fbpx

Porsche uji prototaip LMDh dengan enjin V8 twin turbo

porsche lmdh 2022 04

TOYOTA dan Peugeot mahu kekal dengan enjin V6 untuk jentera lumba LeMans Daytona hybrid (LMDh) mereka, Porsche pula mengambil pendekatan “there’s no replacement for displacement” apabila memilih nadi V8 dengan turbo berkembar.

Tetapi ini bukanlah bermakna pasukan dari Zuffenhausen itu akan mempunyai lebih kuasa kerana regulasi LMDh menetapkan pasukan-pasukan supaya tidak melebihi output 500kW (670.5hp).

Menariknya, V8 itu direka untuk diisi dengan bahan api boleh diperbaharui yang lebih bersih, lantas menurunkan kadar pelepasan emisi. Rev bagaimanapun masih mampu sehingga 10,000rpm.

Unit enjin twin-turbo itu pula mestilah mempunyai berat sekurang-kurangnya 180kg termasuk sistem ekzos dan penyejukan. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Xtrac dan tahap bunyi pula mestilah tidak melebihi 110 desibel.

Ujian pertama dilakukan di litar Weissach milik Porsche dan maklum balas nampaknya positif. Urs Kuratle, Overall Project Manager LMDh di Porsche Motorsport berkata, enjin itu “mengagumkan kami di semua aspek. Kami yakin telah memilih unit yang tepat.”

Spesifikasi lain yang mesti dipatuhi setiap pasukan adalah berat minima 1,030kg, jarak roda 3,150mm, dan panjang tidak melebihi 5,100mm. Semua pasukan akan menggunakan sistem hibrid oleh Williams Advanced Engineering dan motor elektrik oleh Bosch berkuasa 50kW (67hp).

Asas kepada jentera ini ialah casis Multimatic yang diambil dari LMP2 dan akan digunakan juga oleh prototaip Audi, dan mungkin disusuli oleh Lamborghini pada 2024.

Porsche Penske Motorsport akan mempertaruhkan kereta ini dalam FIA WEC World Endurance Championship dan North American IMSA WeatherTech SportsCar Championship.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved