KLIMS 2024: pelbagai pelancaran, hadiah cabutan bertuah menanti pengunjung
Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 berlangsung tidak lama lagi dari 5 hingga 11 Disember 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Dalam satu sidang media yang diadakan hari ini, penganjur acara iaitu Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menggariskan pelbagai tarikan yang menanti para pengunjung.
Untuk edisi ke-10 ini, KLIMS hadir dengan tema ‘Beyond Mobility’ yang selaras dengan trend masa kini yang membentuk masa depan industri automotif.
Menurut MAA, hampir 70 pempamer akan menyertai acara ini, dengan kawasan pameran meliputi hampir 30,000 kaki persegi di dua aras bangunan MITEC.
Antara jenama yang telah mengesahkan penyertaan mereka adalah Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi, Nissan, Mazda, dan Kia.
Beberapa pengeluar kenderaan China seperti Great Wall Motor, MG, XPeng dan Aion juga akan turut serta. Di samping kereta, KLIMS 2024 juga akan menampilkan pameran motosikal yang akan disertai oleh jenama-jenama terkemuka seperti Modenas dan Kawasaki.
Selain itu, terdapat juga pelancaran model-model baharu daripada Perodua, Nissan, T0yota, GWM, Kia, MG, dan Mazda, serta pameran kereta eksotik, klasik dan model die cast.
Turut menanti para pengunjung adalah pameran empat kereta F1 pasukan Ferrari yang menampilkan evolusi dari era Schumacher hingga Charles Leclerc. Pameran yang dibawakan oleh R&D F1 Simulation ini juga akan menampilkan barisan kereta die cast Ferrari.
Para pengunjung tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana mereka berpeluang untuk memenangi sebuah Toyota Yaris 1.5G Limited dan sebuah Perodua Axia menerusi cabutan bertuah.
Selain dua hadiah berkenaan, pengunjung yang menyertai cabutan bertuah juga boleh memenangi hadiah-hadiah berupa pengalaman memandu Smart #1 selama 10 hari oleh AVIS Malaysia, skuter bagasi elektrik daripada Lite Elala dan motosikal elektrik Hiley Maxspeed X8 daripada Eforge.
Hadiah-hadiah lain yang boleh dimenangi termasuk dashcam 70mai, hadiah eksklusif misteri daripada Ferrari, beg cenderahati daripada Carage dan kad TnG KLIMS 2024 edisi terhad.
Selain itu, KLIMS 2024 juga akan mengadakan peraduan fotografi media sosial, di mana 100 pemenang akan menerima kad TnG KLIMS 2024 edisi terhad dan dua tiket masuk.
Harga tiket dewasa bermula dari RM20 untuk hari minggu dan RM25 untuk Jumaat, Sabtu, Ahad dan 11 Disember (hari cuti umum bagi negeri Selangor).
Tiket kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun, serta pelajar kolej/universiti (hingga 25 tahun dan mempunyai kad pelajar) berharga RM10, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah masuk percuma.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.