Arkib Tag: Hot Wheels

Hot Wheels lancar siri Netflix Let’s Race, bawa pengalaman unik di IOI City Mall

HOT Wheels telah melancarkan Hot Wheels Let’s Race, sebuah siri animasi kanak-kanak terbitan Mattel Television Studios secara global.

Diinspirasikan oleh Hot Wheels, jenama permainan nombor satu di dunia, siri animasi Hot Wheels Let’s Race ini merupakan sebuah siri komedi penuh aksi untuk kanak-kanak yang menggabungkan kenderaan-kenderaan luar biasa, watak-watak yang penuh aksi, perlumbaan, cabaran, dan banyak lagi.

Serentak dengan pelancaran ini, Hot Wheels membawakan unsur-unsur dari siri tersebut di IOI City Mall.

Siri Let’s Race ini memaparkan tentang sekumpulan pelumba generasi baru: Coop, Spark, Mac, Brights, Axle, dan Sidecar menyertai sebuah kem perlumbaan yang sentiasa menguji kemahiran pemanduan mereka,” ujar Encik Murat Ariksoy, Pengurus Besar Mattel Asia Selatan.

“Hot Wheels Let’s Race merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan bagi kami di Mattel. Kami berharap semua peminat ternanti-nanti akan kemunculan babak-babak yang penuh aksi dan perlumbaan yang mencemaskan menjadi kenyataan,” tambahnya.

Mattel telah mendedahkan rangkaian produk Hot Wheels yang menampilkan kenderaan, latar set, dan jalan cerita siri animasi tersebut.

Anda boleh membawa pulang aksi siri Let’s Race ke rumah dengan membeli set Hot Wheels seperti Ultimate T-Rex Transporter, Ultimate Garage, City Downtown Ice-Cream Shop, City Nemesis Bat vs. Tire Shop, City Pizza Slam Cobra Attack, Action Hyper Loop Extreme dan pelbagai lagi.

Selain itu, sebuah Kejuaraan Perlumbaan Ultimate Hot Wheels telah diadakan. Peringkat kelayakan telah bermula dari 15 Februari sehingga 3 Mac yang berlangsung di lokasi-lokasi yang terpilih seluruh Malaysia.

Bagi acara kemuncak kejuaraan Hot Wheels Let’s Race ini akan diadakan di ruang legar IOI City Mall bermula dari 5 Mac hingga 10 Mac 2024 dan pertandingan akhir bagi kejuaraan ini adalah pada 9 Mac, diikuti dengan kejuaraan kategori terbuka pada 10 Mac.

Ruang legar IOI City Mall akan berubah menjadi sebuah Bandar Hot Wheels bersaiz sebenar yang penuh keasyikan seperti yang disiarkan dalam siri tersebut.

Pengunjung boleh menantikan sebuah Ultimate Garage sebagai acara tumpuan utama dan pelbagai set permainan lain dari Hot Wheels City.

Acara tersebut akan dibahagikan kepada empat zon bagi para pelumba muda untuk mereka meneroka dan menakluk:

  • Zon Pitstop Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh mencuba pakaian perlumbaan untuk sesi bergambar.
  • Zon Garage Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh menguji kepantasan tangan mereka untuk menukar tayar semasa perlumbaan besar!
  • Di Zon Test Drive Hot Wheels, pelumba boleh cuba berlumba dalam permainan Hot Wheels Unleashed 2.0 sebelum perlumbaan besar mereka!
  • Akhir sekali pelumba akan menerima cabaran Zon Lumba Hot Wheels dengan melaungkan “Challenge Accepted!” ke Raceway Challenge, Cobra Challenge dan Flame Challenge

Pelumba yang berjaya menyelesaikan aktiviti mereka di setiap stesen, akan menerima Hot Wheels Flame Badge sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.

Art of Speed 2023 paling besar setakat ini, catat 65,000 pengunjung

ACARA bertemakan Kustom Kulture, Art of Speed 2023 (AOS 2023) telah melabuhkan tirainya semalam. Diadakan di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), acara itu telah mencatatkan 65,000 kehadiran pengunjung untuk tempoh dua hari.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pameran kenderaan kustom dari luar negara turut memeriahkan suasaran di dewan utama di AOS 2023.Tahun ini, senarai kenderaan kustom termasuklah;

  • WILD ROAD CHOPPERS (JEPUN) hadir dengan Harley-Davidson Chopper Show Bike
  • COSMIC CHOPPER CITY (JEPUN) membawakan Harley-Davidson Chopper Show Bike
  • SIDE YAKOTANI (JEPUN) mempamirkan Kustom 1959 Volkswagen Type2 Safari.

Art Of Speed juga secara tradisi menjemput tetamu-tetamu antarabangsa tersohor dalam ‘genre’ kustom untuk bertemu dan beramah-mesra dengan pengunjung-pengunjung AOS 2023.

Tahun 2023 memperlihatkan tetamu yang lebih ramai lagi, termasuklah Mooneyes (Jepun), Rough Craft (Taiwan), Roller (Jepun), Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters (global), Mow (Australia), Choppajoop (Singapura), Hisa Artes 66 Paintlab (Indonesia), Borneo Kustom Show (Brunei), Von Dutch (Indonesia), Ignite (Thailand), dan ramai lagi.

Penampilan Hot Wheels telah menjadi lebih mantap lagi tahun ini. Hall B menyaksikan ‘Official Hot Wheels Collector Convention’ yang pertama di Asia Tenggara, menyorotkan aktiviti-aktiviti seperti ‘Hot Wheels Rare and Collectibles Exhibition’, ‘Hot Wheels Skate School’, ‘Hot Wheels Swap Buy And Sell’, sesi soaljawab pengumpul HW, ‘Hot Wheels Kustom Competition’ dan banyak lagi.

Turut tampil juga pereka handalan Hot Wheels, Matt Gabe dari Amerika Syarikat dan beberapa pengunjung yang bernasib baik sahaja yang dapat membeli ‘Hot Wheels Official Convention Car’ edisi terhad.

Untuk julung kalinya, Hot Wheels Legends Tour Malaysia dipersembahkan secara langsung di AOS 2023. Ramai peserta mencuba nasib pada hari Ahad dan menyukarkan para juri untuk membuat keputusan, namun Mohd Shahlan Bin Mohd Nasir dengan Proton Arena yang telah dikustom akhirnya dipilih menjadi juara, lantas akan mewakili Malaysia di peringkat akhir.

Turut diperkenalkan buat julung kalinya adalah acara Miss Art Of Speed 2023, ditaja oleh Cherry Bomb Pin-Up Parlour. Seramai tujuh peserta wanita berentap untuk gelaran ratu Pin-Up di AOS 2023. Gelaran itu telah direbut oleh Cik Fathmanny.

Kolaborasi Art Of Speed dan VANS, menampilkan dua model kasut edisi khas dan sebuah buku kulit keras yang bertemakan 10 Tahun Art Of Speed. Ada juga kolaborasi yang lain berbentuk barangan pelbagai jenis dengan rakan-rakan lain seperti Hikari Riders, IGL Coatings Skillo, Thread Division dan Mooneyes.

Tahun ini, Kustom & Koffee Talk dianjurkan oleh Danial Malek dari NoEqual.co dan beserta panelis luar negara, Winston Yeh dari Rough Craft, Taiwan dan Jap Loh dari Wicked Wallop, Singapura. Forum berkisar tentang trend dan arah aliran industri pemotoran semasa.

Lain-lain aktiviti di AOS 2023 termasuk:

  • co’s NEAT Fest di Hall C – pameran kereta perlumbaan bersejarah yang dipilih dari seluruh pelusuk Malaysia.
  • Pameran Off The Grid di Hall C – memaparkan produk dan servis terbaru untuk aktiviti lasak dan aktiviti perkhemahan.
  • Hail Vintage di Hall D, pameran dan jualan barangan koleksi vintaj dan memorabilia.
  • Streetware Con di Hall D – mempamirkan fesyen streetwear, pelbagai vendor dan 40 penyanyi rap sekitar 2 hari AOS 2023.
  • Roda Rumble 2023 – Two Wheels Gathering & Outdoor Festival dikelolakan oleh Retro Mania
  • La Cultura – Chicano Culture Appreciation Gathering, menyantuni budaya dan juga memperagakan fesyen Cholo and Chicano, persembahan tarian dan DJ dan lebih lagi
  • Food Park dan Food Trucks kini ditempatkan di kawasan berteduh di besmen DG Food and Beverage
  • ‘Flea Market’ automotif
  • Pelancaran pelbagai produk di pentas utama.
  • Sesi Pandu Uji (Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph dan Harley-Davidson)

Pada tahun ini, pengunjung diberi peluang untuk merasai peluang cabutan bertuah pada hari Sabtu dan juga Ahad.

Untuk Sabtu, hadiah yang diberi adalah sebuah ZEUS e-bike, yang dimenangi oleh Norilah Mohd Norzri dari Johor Bahru.

Pada hari Ahad pula, hadiah yang ditawarkan adalah sebuah Toyota Celica model tahun 1979 yang telah dikustomkan oleh Art of Speed Malaysia (AOSM). Pengunjung bertuah yang memenangi hadiah tersebut adalah Rizal Bin Azman, dari Perak.

Hadiah cabutan bertuah kedua untuk tiket dalam talian adalah sebuah motosikal Honda e-DAX, yang telah dimenangi oleh Nor Adila Bt Nor Hashimi daripada Kedah.

Pemenang-pemenang kategori Best of Show untuk kereta dan motosikal telah memenangi hadiah pakej pelancongan sebagai Tetamu Khas ke MOONEYES Yokohama Hotrod and Kustom Show edisi ke 31 yang akan menjelang tiba pada bulan Disember nanti.

Pilihan Engear

Engear juga mempunyai beberapa jentera yang menarik minat kami, antaranya Interformula Buggy, Proton Putra dengan kit badan Evo 3, Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno, Mercedes S-Class dengan badan trak pikap, Proton Gen.2 Karamjit Singh, Proton Wira yang pernah dipandu Michael Schumacher, dan Nissan Skyline 2000GT-R KPGC10.

Sebagai seorang peminat kenderaan kawalan radio (RC), kami juga tertarik dengan sebuah Toyota Celical GT-Four putih dengan replika RC skala 1/10 di depannya.

Sebenarnya banyak lagi jentera menarik yang tidak sempat kami abadikan gambarnya dan tidak sempat kami senaraikan. Jemput belek galeri yang kami sediakan khas untuk tatapan anda di bawah:

Hot Wheels Proton Saga akan dapat pakej dengan karya seni pertama dunia

ANDA biasa lihat kad pada bungkusan Hot Wheels dengan biasa dari syarikat Mattel itu. Tetapi selepas ini, Hot Wheels akan mengeluarkan pakej bungkusan dengan karya seni, buat pertama kalinya di dunia.

Dan ianya lebih bermakna dengan penglibatan Malaysia, dimana seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dipilih menjadi pemenang untuk rekaan karya seni itu. Kad istimewa itu juga akan digunakan untuk Hot Wheels Proton Saga! Ini sangat mengujakan.

Saw Jane Harn, dari Pulau Pinang menjadi juara pertandingan Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition 2023. Upacara penyampaian hadiah untuknya dan lima pemenang saguhati lain dijalankan di acara Art of Speed 2023 yang diadakan pada 29 dan 30 Julai di MAEPS, Serdang.

Hot Wheels Proton Saga akan mula dijual pada 2024. Ianya merupakan kolaborasi antara pengeluar mainan terkemuka itu dengan syarikat automotif negara yang dimeterai pada 2022. Proton Saga menjadi model Proton pertama diabadikan sebagai model die-cast skala 1:64.

Hot Wheels Proton Saga akan turut dijual ke peringkat antarabangsa sebagai koleksi singles, dimana Mattel Malaysia merupakan satu-satunya pengeluar.

Pertandingan Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition menjemput kanak-kanak seluruh negara untuk menghasilkan rekaan dengan tema “A Malaysian National Car”. Sebanyak 386 penyertaan diserahkan dari kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

“Selama lebih 50 tahun, Hot Wheels dikenali sebagai pencetus dan penggalak semangat daya saing dalam diri kanak-kanak untuk mendedahkan potensi sebenar mereka, kata Murat Ariksoy, pengurus besar, Mattel South Asia.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan Proton untuk pertandingan rekaan ini yang meraikan generasi masa depan untuk menyahut cabaran,” katanya.

Rekaan Saw membawakan pelbagai elemen sinonim dengan Malaysia dari burung enggang, bunga raya, dan Tugu Negara.

Menurut Azlan Othman, ketua rekaan Proton yang menjadi salah satu juri dalam pertandingan itu, “Elemen Malaysia dalam rekaan Saw merupakan satu maksud untuk negara kita yang cantik.”

Enam pemenang teratas pertandingan ini memperoleh hadiah produk Hot Wheels, barangan edisi terhad, dan peluang berjumpa Matt Gabe, ketua rekaan pakej Hot Wheels, yang turut hadir dari El Segundo, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Roslan Abdullah, timbalan ketua pegawai eksekutif Proton berkata: “Serentak dengan Mattel Malaysia menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini, Proton juga menyambut ulang tahun ke-40 pada 7 Mei tahun ini.”

“Saga pula berusia 38 tahun pada 9 Julai 2023, jadi Hot Wheels Proton Saga merupakan satu cara meraikan pencapaian ini.”

Peminat kereta dan Hot Wheels boleh menunggu pada Disember 2023 nanti dimana model Proton Saga ini akan mula dijual di lebih 150 negara.

Art of Speed 2023 janji pameran lebih besar, hadiah cabutan bertuah Celica 1979 kustom!

DENGAN sambutan luar biasa dari pengunjung pada edisi 2022, Art of Speed (AOS) kembali untuk tahun 2023, menjanjikan acara lebih besar dan lebih baik dari sebelumnya!

Tahun ini, acara Kustom & Counter Culture terulung Malaysia mengambil tempat di lokasi sama, Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 29 dan 30 Julai 2023.

Ini meliputi ruang tertutup seluas 350,000 kaki persegi, ruang luar seluas 8.6 ekar – mengambil alih setiap dewan acara dengan menampilkan lebih banyak aktiviti demi memuaskan hati peminat dan pengunjung.

AOS 2023 bakal membawakan tetamu komuniti kustom dan media antarabangsa seperti:

Shige Suganuma, Emi Suganuma, “Sunny” Yano & Michi “NATQQ” dari MOONEYES; Jepun
Cycle Zombies; Amerika Syarikat
V-Twin Visionary; Amerika Syarikat
Wild Road Choppers; Jepun
Cosmic Chopper City; Jepun
Geoff dari Return of Cafe Racer; Amerika Syarikat
Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com; Jepun
Side Yakotani; Jepun
Hopping Shower; Jepun
Boopin; Jepun
Ken Flat Top; Jepun
Jetwrench_artstudio; Jepun
Vondutch; Indonesia
Ya Seat; Thailand

Selain itu, aktiviti lain yang boleh anda jangkakan dari AOS 2023 termasuklah:

Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally” – kawasan terbuka yang dikhaskan sepenuhnya untuk penunggang dan peminat motosikal.

Terbaharu untuk 2023: Dewan B akan diambil alih oleh Hot Wheels Collector Convention rasmi pertama di rantau Asia Tenggara. Pengunjung bakal menikmati lebih banyak lagi aktiviti Hot Wheels, paparan diorama – yang merangkumi Pameran Hot Wheels Rare & Collectibles, Hot Wheels Skate School, Hot Wheels Swap Buy & Sell, dan banyak lagi.

Peminat Hot Wheels juga bakal bertemu dan mengalukan kedatangan pereka Hot Wheels terkenal dari Amerika Syarikat. Dan menariknya, percubaan memecahkan rekod untuk pembuatan Hot Wheels terbesar di Malaysia turut diadakan.

Untuk memperingati ulang tahun ke-40 Hot Wheels di Malaysia, Mattel akan bekerjasama dengan jenama automotif nasional ikonik negara iaitu PROTON untuk mencipta sebuah kenderaan Hot Wheels – Proton Saga yang pertama.

Bersempena dengan peristiwa bersejarah ini, Mattel menjemput semua kanak-kanak di Malaysia datang melatih kreativiti mereka untuk menyertai Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition. Reka bentuk yang menjadi pemenang akan diperingati melalui kad ‘blister’ Proton Saga ‘edisi khas’ dan akan dijual di seluruh negara di Malaysia pada awal 2024 nanti!

Hot Wheels Legends Tour bakal membuat kemunculan di AOS 2023. Pada tahun ini, pertandingan rasmi di Malaysia akan diadakan pada hari Ahad ketika berlangsungnya AOS 2023, menampilkan juri-juri tempatan dan antarabangsa untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia. Pendaftaran untuk Jelajah Hot Wheels Legends akan diadakan di AOS 2023.

Kerjasama dengan NoEqual.co akan menampilkan Pesta NEAT di Dewan C, selain acara Off The Grid, Hail Vintage, dan Show & Shine.

Turut kembali ke AOS 2023 tahun ini adalah SoundCircus Festival yang ditunggu-tunggu. Barisan persembahan untuk SoundCircus Festival akan diumumkan tidak lama lagi.

Untuk menamatkan acara pada hari Ahad nanti, seorang pemenang yang memegang tiket bertuah bakal membawa pulang sebuah Toyota Celica 1979 bermodifikasi dengan ‘air-ride suspension’ oleh Art of Speed Malaysia (AOSM).

Pas hujung minggu AOS 2023 boleh diperolehi di depan pintu dan atas talian dengan harga RM35.00, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masuk secara PERCUMA.

Pemegang pas OKU juga diberikan kemasukan secara percuma. AOS 2023 akan menjual pas Speed Lane, yang dibuka sejam lebih awal pada jam 9:00 pagi; berharga RM60.00 sah untuk kedua-dua hari.

Pengunjung juga berhak menikmati satu jam tambahan di dalam dewan utama A, B, C dan D. Dewan dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 7:00 malam pada kedua-dua hari. Kombo SoundCircus Festival + Weekend Pass akan tersedia atas talian tidak lama lagi.

Tomica Transporter Series tampilkan Lamborghini Countach, Honda NSX dan Nissan 300ZX

TOMICA boleh dikira sebagai kembar Hot Wheels dan Matchbox dari Jepun, mereka menghasilkan pelbagai permainan automotif. Kini barisan terbaharu mereka menggabungkan kereta-kereta klasik yang cool dengan transporter (trak tunda pengangkut).

Melalui siri Tomica Transporter Series 2023 baharu ini, terdapat empat kombo boleh dipilih. Dua daripadanya adalah Lamborghini Countach 25th Anniversary Edition.

Countach kuning hadir dengan trak dengan ruang kargo berkotak berwarna hitam lengkap dengan tulisan Lamborghini. Bahagian belakangnya boleh dibuka dan mempunyai tanjakan untuk Countach itu naik masuk ke dalam.

Jika anda mahu melihat Countach itu sepanjang masa, set satu lagi ini mendapat trak dengan ruang tunda terbuka. Terdapat juga tanjakan di belakangnya yang membolehkan supercar itu turun dan naik dengan mudah.

Countach 25th Anniversary dilancarkan pada 1988 dengan badan yang direka semula. Ia menampilkan ruang kemasukan udara baharu di bahagian belakang untuk rupa lebih agresif. Enjin 5.2-liter V10 di belakang pemandu menghasilkan 449hp dan 500Nm tork.

Dua lagi koleksi terdiri dari kereta sports Jepun yang sama era dengan Countach, salah satunya ialah Nissan 300ZX Z32 Twin Turbo. Jentera ini mendapat gandingan trak tunda terbuka berwarna putih dengan tulisan Nissan.

300ZX lahir sezaman dengan Toyota Supra, Mitsubishi 3000GT dan Mazda RX-7. Pembeli boleh memilih enjin naturally-aspirated dan turbo, tetapi varian turbolah heronya. Ia menjana 300hp dan 384Nm tork.

Akhir sekali ialah Honda NSX Type-R berwarna hitam dengan tempat duduk merah yang boleh dilihat melalui tingkapnya. NSX ini akan diusung oleh trak pengangkut putih dengan garisan lukisan berbentuk tulisan nama dan imej kereta.

NSX Type-R tiba pada 1992 sebagai model lebih hardcore bagi sports car Honda itu yang sudah pun cukup mantap. Ianya 120kg lebih ringan dari kereta standard, malah suspensi juga lebih keras. NSX Type-R dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 dengan sedikit perubahan pada nisbah akhir kotak gear.

Setiap kereta akan dijual pada harga 2,640 Yen (RM86.38), tetapi kami rasa ia pasti akan berharga jauh lebih mahal dari ini, disebabkan faktor-faktor cukai serta reseller.

Senarai Hot Wheels yang lebih mahal daripada kereta sebenar

JANGAN pandang saiznya yang kecil kerana Hot Wheels ialah antara beberapa permainan yang boleh menjadi sebahagian besar daripada kehidupan pengumpulnya, tidak kiralah sama ada mereka kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Sejak diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1968, permainan yang berasal dari Amerika Syarikat itu terus menempa namanya sebagai yang terbaik dalam industri die-cast hinggalah ke hari ini. Sudah tentu, muncul beberapa pesaing yang ingin menjatuhkan Hot Wheels dari takhtanya namun populariti jenama itu terlalu besar untuk digugat.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada kereta Hot Wheels yang nilainya meningkat berkali ganda berbanding harga asal sewaktu ia mula dikeluarkan. Malah, percaya atau tidak, ada yang harganya menjadi lebih mahal daripada sebuah kereta sebenar! Berikut adalah antara kereta Hot Wheels yang paling berharga:

1970 Red Baron (White Interior) – $3,000 (RM12,580)

Pertama kali model ini dikeluarkan adalah pada 1970, kemudian pada 1973 hingga 1974, dan akhir sekali pada 1990 sebagai sebahagian daripada barisan vintej. Ia didatangkan dalam pelbagai variasi warna namun Red Baron dengan dalaman putih adalah lebih ‘rare’ kerana hanya 10 unit pernah dihasilkan.

1995 Collector Number 271 Funny Car – $3,500 (RM14,680)

Model ini adalah yang paling ‘baharu’ dalam senarai ini kerana ia dikeluarkan sekitar 90an. Dikatakan hanya 12 unit dihasilkan dan setiap satu mempunyai cetakan nombor pengumpul “271”. Setakat ini, hanya tujuh buah berjaya ditemui.

1971 Red Olds 442 (Black Interior) – $4,000 (RM16,780)

Berasaskan Oldsmobile Cutlass 442 keluaran 1970, model Hot Wheels ini hanya dikilangkan di AS dan ditawarkan dalam beberapa pilihan warna. Warna ungu dikatakan antara yang paling sukar ditemui namun warna merah dengan dalaman hitam paling dicari-cari kerana daripada 144 buah yang dihasilkan, hanya 25 yang masih ada sehingga ke hari ini.

1970 Ed Shaver Custom AMX – $4,000 (RM16,780)

Ada beberapa variasi AMX yang dihasilkan namun versi Ed Shaver dikatakan paling bernilai. Merupakan seorang bekas tentera AS yang berkhidmat di UK, Ed ditaja oleh Mattel untuk aktiviti perlumbaan drag beliau. Model ini hanya dihasilkan untuk pasaran UK dan menurut laporan, sebahagian daripadanya diberikan di litar-litar di mana Ed berlumba dan sebahagian lagi semasa promosi sarapan bijirin.

1970 Red Ferrari 312P White Interior – $5,000 (RM20,970)

Ferrari 312P merupakan salah satu model Redline, iaitu model yang dihasilkan dari 1968 hingga 1977 yang boleh dikenalpasti menerusi jalur pada roda. Ia dikeluarkan di AS dan Hong Kong, masing-masing dengan pilihan warna tersendiri. Warna Spectraflame Red seperti ini biasanya didatangkan dalaman hitam namun terdapat kurang 20 buah yang mempunyai dalaman putih.

1971 Purple Bye Focal – $6,000 (RM25,170)

Satu lagi model Redline, Bye Focal menggunakan casis yang berasaskan dari Dodge Challenger twin-engine dan mempunyai hud lutsinar. Ia hanya dihasilkan di Hong Kong dan boleh didapati dalam beberapa variasi warna, namun warna ungu dan juga merah menjadi buruan pengumpul kerana bilangannya yang terhad.

1969 Brown ’31 Woody – $8,000 (RM33,560)

Diinspirasikan oleh Ford Model A Wagon, Woody boleh didapati dalam beberapa variasi dengan tekstur bumbung, warna dalaman dan juga casis yang berbeza. Unit berwarna coklat ini mempunyai nilai yang tinggi kerana hanya kira-kira 12 unit pernah dihasilkan dan sejumlah daripadanya dikatakan model prototaip.

1971 Purple Olds 442 – $12,000 – RM50,330

Di kalangan pengumpul Hot Wheels, ia dikatakan model Olds dan juga Redline yang paling sukar ditemui. Ia dihasilkan secara eksklusif di Hong Kong untuk pasaran negara itu sahaja.

1969 Brown Custom Charger – $13,000 (RM54,530)

Model Charger bukan sahaja popular di kalangan peminat kereta muscle, malah turut menjadi buruan pengumpul Hot Wheels. Banyak variasi Charger yang pernah dihasilkan namun model keluaran tahun 1969 yang berwarna coklat dikatakan paling harga kerana ia dipercayai model prototaip.

1974 Blue Roger Dodger – $8,000 (RM33,560)

Sekali pandang, ia mungkin tampak seperti model Hot Wheels biasa namun Roger Dodger berwarna biru dikatakan istimewa kerana pengeluarannya terhad kepada tujuh unit sahaja. Dikatakan seorang pengumpul dari UK bernama Bob Parker pernah memiliki tujuh buah model seperti ini namun beliau menjual kesemuanya kepada seorang pengumpul di AS kerana menyangka terdapat banyak lagi yang seumpamanya.

1968 “Cheetah” Base Python – $10,000 (RM41,950)

Cheetah Base Python berwarna merah dihasilkan dalam bilangan yang terhad dan mempunyai cetakan “Cheetah” dan “Hong Kong patent pending”. Bagaimanapun, nama Cheetah pada masa itu telah digunakan oleh jurutera GM, Bill Thomas pada kereta lumbanya, sekaligus memaksa Hot Wheels untuk menggunakan nama Python. Namun, ada beberapa unit Cheetah yang berjaya terlepas ke pasaran.

1968 Hot Pink Beatnik Bandit – $15,000 (RM62,920)

Antara model yang menjadi kegemaran ramai pengumpul Hot Wheels, Beatnik Bandit tampil unik dengan bumbung berbentuk kubah, enjin yang terkeluar dan stereng berbentuk joy stick. Ia asalnya dihasilkan untuk menarik minat kanak-kanak perempuan namun sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan.

1968 Over Chrome Camaro – $25,000 (RM104,860)

Camaro dengan kemasan ‘over chrome antifreeze’ ini jatuh di bawah kategori istimewa bagi model-model Hot Wheels yang dikumpul. Selain kemasan itu, jumlahnya yang amat kecil iaitu 20 unit membuatkan ia menjadi buruan pengumpul sehinggakan harganya meningkat secara mendadak.

1969 Pink Rear-Loading Volkswagen Beach Bomb – $72,000+ (RM302,000)

Apa yang anda lihat ini ialah model Hot Wheels yang paling rare. Hanya satu prototaip yang dihasilkan dan ia dimiliki oleh pengumpul Hot Wheels terkenal, Bruce Pascal yang membelinya pada harga $72,000 (RM302,000). Namun, ada yang mengatakan nilai sebenarnya mencecah $150,000 (RM629,180). Ada versi produksi yang dijual pada harga sekitar $800 (RM3,360) namun sudah tentu ia tidak sama dengan versi prototaip ini.

