fbpx

Jangka hayat jalan raya diturap semula boleh capai hingga lapan tahun – Menteri Kerja Raya

jalan raya rosak

ANDA pasti sering tertanya-tanya kenapa sesuatu jalan raya itu kerap diturap semula, kadang-kadang beberapa kali setahun!

Tetapi menurut Menteri Kerja Raya, jangka hayat jalan raya yang diturap atau ditampal semula boleh mencapai tujuh hingga lapan tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Gambar oleh: Malay Mail

“Tempoh hayat jalan raya itu adalah berdasarkan piawaian badan antarabangsa selepas ia diturap atau ditampal semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) teknikal,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Memang ada jangka hayat jalan itu. Kalau mengikut piawaian badan antarabangsa, satu jalan itu selepas dibina semula, jangka hayatnya adalah tujuh hingga lapan tahun.

“Kita terhad dalam kewangan… saya difahamkan untuk menyempurnakan semua jalan yang ada, ia memerlukan RM4 bilion tetapi dalam belanjawan, tidak sampai separuh daripada keperluan itu yang diterima.

“Bagaimana kita hendak buat yang terbaik… ia mungkin tidak dapat kerana terhad dalam kewangan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai jangka hayat jalan yang diturap semula kerana ia didakwa cepat rosak.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut membangunkan aplikasi MyJalan KKR yang membolehkan pengguna jalan raya mengajukan permohonan atau memberi makluman berhubung kerosakan kemudahan asas terbabit.

“Saya meminta KKR membangunkan aplikasi ini bagi memudahkan penyaluran aduan kepada kementerian, kerana ada jalan bukan bawah seliaan KKR… ada yang bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui MyJalan KKR, kita akan menyalurkan dan menapis permohonan lalu berikan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana Ahli Parlimen disaran mengemukakan cadangan naik taraf jalan kepada pihak kerajaan negeri untuk dimasukkan ke dalam keutamaan melalui pelan pusingan akan datang.

Katanya, KKR kemudian akan meneliti cadangan itu selepas ia diangkat kepada agensi pusat, dengan kelulusannya bergantung pada peruntukan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved