fbpx

RFID LEMAH? Ini contoh kutipan tol elektronik negara lain

plaza tol

KECOH semalam di media sosial berkenaan kesesakan trafik luar biasa di tol Bandar Seri Putra, Bangi yang dikatakan berpunca dari penggunaan Radio Frequency Identification (RFID).

Gambar oleh: suara.tv

Keadaan sesak dilaporkan berlaku seawal jam 7 pagi ketika orang ramai sibuk hendak ke tempat kerja. Difahamkan orang ramai mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepasi tol berkenaan.

Sementara itu, keadaan sama juga dilaporkan berlaku di Tol Sungai Besi dengan trafik sesak sepanjang 10 kilometer menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Rata-rata netizen di laman-laman berita dan portal di media sosial meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan pembukaan lorong-lorong RFID itu.

Lebih memburukkan keadaan, sistem RFID itu juga gagal mengesan pelekat yang ditampal menyebabkan ada pemandu terpaksa mengundurkan kenderaan mereka.

Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) terdahulu mengumumkan akan beralih kepada sistem pembayaran RFID secara berperingkat di semua plaza tol bermula 15 Januari 2022.

Walaupun pada mulanya ada menimbulkan keraguan kepada orang awam, PLUS mengeluarkan kenyataan susulan bahawa pembayaran tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih akan ditawarkan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, transaksi tol menggunakan RFID ketika ini adalah pilihan tambahan kepada platform kad Touch ‘n Go dan SmartTAG sedia ada.

Transaksi menggunakan RFID juga langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol (Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong – MLFF) pada masa depan.

Bagaimana negara lain melakukan kutipan tol

Jika benar aspirasi dan sasaran Datuk Azman Ismail mengenai sistem pembayaran tanpa plaza tol, bolehlah kita melihat dahulu bagaimana negara lain melakukannya.

Jepun sebagai contoh telah menggunakan sistem kutipan tol secara elektronik hampir sama seperti RFID dimana masih ada palang tetapi kereta tidak perlu berhenti. Semasa menghampiri tol, terdapat skrin yang memaparkan had laju agar mudah sistem itu membuat pengesanan.

Di New Zealand pula, mereka langsung tidak mempunyai plaza tol dengan lorong-lorong dan palang, sebaliknya hanya menggunakan sistem gantri (seperti palang di atas yang melintasi jalan).

Kenderaan tidak perlu berhenti dan kamera pengesan pada gantri akan mengesan identiti kenderaan yang dilalui, malah dapat membezakan sama ada kenderaan itu kereta, motosikal atau lori besar.

Macam mana nak bayar kalau tak berhenti?

Mudah sahaja, setiap kenderaan dan nombor pendaftarannya akan didaftar dengan satu akaun, jadi segala pembayaran akan dikutip terus dari akaun itu.

Dan sekiranya baki tidak mencukupi, tak perlu kita tebalkan muka untuk undur kereta sambil dihon oleh pemandu belakang, kita tetap boleh melepasi tol, tetapi nilai dalam akaun akan jadi negatif.

Bila buat isian semula nanti, barulah nilai akan ditolak.

Jika lewat bayar, boleh kenakan denda, atau jika sampai satu tempoh tidak berbayar, pengoperasi tol boleh keluarkan saman kepada pengguna.

Mudah, bukan?

Kalau mudah, kenapa tak buat?

Sebenarnya perkara ini bukanlah terlalu susah untuk difikirkan. Malah negara jiran kita di Singapura pun sudah lama buat sistem sebegini, tak perlu tengok terlalu jauh sampai ke Jepun malah Amerika Syarikat dan Eropah.

Akar kepada masalah ini ialah sistem nombor pendaftaran kita yang masih belum distandardkan.

Kita harus ingat, kita tinggal di Negara Pasir Berdengung, bukan negara maju. Jika hal nombor plat pendaftaran pun belum selesai, macam mana nak beralih kepada sistem tol digital tanpa palang?

Nanti lingkuplah kedai aksesori!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved