Arkib Tag: Next Bike Sdn Bhd

Ducati Panigale V4 SP2 jentera litar terulung kini di Malaysia – RM300,865

SELAIN Diavel V4, Ducati Malaysia turut melancarkan jentera yang dibangunkan khusus untuk litar lumba yang masih boleh digunakan di jalan raya iaitu Panigale V4 SP2.

Dari segi penampilan, Panigale V4 SP2 boleh dikenal pasti menerusi livery Winter Test yang menggabungkan warna hitam matte, aksen gentian karbon pada winglet dan mudguard, serta aksen merah menyala dan warna bendera Itali.

Menjadikan superbike ini lebih istimewa adalah rim magnesium tempaan Marchesini yang digandingkan dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa untuk pengendalian yang mantap.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan nombor siri pengeluaran yang diukir menggunakan laser pada bahagian bar hendal.

Kuasa dibekalkan oleh enjin Desmosedici Stradale V4 1,103 cc yang menghasilkan 215.5 hp pada 13,000 rpm 123.6 Nm pada 9,500 rpm. Penggunaan klac kering STM EVO SBK memastikan kuasa disalurkan ke roda dengan lebih efektif.

Untuk suspensi, Panigale V4 SP2 menggunakan gabungan fork Öhlins NPX25/30 dan penyerap hentak Öhlins Smart EC 2.0 yang kedua-duanya boleh dikawal secara elektronik.

Untuk sistem brek pula, terdapat master cylinder Brembo MCS yang membolehkan penunggang melaraskan feel brek mengikut cuaca dan kondisi tunggangan.

Akhir sekali, sistem elektronik terdiri daripada ciri-ciri seperti Riding Modes, Power Modes, Cornering ABS EVO, Traction Control EVO 3, Wheelie Control EVO, Slide Control dan Engine Brake Control EVO.

Tidak cukup dengan itu, jentera ini turut dilengkapi dengan Power Launch, Quickshift EVO 2, lampu LED dengan DRL dan bateri litium ion.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) Panigale V4 SP2 bermula dari RM300,865.

Ducati Diavel V4 masuk pasaran Malaysia – RM179,865

DUCATI Malaysia telah melancarkan Diavel V4 ke pasaran tempatan, di mana ia dijual pada harga (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM179,865 untuk warna Ducati Red.

Satu lagi pilihan warna yang ada iaitu Thrilling Black boleh dimiliki dengan bayaran tambahan sebanyak RM3,000.

Tidak seperti Diavel 1260 S, jentera ini dikuasakan oleh enjin V4 Granturismo bersesaran 1,158 cc yang berupaya menjana 168 hp pada 10,500 rpm dan 126 Nm pada 7,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai ciri Quickshifter.

Dari segi reka bentuk, Diavel V4 tampil lebih segar dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk “C” berkembar pada bahagian hadapan.

Bahagian belakang menampilkan lampu LED Matrix dengan signatur optikal Diavel yang juga disusun dalam bentuk “C” berkembar.

Diavel V4 dibina menggunakan kerangka aluminium monocoque yang dipadankan dengan suspensi boleh laras dan lengan ayun jenis single-sided yang juga diperbuat daripada aluminium.

Dengan berat sekitar 223 kg tidak termasuk bendalir, ia 13 kg lebih ringan berbanding model 1260 S, di mana 5 kg adalah daripada enjin dan 8 kg daripada badan.

Diavel V4 menggunakan rim 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III berukuran 120/70 di hadapan dan 240/45 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada Brembo Stylema Monobloc dengan angkup empat piston. Kapasiti tangki bahan api adalah 20 liter.

Sementara itu, sistem elektronik pula merangkumi Power Mode, Riding Mode, Cornering ABS, Traction Control, Wheelie Control, Power Launch dan Cruise Control.

Ducati tawar rebat tunai sehingga RM8,000 sempena Merdeka

SEMPENA sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia tidak lama lagi, Ducati Malaysia kini mengadakan promosi ‘Massive Deals for Merdeka’ di mana pelanggan boleh menikmati pelbagai tawaran menarik untuk motosikal dan barangan rasmi jenama itu.

Bagi mereka yang ingin membeli motosikal Ducati yang baharu, inilah masanya kerana Ducati Malaysia menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model terpilih. Tawaran ini sah hingga 30 September 2023.

