Arkib Tag: Melaka

SAIC Motor Malaysia umum program CKD EV jenama MG di Melaka, mula Q1 2026

SAIC Motor Malaysia menerusi kerjasama EP Manufacturing Berhad (EPMB) hari ini mengumumkan perancangan program pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan elektrik (EV) jenama MG yang akan bermula pada suku pertama 2026 (Q1 2026).

Perkara tersebut diumumkan oleh Emory QiFeng selaku Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia dalam satu acara yang turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta YBhg. Hamidon Abdullah, Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad (EPMB).

Fasiliti EPMB di Melaka berkeupayaan untuk memasang kenderaan tenaga hijau termasuklah BEV dan HEV di samping model enjin pembakaran dalaman (ICE) di bawah satu bumbung.

Strategi ini akan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu keterjangkauan, penghantaran yang lebih pantas, serta tahap penyetempatan yang lebih kukuh.

SAIC Motor Malaysia menjamin setiap kenderaan yang dipasang di sini akan melalui pemeriksaaan menyeluruh mengikut piawaian global Program Kualiti SAIC.

Menurut SAIC Motor Malaysia, kedudukan strategik Malaysia di ASEAN menjadikannya lokasi yang sesuai sebagai hab pengedaran dan pertumbuhan serantau.

Ia juga dijangka mampu menjana peluang pekerjaan, mengukuhkan ekosistem vendor tempatan serta menjadi asas kepada program penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada masa hadapan.

Menurut Emory QiFeng, “Barisan pemasangan kami akan memenuhi keperluan pelanggan sepenuhnya dan memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan efisian.

“Pengumuman hari ini hanyalah permulaan. Bersama rakan kongsi dan bakat tempatan, kami sedang membina masa depan yang dipacu oleh inovasi, kemampanan, dan peluang yang akan menggerakkan Malaysia ke hadapan bersama MG,” jelasnya lagi.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SAIC Motor Malaysia dalam melaksanakan pemasangan kenderaan elektrik sepenuhnya pertama kami di kilang Melaka,” kata YBhg Hamidon Abdullah.

“Bersama-sama, kami menyasarkan untuk memperkukuh ekosistem EV negara, mempercepatkan penyetempatan serta menambah nilai kepada pelanggan di Malaysia,” ujarnya lagi.

Sejak bertapak, SAIC Motor Malaysia telah mengembangkan rangkaiannya kepada 26 pengedar sah di seluruh negara, termasuk tiga bilik pameran di Sarawak dan tiga lagi yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Lima perkara anda perlu tahu tentang Lexus NX350h – pandu uji ringkas

Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, kecoh seantero laman media sosial tentang penawaran harga RON95 di bawah program subsidi yang diumumkan oleh kerajaan Madani.

Di zaman yang tidak menentu ini, sudah pasti ada di antara golongan yang lebih berkemampuan di luar sana tidak mahu terjejas dengan kenaikan harga bahan bakar.

EV bukanlah satu pilihan yang ideal untuk sesetengah pihak. Jadi apa pilihan yang ada di pasaran? 

Lexus NX350h yang baru sahaja diperkenalkan oleh Lexus Malaysia sejak beberapa bulan lepas.

Engear TV baru-baru ini dijemput untuk merasai pemanduan singkat SUV mewah berkuasa hibrid ini menuju ke negeri pelancongan terkenal di selatan tanah air.

Kami kemudian singgah di sebuah lokasi penginapan baharu yang digelar sebagai The Lisbon Melaka untuk menikmati hidangan fusion yang ditawarkan.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Rupa luaran

Secara fizikal, tidak banyak yang berubah untuk varian hibrid berbanding varian NX250 yang digantikannya itu.

Perkakasan standard termasuklah unit lampu projektor LED, lampu belakang LED berbentuk L, serta rim bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar 235/50.

 

2. Unit pacuan hibrid

Perubahan besar yang wujud kali ini ialah kehadiran unit pacuan hibrid.

Sistem hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter NA (A25A-FXS) dipadankan dengan dua motor elektrik, sistem pacuan semua roda E-Four dan transmisi CVT lapan nisbah kelajuan maya.

Secara keseluruhan, NX350h ini mampu menjana kuasa setinggi 243 hp dan 239 Nm dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.0 liter/100 km.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

 

3. Bagaimana pula dengan ruang kabin?

Ruang kabin NX350h juga masih kekal dengan susun atur standard NX yang dibayangi falsafah Tazuna.

Skrin tengah bersaiz 14 inci diposisikan supaya menghadap pemandu bagi memudahkan operasi penukaran menu/larasan suhu sepanjang perjalanan.

Malah, Lexus dengan baik hatinya masih lagi mengekalkan kehadiran tombol fizikal untuk penukaran mod pemanduan.

Sistem paparan keliling 360 darjah lengkap dengan pandangan ‘tembus’ lantai memudahkan pengendalian di kawasan yang sempit.

Pemandu juga ditemani dengan paparan peta Apple CarPlay tanpa wayar, serta alunan irama yang cukup mengasyikkan daripada sistem audio 10 pembesar suara yang lengkap dengan subwoofer bertenaga.

Selain penawaran warna hitam, pembeli juga boleh memilih kemasan warna merah Dark Rose seperti unit yang kami pandu ini.

Antara kemasan unik yang wujud pada panel pintu ialah tekstur 3D Cutting Black yang lebih menyerlah apabila berada di bawah sinaran mentari.

 

4. Pemanduan jimat minyak

Bagi kami, Lexus NX350h ini berada di posisi yang tepat untuk mereka yang masih ragu-ragu untuk beralih kepada EV.

Dengan sistem hibrid yang cukup cekap, perjalanan jarak jauh boleh dibuat tanpa perlu membuat singgahan ke stesen minyak secara kerap.

Berdasarkan pemanduan ringkas, kami mendapati Lexus NX350h tidak segan silu untuk menguasai laluan kanan lebuh raya pada kelajuan yang stabil untuk dikawal, dalam masa yang sama tidak juga perlahan pecutannya.

Tambah pula bila masuk mod Sport, hamburan kuasa dirasakan lebih bertenaga untuk memalukan sedan segmen B yang acah-acah laju.

Dalam keadaan pemanduan yang cukup bersemangat pergi dan balik itu, Lexus NX350h mencatatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 6.6 liter per 100 km. Jarak pemanduan tersisa berada pada julat 480 km.

Menariknya, SUV hibrid ini turut merekodkan kadar pemanduan sifar emisi lebih 50 peratus, sementara tolok bahan api mencatatkan penurunan sebanyak dua bar sahaja.

Mungkin dengan corak pemanduan yang lebih sopan dan santai, anda mampu mencapai bacaan jarak pemanduan elektrik yang lebih jauh.

Satu kelebihan yang ditawarkan oleh Lexus NX350h ialah suasana kabin yang rasa premium dan senyap sepanjang perjalanan.

Bunyi enjin masih lagi wujud, namun lebih bersifat deruman berbanding ngauman.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, Lexus NX350h ini dijual pada harga bermula dari RM395,888 dan hadir pada masa yang sangat tepat.

Terjejas dengan pelaksanaan subsidi minyak? SUV hibrid ini mungkin sesuai untuk anda!

BYD buka pusat 3S baharu di Melaka, perkukuh kedudukan di zon selatan

BYD, pengeluar kereta elektrik (EV) yang semakin membangun mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S terbaharunya di Melaka.

Terletak di tengah-tengah bandaraya bersejarah itu, pusat 3S tersebut diuruskan oleh BYD Sing Kwung Motors, menyediakan perkhidmatan jualan dan lepas jualan kepada pelanggan BYD di kawasan ini.

“Kami teruja untuk merasmikan pusat 3S terbaharu kami di Melaka, yang membuktikan dedikasi kami untuk berkhidmat kepada pelanggan di Malaysia,” kata En. Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Darby Motors Malaysia.

“Pusat 3S yang baru dibuka akan menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk rundingan jualan, pandu uji kenderaan, dan perkhidmatan lepas jualan,” kata En. Ng Sin Yean, Pengarah Urusan BYD Sing Kwung Motors.

“Pelanggan boleh meneroka model-model terbaharu kenderaan elektrik BYD yang terkenal dari segi kecanggihan teknologi, keunggulan prestasi dan kelebihan ciri-ciri mesra alamnya,” tambahnya.

Dengan pembukaan pusat 3S baharu ini, BYD menekankan komitmen kepada pengangkutan lestari dan inovasi di Melaka.

BYD mensasarkan untuk mencapai 30 pengedar rangkaian di negara ini menjelang akhir 2024.

Pusat pameran 3S Vespa dan skuter Aprilia dibuka di Melaka

Berita baik buat peminat jenama Vespa dan skuter Aprilia sekitar Melaka kerana pusat pameran 3S baru sahaja dirasmikan hujung minggu lalu di Klebang, Melaka. 

Pusat pameran 3S itu menempatkan tawaran serba lengkap termasuk servis, jualan dan alat ganti dan dikendalikan sepenuhnya Zen Sports Sdn Bhd. 

Sementara itu, Pengerusi Didi Group (selaku pengedar rasmi jenama Vespa dan Aprilia di Malaysia) turut gembira dengan pembukaan pusat 3S terbaru itu yang merupakan pertama di Melaka. 

Bagi pelanggan yang hadir, mereka akan disajikan dengan identiti korporat Piaggio yang menjaminkan pengalaman yang terbaik dan efisien. 

Menurut Didi Group, pusat 3S terbaru itu menawarkan rangkain model Vespa serba lengkap termasuk Vespa Sprint 150 dan GTV terbaru serta model skuter Aprilia SR GT 200. 

Litar RC taraf antarabangsa akan dibina di Melaka

LOKASI parkir di Pantai Tanjung Bidara di sini, akan dibangunkan sebagai litar terbesar kereta kawalan radio (RC) bertaraf antarabangsa bermula pertengahan tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu bagi menarik peminat sukan itu, bukan sahaja di Malaysia malah luar negara sekali gus bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Litar TRCC Raceway di Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan berbincang supaya perancangan di atas tanah seluas 0.809 hektar dapat direalisasikan tidak lama lagi untuk menambahkan hab pelancongan sukan.

Katanya, pihak berkaitan akan melihat reka bentuk pembinaan litar tersebut dari segi panjang dan kelengkapan kemudahan lain seperti meja pit, tempat mengecas dan bengkel RC.

Gambar oleh: RC Car Action

“Saya akan mencadangkan kawasan itu dijadikan kawasan litar baharu yang bertaraf antarabangsa untuk peminat-peminat RC di seluruh negara.

“Kita lihat pada hari ini lebih 100 orang termasuk peserta yang hadir, dan ini merupakan hobi terbaik bagi memastikan anak-anak muda terlibat dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di BBRC Kupang, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara.

Sementara itu, pengerusi penganjur, Anuar Tompang, 52, berkata, sebagai penduduk tempatan dia menyambut baik hasrat Ketua Menteri yang mahu memberi limpahan rezeki kepada penduduk menerusi tapak trek baharu.

Menurutnya, meskipun trek di kampung itu sepanjang lebih 200 meter, namun dengan adanya kemudahan yang lebih lengkap, pelancong akan lebih ramai.

“Sedangkan pengajaran kecil ini banyak rumah inap desa dan chalet berdekatan tempat ini telah penuh disewa peserta.

“Bayangkan kalau penganjuran peringkat antarabangsa, lagi bertambah ramai pelancong di pusat peranginan Tanjung Bidara,” katanya.

Teruja miliki lesen ‘terbang’, individu ‘melayang’ lebih RM500

ORANG ramai dinasihati tidak terpedaya atau mencari jalan mudah untuk mendapatkan lesen memandu.

Ia susulan penangkapan dua individu yang dipercayai merupakan dalang bagi sindiket penipuan menjual lesen memandu.

Apa yang lebih mengejutkan, salah seorang suspek ditahan masih awal remaja dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Memetik laporan Bernama, suspek remaja terbabit ditahan polis selain rakannya berusia 22 tahun yang dipercayai menerap di Durian Tunggal, Melaka.

Sebelum ini, polis menerima aduan daripada seorang individu mendakwa ditipu sindiket lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pemilikan lesen kenderaan tanpa melalui prosedur ditetapkan adalah salah di sisi undang-undang. – Foto ihsan Facebook / JPJ Terengganu

Teruja dengan tawaran tersebut, mangsa membuat bayaran hampir RM500 setelah berurusan dengan salah seorang suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pengadu kemudian menghubungi nombor yang tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan tersebut, mangsa telah dijanjikan lesen memandu,” memetik kenyataan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kedua-dua supek ditahan reman selama tiga hari.

Orang ramai diminta menghubungi polis atau kunjungi balai polis berdekatan jika mempunyai sebarang maklumat jenayah.

