BYD Sealion 7 2025, dua varian, jarak gerak cecah 567 km, dari RM184k
Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD di Malaysia melancarkan sebuah lagi kenderaan elektrik, BYD Sealion 7 2025.
Boleh didapati dalam dua varian utama, BYD Sealion 7 dijual pada harga bermula dari RM183,800 untuk varian Premium, dan bermula dari RM199,800 untuk varian Performance.
BYD Sealion 7 Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD), berkuasa 308 hp/380 Nm dan menawarkan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 6.7 saat.
Sementara varian Performance pula dibekalkan dengan motor elektrik berkembar pacuan semua roda (AWD), berkuasa 523 hp/690 Nm, dan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.5 saat.
Kedua-dua hadir dengan pek bateri berkapasiti 82.56 kWh, di mana jarak gerak untuk varian Premium adalah sejauh 567 km, atau sehingga 542 km untuk varian Performance.
Sealion 7 menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 150 kW dimana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 32 minit sahaja.
Secara standard, Sealion 7 datang dengan rim aloi bersaiz 19 inci, sementara versi AWD pula mendapat rim bersaiz 20 inci serta angkup brek berwarna merah.
Kelengkapan ruang kabin pula termasuklah skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci dengan orientasi boleh ubah, skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci, tempat duduk balutan kulit, kawalan iklim dua zon dan sistem penapisan udara PM2.5.
Selain itu, Sealion 7 turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pengecasan peranti pintar nirwayar 50W, serta tidak ketinggalan sistem bunyi Dynaudio dengan 12 pembesar suara.
Kedua-dua varian turut didatangkan standard dengan kelengkapan keselamatan termasuklah sembilan beg udara, penderia parkir depan dan belakang, kamera 360 darjah, serta fungsi ADAS yang merangkumi ciri seperti kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik depan dan belakang, bantuan suluhan tinggi serta amaran tumpuan pemandu.
Dari segi praktikaliti, Sealion 7 menawarkan ruang kargo sebesar 500 liter, atau sehingga 1,769 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Tidak ketinggalan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 58 liter.
Terdapat empat pilihan warna termasuklah Cosmos Black, Aurora White, Atlantis Grey dan Shark Grey.
BYD Malaysia menawarkan pakej tempahan awal (sah sebelum 17 November) melayakkan pelanggan untuk mendapatkan pengecas rumah dan kredit pengecasan RM800 secara percuma, di mana mereka perlu mendaftarkan kenderaan mereka sebelum 31 Disember 2024.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.