Arkib Tag: kementerian kerja raya

Berjaya Group bida pasang sistem tol tanpa palang

BERJAYA Group Bhd dipercayai dipercayai sedang mendapatkan sokongan daripada syarikat konsesi lebuh raya dalam bidaan untuk memasang sistem tanpa palang di plaza tol, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Menurut sumber yang dipetik oleh FMT, cadangan itu dibuat selepas 32 syarikat konsesi tol lebuh raya menentang langkah kerajaan melantik unit YTL Holdings Bhd bagi menghasilkan sistem tanpa palang itu.

Menurut sumber itu, eksekutif kanan Berjaya telah mengadakan mesyuarat dengan wakil 32 syarikat konsesi untuk menjelaskan perkara yang mereka fikirkan dan mendapatkan maklum balas mereka sebelum mengemukakan cadangan terakhirnya kepada Kementerian Kerja Raya.

Tawaran Berjaya itu dikatakan lebih menarik berbanding cadangan sebelum ini yang masih dalam pertimbangan kerajaan.

“Pada asasnya, rancangan mereka adalah apa yang kami mahu, untuk membenarkan syarikat lebuh raya membina pondok tol aliran bebas pelbagai lorong manakala Berjaya atau syarikat lain menyediakan perkhidmatan kutipan tol.

“Di bawah rancangan ini, syarikat konsesi akan mendapat pendapatan mereka pada hari berikutnya, seperti yang diamalkan sekarang,” kata sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, syarikat konsesi juga mencadangkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kutipan tol itu akan menjaga kebocoran pendapatan yang timbul apabila pondok tol berpalang dibuang.

“Kami tidak mahu terperangkap dengan mengesan pemandu yang memandu lalu tanpa membayar,” katanya.

RM749 setiap meter persegi kos pasang garisan jalan ‘glow in the dark’

MEMANG ada keperluan untuk memasang garisan jalan glow in the dark di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik) namun kosnya hampir 20 kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah konvensional.

Perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Beliau turut menambah bahawa pihaknya memang sudah melakukan kajian berhubung perkara itu.

“Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan ia (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif.

“Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya.

Alexander menjelaskan, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

“Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga. Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” jelasnya.

Jangka hayat jalan raya diturap semula boleh capai hingga lapan tahun – Menteri Kerja Raya

ANDA pasti sering tertanya-tanya kenapa sesuatu jalan raya itu kerap diturap semula, kadang-kadang beberapa kali setahun!

Tetapi menurut Menteri Kerja Raya, jangka hayat jalan raya yang diturap atau ditampal semula boleh mencapai tujuh hingga lapan tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Gambar oleh: Malay Mail

“Tempoh hayat jalan raya itu adalah berdasarkan piawaian badan antarabangsa selepas ia diturap atau ditampal semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) teknikal,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Memang ada jangka hayat jalan itu. Kalau mengikut piawaian badan antarabangsa, satu jalan itu selepas dibina semula, jangka hayatnya adalah tujuh hingga lapan tahun.

“Kita terhad dalam kewangan… saya difahamkan untuk menyempurnakan semua jalan yang ada, ia memerlukan RM4 bilion tetapi dalam belanjawan, tidak sampai separuh daripada keperluan itu yang diterima.

“Bagaimana kita hendak buat yang terbaik… ia mungkin tidak dapat kerana terhad dalam kewangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai jangka hayat jalan yang diturap semula kerana ia didakwa cepat rosak.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut membangunkan aplikasi MyJalan KKR yang membolehkan pengguna jalan raya mengajukan permohonan atau memberi makluman berhubung kerosakan kemudahan asas terbabit.

“Saya meminta KKR membangunkan aplikasi ini bagi memudahkan penyaluran aduan kepada kementerian, kerana ada jalan bukan bawah seliaan KKR… ada yang bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui MyJalan KKR, kita akan menyalurkan dan menapis permohonan lalu berikan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana Ahli Parlimen disaran mengemukakan cadangan naik taraf jalan kepada pihak kerajaan negeri untuk dimasukkan ke dalam keutamaan melalui pelan pusingan akan datang.

Katanya, KKR kemudian akan meneliti cadangan itu selepas ia diangkat kepada agensi pusat, dengan kelulusannya bergantung pada peruntukan.

Sistem kutipan tol tanpa henti bakal dilaksanakan – Timbalan Menteri Kerja Raya

DALAM usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negara ini, kerajaan Malaysia akan melaksanakan sistem kutipan tol tanpa henti di dalam sistem lebuh raya negara.

