Tiada lagi enjin Toyota & Mercedes-AMG, Lotus Emira bakal dapat enjin V6 baharu Horse Powertrain
Setelah bertahun-tahun bergantung kepada enjin buatan Toyota dan Mercedes-AMG, Lotus akhirnya membuat keputusan untuk beralih kepada enjin V6 buatan Horse Powertrain.
Enjin 3.0L turbo hibrid bentangan V6 baharu Horse itu dijangka akan muncul dalam Lotus Emira facelift hujung dekad ini.
Dalam satu temubual bersama Autocar, CEO Lotus Feng Qingfeng mengesahkan enjin V6 itu akan menggantikan nadi V6 Toyota dan empat silinder AMG sedia ada.
Kuasa lebih 500 hp
Enjin baharu itu dikatakan mampu menghasilkan 536 hp dan 700 Nm.
Kelebihannya sudah pasti berat yang lebih ringan di mana nadi V6 ini dianggarkan 10 kg lebih ringan berbanding mana-mana enjin V6 dalam pasaran, dan hampir sama dengan enjin 4-silinder 2.0L.
Nadi V6 itu akan dipadankan dengan transmisi automatik serta motor elektrik terbina dalam untuk kuasa tambahan dan emisi lebih rendah.
Pasaran AS, regulasi EU jadi penentu
Antara sebab kenapa enjin V6 dipilih adalah permintaan yang cukup memberangsangkan terutama daripada pasaran Amerika Syarikat.
Menurut Feng, kebanyakan pelanggan di sana lebih menggemari enjin V6, dan tidak menghairankan apabila Emira V6 merupakan model yang paling laris terjual.
Selain itu, enjin V6 sedia ada daripada Toyota sememangnya dalam proses untuk digantikan.
Ini kerana ia kini sukar untuk memenuhi keperluan regulasi EU yang semakin ketat, memaksa Horse untuk menghasilkan enjin baharu.
Boleh jadi asas untuk enjin V8 baharu
Tahukah anda, enjin V6 baharu ini sebenarnya menggunakan asas daripada nadi empat silinder sedia ada?
Menurut CEO Horse Matias Giannini berkata, enjin V6 baharu ini mempunyai dimensi yang kompak dan ringan kerana menggunakan asas daripada enjin yang lebih kecil.
Teknologi binaan modular itu membolehkan Horse mampu membesarkan atau mengecilkan enjin dengan mudah, termasuklah mencipta nadi V8 baharu berasaskan V6 untuk kegunaan supercar Lotus akan datang.
Tiada permintaan untuk Emira EV

Antara sebab lain kenapa enjin V6 menjadi tumpuan utama Lotus ialah projek kereta sports elektrik yang tidak menjadi.
Lotus pada mulanya merancang untuk menghasilkan kereta sports elektrik pengganti Emira menerusi kerjasama dengan Alpine.
Namun begitu, projek tersebut dibatalkan apabila mereka mendapati tiada permintaan bagi model sifar emisi tersebut.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.


