Arkib Tag: GoCar Malaysia

GoCar Subs Electric perluas barisan EV, kini ada 7 pilihan model

GOCAR Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menambah beberapa model kenderaan elektrik (EV) ke dalam rangkaian GoCar Subs Electric, bersama pilihan pelan langganan mingguan dan bulanan.

Menurut syarikat itu, penambahan rangkaian model EV dan pelan langganan dalam jangka masa lebih pendek bertujuan memudahkan dan menjadikannya lebih mampu milik buat pelanggan di Malaysia.

Ini selaras dengan usaha berterusan GoCar untuk meningkatkan akses dan kebolehdapatan EV kepada orang ramai.

Rangkaian model GoCar Subs Electric kini terdiri daripada tujuh model iaitu Nissan Leaf, Renault Zoe baharu, Hyundai Kona EV, Hyundai Ioniq 5, Great Wall Motor Ora Good Cat, MINI Electric dan Tesla Model Y.

Kadar langganan bermula RM120 sehari untuk pelan bulanan dan RM171 sehari bagi pelan mingguan. Kadar dikira berdasarkan yuran langganan masing-masing dan Penepian Kerosakan Perlanggaran (CDW) mandatori.

Kadar langganan mingguan dan bulanan GoCar Subs Electric adalah seperti berikut:

Untuk membuat tempahan, daftar satu akaun GoCar Subs menerusi aplikasi mudah alih GoCar atau laman web GoCar Subs dan pilih model yang diminati.

Kenderaan akan disediakan dalam tempoh 14 hari (bergantung kepada kebolehdapatan) sebaik sahaja bayaran dibuat yang merangkumi sekali yuran langganan dan deposit sekuriti yang akan dipulangkan semula.

Program GoCar Subs Electric kini ditawarkan di Lembah Klang untuk semua model. Bagi memudahkan urusan pengecasan, semua model EV GoCar Subs disertakan dengan kad chargEV. Kad percuma chargEV menawarkan akses percuma kepada semua pengecas AC, kecuali di Starbucks dan BMW. ChargEV mempunyai rangkaian lebih 300 stesen pengecasan di seluruh negara.

Untuk melihat semua pilihan EV yang ada, layari laman web GoCar Subs Electric.

GoCar Malaysia perkenal kadar baharu GoEV yang lebih jimat

GOCAR Malaysia kini menawarkan servis perkongsian kereta elektrik GoEV lebih mampu milik menerusi pelaksanaan kadar baharu.

Menurut syarikat itu, kadar jam telah dikurangkan hampir 30 peratus, manakala kos tempahan untuk tempoh 30 hari dan ke atas kini lebih jimat hampir 50 peratus.

Pengurangan harga itu selari dengan usaha berterusan GoCar untuk mengembangkan pengalaman memandu EV di Malaysia dengan menjadikan GoEV lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Ditawarkan untuk tempahan Pergi Balik, kadar jam untuk GoEV Share kini ialah RM17.90 (turun daripada RM24.90 sejam), manakala kadar harian dikurangkan daripada RM249 sehari sebelum ini kepada RM179.

Kadar untuk tempahan jangka masa panjang iaitu 30 hari dan ke atas kini RM120 sehari berbanding RM232 sebelum ini.

Bukan itu sahaja, GoCar juga telah menambah dua zon baharu iaitu IOI City Mall (Level P1, di antara tiang F7 dan F8) serta 1 Mont Kiara (Zone C5, Level P3, Bay 162-164) bagi meningkatkan kebolehdapatan GoEV di Lembah Klang.

Lokasi sedia ada termasuklah GoCar Petaling Jaya Hub, GoCar Lot92 Cuba Beli Chow Kit, Avenue K KLCC, ERL Station KL Sentral, The LINC KL Jalan Tun Razak, MidValley Megamall, MyTown Cheras, Nissan/Renault ETCM Glenmarie dan 163 Retail Park Mont Kiara.

Program GoEV catat 500,000 km perjalanan dalam tempoh setahun

GOCAR Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah merekodkan perjalanan keseluruhan flit kenderaan elektrik (EV) lebih 500,000 km sejak program GoEV dilancarkan di Lembah Klang pada Disember 2021.

Menurut syarikat itu, lebih 1,000 pengguna GoCar telah mengambil peluang untuk memandu EV menerusi pilihan GoEV Share. Lebih 90 peratus daripada mereka berkata ia merupakan pengalaman pertama memandu EV.

Untuk terus mengembangkan operasinya, GoCar telah menambah jumlah kenderaan dalam flit GoEV Share dan akan menawarkan lebih 30 unit Nissan Leaf di 20 zon di Lembah Klang.

Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan GoEV kepada lebih 50 unit bagi tujuan perkongsian dan langganan.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, “Harga EV yang mahal tidak mampu dicapai oleh kebanyakan rakyat Malaysia, terutama dalam keadaan ekonomi sekarang yang mencabar.”

“GoEV cuba merapatkan jurang ini dan kami berbangga untuk menjadi platform perkongsian kereta pertama menawarkan penyelesaian EV yang menarik di Malaysia,” tambah beliau.

Bagi meraikan ulang tahun pertama GoEV, GoCar menawarkan penjimatan sehingga 70 peratus (dihadkan pada RM80) ke atas tempahan perkongsian kereta GoEV dengan menggunakan kod promo “1STGOEV”.

Promosi tempoh terhad itu hanya sah untuk tempahan yang dibuat di antara 12 hingga 15 Disember tetapi pengguna mempunyai masa sehingga 31 Januari untuk menebus tempahan mereka berdasarkan kepada pelan perjalanan masing-masing.

Sebagai tambahan, GoCar juga akan menghadiahkan 100,000 GoPocket Points bernilai RM1,000 kepada 10 pengguna bertuah.

Kadar normal GoEV bermula RM24.90 sejam dan RM249 sehari, serta RM232 sehari untuk tempahan selama sebulan.

Setiap kenderaan GoEV didatangkan dengan kad chargeEV secara percuma yang membolehkan pengguna mengakses kepada hampir 300 stesen pengecasan di seluruh negara. Stesen pengecasan di zon GoEV adalah percuma untuk semua ahli GoEV.

Bukan itu sahaja, menerusi integrasi dengan platform JomCharge, pengguna GoEV boleh mengetahui lokasi pengecasan, kebolehdapatan dan jenis pengecas dalam rangkaian JomCharge dengan mudah melalui aplikasi mudah alih GoCar.

GoCar Garage kini dibuka di Ipoh dan Negeri Sembilan

GOCAR Malaysia mengumumkan pengembangan perkhidmatan penyelenggaraan dan servis kereta berpusat GoCar Garage ke Ipoh dan Negeri Sembilan.

Pengembangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan GoCar untuk meluaskan lagi rangkaian servis Garage, menerusi kerjasama strategik bersama bengkel-bengkel sah dan bebas.

Rakan-rakan Garage ini dipilih melalui satu proses penilaian yang ketat bagi memastikan standard dan kecemerlangan perkhidmatan GoCar Garage dapat dipenuhi.

Buat masa ini, terdapat lebih 40 lokasi Garage di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan kini di Ipoh serta Negeri Sembilan yang mudah dicari melalui aplikasi mudah alih GoCar.

Platform GoCar Garage direka untuk menawarkan pengalaman penyelenggaraan kereta secara menyeluruh dengan struktur harga yang telus. Ia boleh menyelenggara pelbagai jenis kenderaan penumpang daripada jenama tempatan, Jepun, continental dan premium.

Pelanggan boleh menggunakan aplikasi mudah alih GoCar untuk menjadual temu janji servis, memilih jenis servis, meluluskan sebut harga sebelum kerja-kerja membaik pulih diteruskan dan membuat bayaran.

Servis yang ditawarkan termasuklah penukaran minyak enjin, servis berkala, pembaikan, penukaran dan membetulkan tayar, brek, bateri, pendingin hawa, mekanikal dan sistem elektrikal. Pelanggan juga boleh menikmati servis bukan pembaikan seperti talaan prestasi, tinted, perapian dan lapisan cat.

Sempena pembukaan cawangan baharu ini, GoCar menawarkan penjimatan sehingga RM50 ke atas mana-mana servis yang ditawarkan dalam platform GoCar Garage. Ia tertakluk kepada tempahan dan boleh ditebus dari 19 September hingga 30 November 2022 dengan menggunakan kod promo “CUBALAH50”.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, orang ramai dijemput untuk mengunjungi siri jelajah GoCar Garage di premis-premis Lotus’s di Bukit Jelutong, Cheras dan Puchong di Lembah Klang serta Desa Tebrau di Johor Bahru. Maklumat mengenai siri jelajah in boleh didapati di laman web atau menerusi aplikasi mudah alih GoCar.

GoCar, EV Connection bekerjasama untuk luaskan jaringan stesen pengecasan di Malaysia

GOCAR Malaysia dan syarikat penyedia perkhidmatan pengecasan EV bersepadu iaitu EV Connection telah menjalin kerjasama untuk mengembangkan akses terhadap stesen pengecas EV di negara ini.

Kerjasama itu akan membolehkan aplikasi mudah alih GoCar dan platform JomCharge milik EV Connection diintegrasikan, sekali gus meningkatkan akses ke atas lebih banyak stesen pengecasan EV serta pengecas pantas DC buat pengguna GoCar dan orang awam.

Selepas integrasi fasa pertama yang dijangka dapat disempurnakan menjelang suku ketiga tahun 2022, pengguna GoCar dan orang ramai boleh melihat lokasi-lokasi pengecasan, kebolehdapatan pengecas dan jenis pengecas yang ada dalam rangkaian EV Connection menerusi aplikasi GoCar.

Perancangan masa depan termasuklah meningkatkan perkhidmatan seperti keupayaan pra-tempahan pengecas EV, menyusun semula waktu pengecasan, membuat pembayaran dan mengetahui perkembangan terkini pengecasan kenderaan melalui aplikasi GoCar.

EV Connection kini mempunyai salah satu jaringan pengecas DC terbesar di Malaysia yang terletak sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan. Syarikat mensasarkan untuk mengembangkannya kepada 100 stesen pengecasan menjelang akhir tahun 2022. Pengecas DC ini bersifat universal dan boleh digunakan oleh semua jenama serta model EV.

“Menerusi integrasi ini, kami percaya bahawa pengguna akan boleh merancang perjalanan dengan lebih baik dan mempunyai kemas kini pada masa sebenar mengenai lokasi pengecas EV ketika memandu. Semua ini pasti dapat mengurangkan kebimbangan, meningkatkan keselesaan dan kemudahan buat pelanggan GoCar dan pengguna EV yang lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun.

GoCar kini memberi fokus untuk mengembangkan akses ke atas EV melalui perkongsian, langganan dan pengecasan kereta elektrik. Baru-baru ini, syarikat telah menambah Hyundai Kona ke dalam rangkaian GoEV dan berhasrat untuk meningkatkan jumlahnya kepada 100 unit EV menjelang akhir tahun ini.

Sejak pelancaran GoEV pada Disember 2021, lebih 1,000 pengguna EV telah mencatat perjalanan lebih 500,000km. Bagi lebih 90 peratus pengguna, ia merupakan kali pertama mereka merasai pengalaman memandu sebuah EV.

EV Connection ialah satu-satunya penyedia perkhidmatan EV yang memiliki portfolio dari segi perkakasan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan, perkhidmatan awan dan sokongan kereta elektrik yang bersepadu.

Syarikat itu merupakan pengedar sah untuk ABB dan Hager, serta berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Tenaga National Berhad dan MyHijau. Ia juga pemasang pengecas EV yang diiktiraf TÜV SÜD.

GoCar dan EV Connection turut merancang untuk meneroka peluang-peluang lain seperti kitar semula bateri EV, penyelesaian pengecas EV, perkongsian data dan banyak lagi.

GoCar Pro kini dilancarkan di Johor – kadar bermula dari RM129 sehari

GoCar Malaysia baru-baru ini mengumumkan pelancaran GoCar Pro, sebuah perkhidmatan yang menggabungkan ciri perkongsian dan langganan kenderaan, di Johor.

Buat masa ini, perkhidmatan tersedia di Johor Bahru dan terbuka untuk semua ahli GoCar berdaftar yang memerlukan kereta untuk bergerak di dalam bandar atau ingin bercuti sama ada di Johor atau negeri lain.

Dengan GoCar Pro, pengguna juga dijanjikan bahawa semua kereta yang ditempah adalah bersih dan berada dalam kondisi terbaik. Pasukan GoCar akan membersihkan kereta selepas setiap penggunaan, sama seperti kenderaan dalam rangkaian GoCar Subs.

Model-model yang ditawarkan termasuklah Proton Persona, Nissan Almera dan Perodua Axia, dengan kadar bermula dari RM129 hingga RM169 sehari. Unit adalah terhad dan ia ditawarkan secara ‘siapa cepat, dia dapat’.

Cara untuk menempah GoCar Pro adalah seperti mana-mana GoCar. Namun, terma penggunaan perkhidmatan baharu ini adalah sedikit berbeza seperti berikut:

– Perkhidmatan GoCar Pro kini hanya boleh untuk perjalanan ulang-alik sahaja.

– Tempahan minimum selama tiga hari diperlukan. Tetapi sama seperti GoCar Share, pelanggan boleh menempah sebuah kenderaan maksimum selama 30 hari. Namun, tempahan perlu dibuat sehari lebih awal bagi memberikan masa untuk pemulangan.

– Sama seperti langganan, pelanggan GoCar Pro akan diberikan kunci fizikal yang diambil semasa waktu operasi di hub GoCar di Johor Jaya. Pengguna masih perlu membuka dan mengunci kenderaan menggunakan aplikasi GoCar.

– Deposit sekuriti sebanyak RM500 diperlukan dan ia akan dikembalikan semula dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas kereta dipulangkan dalam keadaan yang baik.

Selain pilihan pembayaran biasa menggunakan kad debit/kredit, GoPocket Points, perbankan dalam talian dan e dompet, pengguna juga boleh menggunakan GrabPay untuk membahagikan bayaran sebanyak empat kali ansuran dengan sifar faedah. Pilihan pembayaran ini hanya boleh dibuat menerusi GrabPay.

GoCar lancar kempen GOLADIES, tawar 70 peratus diskaun servis

GoCar Malaysia telah mengumumkan kempen GOLADIES sempena meraikan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini.

Kempen tersebut menawarkan penjimatan sebanyak 70 peratus ke atas semua pakej servis asas GoCar Garage bermula sekarang hingga 31 Mac 2022.

Ia boleh didapati menerusi aplikasi lengkap GoCar, dengan menggunakan kod promo GOLADIES.

300 orang pelanggan pertama akan menikmati kadar servis istimewa untuk penukaran minyak pelincir selama 45 minit.

Pakej pelincir mineral ditawarkan dengan harga promosi iaitu RM30 manakala pakej pelincir semi-sintetik pula ditawarkan pada RM38. Bagi pakej pelincir sintetik penuh pula, harga yang ditawarkan adalah RM60.

Kempen GOLADIES ini hanya boleh didapati di Lembah Klang. Kesemua kenderaan ini akan diservis di hab GoCar Garage, Petaling Jaya.

Selain penukaran minyak enjin selama 45 minit, GoCar Garage turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti pemeriksaan dan penukaran bateri, servis tayar, membaiki dan penyelenggaraan sistem pendingin hawa, brek, sistem penyejukan enjin, diagnostik elektrikal serta pembaikan badan dan cat.

Menerusi aplikasi GoCar, pelanggan boleh membuat dan mengesahkan temu janji servis mereka dengan senang, memilih atau meminta servis yang diperlukan, membuat pembayaran serta menguruskan penghantaran terus ke rumah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.