Arkib Tag: le mans

Bos Porsche berkhemah atas bumbung 911 Turbo S untuk tonton Le Mans

CEO Porsche, Oliver Blume turut turun padang pada acara perlumbaan Le Mans baru-baru ini. Walau bagaimanapun, beliau tidak duduk di ruang VIP dan orang kenamaan.

Sebaliknya, beliau hanya berkhemah bersama penonton-penonton lain yang berada di salah satu kawasan menonton di tepi litar. Oliver memarkir Porsche 911 Turbo S berwarna hitam di Porsche Employee Camp, dengan khemah atas bumbung kereta sports itu.

Porsche Employee Camp ialah lokasi khas untuk kakitangan syarikat itu menyaksikan perlumbaan. Oliver berkhemah di situ bersama isterinya selama dua malam semasa perlumbaan berlangsung.

Porsche memperkenalkan aksesori semua-musim itu pada tahun lepas. Ia mampu memuatkan dua orang dewasa dan hadir dengan tilam polyfoam. Ia juga mempunyai dua tingkap sisi dan satu ruang cahaya di atas.

Khemah ini turut dilengkapi dengan penghalau serangga, dan sudah tentu terdapat banyak tulisan penjenamaan Porsche padanya. Di dalam, ia menampilkan motif lukisan berbentuk gunung. Khemah ini dibangunkan dan dihasilkan oleh Porsche Tequipment, iaitu divisyen aksesori dan naik taraf.

Walaupun Oliver tampil cukup bergaya dan fancy dengan berkhemah bersama 911 Turbo S, khemah itu boleh dipadankan dengan hampir semua model Porsche, tidak kira sama ada ia mempunyai rel bumbung atau tidak.

Anda boleh memasang khemah ini pada Panamera, Taycan, Macan, dan Cayenne. Oliver tidak perlu risau akan hujan yang akan menyulitkan urusan beliau dan isterinya sepanjang perlumbaan, kerana khemah itu turut datang dengan zip kalis air dan pelapik tambahan.

Ia juga pasti cukup selesa kerana diperbuat dari fabrik campuran kapas, dan terdapat aksesori tambahan bakal menyusul seperti penebat suhu lebih baik, selimut, dan ruang simpanan kasut.

Porsche mula menjual khemah ini pada November lepas, dengan pilihan warna hitam kelabu cerah atau gelap. Ianya berharga USD7,029 (RM32.8k). Ia boleh dilipat dan disimpan dalam bekas keras.

Kami rasa ini suatu teknik pemasaran cukup baik dari Porsche kerana penampilan Oliver dengan aksesori khemah ini pasti menarik perhatian. Ia juga menunjukkan bahawa orang atasan Porsche juga meminati sukan permotoran dan ‘turun padang’ semasa perlumbaan hujung minggu.

Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition bukti kereta hibrid pun boleh jadi sporty

TOYOTA Prius bukanlah kereta pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang sukan permotoran. Namun, model itu menunjukkan yang ia tidak boleh dipandang enteng menerusi penyertaan dalam siri perlumbaan Super GT sejak 2012.

Untuk 2023, kereta eko itu terus sisi sporty-nya dengan menerusi model konsep yang dikenali sebagai Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition. Model ini diperkenalkan di Litar de la Sarthe bersempena dengan ulang tahun ke-100 Le Mans.

Eh apa kaitan Prius dengan perlumbaan Le Mans? Untuk pengetahuan pembaca, Prius banyak membantu Gazoo Racing dalam pembangunan sistem hibrid untuk kereta lumbanya, dari TS030, TS040, TS050 hinggalah ke jentera sekarang iaitu GR010 Hybrid.

Untuk model 24h Le Mans Centennial GR Edition, Toyota tidak menyatakan jika enjinnya telah ditala namun syarikat itu mendakwa bahawa kereta ini “mencapai prestasi pemanduan yang cemerlang” dengan rim eksklusif dan bahagian aerodinamik yang diinspirasikan oleh GR010 Hybrid.

Apa-apa pun, Prius ini memang nampak sedia untuk beraksi di litar lumba. Ia memakai bampar depan yang lebih agresif dengan lampu LED ’empat mata’, dua pasang canard dan splitter, serta bonet yang diperbuat daripada gentian karbon.

Sementara itu, profil sisinya diserlahkan dengan gerbang roda berwarna hitam, skirt sisi dan pelekat GR dan Racing Hybrid. Bahagian belakang pula menampilkan diffuser, spoiler yang tinggi dan sambungan gerbang roda.

Ia dilengkapi dengan rim aloi aerodinamik 18 inci yang dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S berukuran 235/50 R18, dan sistem suspensi wide-track yang dikatakan mampu meningkatkan aspek pengendalian.

Buat masa ini, Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition nampak akan kekal sebagai model konsep. Tetapi siapa tahu suatu hari nanti Toyota akan menawarkan Prius generasi kelima dengan kit badan Gazoo Racing?

Ferrari kembali dalam Le Mans Hypercar selepas 50 tahun, pertaruhkan dua jentera 499P

FERRARI akan kembali ke siri perlumbaan Le Mans Hypercar tahun depan, dan akan mempertaruhkan jentera yang diberi nama 499P.

499 merujuk kepada kapasiti enjin dalam sentimeter kubik (cc) untuk setiap silinder, manakala P merujuk kepada ‘prototype’.

Ferrari 499P ini akan dikuaskan oleh enjin 3.0-liter V6 twin turbo. Menurut Ferrari, enjin menggunakan cara binaan sama dengan 3.0-liter V6 pada 296 GTB, tetapi ianya “bukan enjin yang sama”.

Enjin ini akan menjana sehingga 680hp dan dipadankan dengan kotak gear sequential 7-kelajuan dan motor elektrik berkuasa 272hp (200kW).

Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh unit bateri 900 volt yang mampu dicaj semula semasa kereta diperlahankan atau dibrek.

Ferrari 499P ini ‘memakai’ livery merah dan kuning yang mengambil inspirasi dari 312PB dari tahun 1970an.

Dua jentera 499P akan membawa nombor perlumbaan #50 dan #51. Nombor pertama bermaksud 50 tahun sejak kali terakhir mereka bersaing dalam kategori tertinggi Le Mans, manakala nombor kedua merujuk kepada angka biasa digunakan jentera luma GT Ferrari.

499P ini telah menjalani lebih dari 12,000km ujian dengan dua unit prototaip akan dihomologasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Jentera-jentera ini akan mula membuat kemunculan di perlumbaan WEC Sebring 1000 Miles pada Mac 2023 depan.

ELMS: Jazeman yakin naik podium jika tidak berdepan kemalangan

PELUMBA negara Jazeman Jaafar berharap tidak berdepan sebarang masalah terutama kemalangan dalam saingan European Le Mans Series (ELMS).

Jelas Jazeman, dia akan cuba melakukan segala yang terbaik bagi mengelak kemalangan sekaligus, membuka peluang menaiki podium.

Foto ihsan Facebook/Jazeman Jaafar Live Page

“Pasukan berada dalam keadaan cukup bersedia dan saya akan cuba meraih kedudukan podium daripada perlumbaan awal lagi.

“Apa yang penting, strategi serta persiapan untuk menang itu di landasan yang betul.

“Ini perlumbaan sangat kompetitif dan jika sebarang kesilapan boleh dapat dielakkan saya rasa tidak mustahil untuk meraih podium,” katanya kepada pemberita.

Foto ihsan Facebook/Jazeman Jaafar Live Page

Perlumbaan ELMS akan bermula pada 17 April depan di Le Castellet, Perancis.

Selain Perancis, ELMS turut dijadual berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal.

Jazeman akan beraksi secara penuh dalam kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2) dan bergandingan bersama pelumba Perancis Gabriel Audry dan pelumba Amerika Syarikat Rob Hodes.

Porsche uji prototaip LMDh dengan enjin V8 twin turbo

TOYOTA dan Peugeot mahu kekal dengan enjin V6 untuk jentera lumba LeMans Daytona hybrid (LMDh) mereka, Porsche pula mengambil pendekatan “there’s no replacement for displacement” apabila memilih nadi V8 dengan turbo berkembar.

Tetapi ini bukanlah bermakna pasukan dari Zuffenhausen itu akan mempunyai lebih kuasa kerana regulasi LMDh menetapkan pasukan-pasukan supaya tidak melebihi output 500kW (670.5hp).

Menariknya, V8 itu direka untuk diisi dengan bahan api boleh diperbaharui yang lebih bersih, lantas menurunkan kadar pelepasan emisi. Rev bagaimanapun masih mampu sehingga 10,000rpm.

Unit enjin twin-turbo itu pula mestilah mempunyai berat sekurang-kurangnya 180kg termasuk sistem ekzos dan penyejukan. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Xtrac dan tahap bunyi pula mestilah tidak melebihi 110 desibel.

Ujian pertama dilakukan di litar Weissach milik Porsche dan maklum balas nampaknya positif. Urs Kuratle, Overall Project Manager LMDh di Porsche Motorsport berkata, enjin itu “mengagumkan kami di semua aspek. Kami yakin telah memilih unit yang tepat.”

Spesifikasi lain yang mesti dipatuhi setiap pasukan adalah berat minima 1,030kg, jarak roda 3,150mm, dan panjang tidak melebihi 5,100mm. Semua pasukan akan menggunakan sistem hibrid oleh Williams Advanced Engineering dan motor elektrik oleh Bosch berkuasa 50kW (67hp).

Asas kepada jentera ini ialah casis Multimatic yang diambil dari LMP2 dan akan digunakan juga oleh prototaip Audi, dan mungkin disusuli oleh Lamborghini pada 2024.

Porsche Penske Motorsport akan mempertaruhkan kereta ini dalam FIA WEC World Endurance Championship dan North American IMSA WeatherTech SportsCar Championship.

Toyota menang 24 Hours of Le Mans untuk kali ke-4 berturut-turut!

TOYOTA memperoleh kemenangan keempat berturut-turut dalam acara 24 Hours of Le Mans baru-baru ini. Walaubagaimanapun, kemenangan kali ini sedikit berbeza.

Pertamanya, ini yang pertama dalam era kategori Hypercar. Jentera GR010 Hybrid terus menjadi kereta pertama dalam sejarah sebagai pemenang pertama Hypercar.

Pengeluar Jepun itu malah menduduki tempat pertama dan kedua dengan GR010 #7 yang dipandu Conway, Kobayashi dan López melepasi garisan penamat di depan jentera GR010 #8 yang dipandu Buemi, Nakajima dan Hartley.

GR010 #7 telah berada di depan sejak awal perlumbaan kecuali pada jam ke-13. Sementara itu GR010 #8 terpaksa berhempas pulas mengejar selepas kehilangan masa selepas satu insiden di selekoh 1 dengan Oliver Pla yang memandu #708 Glickenhaus 007 LMH. Kedua-dua Toyota terus berada di depan selepas itu.

Di belakang mereka di tempat ketiga ialah Alpine A480-Gibson, dengan André Negrão, Nicolas Lapierre dan Matthieu Vaxiviere sebagai pemandu.

Replika GT40 kereta hero dalam filem Ford v Ferrari ini akan dilelong

PENGGAMBARAN Ford v Ferrari telah lama tamat, dan filem itu ditayangkan di panggung pada November 2019 sebelum memenangi dua Academy Award.

Filem ini menceritakan drama persaingan antara Ford dengan Ferrari di Le Mans pada akhir 1990an, dan kini anda boleh miliki secebis darinya. Apa dia? Sebuah replika Ford GT40.

Salah satu dari enam unit replika GT40 yang digunakan semasa penggambaran akan dilelong dalam acara Mecum Auction bulan depan. Inilah masanya untuk peminat Ford v Ferrari untuk jadikan GT40 itu sebagai koleksi!

Dalam filem itu, kereta ini digunakan oleh Dan Gurney sebagai GT40 bernombor 3 dalam babak perlumbaan Le Mans. Kereta ini kemudian menggunakan pelekat bernombor 88 oleh William Wonder untuk 4 Hours of Daytona.

Kesemua enam unit replika dibina oleh Race Car Replicas di Michigan, direka khas agar serupa spesifikasinya dengan Ford GT40 1966.

Istimewanya mengenai unit yang akan dilelong ini, ia satu-satunya dengan VIN, bermakna anda boleh daftarkannya untuk dipandu di jalanraya. Bayangkan anda pandu ke Publika atau Pavilion pada petang hujung minggu…

Gambar-gambar menunjukkan replika GT40 dengan cat badan oren-kemerahan, rim emas, dan livery perlumbaan yang menyerlah. Kereta ini mempunyai stereng di sebelah kanan, dan bahagian kokpitnya agak ‘kosong’ dengan kemasan berwarna hitam.

Di belakang kokpitnya ialah enjin 5.7-liter V8 dengan kotak gear manual 6-kelajuan menghantar kuasa ke roda belakang. Iklan ini tidak menyatakan angka kuasa dan tork, tetapi pasti bukan sedikit, kan?

Ford v Ferrari menceritakan cubaan Ford untuk membeli Ferrari kerana kelebihan sukan permotorannya. Cadangan Ford itu ditolak oleh Ferrari yang menerima kerjasama dengan Fiat.

Ford kemudiannya nekad mengalahkan Ferrari di perlumbaan berprestij 24 Hours of Le Mans, yang sebelum itu dikuasai Ferrari dari 1960 hingga 1965. Ford GT40 berjaya memenanginya pada 1966.