Melaka rancang bina terowong dasar laut ke Dumai, Indonesia

Kerajaan Negeri Melaka merancang untuk membina sebuah terowong dasar laut merentasi Selat Melaka bagi menghubungkan negeri tersebut dengan Dumai, Indonesia.

Menurut Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali terowong tersebut bakal dibina khas untuk rangkaian sistem rel yang akan menghubungkan Melaka dan Dumai, Indonesia.

“Ini adalah perancangan jangka panjang. Jarak paling hampir antara Melaka dan Dumai ialah 47 kilometer,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia hari ini.

Mengulas perkara sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini, sebuah firma menyatakan minat untuk membina terowong itu.

Beliau berkata bagaimanapun, projek itu memerlukan persetujuan dan kelulusan kerajaan Indonesia sebelum pembinaannya dijalankan.

“Firma dari Malaysia hanya mampu menampung 50 peratus daripada kos keseluruhan projek.

“Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan terowong itu akan mengambil masa empat ke lima tahun,” katanya.

Projek itu dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi bagi Melaka.

Ketika ini, ekonomi Melaka banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan namun sektor pembuatan juga semakin menunjukkan peningkatan.

Melaka bakal dijadikan hab pemasangan EV, dijangka beroperasi Q3 2024

TIGA syarikat dari China berminat untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Melaka.

Syarikat tersebut adalah Changan Automobile Corporation (Changan) serta dua lagi syarikat pengeluar EV untuk e-hailing dan bas elektrik.

Kilang pemasangan Tesla. Gambar oleh: CNBC

Kerajaan negeri memaklumkan bahawa sebelum ini terdapat beberapa syarikat antarabangsa dari China yang berminat untuk melabur dan menjadikan negeri ini sebagai hab pemasangan EV pertama negara dan dijangka memulakan operasi suku ketiga 2024.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, pihaknya sedang menantikan garis panduan serta prosedur daripada kerajaan pusat bagi tujuan berkenaan.

Ini termasuk garis panduan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membuka kilang pemasangan berkenaan.

Sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai kilang pemasangan seumpamanya maka disebabkan itu  ia memerlukan garis panduan baharu, jelas beliau.

“Di samping itu, para pelabur juga boleh mendapat insentif-insentif daripada kerajaan pusat berdasarkan garis panduan sebelum ini,” kata Ab. Rauf.

“Kerajaan negeri di bawah portfolio saya sedang mengenal pasti kawasan baharu dan meneliti semua dapatan hasil kajian yang diperlukan oleh syarikat-syarikat yang berminat bagi membuka kilang di negeri ini.

“Insya-Allah, ia akan mengambil masa sedikit kerana memerlukan kawasan yang luas serta kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya kepada pemberita pada Isnin (28 Februari 2022).

“Saya percaya dengan terbinanya kilang itu nanti, ia akan memberikan pulangan kepada rakyat sekali gus menyediakan pekerjaan dalam industri kereta masa depan ini,” tambah beliau.

Petronas teruskan kerja amal, sumbang 100 tablet kepada pelajar sekolah

ANAK syarikat Petronas iaitu Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) menyumbang 100 tablet kepada pelajar-pelajar sekolah rendah.

Sumbangan diberikan kepada pelajar daripada keluarga memerlukan yang tinggal di kawasan Sungai Udang dan Pantai Kundur, Melaka.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MRCSB Khairol Anuar Shukri berkata, sumbangan diharap membantu para pelajar berkenaan meneruskan sesi pembelajaran di rumah

“Covid-19 telah mendatangkan cabaran dan kesan yang berbeza kepada semua orang.

“Ada segelintir daripada kalangan masyarakat yang terpaksa menghadapi kehidupan seharian yang lebih mencabar dalam norma baharu ini.

“Kami bersyukur kerana dapat bersama-sama membantu pelajar-pelajar di sini agar mempunyai akses yang lebih baik terhadap proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Semoga bantuan ini dapat membantu bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Antara pelajar terlibat adalah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, SK Pantai Kundor dan SK Kampong Gelam.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada pelajar daripada SK Kem Gerakhas dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Annuriah Addiniah.

Terdahulu, Khairol Anuar berkata, MRCSB akan terus komited dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan di masa hadapan.

Kempen ‘Melakan Visit Melaka’, polis tamatkan SJR antara daerah

POLIS menamatkan kesemua tujuh operasi sekatan jalan raya (SJR) di tiga daerah di Melaka bermula tengah malam ini.

Ia berikutan peralihan negeri Melaka ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali bagaimanapun berkata, SJR di pintu masuk negeri berkenaan masih dikekalkan.

“Penutupan SJR terlibat berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan.

“SJR di semua pintu masuk negeri bagaimanapun masih kekal kerana Melaka masih menutup pintu masuknya kepada pelancong luar negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM7.2 juta kepada 2,226 individu, perbadanan dan syarikat.

Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun hingga 3 September lepas.

Sebanyak 3.54 juta kenderaan diperiksa dengan 6,603 daripadanya diarah berpatah balik.

“Bagi Fasa Dua PPN yang bermula 4 September hingga semalam pula, sebanyak 387,405 kenderaan telah diperiksa dan 1,138 daripada jumlah itu diarah berpatah balik.

“Manakala 64 permohonan rentas negeri daripada 26,143 keseluruhan permohonan yang diterima terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kelayakan ditetapkan,” katanya lagi.

Perkhidmatan Monorel Melaka dihentikan, kerajaan negeri beri penjelasan

PERSOALAN mengenai status perkhidmatan Monorel Melaka yang tidak lagi beroperasi setelah dibangunkan pada tahun 2017 telah terungkai.

Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata, perkara itu berpunca daripada pihak syarikat pengendali monorel yang didakwa melanggar terma dan syarat ditetapkan.

Jelas Datuk Muhammad Jailani Khamis, syarikat berkenaan juga gagal membayar yuran komitmen RM100,000 kepada Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Banyak terma dan syarat yang telah dilanggar syarikat berkenaan dan kita di peringkat kerajaan negeri tidak boleh lagi bertoleransi.

“Ia bukan sahaja merugikan kerajaan tetapi turut membahayakan keselamatan orang awam,” katanya.

Muhammad Jailani turut mendakwa syarikat terbabit gagal membayar lima peratus jumlah keuntungan atau minimum RM1,000 kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Sebelum ini, terdapat beberapa rungutan mengenai tahap keselamatan penumpang ketika menggunakan perkhidmatan Monorel Melaka.

Antara rungutan diterima termasuk cermin hadapan bahagian pemandu tidak mematuhi peraturan, kabel dalam monorel terdedah dan kunci pintu gagal berfungsi.

Motosikal terbabas, abang serta adik berusia empat tahun maut

SEORANG remaja 15 tahun dan adiknya yang baru berusia 4 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, semalam.

Insiden berlaku di Jalan Air Tanai, Ayer Pa’abas dekat Alor Gajah.

Mangsa Zahrul Fitri Amer serta adiknya Afiq Wafiy Amer menaiki sebuah motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah tembok batu.

Siasatan awal mendapati kedua mangsa menetap di Taman Kebaya, Kampung Paya Datok keluar menaiki motosikal milik bapa mereka untuk ke kedai berhampiran.

“Bapa mangsa memaklumkan polis bahawa kedua-dua anaknya itu tidak memakai topi keledar.

“Motosikal ditunggangi Zahrul dari arah Alor Gajah menghala ke Ayer Pa’abas terbabas lalu melanggar tembok batu,” memetik kenyataan polis.

Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Muat turun HondaTouch, elak masa menunggu lama

HONDA Malaysia menutup sementara operasi perniagaan bermula hari ini sehingga 14 Jun nanti.

Keputusan dibuat selaras pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown seluruh negara selama 14 hari bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Penutupan membabitkan operasi pemasangan kenderaan di Pegoh, Melaka.

Selain itu, Honda turut menutup pusat jualan serta pengedar di seluruh Malaysia.

Honda antara jenama pengeluar kenderaan paling berjaya di peringkat global. - Foto ihsan Malay Mail

Bagaimanapun, khidmat selepas jualan tetap akan beroperasi seperti biasa.

Namun, para pelanggan diminta memuat turun aplikasi HondaTouch bagi membuat temu janji dan mengelak menunggu masa yang lama.

Pelanggan turut dinasihati tidak mengunjungi pusat servis tanpa membuat temu janji.

Setakat ini, Honda Malaysia menjangkakan akan memulakan semula operasi pada 15 Jun 2021.