40th Anniversary Diamond Encrusted Otto – $140,000+ (RM587,230)

Tidak syak lagi, ini ialah model Hot Wheels yang termahal di dunia. Ia disalut emas putih 18K, 1,388 butir berlian biru, 319 butir berlian putih dan lapan butir delima. Kos untuk menghasilkannya mencecah $140,000 namun kos untuk memiliki sesuatu yang unik dan mewah seperti ini sudah tentu berlipat kali ganda lebih mahal.

Hot Wheels Proton Saga 1985 bakal dikeluarkan hasil kerjasama Mattel dan Proton!

SUDAH menjadi impian peminat permotoran dan pengumpul model die-cast di Malaysia untuk melihat model Proton dikeluarkan secara rasmi oleh Hot Wheels. Impian anda akan menjadi kenyataan kerana Proton Saga 1985 akan diabadikan dalam bentuk die-cast skala 1:64!

Ini merupakan hasil kerjasama antara Mattel Malaysia Sdn Bhd (MMSB) dan Proton, sempena sambutan ulangtahun ke-40 syarikat pengeluar mainan itu di negara ini.

Model Hot Wheels baharu itu dijangka akan mula dihantar dan dijual di seluruh dunia menjelang hujung tahun depan.

Penulis sebagai pemilik Proton dan pengumpul Hot Wheels pastinya mengalu-alukan projek dan kerjasama sebegini.

Diharapkan mereka boleh juga merealisasikan die-cast model-model ikonik Proton yang lain seperti Wira, Putra, Satria GTi, Satria R3, Satria Neo R3, Arena, dan Perdana. Malah masukkan sekali model terkini Proton seperti X70 dan X50, pasti menarik.

Untuk pengetahuan, Mattel mempunyai kilang pengeluaran di Perai, Pulau Pinang dan fasiliti itu merupakan pusat pengeluaran Hot Wheels terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran sembilan juta kereta seminggu.

Dalam perkembangan sempena ulangtahun ke-40 itu juga, MMSB mengumumkan bahawa mereka akan memperbesarkan kilang itu dengan kerja-kerja dijangka siap pada Januari 2023. Pembesaran ini dikatakan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

MMSB pada masa ini mempunyai 3,900 pekerja dan jumlah ini akan ditambah menjadi sekitar 4,300 orang selepas kilang itu dibesarkan.

Proton Suprima S ‘widebody’ masuk pusingan akhir Hot Wheels Legends Tour 2022

TIADA yang lebih membanggakan apabila anak tempatan berjaya membawa nama Malaysia ke pentas dunia, tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun.

Terbaru, sebuah Proton Suprima S ‘widebody’ rekaan William Chong telah disenarai pendek sebagai finalis dalam acara Hot Wheels Legends Tour 2022.

Menurut Hot Wheels, daripada 24 finalis yang dipilih dari rantau Asia Pasifik, Amerika Latin, Eropah dan Amerika Utara, hanya empat penyertaan akan dipilih sebagai pemenang. Apa yang menarik, setiap kereta pemenang akan dijadikan kereta mainan die-cast Hot Wheels dalam skala 1:64!

Nasib setiap peserta tidak bergantung kepada barisan juri, sebaliknya peminat dari seluruh dunia berpeluang untuk memilih kereta kegemaran masing-masing menerusi sistem undian atas talian yang akan diadakan menerusi Instagram Stories @hotwheelsofficial.

Jadi ayuh rakyat Malaysia, gunakan kuasa di tangan anda untuk memastikan Suprima S rekaan William ini dipilih sebagai salah satu pemenang Hot Wheels Legends Tour 2022.

Baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Hot Wheels Legends Tour Malaysia bulan lalu, Suprima S ini memakai kit badan lebar kustom yang dipadankan dengan bonet karbon, cermin sisi ala F1 dan rim Rays CE28N berukuran 18 inci. Ia juga mempunyai lubang intake karbon yang direka secara kustom pada lampu depan kanan.

Enjin asal 1.6-turbo CFE juga telah diubahsuai dengan Race Chip, penapis udara jenis open pod, sistem ekzos kustom dengan sistem ‘catback’ dari Golf GTI Mk6 dan radiator aluminum SARD.