Perkara ini disahkan menerusi ciapan akaun Twitter rasmi Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad semalam (7 Februari 2023).

“Teknologi ini mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di plaza tol yang sering dihadapi oleh pengguna jalan raya contohnya di Tol Gombak dan Duke Highway (sesak akibat plaza tol). Terima kasih pihak Lebuhraya atas taklimat hari ini,” kata Abdul Rahman dalam ciapannya.

Menurut beliau lagi, pengenalan sistem baharu ini tidak akan melibatkan penambahan kos kepada pengguna mahupun kenaikan tol pada mana-mana lebuhraya, sambil menambah bahawa pihak KKR (Kementerian Kerja Raya) melalui LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) juga telah membuat analisa penuh mengenai kaedah terbaik perlaksanaan ini.

“Kementerian Kerja Raya sentiasa mencari kaedah terbaik demi memberi keselesaaan kepada pengguna jalan raya dan dapat meneruskan perjalanan dengan selamat ke destinasi yang dituju,” katanya.

Had laju Jalan Persekutuan dikurangkan 10 km/j sehingga 27 Januari

Bermula 18 hingga 27 Januari ini, had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, perwartaan pengurangan had laju sementara itu adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di musim perayaan.

“Justeru itu, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).

 

AFP PHOTO / Jimin LAI

Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini dengan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ia termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ); Jabatan Kerja Raja (JKR); Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); dan PLUS Malaysia.

Tambah beliau lagi, KKR melalui JKR juga akan sentiasa memantau lokasi ‘blackspots’ yang dikenal pasti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Setakat ini, sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan dikenal pasti sepanjang tahun ini. Sebanyak 53 lokasi ‘blackspots’ melibatkan Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara juga telah dibaiki pada tahun lalu dengan kos berjumlah RM17.2 juta.

Sistem tol tanpa henti menjelang 2025 – Jemaah menteri

CADANGAN untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol telah dipersetujui oleh jemaah menteri.

Plaza tol ERP di Singapura. Gambar oleh: Malay Mail

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof. Kementerian itu menyasarkan untuk memperkenalkan MLFF menjelang 2025.

Dengan pelaksanaan MLFF, katanya, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.

“Seterusnya adalah rundingan bersama semua syarikat konsesi tol bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.

“Selepas itu, bagaimana kita integrasikan daripada sistem MLFF…kita akan mewujudkan ‘command centre’ (pusat arahan) diuruskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang perlu integrasi dengan semua majlis perbandaran atau bandar raya,” katanya dalam sesi libat urus menteri kerja raya.

Menurut Fadillah, MLFF antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 kementeriannya yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi ITS di negara ini.

Beliau memaklumkan kementeriannya turut memulakan proses membangunkan penimbang berat kenderaan bagi mengesan lori lebih muatan yang boleh menjadi punca kesesakan dan kerosakan jalan raya.

Katanya, ia bagi mengesan had muatan secara automatik dan tindakan undang-undang akan terus dikenakan kepada syarikat lori tersebut.

Sementara itu, Fadillah berkata, kementeriannya akan memfokuskan isu keselamatan jalan raya seperti yang dibincangkan pada Persidangan Dunia ITS ke-28 dari 19 hingga 22 Sept lepas di Los Angeles, Amerika Syarikat.

KKR nafi Malaysia tempat ke-12 terbawah miliki jalan raya terburuk

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) menafikan kenyataan satu artikel dari akhbar tempatan pada Isnin yang bertajuk Malaysia ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk.

Menurut kenyataan KKR yang dikeluarkan semalam, artikel berkenaan tidak tepat dan mengelirukan kerana menggunakan laporan Worst and Best Roads – US and International Ranking yang dijalankan oleh sebuah firma pendidikan pemandu Zutobi dan memberikan persepsi yang kurang baik terhadap kualiti keseluruhan jalan raya di Malaysia.

Gambar oleh: Malay Mail

Ia susulan laporan berkenaan hanya mengambil kira empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya dan saiz relatif rangkaian jalan raya dan hanya mengambil kira data untuk 59 negara, bukan semua negara di dunia.

KKR turut menjelaskan bahawa terdapat sebuah lagi kajian yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 10 Ogos lepas dengan tajuk “Kualiti jalan di Malaysia 21 terbaik di dunia, mengatasi Australia, Britain, New Zealand” dengan menggunakan sumber dikeluarkan oleh The Global Economy yang memperoleh data berdasarkan komponen kualiti jalan diterbitkan oleh Indeks Daya Saing Global.

Gambar oleh: Facebook/Tourism Malaysia

“Kajian itu turut memetik sumber sahih daripada kajian eksekutif melibatkan sejumlah 14,000 tokoh dari 144 negara yang menyertai Forum Ekonomi Dunia yang berpusat di Davos, Switzerland,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan data daripada kajian Utusan Malaysia itu lagi, tahap jalan raya negara ini adalah antara terbaik iaitu 5.3 mata daripada julat keseluruhan tujuh mata, di samping tahap jalan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Sweden (ke-23), Kanada (ke-31), Australia (ke-33), Britain (ke-37) dan menduduki tangga kedua di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga kedua selepas Singapura.

Sementara itu, KKR sentiasa mengambil perhatian terhadap semua laporan kajian yang diterbitkan sebagai satu kaedah semak dan imbang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

“Pelbagai komitmen berterusan dilaksanakan KKR khusus dalam menjaga kualiti jalan raya di negara ini, penyelenggaraan ini difokuskan kepada Jalan Persekutuan dengan jumlah panjang 20,017 kilometer, selain KKR menerima sebanyak lebih RM900,000 peruntukan sebagai kos penyenggaraan jalan raya di seluruh negara dan 6,656 tampalan jalan berlubang telah dilaksanakan sehingga Ogos lepas,” menurut KKR.

Dalam kenyataan sama, KKR juga memfokuskan kepada usaha berterusan menjaga kualiti jalan raya menerusi kempen Zeropotholes sejak 2016 dan Kempen Kita Jaga Jalan Kita yang dilancarkan pada November 2021.

Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM130 juta telah diluluskan bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan Kerja-Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen di Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia secara sekali beri melalui surat Kementerian Kewangan Malaysia pada 13 September lepas.

60 peratus jalan Persekutuan rosak, RM3 bilion diperlukan untuk kerja pembaikan

MENTERI Kanan Kerja raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan sebanyak RM3 bilion diperlukan untuk membaiki kira-kira 60 peratus jalan Persekutuan di negara ini yang sudah rosak atau luput tempoh hayatnya.

Memandangkan peruntukan yang tinggi diperlukan, beliau berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi selain mendapatkan maklum balas dari semua kementerian mengenai hala tuju pembinaan dan pembaikan semula jalan yang sudah luput tempoh hayat itu.

“Sebab itu, kita nak bekerjasama dengan beberapa pihak dan pendekatan kita adalah pelbagai namun yang penting kita kena bina baharu (jalan) supaya keselesaan serta keselamatan jalan itu terjamin kepada pengguna,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Tambah Datuk Seri Fadillah lagi, sejumlah RM130 juta peruntukan tambahan telah diluluskan Kementerian Kewangan pada 13 September lalu bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala di jalan Persekutan seluruh negara.

Beliau berkata, semua peruntukan telah selesai ditawarkan kepada kontraktor di negeri semenanjung melalui 180 kerja bernilai RM113 juta dan RM17 juta lagi disalurkan kepada kontraktor di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui 17 kerja.

“Kesemua kerja-kerja ini dianggarkan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan setengah atau pada November depan,” katanya.

Tiga lebuh raya baharu untuk atasi kesesakan di Lembah Klang – Menteri

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) sedang dalam proses meneliti dan meluluskan pembinaan lebuh raya baharu bagi menangani kesesakan yang berlaku di sekitar Lembah Klang.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan lebuh raya baharu itu bakal mewujudkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan akibat pertambahan bilangan kenderaan.

Gambar oleh: Malay Mail

Katanya, penelitian itu turut membabitkan cadangan dibuat oleh pihak swasta.

“Mengikut pelan pembangunan rangkaian lebuh raya yang dibangunkan dan dikaji setiap lima tahun, yang perlu ada kalau kita tengok rim basikal itu ialah jejarinya,” kata Fadillah.

“Jadi ini yang perlu kita hubungkan supaya kalau ada kesesakan trafik ini, ada alternatif (pengguna) pindah ke lebuh raya lain. Ini yang sedang dikaji dan keutamaan akan diberikan kepada perkara tersebut.”

Lebuh raya di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami kesesakan yang teruk sejak dua minggu lalu ekoran pertambahan kenderaan yang semakin tinggi selepas penarikan balik sekatan pergerakan Covid-19.

Mengulas lanjut, Fadillah bagaimanapun berkata, pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan bahawa pembinaan lebuh raya baharu itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya disebabkan oleh kadar pertambahan kenderaan di Malaysia yang semakin meningkat.

“Walaupun jalan sudah ada, kalau kenderaan makin meningkat mungkin jalan sedia ada (lebuh raya baharu) tidak dapat menampung,” katanya.