fbpx

Bos Porsche berkhemah atas bumbung 911 Turbo S untuk tonton Le Mans

porsche 911 turbo s khemah le mans 02

CEO Porsche, Oliver Blume turut turun padang pada acara perlumbaan Le Mans baru-baru ini. Walau bagaimanapun, beliau tidak duduk di ruang VIP dan orang kenamaan.

Sebaliknya, beliau hanya berkhemah bersama penonton-penonton lain yang berada di salah satu kawasan menonton di tepi litar. Oliver memarkir Porsche 911 Turbo S berwarna hitam di Porsche Employee Camp, dengan khemah atas bumbung kereta sports itu.

Porsche Employee Camp ialah lokasi khas untuk kakitangan syarikat itu menyaksikan perlumbaan. Oliver berkhemah di situ bersama isterinya selama dua malam semasa perlumbaan berlangsung.

Porsche memperkenalkan aksesori semua-musim itu pada tahun lepas. Ia mampu memuatkan dua orang dewasa dan hadir dengan tilam polyfoam. Ia juga mempunyai dua tingkap sisi dan satu ruang cahaya di atas.

Khemah ini turut dilengkapi dengan penghalau serangga, dan sudah tentu terdapat banyak tulisan penjenamaan Porsche padanya. Di dalam, ia menampilkan motif lukisan berbentuk gunung. Khemah ini dibangunkan dan dihasilkan oleh Porsche Tequipment, iaitu divisyen aksesori dan naik taraf.

Walaupun Oliver tampil cukup bergaya dan fancy dengan berkhemah bersama 911 Turbo S, khemah itu boleh dipadankan dengan hampir semua model Porsche, tidak kira sama ada ia mempunyai rel bumbung atau tidak.

Anda boleh memasang khemah ini pada Panamera, Taycan, Macan, dan Cayenne. Oliver tidak perlu risau akan hujan yang akan menyulitkan urusan beliau dan isterinya sepanjang perlumbaan, kerana khemah itu turut datang dengan zip kalis air dan pelapik tambahan.

Ia juga pasti cukup selesa kerana diperbuat dari fabrik campuran kapas, dan terdapat aksesori tambahan bakal menyusul seperti penebat suhu lebih baik, selimut, dan ruang simpanan kasut.

Porsche mula menjual khemah ini pada November lepas, dengan pilihan warna hitam kelabu cerah atau gelap. Ianya berharga USD7,029 (RM32.8k). Ia boleh dilipat dan disimpan dalam bekas keras.

Kami rasa ini suatu teknik pemasaran cukup baik dari Porsche kerana penampilan Oliver dengan aksesori khemah ini pasti menarik perhatian. Ia juga menunjukkan bahawa orang atasan Porsche juga meminati sukan permotoran dan ‘turun padang’ semasa perlumbaan hujung minggu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved