fbpx

Ferrari Portofino M kini di Malaysia – 612hp, 0-100 3.5 saat, kotak gear baharu, RM998k sahaja

ferrari portofino m malaysia 03

NAZA Italia – pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Ferrari di Malaysia – hari ini mempersembahkan kehadiran Portofino M di negara ini.

Jentera convertible/spyder hardtop (bumbung keras) dengan V8 twin-turbo ini diperbaharui dengan rupa lebih terkini, Manettino dengan lima mod, dan kotak gear 8-kelajuan baharu.

Ya, Ferrari Portofino bukanlah model baharu sepenuhnya. Jadi, apa bezanya pada Portofino M ini? M bermaksud ‘Modificata’ yang mana menurut Ferrari untuk model-model yang melalui evolusi yang meningkatkan prestasinya.

Berkenaan prestasi, Ferrari Portofino M mendapat janaan kuasa dari enjin 3.9-liter V8 twin-turbo yang kini menjana 612hp dan 760Nm, iaitu 19hp lebih dari sebelum ini.

Kotak gear dwi-klac 8-kelajuan menggantikan unit 7-kelajuan sebelum ini, membolehkan Portofino memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.45 saat dan mencapai 200km/j dalam hanya 9.8 saat. Untuk pengetahuan, kotak gear baharu ini dikongsi dengan model terkini yang lain seperti Roma, SF90 Stradale dan Spider.

Rupa luaran diberi sedikit perubahan dan dapat dilihat dari bampar baharu, ruang kemasukan udara sisi baharu, gril, dan aliran udara dalam gerbang roda untuk kecekapan aerodinamik lebih baik.

Bahagian belakang menampilkan diffuser baharu, dan perumah ekzos yang direka semula untuk rekaan lebih kemas. Diffuser ini boleh dipilih dari bahan gentian karbon jika anda mahu.

Penambahbaikan juga dilakukan pada sistem brek untuk rasa yang lebih kemas dan responsif serta keseluruhan sistem ekzos yang menggunakan geometri baharu serta memberikan bunyi lebih sporti.

Tiada perubahan besar pada ruang dalaman Portofino M ini, dan ia masih mengekalkan susunan panel instrument meter rev di tengah serta dua paparan TFT di sisi, selain skrin infotainmen 10.25-inci.

Pada suis Manettino di stereng, kini terdapat mod RACE baharu, menjadikan lima tetapan semuanya. Ferrari Portofino M juga kini dilengkapi dengan ADAS iaitu sisyem bantuan pemandu termaju seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Predictive Emergency Brake System dan banyak lagi.

Berapa harga untuk roadster Ferrari terbaharu ini? Kurang RM1 juta, iaitu cuma RM998,000 sahaja sebelum insurans, cukai, dan segala macam pilihan menarik yang boleh diberikan padanya. Jika anda tempah hari ini, penghantaran akan bermula awal tahun depan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved