Arkib Tag: mustang

Shelby Super Snake 2024 lebih berbisa dengan enjin V8 supercharged

SHELBY American, nama yang cukup sinonim dengan Ford Mustang, telah memperkenalkan rekaan pertama mereka yang berasaskan model generasi S650 iaitu Shelby Super Snake.

Jentera ini didatangkan dengan enjin 5.0-liter V8 Coyote yang diambil daripada Mustang, dengan dua versi untuk dipilih iaitu naturally aspirated atau supercharged.

Dalam versi NA, enjin tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti Mustang GT iaitu 480 hp. Versi yang satu lagi dilengkapi dengan supercharger Whipple berkapasiti 3.0-liter bagi mendapatkan 830 hp.

Jumlah tork tidak dinyatakan namun kedua-dua enjin boleh didapati dengan transmisi automatik atau manual enam kelajuan. Pelanggan yang memilih tiga pedal juga mendapat tuil short shifte dan aci pemacu one-piece.

Apa yang menarik, sama ada anda pilih versi NA atau supercharged, Super Snake mempunyai sistem suspensi baharu untuk belokan lebih tajam, sistem ekzos Borla yang lebih lawas, brek yang lebih besar serta sistem penyejukan yang dinaik taraf.

Dari segi penampilan, Super Snake boleh dibezakan menerusi rim magnesium berukuran 20 inci yang dikatakan 4 kg lebih ringan, serta komponen-komponen seperti bonet aluminium, fender gentian karbon, diffuser, dan spoiler gentian karbon untuk badan fastback.

Di dalam, anda akan menemui beberapa sentuhan eksklusif Shelby termasuk sulaman pada kerusi dan karpet, lampu lopak bertemakan Cobra, plak nombor siri dan tombol gear bola untuk versi manual.

Harga tidak didedahkan namun menurut Shelby American, produksi Super Snake akan bermula pada musim panas tahun ini dengan hanya 250 unit diperuntukkan bagi model tahun 2024.

Ford Mustang 2024 kini ‘hilang’ 52hp untuk pasaran Eropah, ada stereng pemanduan kanan

PIAWAIAN pelepasan yang semakin ketat membuatkan pengeluar-pengeluar kenderaan di Eropah mengambil langkah seperti mengurangkan jumlah silinder atau menambah pengecas turbo.

Ford Mustang untuk pasaran Eropah menariknya masih mengekalkan enjin 5.0-liter V8 naturally-aspirated yang lazat itu, tetapi ada berita buruk pula. Enjinnya dikurangkan jumlah output.

Versi standard mempunyai 440hp dan dikurangkan sebanyak 40hp untuk mematuhi piawaian ketat. Tork pula ‘hanya’ 540Nm, iaitu 28Nm kurang berbanding versi Amerika.

Apa pun, pengguna di Eropah patut bersyukur juga kerana Ford masih mampu menawarkan kereta dengan enjin V8 dalam era masa kini. Kuasa masih cukup baik. Jika anda rasa tidak cukup, ada versi Dark Horse.

Mustang varian tertinggi ini menghasilkan 448hp dan 540Nm tork (kurang 52hp dan 28Nm), malah anda masih boleh memadankannya dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.2 saat, dan kelajuan maksima ialah 263km/j.

Jika anda pilih model automatik 10-kelajuan, pecutan 0-100 boleh dicapai dalam 4.4 saat, tetapi kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j.

Ford Mustang baharu ini diperkenalkan di Eropah sejak September 2022 lagi, tetapi kini baru ia dijual secara rasmi. Di UK, ia ditawarkan pada harga £55,585 (RM331,842) untuk GT, dan £65,585 (RM391,542) untuk Dark Horse.

Ford Mustang GT California Special – pakej klasik dengan gaya moden

SEPERTI biasa, setiap generasi Ford Mustang akan menyaksikan kelahiran banyak model edisi istimewa. Dalam tempoh setahun selepas model generasi ketujuh dilancarkan, kita telah melihat kehadiran versi Dark Horse dan GTD.

Kini, Ford telah memperkenalkan satu lagi model edisi istimewa yang dikenali sebagai Mustang GT California Special. Ia berasaskan varian GT dan boleh didapati dalam bentuk coupe atau convertible, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik 10 kelajuan.

Diinspirasikan daripada model GT/CS keluaran 1968, GT California Special tampil dengan aksen Rave Blue yang menghiasai beberapa bahagian kereta ini.

Ini termasuk bahagian air intake di dalam gril yang kini menampilkan palang mendatar bagi menggantikan corak honeycomb pada versi standard. Aksen biru itu juga dikenakan pada setiap lencana yang ada, bahagian sisi kereta dan juga rim 19 inci.

Bercakap tentang rim, Ford menawarkan dua rekaan iaitu standard dalam warna Carbonized Gray dengan logo GT/CS berwarna Rave Blue, serta Performance Pack dengan permukaan yang dimesin dan aksen Rave Blue.

Di dalam, tempat duduk kini dibalut upholsteri kulit Navy Pier dan Ebony Black, yang diserlahkan lagi menerusi jahitan kontras Raptor Blue dan Metal Grey yang turut menghiasi panel pintu dan papan pemuka. Jahitan yang sama juga boleh didapati pada konsol tengah dan stereng.

Melengkapi pakej istimewa ini adalah karpet lantai eksklusif GT/CS dan lencana “California Special” pada papan pemuka sebelah penumpang.

Menurut Ford, pakej California Special boleh didapati pada harga tambahan $1,995 (RM9,417) dan tempahannya sudah pun dibuka. Ia akan membuat penampilan sulung di Los Angeles Auto Show 2023 pada bulan ini.

Ford Mustang Mach-E kini dengan versi rally pula, spoiler seperti Focus RS

ANDA bayangkan jika nama Mustang menjadi SUV elektrik tidak cukup gila, kini ia ditukar menjadi jentera rally pula. Amacam? Perkenalkan Ford Mustang Mach-E Rally.

Ia hadir dengan gaya yang sepadan dengan namanya, seperti stripe badan, spoiler belakang mirip Focus RS, badan yang lebih kembang, splitter depan, bumbung hitam, dan panel depan yang menempatkan lampu kabus rally.

Sistem suspensi juga ditala khas untuk Mach-E Rally, ia 20mm lebih tinggi dari varian GT. Suspensi ini terdiri dari penyerap hentak MagneRide, bersama brek depan 385mm dengan kaliper Brembo. Rim adalah 19-inci dengan tayar bersaiz 235/55.

Ford bukanlah suatu nama yang asing dalam dunia rally. Prototaip model ini telah diuji dan ‘dilenjan’ oleh para jurutera dan juruteknik sejauh 800km di litar rally khas di fasiliti Michigan Proving Ground mereka. Cukup serius?

Terdapat mod pemanduan RallySport yang membolehkan anda menggelungsur ala pemandu profesional, dengan respon pendikit minyak yang lebih tepat dan linear. Pengendalian juga ditambah baik dengan suspensi yang lebih agresif, dan lihat sahaja tayar Michelin CrossClimate2 padanya.

Baik, untuk kuasa, ia dibekalkan dengan setup dwi-motor yang memberikan output 480hp dan 880Nm tork oleh bateri 91kWh. Tetapi jarak pemanduan tidak didedahkan buat masa ini.

Ford Mustang Mach-E Rally boleh didapat dengan warna Grabber Blue, Shadow Black, Eruption Green, dan Grabber Yellow. Sementara itu warna Star White dan Glacier Gray merupakan pilihan dengan kos tambahan.

Ford akan mula menerima tempahan jentera rally elektrik ini awal tahun depan, dan penghantara menyusul tidak lama selepas itu. Menarik?

Mustang dan AMG bukan kategori supercar – Aliff Awang

MUSTANG dan AMG bukan dalam kategori supercar, begitulah yang diperkatakan oleh Aliff Awang, yang kami pun tidak pasti siapa. Cuma kenyataannya dalam satu video telah membuatkan video itu dikongsi di platform-platform media sosial.

Menurut hasil kaji selidik ringkas kami, Aliff merupakan suami kepada pelakon Fatin Afeefa, dan juga merupakan seorang usahawan.

Berbalik kepada kenyataannya, beliau berkata: “Hari ini kita gather dalam 100 buah supercar. Mustang dikecualikan.

“Bila kita sebut supercar ni, Mustang bukan dalam kategori supercar. Mustang, kereta-kereta AMG, Honda pekak, itu semua bukan supercar.

“Supercar ni paling bang*ng pun GT-R. Itu entry level.”

Katanya, ada beberapa buah Mustang cuba masuk, tetapi telah dihalang oleh mereka. Kami tidak pasti atau video ini hanya gurauan/parodi, atau beliau memang serius.

Kami setuju Ford Mustang bukanlah supercar walaupun kereta sports itu sering berada dalam komuniti pemilik-pemilik supercar di Malaysia.

Tetapi kami tertarik berkenaan AMG. Untuk mengatakan semua AMG bukan supercar adalah satu kenyataan pukul rata. Ya, AMG A45 atau A35 mungkin bukan supercar, tetapi bagaimana dengan Mercedes-AMG GT atau AMG GT63 S sedan?

Kedua-dua ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 twin turbo (AMG GT) dan biturbo (AMG GT63 S) dengan output melebihi 510hp dan 650Nm tork. Harga juga bermula pada RM1,125,888, bukan supercar ya?

Anda boleh tonton video itu di bawah untuk membantu beliau menaikkan jumlah tontonan. Video itu difahamkan dalam satu acara dimana beliau telah ‘membeli’ empat panggung wayang di Pavilion Kuala Lumpur untuk tayangan filem Fast X.

Ford Mustang 1968 “Corruptt” dengan nadi Ferrari!

BAGI golongan purist, menyumbat enjin baharu ke dalam sebuah kereta yang berstatus ikonik seperti Ford Mustang generasi pertama mungkin dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima. Namun jika dilakukan dengan betul, hasilnya pasti mengagumkan.

Lihat sahaja Mustang keluaran tahun 1968 yang diberi jolokan “Corruptt” ini. Dari luar, ia masih mengekalkan imej kereta muscle Amerika dengan sedikit sentuhan segar namun jentera ini sebenarnya mempunyai ‘jiwa’ Eropah atau lebih tepat lagi, Itali.

Ini kerana ia dikuasakan oleh enjin 4.3-liter V8 yang diperoleh daripada Ferrari F430. Enjin Tipo F136 E itu dianggap sebagai antara enjin NA V8 terbaik pernah dihasilkan Ferrari, namun 490PS dan 465Nm sememangnya tidak mencukupi untuk sebuah jentera yang ekstrem seperti Corruptt.

Oleh itu, pembinanya iaitu American Legends mengambil keputusan untuk memperkuatkan enjin itu dengan menambah sepasang pengecas turbo keluaran Nelson Racing Engines. Jumlah kuasa kuda dan tork yang sebenar tidak diketahui namun ia dikatakan mempunyai kira-kira 700hp!

Bukan itu sahaja, enjin tersebut turut mendapat intake manifold kustom yang diambil daripada sebuah Ferrari California serta sistem ekzos sport dengan muncung yang terkeluar dari bahagian sisi.

Tugas untuk menyalurkan kuasa ke roda diserahkan kepada transmisi sequential 6-kelajuan Tremec T56.

Untuk casis pula, American Legends menggunakan suspensi udara Ride Tech Shockwave dan rim Avant F461. Tersembunyi di sebalik rim tersebut adalah sistem brek Wilwood dengan cakera berslot dan angkup brek berwarna kuning.

Selain itu, Corruptt turut mendapat kit badan kustom yang merangkumi bampar depan dan belakang, skirt sisi dan spoiler duck tail. Anda mungkin tidak perasan namun tiang bumbung Mustang ini telah dipotong sebanyak 2.5 inci untuk menjadikannya lebih rendah.

Ruang dalamannya tidak dibiarkan begitu sahaja. Ia dihiasi dengan balutan kulit berwarna hitam yang dikontraskan dengan aksen kuning, tali pinggang keledar lima poin Schroth dan kluster instrumen F430 dengan kemasan gentian karbon.

Ford bangunkan transmisi manual tanpa perlu tekan klac

FORD kini sedang membangunkan sistem klac elektronik yang akan membolehkan pemandu “menukar gear” tanpa menekan pedal klac.

Idea asasnya ialah sistem untuk penukaran gear tanpa sambungan fizikan antara pedal klac, silinder utama, bearing throw-out, dan pelbagai komponen lain. Segala sambungan ini akan digantikan dengan pengesan atau sensor.

Menurut artikel Muscle Cars & Trucks, transmisi manual ini akan serupa dengan unit pada Ford Mustang dan Bronco dengan hanya dua perbezaan utama.

Pertamanya, walaupun masih mempunyai pedal klac, ia tidak akan bersambung dengan apa-apa melainkan pengesan dan aktuator.

Perbezaan lain adalah tombol gear itu sendiri akan mempunyai pengesan terbina dalam, yang mana apabila digunakan oleh pemandu, akan memutuskan klac bila ia digerakkan. Jadi anda boleh menukar gear tanpa perlu menekan pedal klac dengan kaki kiri.

Walaubagaimanapun, akan terdapat juga cara untuk ‘melawan’ sistem ini. Anda masih boleh gunakan klac untuk mula memecut kenderaan seperti atau untuk pemandu tegar menggunakannya seperti biasa.

Terdapat banyak kenderaan hari ini dengan dilengkapi transmisi manual yang juga didatangkan dengan fungsi anti-stall dan rev-matching.

Menariknya, fungsi-fungsi ini boleh dinyahaktifkan, dan kami yakin transmisi baharu yang dibangunkan Ford ini juga akan mempunyai ciri sama.

Sebuah transmisi manual moden yang mudah digunakan tetapi masih mempunyai ciri old-school.

Berminat cari kereta transmisi manual dengan harga mampu milik? Boleh tengok senarai kami di bawah: