Volvo Car Malaysia mengumumkan model SUV Volvo EX90 2026 yang telah ditambah baik bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Pendaftaran minat kini sudah pun dibuka, di mana 100 pelanggan pertama akan menerima ganjaran istimewa.
Spesifikasi Volvo EX90
SUV ini telah dikemas kini pada September tahun lalu, menampilkan seni bina elektrik 800V menggantikan sistem 400V sedia ada.
Sistem 800V ini membolehkan pemilik EX90 menambah jarak 250 km dalam masa 10 minit sahaja dengan pengecasan pantas DC 350 kW.
Sama seperti model terdahulu, Volvo EX90 hadir dalam tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda dengan kuasa mencecah 680 hp dan 870 Nm.
Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 4.2 saat sahaja.
Dengan peningkatan terhadap asas sistem elektrik, berat badan keseluruhan juga turut dikurangkan dan meningkatkan kelestarian menerusi kebergantungan tembaga yang lebih rendah.
Selain itu, Volvo EX90 turut mendapat naik taraf sistem komputer yang dipacu cip berkembar Nvidia Drive AGX Orin.
Dengan kuasa pengiraan sehingga 500 TOPS, aspek keselamatan Volvo EX90 dipertingkatkan menerusi penggunaan data, perisian dan kepintaran buatan (AI).
Menurut laporan rakan media Paultan, Volvo EX90 akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD).
Moda Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan skuter Sporter S SKII yang telah dinaik taraf untuk pasaran tempatan.
Ia dijual pada harga bermula dari RM17,998.
Diperkenalkan sejak Januari 2025, skuter tersebut merupakan model yang paling laris terjual dalam rangkaian produk Moda.
Kemas kini yang dilakukan pada model ini mengambil kira maklum balas daripada pemilik, pengguna dan komuniti tempatan, selari dengan falsafah Moda “By Bikers, For Bikers”.
Ciri baharu
Antara ciri baharu yang dimuatkan:
skrin paparan TFT 7-inci
suis pelbagai fungsi pada bar hendal
kamera perakam tunggangan HD hadapan
penghadang angin boleh laras elektronik
winglet aerodinamik
Selain itu, sistem suspensi belakang juga telah dipertingkatkan untuk tunggangan yang lebih selesa dan stabil dalam pelbagai keadaan.
Sporter S SKII masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 244 cc sejukan cecair menghasilkan 24.8 hp @ 8,500 rpm dan 22.5 Nm @ 6,500 rpm.
Kelengkapan lain termasuklah:
rim 15 inci depan/14 inci belakang
brek cakera depan belakang
fork teleskopik jenis terbalik
tangki minyak 13 liter
Ciri keselamatan pula terdiri daripada ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Terdapat dua pilihan warna iaitu Porsch White dan Titan Blue.
Mforce Bike Holdings mengumumkan kemas kini penawaran bagi skuter WMoto Nexy+180 2026 sempena ulang tahun Mforce Smartshop Wei Ling Motor yang ke-9 baru-baru ini.
Skuter tersebut kini dilengkapi dengan ciri baharu seperti:
lampu aluan
lampu kabus
tempat duduk berpenyandar
sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
Harga jualan bermula dari RM9,288 dan boleh didapati dalam empat warna menarik iaitu Midnight Black, Nardo Grey, Magic Blue dan Xtreme White.
Spesifikasi
Skuter ini kekal dengan enjin silinder tunggal 174 cc menghasilkan kuasa 18.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 17.2 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear CVT.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang.
Brek pula menggunakan cakera tunggal 260 mm serta angkup empat omboh di depan, diikuti cakera tunggal 220 mm dan angkup terapung omboh tunggal di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua-saluran.
BYD Sime Motors secara rasmi mengumumkan kemas kini bagi model SUV elektrik BYD Sealion 7 2026.
Harga jualan adalah seperti berikut:
Sealion 7 Dynamic – RM163,800
Sealion 7 Premium – RM188,800
Sealion 7 Performance – RM203,800
300 pelanggan pertama untuk varian Dinamik boleh mendapatkan pakej pengecas dinding atau rebat sehingga RM4,000, menjadikan harga jualan kini serendah RM159,800.
Varian Premium pula menawarkan pakej pengecas dinding serta nilai tukar beli sehingga RM3,888.
Sementara varian Performance pula menawarkan pakej pengecas dinding dan nilai tukar beli sehingga RM2,888.
Spesifikasi dinaik taraf
Berbanding Sealion 7 yang dilancarkan tahun lepas, Sealion 7 2026 kini menggunakan senibina elektrik 800V.
Berbanding model terdahulu, Sealion 7 kini menyokong pengecasan DC sehingga 230 kW.
Varian asas Dynamic pula masih mengekalkan senibina 400V dengan keupayaan pengecasan DC sehingga 110 kW.
Perincian bagi setiap varian adalah seperti berikut:
Dynamic
motor elektrik pacuan roda belakang
kuasa 228 hp/380 Nm
pek bateri 71.8 kWh
pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat
jarak pandu NEDC 520 km
Premium
motor elektrik pacuan roda belakang
kuasa 308 hp/380 Nm
pek bateri 91.39 kWh
pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat
jarak pandu NEDC 650 km
Performance
motor elektrik berkembar pacuan semua roda (AWD)
kuasa 523 hp/690 Nm
pek bateri 91.39 kWh
pecutan 0-100 km/j dalam 4.5 saat
jarak pandu NEDC 600 km
Selain itu, BYD Malaysia turut memperkenalkan warna baharu Ultraviolet untuk varian Premium.
Dimensi
BYD Sealion 7 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,830 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,620 mm dan jarak antara roda 2,930 mm.
Secara standard, ia hadir dengan rim bersaiz 19 inci sementara varian Performance pula mendapat tetapan rim 20 inci.
Ruang kargo adalah sebesar 520 liter (500 liter untuk varian Dynamic) diikuti dengan ruang frunk 58 liter.
Kelengkapan kabin
Untuk ruang kabin, ia masih lagi mengekalkan penawaran seperti model terdahulu.
Antara ciri yang tersedia termasuklah:
skrin kluster digital 10.25 inci
skrin tengah 15.6 inci
skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci
upholsteri kulit
sokongan Apple CarPlay/Android Auto
slot pengecasan tanpa wayar 50W
sistem audio Dynaudio dengan 12-pembesar suara
Keselamatan
Secara standard, BYD Sealion 7 dilengkapi dengan sembilan beg udara, serta kelengkapan keselamatan termaju termasuklah:
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Pengekalan Lorong Kecemasan (ELKA)
Bantuan Keluar Lorong (LDA)
Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Amaran Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTA & RCTA)
Sistem Brek Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTB & RCTB)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Bukaan Pintu (DOW)
Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
Ciri Amaran Tumpuan Pemandu (DAW) dan skrin paparan head-up dikecualikan daripada varian Dynamic.
Boon Siew Honda mengumumkan kemas kini warna baharu untuk kedua-dua model Honda CBR650R 2026 dan CB650R 2026 versi E-Clutch.
Honda CBR650R E-Clutch kini ditawarkan dengan pilihan warna Matte Gun Powder Black Metallic disamping warna Grand Prix Red sedia ada.
Sementara Honda CB650R E-Clutch pula hadir dengan pilihan warna Jeans Blue Metallic dan Candy Energy Orange sementara warna Matte Gun Powder Black Metallic terus dikekalkan.
Harga jualan adalah seperti berikut:
Honda CB650R E-Clutch: RM47,999
Honda CBR650R E-Clutch: RM49,999
Spesifikasi
Kedua-dua jentera dipacu enjin empat silinder sebaris 649 cc sejukan cecair DOHC menghasilkan kuasa 93.9 hp @ 12,000 rpm dan daya kilas 63 Nm @ 9,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear enam-kelajuan yang dipadankan dengan teknologi E-Clutch.
Teknologi ini membenarkan penunggang untuk membuat penukaran gear tanpa operasi klac tangan bagi mengurangkan kepenatan semasa tunggangan dalam kawasan trafik urban.
Namun dalam masa yang sama, klac tangan masih lagi dikekalkan supaya penunggang dapat menikmati penukaran gear secara manual.
Tetapan suspensi terdiri daripada fork USD SFF-BP Showa 41 mm di depan, diikuti penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 10 tahap di belakang.
Brek pula menggunakan tetapan rotor berkembar 310 mm berserta angkup empat omboh di depan, dibantu dengan rotor tunggal 240 mm dan angkup omboh tunggal di belakang.
Gentari mengumumkan kemas kini untuk aplikasi Gentari Go yang menawarkan beberapa ciri baharu untuk semua pengguna.
Antara kemas kini yang dibawakan termasuklah:
fungsi AutoCharge
struktur ganjaran baharu
ciri keselamatan lebih kukuh
AutoCharge: Plug-in, Charge & Go
Selepas tetapan sekali sahaja, pemilik boleh terus mengecas kenderaan mereka di beberapa pengecas DC terpilih tanpa perlu membuka aplikasi.
AutoCharge berfungsi dalam tiga langkah mudah:
Sambungkan kabel DC ke EV
Kenderaan akan disahkan secara automatik
Sesi pengecasan akan bermula serta-merta
Fungsi terbaharu ini menghapuskan keperluan untuk mengaktifkan aplikasi berulang kali, penggunaan kad RFID atau imbasan kod QR, menjadikan pengecasan awam lebih mudah diakses.
500 pengguna pertama yang berjaya mendaftar dan melengkapkan sesi AutoCharge pertama akan menerima kredit Gentari Go bernilai RM10.
Fungsi AutoCharge ini akan diperluas secara berperingkat di semua rangkaian Gentari di seluruh negara.
Gentari kini mengendalikan lebih 600 titik pengecasan EV di Malaysia, manakala Gentari Go Roaming Hub pula memberikan akses kepada lebih 18,000 titik pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India.
Menurut Fadzrul Ahmad, Ketua Mobiliti Hijau Gentari berkata, “AutoCharge mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai aplikasi dan langkah manual, menjadikan pengecasan awam lebih ringkas, pantas dan intuitif.
“Hasilnya tepat seperti yang diharapkan: Plug-in, Charge dan Go.”
Maklumat seperti lokasi pengecasan, model EV serasi dan panduan tetapan tersedia di aplikasi dan laman web Gentari.
Buat masa ini, kadar pengecasan dan pelan sedia ada masih kekal seperti biasa.
Struktur ganjaran baharu, keselamatan lebih kukuh
Selain fungsi AutoCharge, aplikasi Gentari Go turut menerima pembaharuan struktur ganjaran serta ciri keselamatan yang dipertingkat.
Bermula 1 Julai 2026, mata ganjaran baharu mempunyai tempoh sah nilai selama 180 hari.
Manakala mata ganjaran sedia ada yang dikumpul sebelum 30 Jun 2026 kekal sah sehingga 31 Disember 2026.
Dari segi keselamatan, pengguna perlu mengesahkan nombor telefon untuk mengakses kredit Gentari Go.
Ini bertujuan untuk melindungi kredit dan ganjaran pengguna serta meningkatkan ketelusan baki dan tarikh luput kredit.
Aplikasi Gentari Go yang dikemas kini tersedia mulai 1 Julai 2026.
Kebanyakan kereta elektrik dibekalkan dengan transmisi kelajuan tunggal, namun secara standard Porsche Taycan dilengkapi dengan kotak gear dua-kelajuan.
Cuma kebanyakan masa penukaran gear tersebut dilakukan secara automatik, dan pemandu tidak ‘dibenarkan’ untuk menikmati penukaran gear tersebut secara manual.
Menerusi kemas kini untuk model Taycan tahun 2027, pemandu boleh menikmati satu fungsi baharu yang dinamakan sebagai E-Shift.
Penukaran gear maya
Fungsi E-Shift baharu ini akan menawarkan simulasi penukaran gear 8 nisbah kelajuan maya yang boleh dinikmati oleh pemandu.
Menariknya, ia boleh digunakan dalam mod automatik dan mod manual di mana pemandu boleh melakukan penukaran gear menggunakan paddle shifter di sebalik roda stereng.
Dalam mod penukaran gear manual, pemandu boleh merasai perkara berikut:
kesan penukaran gear seperti kereta konvensional
simulasi drag torque spesifik seperti kesan brek enjin
pengehad putaran maya
runut bunyi Porsche Electric Sport yang akan berubah bergantung kepada kelajuan dan beban
paparan rpm maya dan indikasi penukaran gear pada kluster instrumen
Di sebalik kemas kini tersebut, kotak gear asal masih lagi mengekalkan nisbah dua-kelajuan.
Ciri baharu ini ditawarkan secara standard untuk varian Turbo GT, dan pilihan untuk varian Taycan yang lain.
Jarak gerak cecah 700 km
Porsche turut menawarkan tayar musim panas dengan ciri rintangan golekan rendah untuk model pacuan roda belakang (sedan dan Sport Turismo).
Tayar baharu ini menawarkan jarak pandu ekstra sebanyak 20 km, dan boleh mencecah sehingga 700 km (data WLTP) dengan gandingan pakej Performance Battery Plus.
Sistem infohibur lebih berkuasa
Porsche Taycan turut menampilkan sistem pengurusan komunikasi (PCM) yang menawarkan kuasa perkomputeran lima kali lebih berkuasa berbanding sistem terdahulu.
Segala fungsi dan kawalan kenderaan kini dihimpunkan dalam satu tempat yang diwakili oleh model 3D Taycan mengikut warna badan kereta.
Sama seperti peranti pintar, terdapat pilihan widget yang boleh dipaparkan dalam skrin penuh atau paparan terpisah.
Antara ciri lain termasuklah:
arahan suara berasaskan kepintaran buatan (AI)
sokongan carian Google
kemas kini over-the-air (OTA)
slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 25W (1.5 kali lebih pantas)
Manthey Kit pertama kali untuk Taycan
Buat pertama kalinya, pakej Manthey Kit yang ditawarkan untuk pelbagai model GT kini ditawarkan untuk Porsche Taycan.
Pakej ini merangkumi padanan kit aerodinamik menyeluruh, talaan casis dan unit pacuan yang dioptimasikan untuk peningkatan prestasi.
Dengan padanan kit Manthey ini, Porsche Taycan Turbo GT dengan Weissach Package berjaya merekodkan masa 6:55.533 minit di Litar Nordschleife Nurburgring dalam kategori sedan elektrik eksekutif.
Manthey Kit ini boleh didapati dalam kit retrofit dan buat pertama kalinya terus dari kilang.
Ucapkan selamat datang kepada Lotus Emira 420 Sport, varian tertinggi dan paling ekstrem pernah dibina.
Ini kerana ia hadir dengan pakej enjin yang lebih bertenaga, lebih ringan dan lebih aerodinamik berbanding Emira sedia ada.
Kuasa cecah 420 PS
Enjin 4-silinder sebaris 2.0 liter turbo itu kini mampu menjana kuasa setinggi 420 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 500 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar 8-kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j memakan masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.
Lebih aerodinamik
Bahagian luar Emira 420 Sport mendapat ciri unik termasuklah:
splitter hadapan
liang hadapan yang disemak semula
bukaan kemasukan udara yang lebih besar
spoiler lip
tailgate louvre gaya Esprit Turbo
Perubahan ini menyumbang kepada peningkatan aliran udara ke radiator serta penyejukan brek 10 peratus lebih baik.
Selain itu, tetapan suspensi Emira telah disemak semula selain merendahkan ketinggian kereta sebanyak 5 mm, menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik.
Pakej lebih ringan
Emira 420 Sport turut ditawarkan dengan pakej Lightweight Handling Pack terdiri daripada:
peredam Multimatic boleh laras 2-tahap
set ekzos titanium
bateri lithium-ion
komponen gentian karbon
aplikasi Lotus Track Performance
Dengan pakej ini, Emira 420 Sport menjadi 25 kg lebih ringan berbanding Emira Turbo dan berupaya menjana 25 kg tambahan daya mendap.
Ruang kabin
Pemandu kini disediakan paddle shifter gentian karbon baharu serta tempat duduk larasan 12-tahap yang dapat menyokong pemanduan di atas jalan raya dan di dalam litar.
Buat pertama kalinya, semua varian Emira ditawarkan dengan panel bumbung kaca mudah alih.
Diinspirasikan daripada Esprit, pemandu boleh menikmati konfigurasi coupe dan open top pada bila-bila masa.
Panel kaca itu tadi boleh disimpan di dalam beg khas dan diletakkan di belakang tempat duduk.
Pakej opsyen
Emira 420 Sport turut tersedia dengan pakej gentian karbon di bahagian luar, seperti:
splitter hadapan
ambang sisi
liang gerbang roda
pod sisi
spoiler belakang
diffuser
Pembeli boleh mendapatkan sehingga sembilan rekaan dan kemasan rim termasuklah rim aloi tempa 20 inci warna satin dark grey.
Selain itu, terdapat dua pakej opsyen baharu yang boleh ditambah seperti:
Carbon Fibre Pack – kemasan geometri unik pada perumah meter kluster, jejari roda stereng dan kemasan belakang tempat duduk
Hand Painted Pack – kemasan warna Tangelo Orange pada konsol tengah, jejari roda stereng, tuil gear dan corong pendingin udara
Harga
Di pasaran UK, Lotus Emira 420 Sport dijual pada harga dari £105,900 (RM566 ribu).
WTC Automotif (M) Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan GAC di Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model GS3 Emzoom.
Penambahbaikan bersifat kosmetik itu menampilkan ciri seperti jeriji hadapan Flowing Diamond Star serta pilihan warna dua tona baharu bagi varian Premium R.
Untuk info, Emzoom kini ditawarkan dengan empat pilihan warna:
Graphite Grey (bumbung hitam)
Super Star Silver (bumbung hitam)
Frost White (bumbung hitam)
Asphalt Black
Dari segi kuasa, GS3 Emzoom masih kekal dengan enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 177 PS dan 270 Nm dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas lapan saat dan bacaan penggunaan bahan api serendah 5.9 liter/100 km.
Ciri yang tersedia termasuklah skrin paparan berkembar, bumbung panorama, kamera 360 darjah, sistem ADAS dan bantuan parkir FAPA.
Varian Premium R pula hadir dengan sistem ekzos sukan dan kit aero.
Hong Leong Yamaha Motor hari ini secara rasmi mengumumkan ketibaan model Yamaha Tenere 700 yang dikemas kini untuk tahun 2026.
Unit pemasangan tempatan ini ditawarkan pada harga RM58,998 atas jalan tanpa insurans.
Spesifikasi Tenere 700
Jentera adventure touring ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 690 cc sejukan cecair yang patuh piawaian Euro5+.
Kuasa dihasilkan sekitar 72 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 68 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.
Buat pertama kali, ciri Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) diberikan pada enjin CP2 ini untuk respons pendikit yang lebih lancar.
Sistem gantungan jentera ini terdiri daripada fork hadapan USD 43 mm boleh laras sepenuhnya, dibantu dengan penyerap hentak tunggal juga dengan larasan penuh.
Jarak pergerakan roda pula sekitar 210 mm di depan dan 200 mm di belakang.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
rim jejari 21 inci depan/18 inci belakang
skrin paparan TFT 6.3 inci dengan sokongan navigasi
dua mod tunggangan (Sport & Explore)
ABS (3 mod) & TCS yang boleh dimatikan
tinggi pelana 875 mm
port pengecasan USB Type-C
Yamaha Tenere 700 2026 hanya ditawarkan dalam warna eksklusif Adventure Blue.
Proton secara rasmi melancarkan SUV X70 2026 yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.
Dari segi luaran, X70 baharu ini dilihat sama sahaja seperti apa yang telah ditawarkan pada dua tahun lepas.
Namun, perubahan ‘besar’ yang dibuat ialah menggantikan enjin 3-silinder yang asal kepada enjin 4-silinder i-GT 1.5 liter turbo.
Enjin baharu ini mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm, dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.
Proton mendakwa kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.9 liter untuk setiap 100 km, dan 5.5 peratus lebih jimat berbanding X70 terdahulu.
Aspek NVH bertambah baik sebanyak 4.5 peratus dengan penggunaan rantai pemasa bergigi yang dikatakan lebih senyap 25.24 peratus berbanding rantai pemasa standard.
Proton turut menyentuh aspek pengendalian dan keselesaan (ride & handling) X70 dengan menjadikan respons stereng yang lebih pantas dan nisbah yang ditambah baik, diikuti suspensi yang ditala semula.
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera 360 darjah, serta fungsi ADAS yang khusus untuk varian Premium merangkumi:
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Kawalan Jelajah Pintar (ICC)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
Amaran Bukaan Pintu (DOW)
Kawalan Suluhan Tinggi (IHBC)
Informasi Papan Tanda Trafik (TSI)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Ruang kabin X70 2026 masih menawarkan kelengkapan yang sama seperti model terdahulu, seperti skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan arahan suara Hi Proton.
Cuma sayang sekali, beberapa ciri yang sebelum ini ada telah dibuang seperti balutan kulit Nappa serta bumbung kaca panorama.
Proton X70 2026 varian Premium juga masih kekal dengan padanan rim 19 inci rekaan yang asal, namun balutan getah Continental UC6 telah digantikan dengan tayar Giti Comfort F50 (225/55R19).
Harga jualan (selepas rebat RM7,000 untuk 1,500 unit pertama, sah sehingga 31 Mac) bermula dari RM99,800 untuk varian Executive hingga RM112,800 untuk varian Premium.
Royal Enfield Malaysia mengumumkan kehadiran model roadster mampu milik Hunter 350 yang telah dikemas kini untuk pasaran Malaysia.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara/minyak dengan hamburan kuasa 20.2 hp @ 6,100 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 4,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi lima-kelajuan dan bantuan klac Assist & Slipper.
Kerangka jenis twin downtube spine itu disokong dengan suspensi fork depan teleskopik 41 mm di depan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar yang menawarkan larasan pra-beban 6-tahap.
Sistem brek pula terdiri daripada angkup dua omboh dan rotor 300 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor saiz 270 mm di belakang. Sistem ABS dua saluran turut dibekalkan.
Hunter 350 mendapat ciri moden seperti unit pencahayaan LED, paparan meter digital-analog lengkap dengan bantuan navigasi Tripper Pod, serta port pengecasan USB Type-C.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 13 liter, sementara pelana pula setinggi 790 mm.
Untuk pasaran Malaysia, Royal Enfield Hunter 350 dijual pada harga bermula dari RM21,900 untuk varian warna Rio White dan Dapper Grey, dan dari RM22,500 untuk warna Tokyo Black, London Red dan Rebel Blue.
Tesla Malaysia mengumumkan kemas kini penawaran sedan elektrik Model 3 2025 dengan harga jualan yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini.
Pembeli di Malaysia kini boleh mendapatkan varian baharu Long Range RWD yang menawarkan jarak gerak sehingga 750 km pada harga RM185,000.
Selain itu, harga jualan varian asas RWD telah disemak semula, kini bermula serendah RM169,000 berbanding RM181,000 ketika debut beberapa tahun lepas.
Varian Long Range AWD pula kini serendah RM199,000 (turun RM11 ribu) sementara varian Performance AWD pula berharga RM229,000 (turun RM13,000).
Selain perubahan harga, Tesla turut mengumumkan perubahan spesifikasi seperti berikut:
penambahan kamera hadapan
tuil isyarat membelok tradisional
logo Tesla hitam kusam
Menjelang akhir 2025, difahamkan lebih banyak stesen pengecasan yang akan didirikan oleh Tesla seperti di Pavilion
Damansara Heights, Nexus Bangsar South, dan The Mall, Mid Valley Southkey.
Sehingga kini, sebanyak 15 stesen Supercharger (68 unit pengecas) dan 16 stesen pengecasan destinasi (73 unit pengecas destinasi) telah beroperasi di seluruh Malaysia.
Diperkenalkan sejak tahun 2020, Toyota Corolla Cross kini merupakan satu plet nama yang cukup popular di serata dunia.
Namun harus anda tahu bahawa Corolla Cross mempunyai model kembar di pasaran China yang dikenali dengan nama berbeza, iaitu Toyota Fronlander.
Tidak seperti Corolla Cross yang dibina oleh kerjasama FAW Toyota, Frontlander pula merupakan hasil kerjasama oleh GAC Toyota.
Unik untuk pasaran tersebut, GAC Toyota membawakan perubahan yang berbeza berbanding model yang ditawarkan oleh FAW Toyota yang lebih mirip kepada model pasaran global.
Antaranya ialah muka hadapan yang lebih kemas diilhamkan daripada model EV, diikuti dengan grafik lampu belakang yang telah direka semula.
Perubahan yang besar boleh didapati pada ruang kabin, di mana Frontlander kini menampilkan papan pemuka yang lebih premium rekaannya.
Tiada lagi gugusan butang kawalan fizikal untuk iklim kabin, sebaliknya ia telah disumbatkan ke dalam skrin tengah sebesar 12.9 inci.
Corong pendingin hawa juga lebih kecil, diikuti dengan penambahan sistem pencahayaan ambien, skrin kluster digital 8.8 inci, serta slot pengecasan peranti pintar pada konsol tengah yang lebih tinggi posisinya itu.
Akhir sekali, Frontlander turut mendapat naik taraf sistem keselamatan termaju Toyota Safety Sense.
Sama seperti model terdahulu, Frontlander boleh didapati dalam versi petrol 2.0L NA menghasilkan 169 hp yang menggerakkan roda depan, serta model hibrid 2.0L 111 hp yang dipadankan dengan transmisi E-CVT.
Harga jualan bermula dari RMB 132,800 (~RM78,575) untuk versi NA, sementara Frontlander HEV pula bermula dari RMB 145,800 (RM86,267).
Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model sedan mewah S 580 e with EQ Hybrid Technology untuk pasaran tempatan.
Sedan S-Class yang dipasang di kilang Pekan, Pahang itu kini dijual pada harga bermula dari RM738,888 atas jalan tanpa insurans.
Berbanding model terdahulu, S 580 e 2025 mendapat beberapa ciri baharu seperti:
rim aloi berbilang jejari saiz 20 inci
sistem stereng gandar belakang (sudut sehingga 4.5 darjah)
pengecasan pantas DC 60 kW untuk pengecasan 20 minit (10-80 peratus)
Sementara ruang kabin pula mendapat kemas kini seperti:
kemasan baharu pada konsol tengah
fungsi ventilasi dan pemanas tiga tahap untuk tempat duduk depan
penapis udara kabin PM2.5 Energizing Air Control
Dari segi kuasa, S 580 e ini kekal dengan tetapan enjin plug-in hybrid (PHEV) terdiri daripada nadi enam silinder sebaris 2,999 cc dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 510 hp dan daya kilas 750 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.2 saat, dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.
Pek bateri 28.6 kWh pula membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 100 km.
Antara ciri lain termasuklah sistem suspensi udara Airmatic, lampu digital, tayar jenis run-flat, tempat duduk dan roda stereng balutan kulit nappa, gandingan skrin 12.3 dan 12.8 inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Burmester 3D.
Untuk penumpang belakang pula disediakan tempat duduk boleh laras elektrik, MBUX High-End Rear Seat Entertainment System terdiri daripada tablet, set fon telinga tanpa wayar, serta skrin berkembar saiz 11.6 inci.
Ciri keselamatan termasuklah Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, sistem kamera keliling 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), bantuan parkir, serta Driving Assistance Package.
Volvo Car Malaysia mengumumkan ketibaan SUV paling popular, XC60 yang telah dikemas kini untuk model tahun 2025.
Sejak dilancarkan untuk pasaran tempatan, Volvo XC60 sudah terjual lebih 6,200 unit – mengukuhkan reputasinya sebagai SUV pilihan utama untuk mereka yang mengutamakan keselesaan, kualiti dan keyakinan pemanduan.
Volvo XC60 2025 ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian hibrid ringan B5 AWD dengan anggaran harga dari RM333,888 serta varian plug-in hybrid (PHEV) T8 AWD dengan harga jualan anggaran dari RM367,888.
Harga rasmi akan diumumkan kelak.
Berikut merupakan spesifikasi ringkas unit rangkaian kuasa bagi kedua-dua varian:
XC60 B5 AWD
Enjin 2.0L hibrid ringan + sistem hibrid ringan 48V
Kuasa 249 hp
Pecutan 0-100 km/j 6.9 saat
Kadar penggunaan bahan api 7.6L/100 km
XC60 T8 AWD
Enjin 2.0L berkuasa 317 hp
Motor elektrik 145 hp
Kuasa keseluruhan 462 hp
Pecutan 0-100 km/j 4.8 saat
Kadar penggunaan bahan api 1.6L/100 km
Bateri 19 kWh
Jarak gerak sifar emisi 89 km
Sama seperti kemas kini pada model XC90, XC60 turut diberikan perubahan kosmetik seperti jeriji hadapan rekaan baharu, lampu ikonik Tukur Thor, serta perumah lampu belakang yang digelapkan.
Selain rim baharu, Volvo XC60 turut diberikan pilihan warna Forest Lake dan Bright Dusk.
Khas untuk varian T8 AWD ialah sistem suspensi udara yang ditawarkan secara percuma untuk tempoh terhad.
Ruang kabin pula diberikan nafas baharu, seperti contoh pengecas tanpa wayar yang diposisikan semula untuk ergonomik yang lebih baik, pemegang cawan direka semula, serta ruang kargo lebih fleksibel.
Selain itu, terdapat teknologi penulenan udara kabin, skrin tengah 11.2 inci dengan sokongan Google terbina, dan sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity.
Secara standard, Volvo XC60 2025 dilengkapi dengan ciri keselamatan pintar termasuklah kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, serta bantuan pengelakan pelanggaran.