fbpx

Ford Mustang GT California Special – pakej klasik dengan gaya moden

Ford Mustang GT California Special 01

SEPERTI biasa, setiap generasi Ford Mustang akan menyaksikan kelahiran banyak model edisi istimewa. Dalam tempoh setahun selepas model generasi ketujuh dilancarkan, kita telah melihat kehadiran versi Dark Horse dan GTD.

Kini, Ford telah memperkenalkan satu lagi model edisi istimewa yang dikenali sebagai Mustang GT California Special. Ia berasaskan varian GT dan boleh didapati dalam bentuk coupe atau convertible, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik 10 kelajuan.

Diinspirasikan daripada model GT/CS keluaran 1968, GT California Special tampil dengan aksen Rave Blue yang menghiasai beberapa bahagian kereta ini.

Ini termasuk bahagian air intake di dalam gril yang kini menampilkan palang mendatar bagi menggantikan corak honeycomb pada versi standard. Aksen biru itu juga dikenakan pada setiap lencana yang ada, bahagian sisi kereta dan juga rim 19 inci.

Bercakap tentang rim, Ford menawarkan dua rekaan iaitu standard dalam warna Carbonized Gray dengan logo GT/CS berwarna Rave Blue, serta Performance Pack dengan permukaan yang dimesin dan aksen Rave Blue.

Di dalam, tempat duduk kini dibalut upholsteri kulit Navy Pier dan Ebony Black, yang diserlahkan lagi menerusi jahitan kontras Raptor Blue dan Metal Grey yang turut menghiasi panel pintu dan papan pemuka. Jahitan yang sama juga boleh didapati pada konsol tengah dan stereng.

Melengkapi pakej istimewa ini adalah karpet lantai eksklusif GT/CS dan lencana “California Special” pada papan pemuka sebelah penumpang.

Menurut Ford, pakej California Special boleh didapati pada harga tambahan $1,995 (RM9,417) dan tempahannya sudah pun dibuka. Ia akan membuat penampilan sulung di Los Angeles Auto Show 2023 pada bulan ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved