Arkib Tag: inokom

Hyundai Santa Fe facelift versi CKD akan dilancarkan di Malaysia

SIME Darby Hyundai Integrated Sdn Bhd (SDHI) baru-baru ini telah menandatangani persijilan produksi massa (Certificate of Mass Production) dengan Inokom Corporation Sdn Bhd bagi memulakan pemasangan tempatan Hyundai Santa Fe versi facelift.

Tidak banyak perincian yang didedahkan buat masa ini, namun menurut Hyundai Sime Darby Motors (HSDM), kerjasama terbaru ini adalah bukti komitmen bersama untuk memperkukuhkan ekosistem automotif tempatan.

Diperkenalkan di peringkat global pada Jun 2020, Santa Fe generasi keempat versi facelift bukan sahaja membawakan reka bentuk yang lebih segar tetapi juga platform Integrated Architecture baharu yang menjanjikan peningkatan prestasi dan keselamatan.

Untuk versi facelift ini, lampu kabus pada bahagian bawah bampar dibuang, manakala lampu utama direka semula dan diintegrasikan dengan gril yang lebih lebar. Melengkapkan imej baharu SUV ini adalah lampu nyalaan siang berbentuk T.

Sementara itu, bahagian dalaman pula menampilkan konsol tengah yang mencondong serta butang memilih gear sebagai pengganti tuil gear konvensional. Turut disertakan adalah skrin sentuh 10.25 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci.

Semasa dilancarkan di Malaysia pada May 2019, Santa Fe boleh didapati dengan enjin petrol 2.4-liter empat silinder dengan 172 PS dan 225 Nm, atau turbodiesel 2.2-liter dengan 193 PS dan 440 Nm.

Enjin petrol tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan, manakala versi diesel pula mendapat transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda HTRAC.

Versi facelift yang akan datang ini dijangka akan ditawarkan dengan pilihan enjin yang sama.

Chery Malaysia rai serahan pertama unit CKD Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro

CHERY Malaysia mengumumkan baru menyempurnakan penyerahan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Acara yang dijalankan di kilang CKD Chery di Inokom Kulim, Kedah itu juga menzahirkan komitmen mereka untuk operasi pemasangan tempatan serta untuk memberikan pengalaman baik kepada pelanggan.

Acara itu juga menyaksikan penyerahan replika kunci dari Pengara Urusan Inokom Corporation, Mr. Kui Seng Huat kepada Pengarah Operasi Kilang Chery Malaysia, Mr. Xu Jing Zhong, selain tetamu kehormat lain.

Unit CKD pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diserahkan secara rasmi kepada Chery Malaysia, menandakan permulaan era baharu dalam sektor automotif negara ini.

Chery jual 740,000 kenderaan untuk separuh pertama 2023

Dalam perkembangan antarabangsa, Chery Group dilaporkan telah menjual 741,400 kenderaan untuk enam bulan pertama 2023, bersamaan peningkatan 56 peratus untuk tempoh sama berbanding tahun lepas.

Data ini dikongsi oleh China Association of Automobile Manufacturers (CAAM). Menurut perkongsian itu juga, jumlah eksport China bagi suku pertama 2023 juga melebihi 1.07 juta kenderaan, melebihi angka Jepun, sekaligus menjadikan China pengeksport kenderaan terbesar di dunia.

Chery Omoda 5 bakal saingi HR-V dan Corolla Cross, lancar bulan depan

CHERY beberapa bulan ini telah mempersiapkan kehadiran mereka ke pasaran Malaysia. Pada Oktober lepas, mereka telah mmebuat preview dengan memberi kami para media peluang memandu model-model seperti Tiggo Pro, Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro.

Turut dipamerkan pada waktu itu adalah Chery Omoda 5 dan kini, SUV dengan rupa dramatik dan sporti ini sah akan dilancarkan pada bulan ini.

Chery Omoda ialah SUV segmen-B+ lima tempat duduk yang akan bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross.

Turut menemani Omoda 5 dalam pelancaran pada 6 Julai depan adalah Chery Tiggo 8 Pro yang merupakan SUV segmen-D tujuh tempat duduk yang berada dalam segmen sama dengan Proton X90, Mazda CX-8 dan Kia Sorento.

Chery Omoda 5 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder turbo yang mampu menjana 154hp dan 230Nm tork, maka sebab itu ada lencana 230T di belakangnya. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT 9-kelajuan.

Menariknya, enjin Chery Omoda 5 dikatakan ditawarkan dengan jaminan 10 tahun atau 1,000,000km (yang mana dahulu).

Omoda 5 turut hadir dengan ciri seperti mod pemanduan (Eco dan Sport), skrin 20-inci untuk instrumen dan infotainmen, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio Sony, pengecas tanpa wayar, tempat duduk sports, dan sistem ADAS.

Bagaimana dengan khidmat selepas jualan? Pihak Chery berkongsi dengan kami bahawa menjelang pelancaran nanti, mereka akan membuka 20 cawangan pusat servis seluruh negara, dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa.

Selain itu, perkara yang mungkin membelenggu anda pastinya bab penjimatan bahan api. Chery berkata Omoda 5 dan Tiggo 8 telah menerima penarafan EEV. Maklumat terperinci pada pelancaran nanti. Sementara itu, jemput cuci mata dengan galeri di bawah.

Porsche Cayenne CKD ‘buatan Malaysia’ capai unit pengeluaran ke-1000

PORSCHE Malaysia meraikan pencapaian bermakna mereka dengan pengeluaran Cayenne CKD yang ke-1,000. Ya, sebanyak 1,000 unit SUV ‘buatan Malaysia’ itu telah ‘lahir’ dari kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah itu. Porsche mula memasang Cayenne CKD pada Mac 2022 lepas.

“Kami sangat gembira dengan pencapaian Cayenne pemasangan tempatan ini, mengesahkan lagi bahawa SUV Porsche menjadi kegemaran pelanggan kami,” kata Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance.

“Kilang pemasangan tempatan kami di Inokom terus menyokong perkembangan kami, memenuhi permintaan dari peminat kereta sports di Malaysia.

“Pertambahan dalam permintaan ini juga menunjukkan kualiti kami – bukti bahawa Porsche dibina pada standard tertinggi,” tambahnya.

Dari segi luaran, Cayenne CKD dilengkapi lampu LED Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, dan rim RS Spyder bersaiz 21-inci. Tiga pilihan warna badan ditawarkan, dengan kemasan kontra hitam berkilat.

Di bahagian kabin pula, Porsche Cayenne ini didatangkan dengan dua pilihan balutan kulit, BOSE Surround Sound System, tempat duduk dengan pelarasan 14-arah dan tirai untuk tingkap belakang.

Sebagai sebuah SUV yang sporti untuk pemandu tegar, terdapat Porsche Advanced Cockpit untuk maklumat pemanduan serta stereng sports dengan paddleshifters dan Direct Touch Control.

Ia juga dilengkapi Comfort Access, Porsche Communication Management System dengan paparan 12-inci, bantuan parkir ParkAssist, serta sambungan Porsche Connect dan Apple CarPlay.

Porsche Cayenne ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340hp pada 5,300-6,400rpm dan 450Nm tork pada 1,340-5,300rpm.

Porsche Cayenne Malaysia ini juga mendapat personalisasi khas dari aksesori Tequipment yang merangkumi sistem pengangkutan bumbung dengan rak basikal, jaring bagasi, pengalas ruang bagasi, tikar lantai semua-cuaca, dan bekas penjagaan kereta.

Anda yang mahukan lebih eksklusiviti boleh memilih Porsche Exclusive Manufaktur Package. Ini terdiri dari pakej SportDesign, sistem ekzos sports, lampu belakang LED, projektor pintu LED dengan logo Porsche, dan kunci sepadan dengan kereta.

Chery bekerjasama dengan Inokom untuk CKD di Malaysia

CHERY Automobile Co Ltd telah melantik anak syarikat Sime Darby Bhd, Inokom Corporation Sdn Bhd sebagai pemasang tempatan untuk kenderaannya di Malaysia.

Pengarah Chery Corporate Malaysia, Leo Chen berkata, kerjasama dengan Sime Darby disasarkan untuk memperkukuhkan kehadiran jenama itu di pasaran Asia Tenggara yang sedang berkembang. Chery mengeksport 450,000 kenderaan pada 2022.

“Ianya satu kerjasama yang mengujakan. Ia mencipta pengalaman bernilai dalam sektor automotif yang akan membuatkan kerjasama ini berkembang bersama,” katanya kepada media di acara Malaysia Autoshow 2023.

Syarikat itu berhasrat mengembangkan segmen kenderaan pemanduan kanan secara agresif di Malaysia tahun ini. Mereka bakal membuka 70 bilik pameran seluruh negara, kini 30 sedang dalam pembinaan.

Kerjasama dengan Sime Darby untuk pemasangan CKD Chery dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini, di kilang dan fasiliti Inokom di Kulim, Kedah. Chery dikatakan akan mula memasang Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 pada Jun, diikuti pelancarannya pada Julai.

Sementara itu, CEO kumpulan Sime Darby, Datuk Jeggri Salim Davidson berkata dalam satu kenyataan bahawa kepercayaan yang diberikan menunjukkan bakat kompeten dan bertaraf tinggi rakyat Malaysia yang mampu memberikan nilai kepada rakan kongsi.

“Kami teruja menjadi sebahagian dari perjalanan Chery untuk inovasinya yang berterusan. Portfolio CKD ini adalah elemen penting dalam strategi pembangunan kami untuk Sime Darby Motors,” katanya.