Bukan itu sahaja, pelanggan dan peminat Ducati juga boleh menunggang uji motosikal Ducati untuk merasai sendiri kehebatan jentera Itali itu sepanjang tempoh kempen ini diadakan.

Di samping rebat tunai, Ducati Malaysia turut menawarkan promosi diskaun sehingga 35 peratus ke atas pakaian dan barangan rasmi Ducati, servis Desmo, aksesori dan alat ganti.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Massive Deals for Merdeka’ dan rangkaian model Ducati, layari laman web rasmi Ducati Malaysia atau kunjungi bilik pameran bertauliah Ducati di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Sungai Buloh dan Pulau Pinang.

Ducati Scrambler generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 versi, harga dari RM64k

DIPERKENALKAN di peringkat global pada penghujung tahun lalu, Ducati Scrambler generasi kedua kini memasuki pasaran Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM63,865 untuk versi asas Icon, dan RM70,865 untuk Full Throttle dan Nightshift.

Ketiga-tiga versi dikuasakan oleh enjin Desmodue silinder L berkembar 803 cc yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm. Menurut Ducati, enjin ini 2.5 kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu.

Selain itu, penambahbaikan pada casis dan kerangka trellis menjadikan Scrambler generasi baharu ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

Di samping enjin, ketiga-tiga versi turut berkongsi sistem suspensi yang sama yang merangkumi fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak monoshock, juga dari Kayaba.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 330 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk Cornering ABS, Power Mode, Riding Mode (Road dan Sport), Traction Control, Ride-by-Wire dan lampu LED berserta daytime running light LED.

Turut tersedia secara standard adalah paparan TFT berukuran 4.3 inci dengan penampilan moden klasik. Sistem multimedia ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Versi Full Throttle mendapat beberapa ciri tambahan berupa bar hendal yang lebih rendah, lampu isyarat LED jenis high performance, Quickshifter, ekzos Termignoni, panel sisi dengan nombor serta rekaan mudguard dan ekor yang lebih sporty.

Sementara itu, versi Nightshift menerima kelengkapan yang sama dengan Full Throttle, cuma ia mempunyai cermin sisi jenis bar-end, bar hendal rata, pelana berwarna coklat dan rim jenis spoked.

Untuk pilihan warna, Scrambler Icon ditawarkan dalam tiga warna asas iaitu kuning, hitam dan merah, bersama enam pilihan warna untuk panel. Versi Full Throttle pula boleh didapati dalam warna merah/hitam manakala Nightshift dalam warna Nebula Blue.

Ducati Panigale V4 R jentera lumba untuk jalan raya – RM458,900!

SELAIN Monster SP, pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia iaitu Next Bike Sdn Bhd turut melancarkan satu lagi model iaitu Ducati Panigale V4R.

Jika dibandingkan dengan Panigale V4 (RM145,900) dan V4 S (RM188,900), harga jualan Panigale V4R jauh lebih mahal iaitu RM458,900 kerana secara asasnya ia merupakan model street legal yang menggunakan teknologi perlumbaan dari MotoGP dan WSBK.

Panigale V4R mempunyai ‘nadi’ Desmosedici Stradale R bersesaran 998 cc yang mampu menghasilkan 218 hp pada 15,500 rpm. Menurut Ducati, enjin ini mampu mencapai rev 16,500 rpm ketika dalam gear keenam dan 16,000 rpm dalam gear-gear yang lain.

Namun apabila menggunakan minyak pelincir yang dirumus khas oleh Shell dan Ducati Corse, serta sistem ekzos perlumbaan, kuasa yang dihasilkan meningkat kepada 240.5 hp. Minyak itu dikatakan mengandungi aditif khusus yang dapat mengurangkan geseran mekanikal sebanyak 10 peratus.

Untuk sistem elektronik, Ducati telah memprogramkan semula Ride by Wire, Quick Shift, Engine Brake Control (EBC) EVO dan Traction Control. Terdapat juga paparan Track EVO baharu pada kluster instrumen dan strategi Power Mode.

Sebagai opsyen, pelanggan boleh mendapatkan perisian DTC EVO 3 yang dibangunkan khusus untuk penggunaan tayar hujan dan tayar slick ketika beraksi di litar lumba.

Untuk sistem suspensi, Panigale V4R menggunakan fork Ohlins NPX25/30 dengan tambahan jarak pergerakan (travel) sebanyak 5 mm, serta penyerap hentak Ohlins TTX36 dengan ketinggian pivot lengan ayun yang boleh dilaraskan dalam empat posisi.

Turut ditambah baik adalah aspek aerodinamik. Sayap pada bahagian depan kini lebih kompak dan nipis sebanyak 40 peratus dan 50 peratus namun masih mampu menjana muatan yang sama, manakala fairing bawah telah diubah suai untuk penyejukan enjin yang lebih baik.

Selain itu, terdapat juga liang udara pada bahagian kiri fairing bagi membantu menyejukkan sensor Quick Shift. Model ini juga menggunakan tangki bahan api yang lebih besar (17 liter), serta pelana yang lebih rata bagi memudahkan pergerakan penunggang.

Ducati Monster SP dilancarkan di Malaysia – livery ala MotoGP, RM98,900

NEXT Bike Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, telah melancarkan Ducati Monster SP pada harga RM98,900. Model ini diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu.

Dari segi penampilan, Monster SP boleh dibezakan dengan versi standard menerusi livery hitam-merah seperti yang digunakan oleh pasukan MotoGP Ducati, tempat duduk berwarna merah serta logo Monster SP pada penutup tempat duduk penumpang.

Di samping penampilan yang lebih bengis, jentera ini juga didatangkan dengan fork Ohlins boleh laras yang lebih ringan berbanding fork standard dengan perbezaan berat sebanyak 0.6 kg.

Untk brek depan pula, jentera ini menggunakan angkup Brembo Stylema dan cakera berkembar berukuran 320 mm. Sistem ini 0.5 kg lebih ringan dan ini secara tidak langsung mengurangkan inersia pada bahagian depan.

Selain itu, sistem ekzos standard telah digantikan dengan unit Termignoni, sementara tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Diablo Rosso IV yang menjanjikan cengkaman dan kawalan yang lebih baik.

Monster SP dikuasakan oleh enjin 937 cc Testastretta 11° yang mampu menjana 111 hp. Ia turut dilengkapi dengan bateri lithium-ion yang memberikan pengurangan berat sebanyak 2 kg.

Sistem elektronik menampilkan mod tunggangan baharu iaitu Wet yang direka untuk tunggangan yang lebih selamat di atas permukaan jalan yang basah. Turut disertakan adalah fungsi Launch Control, ABS Cornering, Ducati Traction Control dan Wheelie Control.

Melengkapi pakej Monster SP adalah skrin TFT berukuran 4.3 inci yang menampilkan grafik perlumbaan seperti Panigale V4 dan meter rev yang lebih besar.

Ducati DesertX mendarat di Malaysia – RM112,900

SEGMEN motosikal kembara bagi pasaran Malaysia kini semakin hangat dengan kehadiran satu lagi pesaing yang menarik iaitu Ducati DesertX. Antara pesaing jentera dari Itali ini termasuklah BMW F 850 GS Adventure, Triumph Tiger 900 Rally Pro dan KTM 890 Adventure R.

Menurut Ducati, reka bentuk DesertX yang dihasilkan oleh Ducati Centro Stile melambangkan interpretasi kontemporari motosikal-motosikal enduro era 80-an. Bagaimanapun, segala komponen dan teknologi yang ada padanya adalah yang terkini.

Sebagai contoh, DesertX mempunyai kerangka trellis keluli yang dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras keluaran Kayaba yang terdiri daripada fork terbalik 46 mm di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Fork tersebut menawarkan jarak pergerakan (travel) sebanyak 230 mm manakala penyerap hentak belakang pula 220 mm. Bukan itu sahaja, jarak lega tanah sebanyak 250 mm menjadikan jentera ini sesuai untuk tunggangan off-road yang ekstrem.

DesertX didatangkan dengan rim 21 inci di depan dan 18 inci di belakang, serta tayar jenis Pirelli Scorpion Rally STR bersaiz 90/90-21 dan 150/70 R18.

Untuk sistem brek depan, Ducati melengkapkan model ini dengan angkup radial monobloc Brembo M50 dengan empat omboh 30 mm dan dua cakera berukuran 320 mm. Sementara itu di belakang terdapat angkup omboh berkembar Brembo yang ditugaskan untuk mengapit cakera tunggal 265 mm.

Kuasa dibekalkan oleh enjin silinder V berkembar Testastretta 11° Desmodromic bersesaran 937 cc yang menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dari Multistrada V2.

Bagaimanapun, transmisi tersebut mempunyai nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek bagi memberikan kuasa pecutan untuk tunggangan off-road. Nisbah gear 6 pula lebih panjang untuk tunggangan di lebuh raya sambil mengekalkan rpm pada tahap rendah untuk menjaga penggunaan bahan api.

DesertX mempunyai enam mod tunggangan (Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally) dan empat mod kuasa (Full, High, Medium dan Low).

Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Engine Brake Control (EBC), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan juga ABS Cornering.

Ducati DesertX dijual pada harga asas RM112,900. Sempena pelancaran ini, Ducati Malaysia menawarkan pakej eksklusif yang merangkumi diskaun 40% ke atas pakej aksesori DesertX dan 35% ke atas pakej pakaian DesertX.

Ducati Panigale V4, V4 S model 2022 kini di Malaysia – harga dari RM146k

Hanya sebulan selepas membawa masuk enam model Ducati baharu ke pasaran Malaysia, Next Bike Sdn Bhd kini melancarkan pula model flagship jenama itu iaitu Ducati Panigale V4 dan V4 S.

Untuk tahun 2022, kedua-dua jentera berkenaan diberikan penambahbaikan menyeluruh yang merangkumi lima aspek utama iaitu aerodinamik, ergonomik, enjin, casis dan elektronik. Ini bagi menjadikan ia lebih pantas di litar dan juga lebih intuitif.

Ducati Panigale V4

Enjin Desmosedici Stradale bersesaran 1,103 cc kekal menjadi ‘nadi’ Panigale V4 dan V4 S namun dengan peningkatan seperti diameter silencer yang lebih besar dan mapping baharu, ia kini menghasilkan 215.5hp pada 13,000rpm, 1.5hp lebih tinggi berbanding sebelum ini. Tork pula adalah 123.6Nm pada 9,500 rpm.

Ducati turut mempertingkatkan kotak gear dengan nisbah gear satu, dua dan enam yang lebih panjang, menjadikan ia lebih sesuai untuk digunakan di litar lumba. Bukan itu sahaja, kelajuan maksimum turut bertambah sebanyak 5km/j.

Ohlins TTX36 pada Panigale V4 S

Panigale V4 S dilengkapi dengan fork elektronik Ohlins NPX 25/30, penyerap hentak Ohlins TTX36 dan peredam stereng Ohlins, manakala V4 mendapat Showa Big Piston Fork (BPF) boleh laras, serta monoshock dan peredam stereng keluaran Sachs.

Untuk elektronik, Panigale V4 dan V4 S didatangkan dengan Power Mode yang merangkumi empat konfigurasi enjin iaitu Full, High, Medium dan Low. Mod Full dan Low adalah baharu, manakala mod High dan Medium yang dibawa dari model terdahulu diberikan strategi yang telah dikemas kini.

Panel instrumen kini mempunyai paparan Track Evo, di mana tachometer diletakkan pada kedudukan paling atas dan posisi gear ditunjukkan di tengah-tengah skrin. Sistem elektronik dipaparkan pada bahagian kanan skrin, manakala jam randik, lap dan kelajuan pada bahagian kiri.

Penampilan agresif kedua-dua superbike ini diperhebatkan lagi dengan kehadiran sayap double-profile yang dikatakan boleh menjana downforce sebanyak 37kg pada kelajuan 300km/j. Selain itu, bahagian bawah fairing turut direka semula bagi membantu menyejukkan enjin dan Quickshifter.

Turut mendapat perhatian jurutera Ducati adalah aspek ergonomik. Tempat duduk yang lebih rata membolehkan penunggang bergerak dengan lebih mudah, manakala material balutan baharu mengurangkan kecenderungan penunggang untuk bergerak ke hadapan apabila membrek.

Sementara itu, tangki minyak mempunyai bentuk baharu bagi membolehkan penunggang menunggang pada kelajuan tinggi lebih lama.

Harga Panigale V4 dan V4 S masing-masing bermula dari RM145,900 dan RM188,900. Seperti model-model lain, kedua-dua jentera ini boleh dimiliki menerusi skim pembiayaan Ducati Corse Credit Financing yang menawarkan kadar faedah serendah 4.88% dan opsyen bayaran muka sebanyak 10%.