fbpx

KKR nafi Malaysia tempat ke-12 terbawah miliki jalan raya terburuk

lebuh raya nkve – klia2.info

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) menafikan kenyataan satu artikel dari akhbar tempatan pada Isnin yang bertajuk Malaysia ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk.

Menurut kenyataan KKR yang dikeluarkan semalam, artikel berkenaan tidak tepat dan mengelirukan kerana menggunakan laporan Worst and Best Roads – US and International Ranking yang dijalankan oleh sebuah firma pendidikan pemandu Zutobi dan memberikan persepsi yang kurang baik terhadap kualiti keseluruhan jalan raya di Malaysia.

Keadaan jalan rosak juga berlaku di mana-mana negara termasuk Malaysia. - Foto ihsan Malay Mail
Gambar oleh: Malay Mail

Ia susulan laporan berkenaan hanya mengambil kira empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya dan saiz relatif rangkaian jalan raya dan hanya mengambil kira data untuk 59 negara, bukan semua negara di dunia.

KKR turut menjelaskan bahawa terdapat sebuah lagi kajian yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 10 Ogos lepas dengan tajuk “Kualiti jalan di Malaysia 21 terbaik di dunia, mengatasi Australia, Britain, New Zealand” dengan menggunakan sumber dikeluarkan oleh The Global Economy yang memperoleh data berdasarkan komponen kualiti jalan diterbitkan oleh Indeks Daya Saing Global.

Ramai pengguna media sosial memuji keindahan pemandangan Jalan Temiang-Pantai di Negeri Sembilan. - Foto ihsan Facebook/Tourism Malaysia
Gambar oleh: Facebook/Tourism Malaysia

“Kajian itu turut memetik sumber sahih daripada kajian eksekutif melibatkan sejumlah 14,000 tokoh dari 144 negara yang menyertai Forum Ekonomi Dunia yang berpusat di Davos, Switzerland,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan data daripada kajian Utusan Malaysia itu lagi, tahap jalan raya negara ini adalah antara terbaik iaitu 5.3 mata daripada julat keseluruhan tujuh mata, di samping tahap jalan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Sweden (ke-23), Kanada (ke-31), Australia (ke-33), Britain (ke-37) dan menduduki tangga kedua di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga kedua selepas Singapura.

Sementara itu, KKR sentiasa mengambil perhatian terhadap semua laporan kajian yang diterbitkan sebagai satu kaedah semak dan imbang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

“Pelbagai komitmen berterusan dilaksanakan KKR khusus dalam menjaga kualiti jalan raya di negara ini, penyelenggaraan ini difokuskan kepada Jalan Persekutuan dengan jumlah panjang 20,017 kilometer, selain KKR menerima sebanyak lebih RM900,000 peruntukan sebagai kos penyenggaraan jalan raya di seluruh negara dan 6,656 tampalan jalan berlubang telah dilaksanakan sehingga Ogos lepas,” menurut KKR.

Dalam kenyataan sama, KKR juga memfokuskan kepada usaha berterusan menjaga kualiti jalan raya menerusi kempen Zeropotholes sejak 2016 dan Kempen Kita Jaga Jalan Kita yang dilancarkan pada November 2021.

Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM130 juta telah diluluskan bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan Kerja-Kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen di Jalan Persekutuan Seluruh Malaysia secara sekali beri melalui surat Kementerian Kewangan Malaysia pada 13 September lepas.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved