350 mempunyai harga yang lebih mampu milik. Ia dijual pada harga bermula dari 149,900 rupee (RM8,418) untuk Hunter 350 Factory Series hingga 168,900 rupee (RM9,486) untuk versi Metro Rebel.

Mazda MX-5 RF kini dengan KPC, harga RM266k

MAZDA MX-5 RF telah dikemaskini untuk 2022 dengan Kinematic Posture Control (KPC) yang menambahbaik pengendaliannya.

Dilengkapi secara standard pada model dengan transmisi manual dan automatik, KPC merupakan ciri unik yang hanya didapati pada jentera sports dua-tempat duduk ini.

Semasa membrek sambil membelok, KPC akan memberikan brek tambahan kepada tayar sebelah dalam untuk mengurangkan olengan badan. Ini akan ‘menekan’ bahagian belakang sebelah dalam ke bawah agar kekal ‘terduduk’ dengan baik dalam situasi pemanduan dengan tarikan-G yang tinggi.

Selain dari ini, spesifikasi Mazda MX-5 RF dikekalkan, iaitu penggunaan enjin 2.0-liter SkyActiv-G yang menjana 181hp dan 205Nm tork. Pilihan transmisi seperti disebut tadi adalah manual dan automatik, kedua-duanya dengan 6-kelajuan.

MX-5 RF juga didatangkan dengan Apple CarPlay tanpa-wayar serta pakej keselamatan i-Activsense yang merangkumi ciri seperti Adaptive LED Headlights (ALH), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross-Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (SCBS), Driver Attention Alert (DAA) dan Lane Departure Warning System (LDWS).

Roadster dua pintu ini dijual pada harga RM265,964 dan merupakan model import sepenuhnya dari Jepun (CBU).

Enam pilihan warna boleh dpilih, iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Polymetal Gray, Deep Crystal Blue dan Jet Black.

MX-5 juga mendapat jaminan dan pakej penyelenggaraan percuma untuk 5-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu).

Polestar O2 Concept, roadster elektrik dengan dron pintar

TANPA bumbung, tanpa bunyi dan tanpa asap. Itu merupakan idea yang diperkenalkan oleh Polestar bagi konsep terbaharunya iaitu Polestar O2 Concept.

Konsep baharu ini merupakan sebuah roadster janaan elektrik yang bakal mendefinisikan semula kereta sports di masa hadapan.

Dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, konsep roadster Polestar O2 ini mempunyai bumbung jenis hardtop yang boleh dibuka. Ia turut berkongsi kerangka seni bina berasaskan bonded aluminum sama seperti model Polestar 5.

Apa yang menarik, Polestar O2 ini turut dilengkapi dengan sebuah dron jenis autonomous cinematic yang berfungsi untuk merakam pemanduan anda dari luar.

Kredit: wired.com

Dron ini berupaya untuk merakam sehingga kelajuan 90km/j sekaligus membuatkan anda terasa seperti bintang filem seperti dalam sekuel Fast And Furious.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Polestar, Thomas Ingenlath, penggunaan dron ini bukanlah gimik semata-mata.

“Kami di Polestar merasakan dron ini akan memberikan pengalaman baru bagi merakam detik pemanduan anda berbanding hanya menggunakan telefon pintar,” katanya.

“Ini adalah hasil gabungan rekaan, kejuruteraan serta bakat dan teknologi yang kami ada di Polestar.

“Ia memberikan kesoronokan yang luar biasa melalui pengalaman pemanduan dengan bumbung terbuka tanpa sebarang gangguan dari bunyi enjin,” tambahnya lagi.

Walaubagaimanapun, Polestar masih belum mengumumkan rangkaian kuasa serta jenis pek bateri yang bakal digunakan pada model O2 ini.

Mercedes SL 2022 serba baharu dilancarkan secara global, varian AMG sahaja, hingga 577hp

DENGAN sejarah sehingga 70 tahun, Mercedes SL-Class menjadi nama model paling lama untuk jenama Three-Pointed Star itu.

Kini, Mercedes memperkenalkan generasi terbaharu untuk roadster mewah ini dengan beberapa perubahan penting. Generasi R232 ini bukan lagi model Benz, tetapi hadir sebagai model AMG sahaja.

Ia kekal menggunakan konfigurasi roadster mewah dengan tempat duduk 2+2, tetapi kini menggunakan bumbung fabrik menjadikannya 21kg lebih ringan. Tiada lagi bumbung besi lipat seperti sebelum ini.

Dari segi rupa, Mercedes SL 2022 mendapat gril Panamericana yang garang dengan sirip menegak, diapit oleh sepasang lampu depan LED tajam seperti CLS.

Bahagian sisi kini lebih kemas dengan pemegang pintu elektronik jenis pop-up seperti pada S-Class terbaharu. Dengan menggunakan bumbung fabrik lebih ringan, secara langsung titik graviti SL ini lebih rendah, menjadikannya lebih dinamik untuk dipandu.

Di bahagian belakang, identiti AMG dapat dilihat dari ekzos quad dan diffuser besar. Spoiler belakang pula diintegrasi dengan but dan akan dinaikkan mengikut mod dan situasi pemanduan.

Untuk lebih aerodinamik, terdapat pilihan Aerodynamic Package yang hadir dengan dengan bampar, underbody dan diffuser lebih agresif.

Buat masa ini, Mercedes SL boleh didapati dengan varian SL55 dan SL63. Kedua-dua varian menggunakan enjin 4.0-liter V8 twin-turbo dimana SL55 menjana 469hp dan 700Nm tork, manakala SL63 menghamburkan sehingga 577hp dan 800Nm tork.

Output disalurkan melalui kotak gear automatik 9-kelajuan dengan buat pertama kali, SL dilengkapi dengan 4Matic+, menjadikannya jentera all-wheel drive.

Ciri lain adalah rear-wheel steering untuk belokan lebih tajam serta LSD elektronik untuk kestabilan apabila memecut keluar selekoh.

Bahagian kabin SL ini kekal sporti dan padat dengan teknologi terkini. Ini merangkumi tempat duduk AMG, stereng AMG, skrin besar 11.9-inci di tengah, paparan instrumen 12.3-inci, pemanas Airscarf, dan sistem MBUX terkini.

Ferrari Portofino M kini di Malaysia – 612hp, 0-100 3.5 saat, kotak gear baharu, RM998k sahaja

NAZA Italia – pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Ferrari di Malaysia – hari ini mempersembahkan kehadiran Portofino M di negara ini.

Jentera convertible/spyder hardtop (bumbung keras) dengan V8 twin-turbo ini diperbaharui dengan rupa lebih terkini, Manettino dengan lima mod, dan kotak gear 8-kelajuan baharu.

Ya, Ferrari Portofino bukanlah model baharu sepenuhnya. Jadi, apa bezanya pada Portofino M ini? M bermaksud ‘Modificata’ yang mana menurut Ferrari untuk model-model yang melalui evolusi yang meningkatkan prestasinya.

Berkenaan prestasi, Ferrari Portofino M mendapat janaan kuasa dari enjin 3.9-liter V8 twin-turbo yang kini menjana 612hp dan 760Nm, iaitu 19hp lebih dari sebelum ini.

Kotak gear dwi-klac 8-kelajuan menggantikan unit 7-kelajuan sebelum ini, membolehkan Portofino memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.45 saat dan mencapai 200km/j dalam hanya 9.8 saat. Untuk pengetahuan, kotak gear baharu ini dikongsi dengan model terkini yang lain seperti Roma, SF90 Stradale dan Spider.

Rupa luaran diberi sedikit perubahan dan dapat dilihat dari bampar baharu, ruang kemasukan udara sisi baharu, gril, dan aliran udara dalam gerbang roda untuk kecekapan aerodinamik lebih baik.

Bahagian belakang menampilkan diffuser baharu, dan perumah ekzos yang direka semula untuk rekaan lebih kemas. Diffuser ini boleh dipilih dari bahan gentian karbon jika anda mahu.

Penambahbaikan juga dilakukan pada sistem brek untuk rasa yang lebih kemas dan responsif serta keseluruhan sistem ekzos yang menggunakan geometri baharu serta memberikan bunyi lebih sporti.

Tiada perubahan besar pada ruang dalaman Portofino M ini, dan ia masih mengekalkan susunan panel instrument meter rev di tengah serta dua paparan TFT di sisi, selain skrin infotainmen 10.25-inci.

Pada suis Manettino di stereng, kini terdapat mod RACE baharu, menjadikan lima tetapan semuanya. Ferrari Portofino M juga kini dilengkapi dengan ADAS iaitu sisyem bantuan pemandu termaju seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Predictive Emergency Brake System dan banyak lagi.

Berapa harga untuk roadster Ferrari terbaharu ini? Kurang RM1 juta, iaitu cuma RM998,000 sahaja sebelum insurans, cukai, dan segala macam pilihan menarik yang boleh diberikan padanya. Jika anda tempah hari ini, penghantaran akan bermula awal tahun depan.

BMW henti jualan Z4 dengan transmisi manual di Australia, 2 unit saja terjual sejak 2019!

BMW Z4 menjadi model terkini yang dihentikan penawaran transmisi manualnya di Australia, hanya dua unit sahaja terjual sejak 2019. Ini menjadikannya antara versi paling rare pernah dijual di negara itu.

“Disebabkan hanya dua unit BMW Z4 sDrive20i terjual dengan transmisi manual sejak suku pertama 2019, kami tidak akan jual lagi varian ini,” kata jurucakap BMW di Australia.

“Walaubagaimanapun, Z4 sDrive20i masih akan ditawarkan dengan kotak gear standard automatik 8-kelajuan Steptronic Sport,” tambahnya.

Gambar oleh: BMW Blog

Varian Z4 dengan kotak gear manual 6-kelajuan ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk model asas sDrive20i yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder, menghasilkan 195hp dan 320Nm tork. Ia berharga AUD89,900 (RM276k) sebelum pilihan tambahan lain.

Model Z4 dengan tiga-pedal itu mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6.8 saat (0.2 saat lebih perlahan dari automatik), dan mempunyai kelajuan maksima 241km/j.

Penyingkiran model manual dari Z4 itu mengikut jejak langkah 2-Series Coupe dan M2 Competition yang menerima nasib sama awal tahun ini.

Ini menjadikan hanya M3 dan M4 yang kekal ditawarkan dengan kota gear manual di Australia. Manual juga merupakan pilihan khas untuk 118i dan 218i Gran Coupe.