fbpx

Art of Speed 2023 janji pameran lebih besar, hadiah cabutan bertuah Celica 1979 kustom!

art of speed 2022 01

DENGAN sambutan luar biasa dari pengunjung pada edisi 2022, Art of Speed (AOS) kembali untuk tahun 2023, menjanjikan acara lebih besar dan lebih baik dari sebelumnya!

Tahun ini, acara Kustom & Counter Culture terulung Malaysia mengambil tempat di lokasi sama, Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 29 dan 30 Julai 2023.

Ini meliputi ruang tertutup seluas 350,000 kaki persegi, ruang luar seluas 8.6 ekar – mengambil alih setiap dewan acara dengan menampilkan lebih banyak aktiviti demi memuaskan hati peminat dan pengunjung.

AOS 2023 bakal membawakan tetamu komuniti kustom dan media antarabangsa seperti:

Shige Suganuma, Emi Suganuma, “Sunny” Yano & Michi “NATQQ” dari MOONEYES; Jepun
Cycle Zombies; Amerika Syarikat
V-Twin Visionary; Amerika Syarikat
Wild Road Choppers; Jepun
Cosmic Chopper City; Jepun
Geoff dari Return of Cafe Racer; Amerika Syarikat
Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com; Jepun
Side Yakotani; Jepun
Hopping Shower; Jepun
Boopin; Jepun
Ken Flat Top; Jepun
Jetwrench_artstudio; Jepun
Vondutch; Indonesia
Ya Seat; Thailand

Selain itu, aktiviti lain yang boleh anda jangkakan dari AOS 2023 termasuklah:

Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally” – kawasan terbuka yang dikhaskan sepenuhnya untuk penunggang dan peminat motosikal.

Terbaharu untuk 2023: Dewan B akan diambil alih oleh Hot Wheels Collector Convention rasmi pertama di rantau Asia Tenggara. Pengunjung bakal menikmati lebih banyak lagi aktiviti Hot Wheels, paparan diorama – yang merangkumi Pameran Hot Wheels Rare & Collectibles, Hot Wheels Skate School, Hot Wheels Swap Buy & Sell, dan banyak lagi.

Peminat Hot Wheels juga bakal bertemu dan mengalukan kedatangan pereka Hot Wheels terkenal dari Amerika Syarikat. Dan menariknya, percubaan memecahkan rekod untuk pembuatan Hot Wheels terbesar di Malaysia turut diadakan.

Untuk memperingati ulang tahun ke-40 Hot Wheels di Malaysia, Mattel akan bekerjasama dengan jenama automotif nasional ikonik negara iaitu PROTON untuk mencipta sebuah kenderaan Hot Wheels – Proton Saga yang pertama.

Bersempena dengan peristiwa bersejarah ini, Mattel menjemput semua kanak-kanak di Malaysia datang melatih kreativiti mereka untuk menyertai Hot Wheels x PROTON Kids Design Competition. Reka bentuk yang menjadi pemenang akan diperingati melalui kad ‘blister’ Proton Saga ‘edisi khas’ dan akan dijual di seluruh negara di Malaysia pada awal 2024 nanti!

Hot Wheels Legends Tour bakal membuat kemunculan di AOS 2023. Pada tahun ini, pertandingan rasmi di Malaysia akan diadakan pada hari Ahad ketika berlangsungnya AOS 2023, menampilkan juri-juri tempatan dan antarabangsa untuk memilih johan yang akan mewakili Malaysia di pentas dunia. Pendaftaran untuk Jelajah Hot Wheels Legends akan diadakan di AOS 2023.

Kerjasama dengan NoEqual.co akan menampilkan Pesta NEAT di Dewan C, selain acara Off The Grid, Hail Vintage, dan Show & Shine.

Turut kembali ke AOS 2023 tahun ini adalah SoundCircus Festival yang ditunggu-tunggu. Barisan persembahan untuk SoundCircus Festival akan diumumkan tidak lama lagi.

Untuk menamatkan acara pada hari Ahad nanti, seorang pemenang yang memegang tiket bertuah bakal membawa pulang sebuah Toyota Celica 1979 bermodifikasi dengan ‘air-ride suspension’ oleh Art of Speed Malaysia (AOSM).

Pas hujung minggu AOS 2023 boleh diperolehi di depan pintu dan atas talian dengan harga RM35.00, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masuk secara PERCUMA.

Pemegang pas OKU juga diberikan kemasukan secara percuma. AOS 2023 akan menjual pas Speed Lane, yang dibuka sejam lebih awal pada jam 9:00 pagi; berharga RM60.00 sah untuk kedua-dua hari.

Pengunjung juga berhak menikmati satu jam tambahan di dalam dewan utama A, B, C dan D. Dewan dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 7:00 malam pada kedua-dua hari. Kombo SoundCircus Festival + Weekend Pass akan tersedia atas talian tidak lama lagi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved